Monday, November 10, 2014

30 Syarikat Di Selangor Rugi Besar Akibat Krisis Air - Mahdzir


Diterbitkan: Isnin, 10 November 2014 12:05 PM
air selangor

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 syarikat di Selangor mengalami kerugian besar akibat krisis bekalan air awal tahun ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menunjukkan syarikat yang terlibat termasuk Nestle yang mengalami kerugian RM15 juta sehari dan Monin Asia (RM112 juta sebulan) manakala Panasonic terpaksa melepaskan tempahan bernilai RM40 juta.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin ketika menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu impak krisis air di Selangor terhadap kewangan serta ekonomi negara.

Mahdzir berkata kerugian besar juga dialami beberapa industri seperti industri memproses makanan dan minuman, getah, kimia/oleokimia, elektrik dan elektronik, pelancongan serta industri kecil dan sederhana.

"Ada kilang terpaksa membatalkan tempahan malah ada yang terpaksa mengalih operasi buat sementara waktu ke kawasan lain termasuk di luar negara," katanya.

Mahdzir berkata, krisis bekalan air telah menyebabkan pengagihan air berjadual dilaksanakan selama kira-kira tiga bulan bermula Mac lepas.

Beliau berkata berkata krisis bekalan air di Lembah Klang sejak 2012 juga mengakibatkan kelulusan bagi 855 permohonan kebenaran merancang terpaksa ditangguhkan.

"Banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut rancangan pelabur di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan keadaan akan pulih menjelang 2017 apabila siap projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

Projek Langat 2 yang tertangguh sejak 2008 diteruskan hujung April lepas selepas Kerajaan Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran selepas perjanjian persefahaman ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada 26 Februari lepas.

SPRM Syor Tubuh Pasukan Khas Siasat Penerokaan Haram


Diterbitkan: Isnin, 10 November 2014 8:35 AM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  mencadangkan penubuhan pasukan khas bagi mengekang jenayah rasuah di sebalik penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands. 
 

Pencerobohan tanah ini dilaporkan menjadi punca utama sering berlaku banjir lumpur yang teruk di kawasan tanah tinggi itu.  

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, pasukan itu perlu diberi kebebasan melaksanakan penguatkuasaan dengan berkesan sekaligus bertindak dengan adil tanpa tekanan atau pengaruh mana-mana pihak. 
|
Sehubungan itu, katanya, dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing khususnya di Cameron Highlands perlu diwujudkan untuk memastikan pembukaan kawasan pertanian secara haram dapat dibendung. 

"Kita juga mengesyorkan agar kajian semula dasar dilakukan berhubung pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tujuan menyekat penerokaan tanah kerajaan secara haram. 

"Ini juga bagi mengelakkan pembinaan bangunan kekal di atas tanah LPS serta menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Tanah 1960 / Enakmen Pahang no.13 (Denda dan penalti lebih berat).

"SPRM juga mencadangkan diwujudkan Sistem Pengesahan bagi menghindari dakwaan yang melibatkan anggota kerabat, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai hubungan dalam apa-apa urusan. Ini bagi menjaga nama baik pihak berkenaan," kata Mustafar dalam satu kenyataan di sini. 

Beliau berkata, SPRM juga mengesyorkan agar tindakan pentadbiran yang bersesuaian dilaksanakan bagi melicinkan pengurusan dan penguatkuasaan penerokaan haram.  

Ini termasuk mengehadkan penggunaan jentera berat berantai, memantau kebanjiran pekerja asing di Cameron Highlands dan meningkatkan operasi penguatkuasaan pada hujung minggu dan cuti umum.  

"Dasar yang jelas juga perlu ditentukan berhubung pembangunan tanah tinggi Cameron Highlands dan penetapan dasar ini perlu bagi memudahkan hala tuju penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di kawasan itu.

SPRM juga menyarankan pewartaan dan langkah menanda/menanda halus sempadan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan jelas bagi tujuan penyelenggaraan persempadanan HSK yang kritikal. 

Zon bercucuk tanam diwujudkan kepada masyarakat Orang Asli dan mengehadkan kawasan tanaman pindah.  

"Mewujudkan sistem aduan yang berfungsi sebagai satu mekanisme kepada mana-mana pihak menyalurkan aduan, laporan dan maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang, peraturan dan salah laku," katanya. 

Mustafar berkata, tindakan proaktif SPRM ini adalah supaya satu usaha bersepadu dapat diambil semua pihak bagi menutup ruang dan peluang rasuah. 

Juga salah guna kuasa dan penyelewengan serta kelemahan pentadbiran dalam mengendalikan isu penguatkuasaan dan pentadbiran tanah.  

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan telah mengenal pasti beberapa isu serius yang memerlukan tindakan bersepadu semua pihak, antaranya kewujudan kontraktor 'kilat' yang terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing.

Mereka beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengelak kerja-kerja penerokaan haram dikesan pihak berkuasa, katanya. 

"Kurangnya koordinasi tindakan antara agensi terlibat menyebabkan tindakan penguatkuasaan tidak dapat dibuat secara profesional, di mana keterangan dan bukti sukar diperoleh bagi tujuan pendakwaan.  

"Akibatnya, peneroka terlepas dari tindakan undang-undang dan akan terus melakukan kesalahan dan hal ini juga menyebabkan moral penguatkuasa menurun. 

"Selain itu, pekebun sayur berselindung di sebalik keistimewaan Orang Asli sebagai pribumi yang menjadikan HSK sebagai kawasan rayau, mengutip hasil hutan dan bercucuk tanam dengan membuka kebun-kebun baharu di dalam kawasan HSK.   

Mustafar berkata, SPRM telah membentangkan tindakan dan hasil penemuan awal ini kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Beliau berkata, SPRM juga akan membawa syor dan cadangan ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus Kebangsaan pada 25 November ini. 

Ini memandangkan isu sedemikian juga diyakini berlaku di tempat-tempat lain dan seterusnya mengelakkan masalah sama berlaku sehingga mengakibatkan pelbagai bencana alam dan persekitaran, masalah sosial dan ekonomi, kata beliau. 

Pekerja Indonesia ratapi kematian rakan mereka di Hong Kong

HONG KONG: Kira-kira 200 pekerja Indonesia berjaga sepanjang malam untuk meratapi kematian dua wanita rakyat negara itu yang dibunuh dengan kejam oleh seorang pengurus bank di Hong Kong.
Pesanan dari saudara mara dan sahabat kepada dua mangsa itu - Sumarti Ningsih dan Seneng Mujiahsih dibaca pada majlis itu di Victoria Park di sini.
Peserta turut memberi sumbangan kepada keluarga mangsa di Indonesia dan menyanyikan lagu serta berdoa sebagai memperingati kematian mangsa.
"Saya berharap pembunuh itu akan dihukum dan merasakan apa yang sepupu saya alami," kata salah seorang wanita yang mendakwa saudara kepada Ningsih pada majlis itu.
Pengurus bank rakyat Britain, Rurik Jutting didakwa membunuh dua wanita Indonesia itu selepas mayat mereka ditemui dalam pangsapuri mewah.
Salah satu mayat itu ditemui sudah reput dalam sebuah beg pakaian. - AFP

Dua juta rakyat Catalonia mengundi tidak rasmi untuk berpisah daripada Sepanyol

BARCELONA: Kira-kira 1.6 juta orang menyatakan persetujuan bagi pemisahan Catalonia daripada Sepanyol dalam pengundian tidak rasmi atau 'mock poll' yang dijalankan semalam.
Bagaimanapun ramai penduduk Catalonia tidak keluar mengundi kerana kesahihan pengundian itu yang dipertikaikan atau bantahan mereka terhadap pemisahan Catalonia daripada Sepanyol.
Keputusan yang diumumkan awal hari ini menunjukkan daripada 88 peratus undi yang dikira, lebih dua juta mengundi dan 1.6 juta bersetuju membentuk sebuah negara baharu yang terpisah daripada Kesatuan Eropah (EU) dan terpaksa memohon keanggotaan.
Keseluruhannya 5.4 juta orang layak mengundi, yang bermakna ramai yang enggan mengambil bahagian kerana bimbang mengenai kesahihannya.
Ahli Parlimen Catalonia memutuskan untuk mengadakan pengundian tidak rasmi berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menggantungnya selepas kerajaan mencabarnya sebagai tidak sah dari segi perlembagaan.
Mahkamah menggantung pengundian tidak rasmi itu pada hari sama atas alasan sama Selasa lalu.
Kerajaan tempatan Catalonia bagaimanapun mengingkari penggantungan itu dan meneruskan pengundian dengan bantuan 40,000 anggota suka rela.
"Walaupun terdapat banyak masalah, kami masih boleh melaksanakan pengundian itu" kata Presiden Catalonia, Artur Mas selepas memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi di sebuah sekolah di Barcelona.
Tambahnya, pengundian itu adalah simbolik. Ia mungkin akan menjurus kepada pilihan raya serantau yang akan menjadi pengundian untuk pemisahan.
"Kami minta dunia bantu kami untuk meyakinkan institusi di Sepanyol bahawa Catalonia patut diberikan peluang untuk mengundi bagi menentukan masa depannya," kata Mas. - AP

Selepas 2 bulan, Khalid Ibrahim kembali dengan NGO bersama PAS


OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Published: 9 November 2014
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 November, 2014.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 November, 2014.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 November, 2014.
Selepas dua bulan menghilang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka bakal menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Taski, bersempena namanya dengan bantuan PAS di kawasan Bandar Tun Razak bagi melaksanakan program "Sajian Rakyat" yang dirancangnya.

Perkara itu disahkan kepada The Malaysian Insider oleh individu yang terlibat secara langsung dalam mesyuarat antara ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bersama PAS yang dijalankan minggu lalu Taman Jaya, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur berhubung penubuhan NGO tersebut.


"Khalid akan bergerak menggunakan NGO dan beliau meminta bantuan PAS Bandar Tun Razak untuk melaksanakannya," kata Roslan Baharom (gambar), 59, kepada The Malaysian Insider.



Roslan yang ditemui ketika tinjauan di kawasan Parlimen yang dimenangi Khalid dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu berkata, PAS Wilayah Persekutuan turut memberikan kebenaran cawangan parti Islam dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membantu Khalid.
Roslan, yang merupakan wakil masyarakat dari Zon C di Bandar Tun Razak berkata, tindakan PAS dan Khalid bergerak atas nama NGO itu bertujuan bagi mengelakkan berlakunya krisis antara PKR dan PAS, selepas Khalid dipecat sebagai anggota PKR pada 9 Ogos lalu.

"Kita bergerak menggunakan nama NGO, bukan mewakili parti," kata pesara kakitangan awam itu.

Beliau berkata, antara rancangan Taski adalah menganjurkan Sajian Rakyat seminggu sekali dengan peruntukan sebanyak RM5,000 yang diperuntukkan Khalid untuk setiap program.

"Kita belum membuat keputusan. Kalau seminggu sekali kami tidak sanggup, kami ada program sendiri juga," kata Roslan.

"Tetapi itu peruntukan daripada Khalid sendiri," katanya.

Lokasi pertama Sajian Rakyat juga katanya dijangka akan dilakukan di kawasan perumahan  Flat Paya Permai.

"Mesyuarat sudah dijalankan beberapa kali dan saya sendiri hadir dalam mesyuarat penubuhan NGO itu," katanya.

Turut difahamkan, Taski bakal digerakkan 15 individu yang pernah bekerja bersama-sama Khalid ketika beliau menjadi menteri besar Selangor sebelum ini.

Mereka termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Faekah Husin, yang kini merupakan pegawai khas Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Faekah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata Khalid masih lagi ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu.

Khalid dipecat sebagai ahli PKR apabila enggan melepaskan jawatan menteri besar Selangor, apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin menggantikan beliau dengan isterinya, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Krisis berkenaan turut memberi kesan kepada hubungan PAS dengan PKR dan DAP apabila parti Islam itu enggan mencalonkan Dr Wan Azizah sedangkan PKR dan DAP bersepakat menamakan beliau sebagai calon tunggal.

PAS sebaliknya menurut titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengkehendaki PR menghantar lebih daripada dua nama untuk baginda pertimbangkan sebagai menteri besar bagi menggantikan Khalid.

Krisis berkenaan tamat apabila Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR dilantik menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

"Beliau (Khalid) juga dijangka bakal membuka pusat khidmat rakyat tidak lama lagi di Bandar Tun Razak," kata Roslan.

Faekah dilaporkan berkata, Sajian Rakyat akan bermula minggu hadapan sebagai usaha Khalid mendekati komuniti dan rakyat di kawasannya dan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Malah, Faekah juga menolak khabar angin yang mengatakan Khalid akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak. – 9 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selepas-2-bulan-khalid-ibrahim-kembali-dengan-ngo-bersama-pas#sthash.8bKCg6Ga.xOsi49YK.dpuf

Pancaroba

Kubu pemisah Ukraine digempur


10 November 2014
KIEV - UKRAINE. Kubu kumpulan pemisah Ukraine digempur sehingga mencetuskan pertempuran sengit untuk pertama kali sejak perjanjian gencatan senjata ditandatangani pada September lalu.

AFP melaporkan insiden berbalas tembakan itu berlarutan selama beberapa jam pada awal pagi semalam.

Kelmarin, Pertubuhan Keselamatan Dan Kerjasama Eropah (OSCE) turut menyuarakan kebimbangan selepas kumpulan pemantau mereka melihat pasukan tentera bersama jentera berat bergerak menuju ke timur Ukraine yang ketika ini dikuasai pemisah pro-Rusia.  Laporan OSCE itu dikeluarkan sehari selepas tentera Ukraine mendakwa Rusia menghantar aset ketenteraan ke wilayah bergolak terbabit.

Operasi lampu strobe, HID, nombor plat dinilai semula


KEMAMAN 8 Nov. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menilai semula keberkesanan operasi khas yang dilancarkan sejak 1 November lepas bagi membanteras penggunaan lampu strobe, lampu HID dan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata penilaian terperinci sama ada operasi berkenaan diteruskan atau dihentikan akan diputuskan selepas operasi sebulan itu berakhir 30 November ini.
Dalam tempoh seminggu operasi itu, sebanyak 5,515 saman telah dikeluarkan terhadap tiga kesalahan itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, operasi bersepadu itu bukan untuk mencari kesalahan pengguna dan penguatkuasaan semata-mata malah ia lebih kepada mendidik pemandu mematuhi peraturan ketika berada di jalan raya.
Operasi itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Darat Awam (SPAD).
Ismail berkata, JPJ meneruskan penguatkuasaan dengan cara mendidik merupakan satu inisiatif untuk mengurangkan kadar kemalangan maut.
Beliau berkata, pihaknya menjangka sebanyak 10,716 nyawa akan melayang di atas jalan raya akibat kemalangan menjelang 2020.
“Jadi kita meneruskan penguatkuasaan dengan cara mendidik agar jumlah kematian itu dapat dikurangkan kepada angka 5,358 orang setahun dalam tempoh yang sama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan pengguna membuat pemeriksaan dan menyemak semula status kenderaan yang ditawarkan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.
“Jika pengguna merasa curiga dengan kenderaan yang dibeli (murah), boleh melakukan semakan kerana kita bimbang mungkin kereta itu dicuri atau kereta klon sehingga menyebabkan kerugian yang besar kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata JPJ telah mengesan sebanyak 20 kenderaan klon dari tahun 2010 hingga 2013.
Beliau juga berkata mangsa bencana banjir atau tanah runtuh yang kehilangan dokumen seperti geran kereta atau lesen memandu boleh mendapatkan kembali dokumen berkenaan secara percuma di pejabat JPJ berdekatan.- BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/operasi-lampu-strobe-hid-nombor-plat-dinilai-semula-1.22512#sthash.HWImonvm.dpuf

Keputusan Mahkamah Rayuan mengejutkan, luar biasa


PUTRAJAYA 9 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes lelaki Islam yang berpakaian wanita di tempat awam, adalah mengejutkan dan luar biasa.
Menurut beliau, keputusan tersebut bagaimanapun perlu dihormati dan terserah kepada Peguam Negara, majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya termasuk mengemukakan rayuan.
“Ini satu keputusan yang mengejutkan dan luar biasa dan saya ada membaca pendapat pihak pimpinan agama Islam seperti mufti dan peguam muslim yang melahirkan rasa hairan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan kelmarin memutuskan bahawa Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/keputusan-mahkamah-rayuan-mengejutkan-luar-biasa-1.23009#sthash.kYrrL80D.dpuf

9 mayat nahas MH17 masih belum ditemui


Keadaan pesawat MH17 yang terhempas selepas ditembak jatuh di
Keadaan pesawat MH17 yang terhempas selepas ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu. – AGENSI
KHARKIV, Ukraine 9 Nov – Sembilan daripada 298 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysian Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine masih belum dijumpai, kata Menteri Luar Belanda, Bert Koender.
Katanya, pasukan penyiasat masih berharap untuk mengesan baki mayat mangsa pesawat itu, namun masih tidak jelas bilakah usaha itu dapat dilakukan berikutan keadaan yang tidak menentu di tempat nahas.
Pasukan penyiasat bertungkus-lumus untuk mendapatkan akses ke lokasi nahas, berikutan pertempuran antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine masih berterusan di kawasan berhampiran lokasi nahas, lapor portal be­rita,
Beliau berkata demikian selepas satu majlis penghantaran lima keranda mayat nahas pesawat itu ke Belanda di Kharkiv, hari ini.
Koender berkata, beberapa orang pakar dari luar telah dihantar untuk melakukan proses mengenal pasti mayat dan akan melakukan apa sahaja yang mereka mampu untuk mencari saki-baki mayat mangsa.
“Kami tidak boleh memberitahu apa-apa pada waktu ini.... walaupun jika kami dapat mencari sembilan baki mayat mangsa ... tetapi kami akan lakukan apa sahaja yang termampu dengan kerjasama pihak berkuasa di sini bagi memastikan ia boleh dilaksanakan,” katanya yang dipetik AFP.
Siasatan awal di lokasi nahas ditangguhkan pada Ogos lalu berikutan pertempuran sengit di lokasi nahas.
Siasatan itu disambung semula pada September lalu selepas satu perjanjian gencatan senjata ditandatangani antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine dengan pasukan pakar menjalankan siasatan di empat kawasan di lokasi nahas.
Satu laporan yang dikeluarkan pada September lalu oleh para penyiasat dari Belanda mendapati MH17 terkena tembakan beberapa objek kuat.
Laporan itu tidak menuduh sesiapa yang bertanggungjawab, namun dipercayai pesawat itu telah ditembak oleh peluru berpandu darat ke udara dari satu kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia.
Namun, pegawai Rusia menafikan tuduhan itu, sebaliknya menuduh jet pejuang Ukraine bertanggungjawab melakukannya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/9-mayat-nahas-mh17-masih-belum-ditemui-1.22808#sthash.8jFXshau.dpuf

Pemimpin Hong Kong enggan beralah


Gambar bertarikh 28 Oktober lalu merakamkan sekumpulan pelajar
Gambar bertarikh 28 Oktober lalu merakamkan sekumpulan pelajar memegang payung sebagai tanda sebulan mengadakan bantahan di jalanan di daerah Mongkok, Hong Kong.
HONG KONG 9 Nov. – Pemimpin utama Hong Kong berkata, pemimpin Parti Komunis di Beijing tidak akan menyerahkan demokrasi kepada kumpulan pelajar, lapor media tempatan, hari ini.
Khamis lalu, seorang pemimpin penunjuk perasaan Hong Kong, yang mengadakan sekatan jalan raya di bandar ini selama beberapa minggu, menggesa supaya menghormati perantara seperti bekas pemimpin, Tung Chee-hwa yang membantu mengatur perjumpaan di Beijing.
“Tung menyatakan kerajaan pusat memahami perbezaan pandangan di Hong Kong.
“Keputusan Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) pada 31 Ogos lalu tetap tidak berubah,” kata seorang jurucakap kepada akhbar South China Morning Post.
China memerintah bekas tanah jajahan British itu sejak 1997 menerusi formula ‘satu negara, dua sistem’ yang memberi kuasa autonomi meluas dan kebebasan yang tidak dapat dilaksanakan di tanah besar dan menentukan hak mengundi sebagai matlamat utama.
Bagaimanapun, NPC pada Ogos lalu menyatakan akan menapis senarai calon yang mahu menyertai pilihan raya untuk jawatan Ketua Eksekutif pada 2017, dengan aktivis demokrasi menyatakan dasar itu tidak membawa sebarang makna kepada demokrasi.
Penunjuk perasaan yang diketuai kumpulan pelajar menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan kerana tidak mahu berunding dan berharap menghantar delegasi ke Beijing.
Tung merupakan Naib Penge­rusi Persidangan Politik Rakyat China (CPPCC).
CPPCC merupakan badan berprofil tinggi yang juga badan penasihat kepada NPC, Parlimen China.
Tung, yang merupakan bekas seorang jutawan perkapalan yang dilahirkan di Shanghai dipilih untuk memerintah Hong Kong selepas penjajahan British ke atas Hong Kong selama 150 tahun berakhir. - REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemimpin-hong-kong-enggan-beralah-1.22814#sthash.ioSyKUbQ.dpuf

Wilayah Donestk kembali bergolak


dua orang pemberontak pro-Rusia berkawal di sebatang jalan raya
dua orang pemberontak pro-Rusia berkawal di sebatang jalan raya selepas kubu kuat mereka di Donetsk di timur Ukraine, digegarkan dengan letupan bom. – AGENSI
DONETSK 9 Nov. - Letupan kembali menggegarkan kubu kuat pemberontak pro-Rusia di Donetsk di timur Ukraine, ketika kumpulan pemberontak itu cuba mengukuhkan kedudukan mereka di barisan hadapan ekoran kebimbangan pertempuran besar-besaran dengan Kiev berlaku semula.
Wartawan AFP melaporkan kejadian terbaharu itu berlaku di pinggir Donetsk, di mana tentera kerajaan bertempur dengan kumpulan pemberontak, namun tidak seteruk pertempuran melibatkan serangan mortar di pusat bandar itu selama dua jam pada kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Kejadian itu merupakan pertempuran paling sengit berlaku sejak gencatan senjata ditandatangni pada September lalu.
Wartawan AFP menyaksikan satu konvoi terdiri daripada 20 kenderaan tentera tanpa nombor pendaftaran dan 14 meriam howitzer bergerak dari bandar Makiivka ke arah barisan depan sekitar Donetsk.
Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), semalam melahirkan kebimbangan selepas pemantaunya menyaksikan sejumlah kereta kebal dan kenderaan tentera bergerak menuju timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemberontak tersebut.
Laporan OSCE itu dikeluarkan sehari selepas tentera Ukraine menyatakan sejumlah besar kenderaan tentera dan senjata berat lain memasuki negara ini dari Rusia melalui sempadan yang dikuasai pemberontak.
Rusia menafikan penglibatannya dalam pertempuran di timur Ukraine. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wilayah-donestk-kembali-bergolak-1.22812#sthash.MQyLb7ky.dpuf