Thursday, January 13, 2011

Tebing jalan terhakis




SUNGAI JERNIH - Penduduk di sini, melahirkan rasa bimbang apabila tebing jalan berhampiran sungai terhakis dan dikhuatiri membahayakan mereka. 

Ketua Kampung Sungai Jernih, Jamaluddin Mat Isa berkata, keadaan tebing jalan di Kampung Sungai Jernih itu mampu mengancam keselamatan penduduk jika tidak ditangani segera. 

Menurutnya, perkara itu telahpun dibangkitkan kepada pihak berkenaan, tetapi hingga ke hari ini tiada tindakan diambil. 

“Saya berharap perkara itu dipandang serius oleh pihak berkenaan supaya tiada kes kemalangan berlaku melibatkan penduduk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin berkata, beliau telah meninjau ke kawasan itu untuk melihat keadaan jalan tersebut. 

Menurutnya, beliau terkejut melihat keadaan tebing jalan itu kerana mampu mengancam keselamatan penduduk yang melaluinya. 

"Lebih kurang 1- 1.5 meter tanah dihakis arus deras sungai berhampiran dan ini mengancam keselamatan kediaman yang terletak tidak jauh dari situ. 

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera demi keselamatan penduduk kampung," katanya.

Harimau Malaya dapat RM65,000


Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2011/01/13

  NAJIB   bersama pemain kebangsaan, Mohd Shafiq Rahim mengangkat piala ketika meraikan juara Piala AFF Suzuki pada majlis Ramah Mesra, di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. Turut hadir  Tengku Abdullah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal.
NAJIB bersama pemain kebangsaan, Mohd Shafiq Rahim mengangkat piala ketika meraikan juara Piala AFF Suzuki pada majlis Ramah Mesra, di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. Turut hadir Tengku Abdullah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal.
Kerajaan taja latihan pemain dengan kelab ternama 

PUTRAJAYA: Kejayaan pasukan Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu terus diraikan apabila semalam kerajaan mengumumkan insentif saham amanah serta wang tunai berjumlah RM65,000 kepada setiap pemain dan jurulatih.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata setiap pemain dan jurulatih akan menerima unit Amanah Saham Wawasan 2020 bernilai RM50,000 yang tidak boleh dikeluarkan sehingga tempoh 10 tahun.
Mereka juga akan menerima insentif khas daripada kerajaan sebanyak RM10,000 seorang dan Skim Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara RM5,000. 

“Kerajaan juga akan menaja latihan pemain dengan kelab ternama sebagai persiapan masa depan sukan bola sepak negara,” katanya ketika meraikan pasukan itu pada majlis makan tengah hari di Seri Perdana. 

Bagaimanapun Perdana Menteri berharap kejayaan itu bukan bersifat sementara, sebaliknya dijadikan batu loncatan untuk Malaysia menempa dua lagi kejayaan pada waktu terdekat iaitu kelayakan ke Sukan Olimpik London tahun depan dan kelayakan Piala Asia pada 2015. 

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta jemaah menteri. 
Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki buat julung kalinya menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 selepas menang 3-0 di Bukit Jalil dan kalah 2-1 di Jakarta. 

Najib berkata, perjuangan dan kejayaan pasukan Malaysia merangkul Piala AFF Suzuki itu juga mencetuskan semangat patriotik di kalangan rakyat menyebabkan "tidak ada kejayaan lain yang boleh dianggap setanding dengan peristiwa kita menjulang Piala AFF Suzuki". 

Katanya, kejohanan Piala AFF Suzuki juga mencatat sejarah peribadi kepadanya apabila bersama-sama peminat menonton perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam di atas jalan raya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

“Apabila menang hari itu, rasa macam hendak menitis air mata," katanya yang mengakui terpegun dengan gol jaringan Malaysia pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil. 

Dalam konteks keseluruhan rakyat, katanya, semangat juang pasukan negara itu boleh dijadikan contoh bahawa untuk berjaya bukan saja perlu memiliki kemahiran tetapi juga kemahuan dan membentuk pemikiran serta keyakinan untuk mengatasi cabaran. 

“(Kejayaan) membuktikan pemain mempunyai kekuatan minda dan kuasa permainan yang luar biasa. Selain memerlukan kemahiran dan teknik, kita berbangga dengan daya juang dan kekuatan mental mereka," katanya. 

Selain insentif daripada kerajaan, pemain juga menerima habuan daripada kerajaan negeri masing-masing sebelum ini. 

INFO: Pecahan insentif Piala Suzuki AFF 

Kerajaan 
RM50,000 unit Amanah Saham Wawasan setiap seorang 
RM10,000 insentif setiap seorang 
Skim Hadiah Kemenangan 
Majlis Sukan Negara (MSN) - RM5,000 setiap seorang 

Negeri 
Kedah - RM5,000 (Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Khairul Helmi Johari, Mohd Sabre Mat Abu, Mohammad Faizal Abu Bakar, Amar Rohidan) 
Terengganu - RM5,000 (Mohd Sharbini Alawee Ramli, Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Muslim Ahmad, Izzat Faris Ramlan, Mohd Faizal Mohamad, Norshahrul Idlan Talaha) dan satu lot tanah seorang 
Perlis (Yayasan Pok & Kassim) - RM5,000 (Amar Rohidan) 
Kelantan - Rumah (Khairul Fahmi Che Mat) 
Perak - RM10,000 (Mohd Safee Sali) 
- RM5,000 (Mohd Sabre Mat Abu, Mohamad Fadli Mohd Shas) 

Pendidikan seks di kem PLKN



TIKI (bertopi) bergambar bersama para pelatih ketika mengadakan lawatan kerja ke Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka semalam.


MELAKA – Modul pendidikan seks atau Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) memerlukan lebih masa sebelum dapat diterapkan ke dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, pihaknya perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak berhubung perkara itu walaupun pada dasarnya MLKN sudah memutuskan menerima cadangan berkenaan.
Menurutnya, adalah perlu bagi masyarakat diberi kefahaman yang jelas tentang modul PKRS sebelum ia diperkenalkan di kem PLKN kelak.
“Masih ada sebahagian masyarakat yang melihat pelaksanaan modul PKRS ini tidak sesuai dan oleh itu kita harus memberi pemahaman kepada umum bahawa modul ini tidak semata-mata mengenai seks tetapi lebih kepada aspek kesihatan tubuh badan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh di sini semalam.

Aman Shah didenda RM3,000


PUTRAJAYA - Setelah lama menyepi daripada dunia hiburan, nama Aman Shah kembali menjadi sebutan namun kali ini penyanyi terkenal era 1980-an itu berhadapan hukuman denda RM3,000 setelah mengaku berkhalwat dengan seorang ibu tunggal tahun lalu.
Selain Aman Shah, turut menerima hukuman serupa ialah pasangannya, Rohana Awang yang mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Semasa kejadian Aman Shah masih mempunyai isteri manakala Rohana pula merupakan penjawat awam yang mempunyai dua orang anak.
Pasangan yang masing-masing tidak diwakili peguam kelihatan tenang selepas mendengar hukuman tersebut.

4 beradik lahir tanpa identiti



(DARI kiri) Nur Ayuni Layla Witra; Mohd. Akmal; Mohd. Amirul dan Nur Alia Maisara sukar meneruskan kehidupan kerana tidak memiliki sijil kelahiran.


AMPANG - Akibat perkahwinan tidak diiktiraf gara-gara menggunakan sindiket nikah, empat daripada lima anak kepada seorang bekas pengawal keselamatan di sini terpaksa hidup tanpa mempunyai dokumen pengenalan diri.
Ibunya, Duanah Abdul Latif, 38, berkata, lebih malang, bagi mengelak perkara yang sama berulang anak kelima mereka, Nur Arishah Natalia, 6, terpaksa berbinkan Abdullah bagi mendapatkan sijil kelahiran dan tidak menerima nasib seperti abang dan kakaknya yang lain.
Duanah yang berasal dari Tawau memberitahu, permasalahan itu timbul apabila dia dan suaminya bernikah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada tahun 1998.
Katanya, sindiket itu menjelaskan akan menguruskan segala urusan dalam mendapatkan surat pendaftaran pernikahan namun ternyata ia mengecewakan.