Bapa Barakat, Namee Barakat (tengah) ditenteramkan anak perempuannya Suzanne Barakat semasa mendengar doa selepas pengebumian anak lelakinya.
Bapa Barakat, Namee Barakat (tengah) ditenteramkan anak perempuannya Suzanne Barakat semasa mendengar doa selepas pengebumian anak lelakinya.
CAROLINA UTARA - AMERIKA SYARIKAT . Media Amerika Syarikat (AS) diselar kerana gagal memberi liputan sepenuhnya terhadap kes pembunuhan tiga pelajar Islam di Carolina Utara di negara itu.

Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya Yusor Mohammad Abu-Salha, 21, dan adik perempuan Razan Mohammad Abu-Salha, 19, terbunuh selepas ditembak di kepala oleh lelaki bersenjata di apartmen mereka berhampiran Universiti Carolina Utara.

Pengarah Undang-Undang Jawatankuasa Anti-Diskriminasi Amerika-Arab (ADC), Abed Ayoub menyifatkan liputan media sebagai senyap atau didakwa diubah berdasarkan agama mangsa.

Katanya, reaksi media AS akan jauh berbeza jika si pelaku adalah beragama Islam.

"Negara ini perlu jelas bahawa tindakan keganasan tidak terhad kepada satu agama atau etnik. Islamofobia perlu dihentikan dan kami ingin media memberi lebih perhatian serta membuat liputan kes ini bagi menunjukkan kebencian terhadap jenayah," menurutnya.

Ayoub berkata, industri filem dan penganalisis sayap kanan perlu bertanggung jawab terhadap fenomena islamofobia yang semakin meningkat hari ini. - Press TV