Thursday, August 5, 2010

Diskaun jika segera bayar saman ekor

KUALA LUMPUR: Sesiapa yang disaman sama ada ekor atau lain-lain saman lalu lintas akan diberi diskaun kompaun jika membayarnya dengan cepat dan sekiranya melengahkan saman, nilainya akan terus meningkat sehinggalah ke peringkat mahkamah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, langkah terbabit adalah antara cadangan dibuat pihaknya berhubung penyelesaian masalah saman trafik termasuklah saman ekor.

Zaid gagal batalkan kemenangan BN di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR: Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada April lalu, hari ini gagal mendapatkan pengisytiharan mahkamah supaya keputusan pilihan raya itu terbatal dan tidak sah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, memutuskan untuk membenarkan permohonan anggota Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan daripada Barisan Nasional, untuk membatalkan petisyen yang difailkan Zaid.
Zaid, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan, memfailkan petisyen itu pada 24 Mei lalu, dengan menamakan Kamalanathan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Parlimen Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Zaid, yang tewas pada pilihan raya 25 April itu dengan majoriti 1,725 undi kepada Kamalanathan, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu batal dan tidak sah kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi.-Bernama

PDRM cadang kompaun saman ekor mampu bayar



05/08/2010 8:44pm

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan cadangan agar kerajaan menetapkan kadar kompaun saman ekor yang mampu dibayar pesalah trafik berikutan pelbagai rungutan di kalangan orang ramai berhubung kadar saman itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, bagaimanapun, setiap kadar saman bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
"Saya telah kemukakan cadangan di peringkat tertinggi agar saman yang dikeluarkan selepas ini mampu dibayar oleh pesalah trafik.
"Kemungkinan saman itu akan dikurangkan, namun ia bergantung kepada jenis kesalahan trafik. Perkara ini juga masih di peringkat kajian dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat PDRM 2010 di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, kadar kompaun saman itu juga akan diselaraskan antara dua agensi, iaitu PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Musa berkata, antara cadangan lain yang dikemukakan ialah melanjutkan tempoh pembayaran saman serta mengkhususkan badan pengeluar nombor pendaftaran untuk setiap kenderaan.
"Dalam cadangan itu juga, kita minta agar tempoh pembayaran saman dipanjangkan. Maknanya, kalau sekarang pesalah trafik diberi tempoh dua minggu bagi melangsaikan saman, kita panjangkan tempoh itu untuk memudahkan mereka.
"Pengeluaran nombor pendaftaran kenderaan juga perlu diberi pada satu pihak sahaja... kalau JPJ yang diberi kuasa, maka JPJ yang berhak keluarkan, bukan kedai-kedai (kereta) seperti sekarang. Ini yang menyebabkan banyak nombor (pendaftaran) palsu yang keluar,” katanya.
Mengulas mengenai saman ekor yang sepatutnya dihentikan pula, Musa berkata polis hanya mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. - Bernama

Boleh kahwin muda



LOJING - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu kajian mendalam sebelum memberi kelulusan untuk membenarkan pelajar sekolah berkahwin awal. 

Menurutnya, Islam tidak melarang umatnya berkahwin awal, malah Nabi Muhammad SAW menggalakkannya tetapi bukan kerana bersifat nafsu semata-mata yang akhirnya menyebabkan berlakunya penceraian. 

“Dalam Islam berkahwina tiada had umur asalkan cukup syaratnya, tetapi jika berlaku perkahwinan (terlalu) muda saya bimbang jika mereka tidak mampu menguruskan rumah tangga dengan baik sehingga berlakunya perpisahan,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak perasmian Jajahan Kecil Lojing, di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Majlis Agama Negeri Melaka (Maim) dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki di bawah umur 18 tahun dan bawah 16 bagi pelajar perempuan. 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam sebelum ini dilaporkan berkata, prosedur permohonan bernikah bagi pelajar terbabit masih dikekalkan iaitu perlu dibuat melalui Mahkamah Syariah untuk memudahkan mereka bernikah jika mendapat persetujuan ibu bapa masing-masing. 

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, perkahwinan awal usia sudah menjadi lumrah di kampung, namun ia tidak menjadi bermasalah besar seperti kes penceraian kerana suasana setempat tidak mempunyai unsur luar yang boleh merosakkan rumah tangga. 

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan negeri pimpinannya bersedia mengkaji kesesuaian pelaksanaan undang-undang yang dibuat oleh Melaka itu. 

“Kita tidak mahu orang kahwin kerana suka-suka saja, ia benda besar, tetapi bagi saya benda ini di kampung sudah lama berlaku dan tidak banyak pasangan yang bermasalah sepertimana di bandar kita akan kaji benda ini," katanya.

Lepas ini Sekolah pelajar hamil dilanjutkan keperingkat internasional


Sekolah pelajar hamil patut di peringkat nasional 

PAPAR - Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, konsep sekolah khas untuk pelajar hamil yang dicadangkan oleh Kerajaan Melaka harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat kebangsaan. 

Beliau berkata, remaja seperti ini seharusnya diberi peluang kedua supaya negara tidak kehilangan generasi yang berpotensi untuk menjadi berguna dan menyumbang kepada pembangunan negara nanti. 

“Kita harus terbuka kepada hal ini, ada berlaku gejala sosial seperti ini dan satu usaha kita dalam memberi ruang kepada mereka, ialah mewujudkan institusi yang tersendiri supaya mereka boleh meneruskan pembelajaran. 

“Mereka ini masih boleh kita didik dan berikan pendedahan supaya mereka menjadi satu golongan yang boleh menyumbang kembali kepada negara. Kita seharusnya ambil cadangan Melaka ini dan diadaptasi di peringkat nasional supaya setiap negeri ada sekolah (sedemikian),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ihya Ramadan dan penyerahan wang zakat serta penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Papar, di sini, semalam. - Bernama

Malaysia tidak akan tunduk desakan kes liwat Anwar - TPM



05/08/2010 6:26pm

SUNGAI SIPUT 5 Ogos - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia tidak akan tunduk terhadap campur tangan dan desakan mana-mana pihak atau negara luar berhubung kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, gesaan itu merupakan satu tindakan sia-sia serta menunjukkan Anwar seorang yang terdesak sehingga menggunakan ”talian hayat” dan sentiasa bersubahat dengan rakan-rakan luarnya demi kepentingannya.
"Sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar sepatutnya tahu tetapi soal yang berbangkit menunjukkan apakah dia begitu ”desperate” (terdesak) sehingga meminta tolong dan ”talian hayat” daripada orang Amerika dan kawan baiknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agrofest Perak 2010 di Ladang Infoternak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas naib presiden Amerika Syarikat, Al Gore dan bekas presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz dalam akhbar Asian Wall Street Journal yang mahu kerajaan Amerika campur tangan dalam kes liwat Anwar yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Bernama

TUDM cari tapak baru ganti Pangkalan Sungai Besi



05/08/2010 5:11pm

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang mengenal pasti beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan pangkalan baru bagi menggantikan pangkalan sedia ada di Sungai Besi.
Timbalan Panglima TUDM, Lt. Jen Datuk Shahron Ibrahim berkata, TUDM dan Kementerian Pertahanan masih mengkaji lokasi strategik yang bersesuaian sebelum membuat keputusan untuk memindahkan pangkalan Sungai Besi ke lokasi baru.
"Kita telah meninjau beberapa lokasi, namun keputusan belum boleh ditetapkan kerana proses ini memerlukan perancangan dan kajian rapi. Kita masih mencari lokasi yang pastinya mesti strategik dan sesuai sebagai pangkalan logistik,” katanya kepada pemberita selepas pada majlis penyampaian anugerah khidmat cemerlang 153 pegawai dan anggota TUDM di Pangkalan Sungai Besi hari ini.
Shahron berkata, Pangkalan Sungai Besi tidak akan ditutup tahun ini tetapi lokasi baru itu perlu ditetapkan tahun ini kerana proses membangunkan sebuah pangkalan mengambil masa kira-kira tiga tahun.
Selain itu, proses memindahkan Pusat Operasi Tentera Udara serta inventori dan sistem pertahanan tidak mudah dilaksanakan kerana memerlukan perancangan rapi dan perpindahan secara berperingkat-peringkat, katanya. - Bernama

Peguam nak bawa saksi baru kes curi enjin jet



05/08/2010 6:48pm

SHAH ALAM 5 Ogos - Mahkamah Tinggi Shah hari ini menetapkan 25 Ogos ini untuk mendengar permohonan seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membatalkan pertuduhan mencuri dua enjin jet F5 terhadapnya pada Disember 2007.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pembelaan memaklumkan bahawa seorang saksi baru akan dikemukakan semasa kes prosiding itu.
Peguam N. Surendran, yang mewakili Sarjan N. Tharmendran, memberitahu mahkamah bahawa kes itu membabitkan dakwaan serius bahawa pemohon (Tharmendran) diseksa oleh pegawai TUDM.
"Jangan beritahu saya apa-apa... failkan afidavit terlebih dahulu,” kata Asmabi.
Katanya Surendran perlu memfailkan afidavit tambahan berhubung penemuan saksi baru itu secepat mungkin kerana beliau perlu membacanya terlebih dahulu manakala pihak pendakwaan memerlukan masa untuk membalas.
Sementara itu di luar mahkamah, Surendran memberitahu pemberita bahawa saksi baru itu akan memberi keterangan bahawa penderaan fizikal memang berlaku dari masa ke semasa siasatan dijalankan oleh pihak TUDM.
Katanya, saksi itu pernah menyaksikan sendiri bagaimana tahanan tentera didera secara fizikal pada masa yang hampir sama dengan Tharmendran.
Sebelum ini, Tharmendran mendakwa pasukan penyiasat TUDM telah menderanya secara fizikal bagi mendapatkan pengakuan bersalah daripadanya. - Bernama

163 maut kemalangan di Terengganu 6 bulan pertama 2010



05/08/2010 5:12pm

KUALA TERENGGANU - Seramai 183 orang maut dalam kemalangan jalan raya di negeri ini dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Berdasarkan statistik itu, secara purata setiap hari berlaku satu kematian akibat kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, angka itu menggambarkan satu keadaan yang membimbangkan.
Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini, beliau berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terutama pada musim perayaan ini.
Mengenai jenayah indeks di Terengganu, Mohd. Shukri berkata, sebanyak 2,486 kes jenayah dilapor dalam tempoh Januari hingga Julai lepas berbanding 3,361 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Jumlah kes yang dilapor itu menunjukkan penurunan sebanyak 26.03 peratus dan daripada jumlah kes yang dilapor itu, sebanyak 1,287 kes berjaya diselesaikan, katanya. - Bernama

Buaya muara Sungai Linggi kebal




BERITA penemuan bangkai buaya besar tidak mengejutkan orang ramai yang terus mengunjungi Pantai Teluk Kemang, Port Dickson semalam.


SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan tidak akan menangkap buaya-buaya di muara Sungai Linggi walaupun kehadiran reptilia itu boleh mengancam pengunjung pantai Port Dickson yang hanya berada dua kilometer dari situ.
Pengarahnya, Ishak Muhamad berkata, standard operasi jabatan itu ialah mereka hanya boleh menangkap buaya itu jika ia terlepas dari kawasan habitatnya di sungai tersebut dan masuk ke perairan Port Dickson.
“Kita tidak boleh tangkap buaya secara sembarangan di kawasan habitatnya sebab ada Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang melindungi buaya tembaga,’’ jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Seorang lagi maut kencing tikus




INILAH kawasan perkelahan Lata Bayu, Baling yang menyaksikan seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang maut akibat jangkitan air kencing tikus.


ALOR SETAR - Seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mati manakala empat yang lain disahkan positif bakteria Leptopirosisatau air kencing tikus di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Marzukhi Md. Isa berkata, mangsa yang berumur 30-an dikatakan terkena bakteria itu selepas berkelah di Lata Bayu, Baling dekat sini bersama dua lagi rakannya baru-baru ini.
Katanya, dua rakan mangsa yang positif bakteria terbabit kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
"Dua lagi yang turut dijangkiti ialah pengunjung yang berkelah di Taman Rekreasi Puncak Janing, Kuala Nerang dekat sini dan mereka sedang dirawat di Hospital Kuala Nerang," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tiada bukti arwah kahwin dengan Rohana




PUSAT andaman dan solekan milik Siti Rohana yang ditemui mati bersama Abdul Aziz di Sungai Buloh kelmarin.


SHAH ALAM – Anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Allahyarham Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh tidak tahu sejauh mana hubungan bapanya dengan pembantunya, Siti Rohana Ismat, 43.
Bagaimanapun, anak keduanya yang merupakan pensyarah di Universiti Industri Selangor (Unisel), Nor Azian, 37, berkata, mereka memang mengenali Siti Rohana sebagai pembantu bapanya.
Namun Nor Azian menegaskan, mereka sekeluarga tidak tahu jika Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang yang turut ditemui mati bersama bapanya itu adalah isteri kedua kepada Allahyarham sebagaimana desas-desus yang tersebar ketika ini.
“Saya tidak boleh jawab soalan itu kerana tidak tahu sama ada ia benar atau sebaliknya kerana tidak ada apa-apa bukti atau dokumen mengenai (status) mereka berdua.
“Jadi, saya minta maaf kerana tidak boleh mengesahkan atau menafikan dakwaan itu,” katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham bapanya di Jalan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Satu 9/6A, Seksyen 9 di sini semalam.

Hubungan mesra Aziz-Rohana




Rumah Siti Rohana di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang yang tiada penghuni semalam.


SHAH ALAM - Spekulasi perkahwinan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh dengan pembantunya, Siti Rohana Ismat didakwa hangat diperkatakan sejak setahun lalu.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Habibah Yusof berkata, kedua-dua mereka memang rapat, lebih-lebih lagi Siti Rohana menjadi orang kuat ketika Abdul Aziz bertanding pada pilihan raya umum pada tahun 2004.
Bagaimanapun, menurut Habibah, sejauh mana hubungan tersebut tidak diketahui kerana dia sendiri tidak pernah bertanya kepada Naib Ketua Wanita UMNO Tanjung Karang itu memandangkan ia adalah urusan peribadi masing-masing.
"Namun spekulasi perkahwinan itu memang hangat diperkatakan dalam tempoh setahun lalu tetapi saya tidak mahu tanya kerana Siti Rohana juga merupakan ibu tunggal sama seperti saya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zakat fitrah Pulau Pinang RM7



GEORGE TOWN - Kadar zakat fitrah di Pulau Pinang pada tahun ini ditetapkan RM7 seorang, sama seperti tahun lepas, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria.

Beliau berkata, kadar itu diputuskan pada mesyuarat MAIPP selepas mengambil kira harga beras di negeri ini.

"MAIPP menjangkakan dapat mengutip sebanyak RM4 juta zakat fitrah pada tahun ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, masyarakat Islam di negeri ini dinasihatkan membayar zakat fitrah kepada amil yang bertauliah.

Ancaman buaya



Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/08/05


PEKERJA ladang sering menjala  ikan di Sungai Kinabatangan walaupun mengetahui serangan budaya tembaga boleh berlaku secara tiba-tiba.
PEKERJA ladang sering menjala ikan di Sungai Kinabatangan walaupun mengetahui serangan budaya tembaga boleh berlaku secara tiba-tiba.

38 serangan babitkan 23 maut di tiga sungai


KOTA KINABALU: Walaupun kurang mendapat perhatian, konflik antara buaya dan manusia dilaporkan sudah lama berlaku di Sabah dan sepanjang 10 tahun lalu, Jabatan Hidupan Liar Sabah merekodkan 38 kes serangan reptilia itu dengan kebanyakannya berlaku di beberapa sungai di pantai timur negeri ini.
Antara lokasi utama ialah Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan, Sungai Silabukan dan Sungai Kalumpang.
Daripada 38 serangan dilaporkan, 23 kes menyebabkan kematian mangsa, manakala selebihnya mendatangkan kecederaan.

Sebagai usaha mengenal pasti puncanya, bengkel antarabangsa selama tiga hari mengenai konflik antara buaya dengan manusia diadakan di Sabah, baru-baru ini bagi menghasilkan resolusi yang boleh diguna pakai, selain melindungi spesies buaya tembaga di negeri ini.

Antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada perkara itu ialah pencemaran dan pembangunan yang mungkin menyebabkan gangguan terhadap sumber makanan serta habitat asal buaya, lantas menjadikan manusia sebagai pilihan terakhir.

Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pembukaan ladang secara besar-besaran menyebabkan hidupan liar di hutan seperti monyet terpaksa berpindah atau mati, seperti ikan di sungai terjejas dilanda pencemaran kesan pembangunan. 
"Apabila itu berlaku, buaya tidak mempunyai sumber makanan dan hidupan yang ada di tebing sungai atau ladang adalah manusia. Malah, kita mendapati kawasan ladang paling kerap berlaku serangan kerana buaya tidak mempunyai sumber makanan," katanya.

Sehubungan itu, strategi jangka panjang diperlukan bagi melindungi buaya supaya manusia tidak menjadi sasaran.

Tuuga berkata, faktor seperti pembersihan tanah di tebing sungai, penggunaan bahan kimia di ladang dan pembuangan sisa organik adalah antara punca kekurangan sumber makanan buaya, menyebabkan apa saja yang ada di tebing sungai menjadi habuan.

"Penduduk di luar bandar Sabah masih menggunakan sungai sebagai sumber utama mendapatkan air untuk mencuci, memasak, mandi dan menangkap ikan. Justeru, mereka berpotensi diserang buaya," katanya.

Populasi buaya tembaga di Sabah dianggar dalam 12,000 hingga 15,000 ekor ketika ini.

Reptilia itu dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Rekod Jabatan Hidupan Liar Sabah mendapati, kira-kira 200 buaya diburu setiap bulan di pantai timur negeri seabad lalu dengan kerajaan British memberi ganjaran sehingga 1932.

Kerancakan aktiviti memburu buaya berleluasa hingga kerajaan negeri mewujudkan perlindungan melalui undang-undang pada 1982 kerana bimbang hidupan itu diancam kepupusan.

Tuuga berkata, penduduk kampung yang masih menggunakan sungai sebagai sumber utama air perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa serangan buaya.

"Sebagai langkah pencegahan, kita mencadangkan kerajaan menyediakan bantuan air paip kepada penduduk kampung yang belum mendapat bekalan itu," katanya.

Pengerusi Kesatuan Antara Pemulihan Alam Semulajadi (IUCN) SSC Crocodile Specialist Group, Profesor Grahame Webb, mengakui cabaran besar dalam usaha memulihara buaya air masin yang saiznya boleh mencapai enam meter dan berat mencecah satu tan.

"Apabila populasi buaya berkurangan, langkah perlindungan perlu dilakukan tetapi ia mesti diimbangi dengan persediaan berdepan kemungkinan jika bilangannya meningkat," katanya.

Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Abdul Hamid Ahmad berkata pencemaran sungai yang berpunca dari pembangunan atau pembukaan tanah tidak terancang memberi kesan negatif kepada sungai termasuk populasi buaya.

"Justeru, kita perlu melakukan kajian berterusan dalam usaha pemuliharaan buaya, selain memantau aspek pencemaran sungai di seluruh negeri," katanya.

Angkara nafsu



Oleh Sarah Sulaiman 
sarahsulaiman@bharian.com.my
2010/08/05


PENGHUNI Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan bersama bayi luar nikah yang dilahirkan  di pusat berkenaan.
PENGHUNI Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan bersama bayi luar nikah yang dilahirkan di pusat berkenaan.


Bilangan remaja hamil tanpa nikah ke Baitul Ehsan meningkat
 

SABAK BERNAM: Seramai 16 remaja perempuan hamil tanpa nikah, purata dua orang sebulan dimasukkan sama ada secara sukarela atau menerusi perintah mahkamah ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di sini, sejak Januari lalu.
Pengusaha Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Mohd Makhi Adnan, berkata seramai lapan remaja sudah melahirkan anak dan berada dalam tempoh pantang, manakala lapan lagi masih menunggu kelahiran.
Beliau berkata, semua remaja terbabit masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) berusia antara 16 hingga 20 tahun. 

“Remaja yang baru bersalin diberi perlindungan minimum antara enam bulan hingga setahun bergantung kepada keputusan ibu bapa yang menghantar anak mereka secara sukarela ke pusat itu atau perintah mahkamah. 

“Apa yang membimbangkan kami, jumlah kemasukan remaja yang berdepan dengan pelbagai masalah sosial termasuk hamil luar nikah ke pusat perlindungan itu yang ditubuhkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2001, terus meningkat kepada 96 orang dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding secara purata 60 orang sepanjang tahun lalu. 

“Peningkatan hampir 40 peratus dalam masa setahun itu perlu diberi perhatian ibu bapa dan pelbagai golongan masyarakat, dengan tidak hanya menyerahkannya kepada kerajaan semata-mata untuk menanganinya,” katanya kepada Sentral di sini. 
Mohd Makhi berkata, walaupun mementingkan kaedah pemulihan kerohanian dan keagamaan, pusat itu tidak mengabaikan pendidikan apabila memberikan tuisyen secara percuma kepada pelatih yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

“Ada 15 pelatih di sini yang masih meneruskan pengajian dengan mengambil tuisyen untuk menghadapi SPM dan 13 lagi bakal menduduki PMR. 

“Pelatih di sini juga dilatih pelbagai kemahiran bagi memberikan mereka nilai tambah apabila keluar dan berdepan dengan kehidupan sebenar,” katanya. 

Beliau berkata, penubuhan pusat ini bertujuan membangunkan asnaf ar Riqab ke arah mendapatkan keredaan Allah melalui kaedah merawat, memulih dan memberi perlindungan secara menyeluruh serta berkesan berlandaskan perintah agama. 

“Bahagian ar Riqab menjalankan kuasa Enakmen Syariah dan undang-undang sedia ada, mengawal selia pusat pemulihan akhlak dan dadah serta memantau dan menyelaras rumah kebajikan ar Riqab di negeri ini,” katanya.

Ditinggal suami, rumah didiami roboh





2010/08/05

KUCHING: Sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas ditinggalkan suami kira-kira dua tahun lalu, nasib malang terus menimpa Sabariah Jamali, 40, dari Kampung Sungai Midin, Jalan Semariang dekat sini, apabila rumah didiami sejak 16 tahun lalu pula runtuh akibat terlalu usang, minggu lalu. 

Berikutan kejadian itu, Sabariah yang juga menghidap penyakit buah pinggang dan dua anaknya kini terpaksa menumpang di rumah jiran. Dua anaknya, Nasri Fazrin Ismail, 17, dan Adib Shazwan, 12, masing-masing akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Nasib malang menimpanya bukan saja menyebabkan beliau buntu memikirkan masa depan anak-anaknya, tetapi pada masa sama perlu mencari wang bagi mendirikan semula rumahnya yang runtuh kerana penyakit dihidapi membataskan beliau untuk melakukan kerja berat.
Malah, beliau tidak menerima sebarang bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan sudah menerima bantuan perubatan RM5,000 daripada jabatan itu untuk kos perubatannya sebulan. 

Justeru, katanya, sejak ditinggalkan suami dua tahun lalu, beliau terpaksa mencari sayur-sayuran hutan untuk dijadikan lauk dan pada masa sama berterima kasih dengan penduduk kampung yang sudi meringankan beban keluarganya. 

“Saya mengharapkan ada pihak yang sudi memberi bantuan kepada kami sekeluarga untuk membina semula rumah ini kerana kami tidak mahu menumpang di rumah jiran buat selamanya. Sekurang-kurangnya dengan rumah baru nanti, akan memberi peluang kepada kami membina semula kehidupan baru. 

“Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih dengan jiran kerana sudi menghulurkan bantuan dengan membenarkan kami menumpang di rumahnya,” katanya kepada Berita Harian. 
Menceritakan kejadian rumahnya runtuh, Sabariah berkata, ia runtuh secara tiba-tiba kerana terlalu usang, bagaimanapun mereka tiga beranak sempat menyelamatkan diri. 

“Saya tidak sempat menyelamatkan ubat-ubatan buah pinggang kerana keadaan menjadi kelam kabut ketika itu. Saya tidak menyangka kejadian malang itu akan menimpa kami,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Samariang, Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, berkata beliau akan berusaha membantu Sabariah bagi membina rumah baru di tapak sama. 

"Saya simpati dengan nasib yang menimpa Sabariah, lebih-lebih lagi beliau ditinggalkan suami dalam keadaan beliau tidak berdaya untuk mencari pendapatan kerana menghidap penyakit buah pinggang,” katanya.

DS ANWAR BERJAYA `JAM' KAN JALAN SEJAUH 10 KM DI JOHOR





Kalau di Johor boleh jam 10 km, Di Terengganu kita akan jamkan seluruh negeri..

Oleh: notan

"Assalamulaikum,,.

Menarik untuk memperkatakan tindakan primitif UMNO melalui polisnya menyekat dan menghalang kelancaran ceramah PR di Johor.Malam semalam, ceramah DSAI dihalang di Johor dengan road block yang luarbiasa sehingga menyebabkan jalan jam sejauh 10 km.

Itu di Johor, negeri yang mempunyai ahli UMNO teramai dan negeri yang sudah lebih 50 tahun memberi kemenangan yang selesa kepada UMNO/BN. Yang keluar ke ceramah itu ialah orang Johor, bukan orang Serawak dan yang semakin ghairah untuk mendengar fakta dan angka mengenai isu isu utama negara itu ialah orang Johor, bukan orang Sabah.

Itu hakikatnya yang boleh dibaca dari peristiwa jalan jam tersebut dan ini bukan kali pertama berlaku di Johor. Ianya sudah menjadi fenomena sejak selepas PRU 12 lalu dan fenomena ini sudah lama berlaku di Terengganu. Menyekat ceramah dengan road block sudah tidak berlaku lagi di Terengganu tetapi orang Terengganu faham benar atas apa yang sedang berlaku di Johor sepertimana kisah bakar pos pilihanraya BN di Penang ketika PRU 12 lalu.

Rengkasnya, peristiwa yang pernah berlaku di Terengganu kini berjangkit di negeri negeri kubu kuat UMNO/BN. Tetapi yang menarik ialah ketika jalan jam di Johor, Dr.Badrul Amin sedang bercakap pada majlis ceramah yang diadakan di dataran Hj.Muda, Geliga Kemaman. Kerana itu orang orang Terengganu mendapat maklumat segera atas apa yang berlaku di Johor hasil dari hebahan Dr.Badrul Amin. Ketika inilah Dr.Badrul yang pernah ada pengalaman disekat di Terengganu dulu bertanya hadirin, kalau di Johor sekarang boleh jam 10 km, bagaimana kalau ceramah PR di Terengganu di sekat dengan cara yang sama?

Orang orang Terengganu sudah lali dengan sekatan sebegini dan polis juga sudah tidak segarang dulu lagi di Terengganu. Polis sudah tidak lagi menyembur gas pemedih mata, sudah tidak lagi menembak orang seperti menembak kambing dan polis juga sudah tidak lagi menyekat ceramah PR baik dengan cara tidak meluluskan permit atau mengadakan road block. Kenapa? Sebabnya seperti kata Dr.Badrul Amin, kalau di Johor boleh jam 10 km, di Terengganu kita akan jamkan seluruh negeri sekiranya ceramah PR diganggu seperti gangguan di Johor.

Kepada orang orang yang pernah memperlekehkan kekalahan PR di Terengganu sewajarnya menilai fakta ini sebelum begitu cepat memperlekehkan kekalahan ini dan kepada orang orang yang suka memperkecilkan ceramah PR, tolong ambil perhatian dengan semua peristiwa ini kerana ini adalah fakta bukannya rekaan semata mata./
Tranungkite

Keputusan rayuan kes poligami Bung Moktar 11 Ogos



SHAH ALAM 4 Ogos - Rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 11 Ogos ini.
Ketua Hakim Syarie Selangor, Mukhyuddin Ibrahim menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan peguam syarie, Amli Embong yang mewakili Bung Moktar dan hujahan balas pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zusyarafain Md. Yusof.
Katanya, beliau memerlukan masa selama seminggu untuk meneliti kesemua dokumen termasuk hujahan bertulis serta kronologi kes sebelum membuat keputusan.
Terdahulu, Amli dalam hujahannya berkata, Hakim Mahkamah Rendah Syariah telah terkhilaf apabila memutuskan hukuman penjara sebulan yang dianggap lebih sesuai untuk kesalahan-kesalahan serius berbanding kes poligami tanpa izin mahkamah.
Katanya, apa yang dilakukan oleh anak guamnya hanya kesalahan taazir (hukuman daripada pemerintah) membabitkan kesalahan rumah tangga serta langsung tidak menyentuh soal akidah atau jenayah yang lain.
"Hakim hanya mengambil kira perayu sebagai Ahli Parlimen dan pandangan masyarakat terhadap kredibiliti mahkamah apabila menjatuhkan hukuman tersebut.
"Mengenakan hukuman keras tidak semestinya mampu meningkatkan imej mahkamah. Hakim sepatutnya menitikberatkan soal keadilan, bukannya menekankan hukuman berat," katanya.
Menurut Amli, hakim tersebut juga terkhilaf kerana gagal mengambil kira kesan sabitan itu terhadap kerjaya serta kewangan anak guamnya yang mempunyai isteri-isteri serta anak-anak.
Katanya, hukuman tersebut akan menakutkan mereka yang berpoligami tanpa izin dengan terus menyembunyikan perkahwinan mereka kerana bimbang akan dikenakan tindakan yang sama sekiranya tampil bagi mendaftarkan pernikahan tersebut.
Sementara Zusyarafain pula berhujah, hukuman penjara sebulan adalah wajar sebagai pengajaran kepada Bung Moktar serta masyarakat agar tidak melakukan sesuatu yang membelakangkan undang-undang.
Katanya, lebih-lebih lagi Bung Moktar adalah seorang Ahli Parlimen yang sepatutnya lebih tahu tentang undang-undang serta memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
"Hukuman penjara sebulan adalah wajar terhadap perayu (Bung Moktar) kerana beliau bukan seorang yang jahil undang-undang malah beliau adalah salah seorang yang menggubal undang-undang. Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya mendaulatkan undang-undang.
"Dalam hal ini, perayu lebih takut kehilangan jawatan berbanding perasaan malu kerana melakukan kesalahan tersebut. Jadi hukuman itu juga wajar untuk kemaslahatan (kepentingan) umum," katanya.
Bung Moktar, 51, mengemukakan rayuan pada 25 Mei lalu setelah tidak berpuas hati dengan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat pada 19 Mei lalu bagi kesalahan berkahwin dengan pelakon Zizie Izette secara poligami tanpa izin mahkamah.
Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana bersubahat dengan Zizie atau nama penuhnya Zizie Izette A. Samad, 32, untuk bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk.
Zizie pula didenda RM2,000 atau penjara tujuh bulan atas dua tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan bersubahat dengan suaminya itu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Pasangan itu bernikah di sebuah rumah di alamat No. 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak di sini pada pukul 8.50 malam, 16 Disember lalu dengan mas kahwin RM80, wang hantaran RM31,000 dan sebentuk cincin berlian serba satu untuk Zizie.
Namun begitu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu memutuskan pernikahan pasangan itu yang berlangsung pada 9 Jun lalu di rumah Zizie di No. 6, Jalan Setiawangsa 6, Taman Setiawangsa di ibu negara adalah sah dan memerintahkan ia didaftarkan.

MB Kedah mengaku beli 5 Toyota Camry



ALOR SETAR 4 Ogos - Kerajaan negeri lebih mempercayai kereta import sebagai kenderaan rasmi apabila membeli kereta Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana V6.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui, pihaknya telah membeli sebanyak lima buah kereta Toyota Camry bagi kegunaan Exco dan pegawai kanannya.
Beliau yang tidak menyatakan kos pembelian itu berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana kereta Proton Perdana V6 yang digunakan sebelum ini sudah uzur.
Beliau mendakwa, kerajaan Pusat juga sudah tidak menggunakannya lagi pada masa ini.
"Kalau tak boleh pakai, kita beli hak ini (Toyota Camry) pula," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Temasya Sukan Sungai 2010 Kali Ke-79 di Tanjung Chali di sini hari ini.
Menurut Azizan, pihaknya hanya akan menggunakan kereta keluaran Proton itu sekiranya syarikat pengeluar kereta tempatan tersebut memberi jaminan bahawa ia bagus.
"Dulu betullah kata Proton itu bagus. Sekarang Proton mengaku dia dah tak boleh buat apa dah. Kecuali pihak Proton mengatakan dia bagus, kita pakailah," katanya.
Pada 1 Mei tahun lalu, kerajaan negeri dilaporkan akhirnya memilih untuk tetap membeli kereta Perdana V6 Executive sebagai kereta rasmi Exco dan pegawai kanannya menggantikan kereta jenama sama yang telah rosak.
Azizan dilaporkan berkata, beberapa kereta lama yang digunakan sebelum ini telah rosak dan perlu digantikan.
Sebelum itu, kerajaan negeri pernah dilaporkan akan menggantikan kereta Proton Perdana V6 Executive dengan jenama lain sekiranya keadaan kewangan mengizinkan, namun selepas mengadakan rundingan dengan wakil Proton Edar Sdn. Bhd, pada Disember 2008, mereka mempertimbangkan untuk terus menggunakan kereta jenama sama.

Siasat cadangan Tony Pua





ANGGOTA Pergerakan Pemuda UMNO Selangor membuat laporan polis mengenai cadangan Tony Pua memansuhkan diskaun bumiputera ke atas hartanah komersial dan rumah mewah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua baru-baru ini untuk memansuhkan diskaun bumiputera ke atas hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.
Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 11 pagi itu meminta polis menyiasat cadangan penasihat ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP itu yang disifatkan berbaur hasutan dan berbentuk provokasi.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustafa berkata, laporan polis itu mesej daripada Pemuda yang memandang serius terhadap cadangan tersebut yang dilihat sangat berbahaya.
"Cadangan itu juga dianggap sensitif dan mencabar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Malah beliau (Tony) seolah-olah sengaja menimbulkan perasaan benci dan tidak puas hati orang Melayu," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
Pada 26 Julai lalu, Tony mencadangkan agar kerajaan negeri memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.
Katanya, langkah itu mampu memberi kesan ekonomi yang lebih baik kepada kerajaan Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.
Menurut Tony, tiada sebab diskaun bumiputera harus dikekalkan kerana sudah tentu bumiputera yang terlibat dalam pemilikan tersebut adalah mereka yang berkemampuan.
Safarizul dalam pada itu berkata, cadangan tersebut adalah permainan politik yang sangat bahaya kepada masyarakat di negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum.
"Kita memerlukan tindakan yang profesional agar tidak timbul huru-hara dalam negara.
"Tony boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menimbulkan pertikaian tentang kepentingan orang Melayu yang telah dipersetujui sejak dulu dan termaktub dalam Perlembagaan," tegasnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pergerakan itu.

AJK masjid pulau imam kerana politik



PENGKALAN KUBOR 4 Ogos - Gara-gara tindakan bapa mertuanya yang kerap mengkritik Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, imam muda di Masjid As-Somadi di Kampung Geting dekat sini dipulau oleh ahli jawatankuasa dan jemaah yang tidak sehaluan dengannya.
Malah setiap kali imam muda itu, Rosli Abdul Latif, 31, mengimamkan solat, ada antara makmum melakukan solat berjemaah dengan imam yang lain secara berasingan di belakang.
Rosli berkata, ekoran kejadian itu, beliau dinasihatkan jawatankuasa masjid supaya berhenti menjalankan tugasnya bagi menjaga keharmonian anak kariah masjid berkenaan.
"Semuanya sebab politik, bapa mertua saya kuat mengkritik Nik Abdul Aziz. Saya tidak terlibat dalam politik malah pada kuliah pun saya jarang sentuh mengenai politik walaupun saya seorang penyokong Pas.
"Disebabkan timbul isu setiap kali saya jadi imam, akan berlaku dua jemaah maka satu mesyuarat dipanggil oleh jawatankuasa masjid, anak makmum tidak berkenan saya jadi imam, jadi untuk menjaga keharmonian, saya tidak dibenarkan menjadi imam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, bapa mertuanya, Abdullah Sa'amah yang juga pengasas Pondok Geting kerap mengkritik Nik Abdul Aziz kerana berpendapat Mursyidul Am Pas itu telah mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam seperti tidak menggalakkan sambutan Maulidur Rasul dan mengatakan Allah pun mencarut.
Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan Abdullah yang meminta Nik Abdul Aziz membuang sikap ego dan menerima cadangan perpaduan dengan UMNO demi kepentingan umat Islam.
Rosli berkata, beliau telah dipanggil oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut tetapi tiada sebarang keputusan dibuat.
"Kerana tidak tahan dipulau malah terdapat surat layang yang menghina bapa mertua, saya telah meletakkan jawatan pada Jun lalu tetapi menarik balik selepas memikirkan banyak faktor.
"Selepas itu saya menjalankan tugas seperti biasa tetapi kejadian dua imam berlaku lagi, maka saya dipanggil oleh Maik dan menjelaskan saya tidak ada kena-mengena dengan politik walaupun saya penyokong Pas biasa," katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, beliau hairan dengan sikap fanatik penyokong Nik Abdul Aziz kerana menantunya tidak terlibat langsung dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Katanya, apa yang dikatakannya adalah kebenaran untuk memastikan akidah umat Islam tidak terus terpesong dengan dakyah yang dibawa oleh pemimpin itu.
"Menantu saya tidak ada kena-mengena dalam hal ini, saya bercakap demi kebenaran. Kenapa pula dia dikaitkan dengan semua ini. Jangan terlalu fanatik, fikir dulu dengan mendalam apa yang saya katakan sebelum ini.
"Saya mencabar Nik Abdul Aziz berdebat sekiranya apa yang saya katakan hari ini tidak benar. Saya bukan baru dalam Pas, sejak berpuluh tahun dulu saya berada dalam Pas tetapi hari ini parti itu mementingkan kuasa sehingga sanggup berkawan dengan DAP," katanya.

Senator digesa tidak berpihak



(Dari kiri) Datuk Musa Sheikh Fadzir, Abu Zahar Ujang, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Maznah Mazlan hadir di Majlis Perpisahan 17 orang ahli Dewan Negara di Parlimen, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Ogos - Para senator digesa supaya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik ketika membahaskan rang undang-undang yang dibentangkan untuk diluluskan Dewan Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, walaupun ada yang memegang jawatan tinggi dalam parti tertentu, perbahasan mereka sepatutnya berkisar kepada isu yang penting untuk masyarakat dan negara tanpa dipengaruhi fahaman politik masing-masing.
"Sepatutnya perbahasan di Dewan Negara ditumpukan kepada subjek yang ada di hadapan kita tanpa mengira fahaman politik kerana pelantikan ke Dewan ini dibuat secara terus tanpa melalui pilihan raya.
"Ini berbeza dengan Dewan Rakyat apabila ahli-ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya akan mengemukakan pandangan yang banyak dipengaruhi pendirian parti masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan perpisahan bagi meraikan 17 senator yang telah atau akan menamatkan perkhidmatan mereka di Dewan Bankuet bangunan Parlimen di sini hari ini.
Antara senator terlibat, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Datuk Kamarudin Ambok, Datuk Abdul Rashid Ngah dan Datuk Roslan Awang Chik.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; timbalannya, Datuk Armani Mahiruddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Menurut Mohamed Nazri, kerajaan memandang serius segala cadangan dan teguran yang dibuat oleh semua senator dan beliau sendiri sentiasa menyampaikannya untuk pengetahuan mesyuarat Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Abu Zahar dalam ucapannya memuji para senator kerana menunjukkan prestasi yang amat memuaskan ketika berbahas pada sidang Dewan.
"Nampaknya penglibatan ahli-ahli Dewan Negara cukup aktif dengan ramai yang mahu bercakap sehingga sidang terpaksa dilanjutkan ke lewat malam.
"Saya juga mahu mengingatkan bahawa kita para senator adalah satu Ahli Dewan Negara dan satu kumpulan serta bukannya mewakili parti politik tertentu ketika menghadiri sidang ini," katanya.
Sementara itu, Musa dalam ucapan bagi mewakili para senator berkenaan, meminta menteri dan timbalan menteri supaya tidak berkecil hati dengan teguran yang dibuat oleh beliau dan ahli Dewan Negara lain kerana ia bertujuan meningkatkan mutu sidang itu.
Beliau berkata, teguran dibuat kerana terdapat di kalangan menteri dan timbalan menteri yang menjawab soalan secara panjang lebar dan retorik tanpa menyentuh isu sebenar yang dibangkitkan.
Bagaimanapun beliau memuji sikap sesetengah menteri dan timbalan menteri yang membuat persediaan secukupnya dan dapat memberi jawapan secara spontan tanpa merujuk kepada teks yang disediakan.

Kabinet arah henti debat Allah





Muhyiddin Yassin diiringi Azman Shah Haron dan Maznah Mazlan semasa Majlis Makan Malam MEF di sebuah hotel di Subang, Selangor, malam tadi.


PUTRAJAYA 4 Ogos - Kabinet hari ini mengarahkan semua pihak termasuk parti pembangkang dan komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak lagi mendebatkan isu penggunaan kalimah Allah secara terbuka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan berpendapat bahawa isu tersebut tidak elok didebatkan demi menjaga keharmonian dan perpaduan di negara ini.
Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan berpandangan ia boleh mencetuskan situasi tidak sihat dan menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.
''Isu ini ada hubung-kait dengan keputusan mahkamah, jadi jangan bicarakan soal di mahkamah. Sebaik mungkin kita tak nak debatkan sebab tidak ada hasil dan kebaikan yang diperoleh.
''Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Jemaah Menteri sudah putuskan pendirian kerajaan sudah muktamad bahawa kita tidak mahu sama ada dalam pembangkang atau komponen (BN) menyoalkan isu yang ada hubung-kait dengan hukum dan keputusan di mahkamah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau sedar ada pihak suka melakukan perkara yang boleh menimbulkan perasaan benci dan persengketaan untuk menggugat kesejahteraan antara kaum di Malaysia.
''Memang ada orang suka debat, timbulkan isu ini tapi kerajaan BN yang bertanggungjawab tak mahu ia timbul, walaupun belum selesai tapi elok ambil sikap begini," katanya.
Menurutnya, ada pihak yang tidak senang melihat negara ini dalam keadaan aman dengan sengaja cuba membangkitkan semula isu kalimah Allah.
Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mahu isu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald diselesaikan segera.
MCA juga berpendirian bahawa mereka tidak sependapat dengan DAP untuk mendesak kerajaan menarik balik larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.