Saturday, September 24, 2011

K/Pusat Tetap Akan Sekat Hudud -Najib Razak



PM Najib: Penegasan diberikan oleh Tun Dr Mahathir pada 1994.

KL 24 Sept 11: Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1994.
Ketika bercakap kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Tanjung Tualang di Perak hari ini, Perdana Menteri berkata, undang-undang Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan sebab kerajaan perlu realistik dengan situasi negara ini.
Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.“Undang-Undang hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.
“Jika ditanya para ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu,” katanya dipetik Bernama Online.
Najib berkata kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dan mampu kita pertahankan,” kata Najib.
Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.
Kelmarin, Nik Aziz menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.
Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.
“Saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar oleh perdana menteri akan tamat tempoh kuat kuasa apabila perdana menteri tersebut meletakkan jawatan.
“Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan perdana menteri? Lucu sekali cabaran Tun Mahathir . . . ,” kata Nik Aziz.
Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Najib agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.
Dalam pada itu, Najib menyifatkan langkah Nik Aziz, Mursyidul Am PAS, memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.
Beliau berkata taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini ekoran kenyataan Timbalan Presiden parti itu Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.
“Saya nampak ini taktikal, sebab parti PAS sudah menerima pukulan cukup hebat ekoran daripada kenyataan Mohamad Sabu yang menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit Kepong dahulu. Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam kalangan orang Melayu.
“Mereka sedar bahawa sokongan kepada mereka dah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba timbulkan isu hudud ini dengan harapan bahawa isu Mohamad Sabu itu akan tenggelam dan cuba muncul sebagai parti memperjuangkan Hudud dan menawan hati orang Melayu,” katanya.
Najib berkata isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.
Kata beliau, dalam soal undang-undang hudud telah timbul satu keadaan di mana perbezaan “ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat.”
“Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi.
“Walaupun mereka cuba mengaburi mata rakyat, tetapi lambat laun ia akan timbul bukan sahaja daripada segi hudud tetapi juga pembahagian jawatan dalam ‘Kabinet Bayangan’ mereka. Mereka belum berani merangka Kabinet mereka,” katanya. (IH)
-ibnu hashim

PENIPUAN SPR TERBONGKAR LAGI



بسم الله الرحمن الرحيم

SPR mengaku warga asing didaftar pengundi atas arahan Umno 



Sebelum ini, kita dikejutkan dengan pendedahan Wikileaks bahawa SPR mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan kepada pekerja asing di Sabah untuk didaftar sebagai pengundi pilihanraya.

Pendedahan itu dibuat berdasarkan pengakuan bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid kepada bekas ketua Mafrel, Abd Malek Hussin bahawa pihaknya pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.

Namun, Malek memperbetulkan kembali pendedahan yang dibuat Wikileaks bahawa kabel itu tersilap memetik kenyataannya bahawa SPR mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan kepada pekerja asing di Sabah padahal sejumlah 80,000 warga asing didaftar untuk mengundi.

Wikileaks turut mendedahkan Malek juga dilaporkan memberitahu pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bahawa Rashid mengesahkan Umno melancarkan kempen ‘kotor’ untuk merampas Sabah dari pembangkang pada 1994.

“Sepanjang dekad berkenaan, Umno memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan Malaysia kepada lebih 600,000 pekerja pendatang asing (kebanyakan beragama Islam dari Indonesia dan Mindanao di Filipina) di Sabah, sebagai pertukaran untuk undi mereka pada pilihan raya negeri,” Wikileaks
-dipetik dari blog bujang susah

Jalan memang rosak teruk!

Penduduk bantah salah guna kuasa 

PULAU SAYAK – Penduduk Kampung Pulau Sayak mengadakan protes aman berkaitan kemudahan jalan raya yang rosak tanpa penyelenggaraan bermula dari pekan Kota Kuala Muda ke Pulau Sayak, Pantai Merdeka ke Kota Kuala Muda dan laluan dari pekan Kota Kuala Muda ke perkampungan tsunami.

Protes yang diketuai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Kebajikan dan Sosial Kuala Muda dan Pertubuhan Masyarakat Sejahtera dan Harmoni Kuala Muda Kedah serta penduduk sekitar berhimpun secara aman di Kampung Pulau Sayak jam 11 pagi dengan sepanduk masing-masing.

Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Kuala Muda, Makbul Ilahi Hashim berkata, protes dilakukan berkaitan salah guna kuasa Kerajaan Negeri di mana peruntukan sebanyak RM130 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina jalan tidak digunakan sepenuhnya.

Menurutnya, peruntukan yang diberikan pada 2010 itu hanya membelanjakan RM50 juta manakala yang selebihnya tidak dapat dikenal pasti ke mana penggunaannya.

“Sementara itu, pada 2011, sebanyak RM147 juta diberikan kepada Kerajaan Negeri namun hanya RM54 juta sahaja digunakan dan kita tidak tahu ke mana lebihan peruntukan sama ada masuk dalam tabung atau pergi ke tempat lain,” katanya kepada media semalam.

Beliau juga kesal dengan kemudahan jalan raya yang masih belum dilakukan penyelenggaraan terutama yang menjadi kemudahan kepada penduduk Kota Kuala Muda, Kampung Pulau Sayak dan sebagainya.

Menurutnya, kebanyakan jalan rosak adalah laluan pelancong untuk ke lokasi pelancongan termasuk Pantai Merdeka, Pulau Sayak dan perkampungan tsunami.

“Keadaan jalan berlubang ini boleh menjatuhkan imej daerah Kuala Muda sebagai sebuah daerah pelancongan di negeri Kedah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pulau Sayak, Abdul Kadib Ali berkata, keadaan jalan berlubang pernah menjadi faktor dua penduduk kampung kemalangan dan menemui ajal di Kubang Jambu dan Simpang Kota.

“Jalan berlubang ini bahaya kepada pengguna jalan raya selain boleh menjadi faktor kemalangan maut di mana dalam kawasan Dun Pantai Merdeka, terdapat kira-kira 5,000 penduduk yang berulang alik menggunakan jalan ini.

“Kita juga mahukan penjelasan daripada Kerajaan Negeri berhubung isu wang yang diberikan Kerajaan Pusat tidak digunakan sepenuhnya sebaliknya digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Penduduk, Alias Fadzil, 52, berkata, keadaan jalan berlubang menyukarkan pergerakan terutama kepada orang luar yang datang ke kampung untuk menikmati keindahan alam semula jadi di sini.

Kain rentang DSAI ‘hilang’

RAUB – Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Raub kesal dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba sabotaj program Ceramah Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) seperti dijadualkan berlangsung Ahad nanti.

Jurucakap PR Parlimen Raub, Tengku Shah Amir Tengku Perang berkata, Pas dan PKR membuat laporan polis sebaik sahaja mendapati kain rentang berkaitan ceramah itu ‘hilang’ dari tempat ia dipasang.

Menurutnya, kain rentang itu diletakkan di dua lokasi iaitu di hadapan Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub (MDR) dan persimpangan Sungai Ruan dekat Pintu Padang.

“Kita dapati kain rentang itu hilang sekitar waktu Maghrib dan dipercayai tindakan ini didalangi pihak tertentu yang menunjukkan sikap tidak matang dalam berpolitik.

“Politik adalah hak semua orang dan PR tidak pernah mengganggu segala kegiatan dianjurkan mana-mana pihak selama ini,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Raub.

Tengku Shah Amir berkata, realitinya hari ini bukanlah seperti tahun 60-an atau 80-an kerana rakyat sudah maklum tentang hak mereka.

Negara Palestin: Mahmod Abbas kemuka permohonan rasmi



24/09/2011 2:16am

NEW YORK 24 Sept. – Presiden Mahmod Abbas secara rasminya meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima Palestin sebagai negara anggota penuh badan dunia itu di Perhimpunan Agung PBB di sini, semalam.
Tanpa mengendahkan tentangan daripada Amerika Syarikat dan Israel, Abbas menyerahkan surat permohonan itu kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada pukul 11.35 pagi (11.35 malam waktu Malaysia) dengan sokongan 120 negara yang telah pun mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Beliau membuat permohonan itu dalam surat yang diserahkan kepada Ki-moon yang diletakkan di dalam fail dihiasi logo helang Palestin.
Ki-moon kini perlu menyerahkan permohonan itu kepada Majlis Keselamatan PBB, tetapi undian untuk membenarkan Palestin menjadi negara anggota penuh mungkin akan mengambil masa berminggu-minggu. – AFP

UMNO tak mau hudud


UMNO tidak bincang isu hudud

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan UMNO tidak akan membincangkan isu perlaksanaan hukum hudud bersama parti komponennya dalam Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata, UMNO juga tidak perlu membalas kenyataan yang dikeluarkan mana-mana pemimpin pembangkang berhubung perkara itu.
"Tanyalah Pas kerana merekalah yang ingin melaksanakan hukum hudud, negeri berkebajikan atau apa sahaja yang mahu dilakukan mereka.
"Kenapa perlu tanya saya (UMNO) kerana itu merupakan agenda mereka dan kenapa UMNO perlu membalas kenyataan sedemikian yang dikeluarkan Pas sendiri," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka KDN di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Pas menerusi Mursyidul Am- nya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bertegas akan menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud biarpun tidak mendapat sokongan daripada sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP.
Ditanya pendirian MCA yang dikatakan sanggup berpisah dengan UMNO jika parti itu mengikut jejak langkah Pas yang mahu melaksanakan hudud, Hishammuddin menyatakan perkara itu tiada kena mengena dengan UMNO.
"Kita tidak pernah membincangkan perkara itu dengan MCA (Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek) kerana isu itu bukan urusan BN.
"Jika perdebatan mahu dilakukan, ia bukanlah di kalangan BN sebaliknya Pas dengan Pakatan Rakyat. Kita tiada kena-mengena," jelasnya.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, parti itu akan keluar dari pakatan BN jika UMNO melaksanakan hukum hudud seperti yang mahu dilaksanakan PAS di Kelantan.

Laporan Malaysian Chronicle tidak beretika



KUALA LUMPUR 23 Sept. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyifatkan laporan yang dikeluarkan laman web Malaysian Chronicle berhubung status penduduk tetap (PR) kepada pekerja warganegara Bangladesh adalah sebagai tidak bertanggungjawab dan dilakukan tanpa fakta yang sahih.
Katanya, laporan bersifat tuduhan liar itu merupakan satu perbuatan tidak profesional serta beretika dan ia perlu dihentikan segera kerana mampu memberi kesan kepada soal keselamatan dan ketenteraman awam.
"Tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ternyata ia sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti, imej dan kedudukan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Apa yang dilaporkan oleh Malaysian Chronicle itu ternyata salah kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen sendiri memberi kenyataan. Malah, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh turut menyatakan laporan itu palsu dan tidak berasas.
"Laporan media alternatif ini ternyata tidak bertanggungjawab malah mereka juga tidak mengeluarkan kenyataan maaf. Oleh itu menjadi tanggungjawab media arus perdana untuk memperbetulkan kembali dengan fakta yang lebih tepat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada majlis Rumah Terbuka KDN di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Malaysian Chronicle baru-baru ini mendakwa status penduduk tetap (PR) ditawarkan kepada pekerja warganegara Bangladesh untuk didaftarkan sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan bagaimana laman web terbabit memperoleh maklumat sedemikian yang ternyata salah, lebih-lebih lagi apabila Suruhanjaya Tinggi Bangladesh sendiri menafikan perkara tersebut.
Sementara itu, ditanya tentang tindakan yang akan diambil ke atas Malaysian Chronicle, beliau berkata, KDN tidak berhasrat untuk menuntut permohonan maaf sebaliknya mahu laman web itu memperbetulkan kembali laporan seumpama itu.
"Kredibiliti laman web itu akan terjejas jika laporan seperti itu tidak diperbetulkan kerana ia menipu kalangan pembaca. Kita juga akan menunggu dan lihat untuk sebarang tindakan lanjut," katanya.

Kenyataan biadab: Manoharan digantung enam bulan



KUALA LUMPUR 23 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan digantung selama enam bulan oleh partinya, DAP berhubung satu kenyataan kontroversinya dalam laman sosial Facebook minggu lalu.
Malaysiakini melaporkan keputusan itu diambil selepas satu mesyuarat Jawatankuasa Disiplin parti itu yang dipengerusikan, Tan Kok Wai di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.
Manoharan sebelum ini berkata, pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang dan tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak dan laporan polis telah dibuat.
Beliau menulis kenyataan berbunyi: "I distributed many DAP flags today in my constituency. I refused to fly the Malaysian flag because it looks more BN than Malaysian. (Saya mengedarkan banyak bendera DAP hari ini dalam kawasan Dewan Undangan Negeri saya. Saya enggan mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan seperti BN berbanding Malaysia).
Sementara itu, The Star Online melaporkan Manoharan telah menerima surat penggantungan dan akan membuat rayuan.
Manoharan sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mempersendakan doa masuk tandas selain pernah mewujudkan sentimen perkauman berhubung isu novel Interlok.

Ucapan Ahmadinejad berbisa di telinga AS



NEW YORK 23 Sept. - Delegasi Amerika Syarikat (AS) keluar dari dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Presiden Mahmoud Ahmadinejad mengkritik negara-negara Barat.
Pemimpin Iran itu sekali lagi menyatakan keraguannya terhadap punca pembunuhan kaum Yahudi yang digelar Holocaust dan serangan 11 September 2001 serta mengkritik AS yang membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden tanpa membawanya ke muka pengadilan.
“Negara-negara Eropah menggunakan pembunuhan kaum Yahudi itu sebagai alasan untuk membayar tebusan kepada Zionis.
“Matlamat kejam negara-negara Barat merupakan punca peperangan dan krisis ekonomi,” katanya.
Seperti yang pernah berlaku di perhimpunan PBB dan majlis antarabangsa yang lain sejak beberapa tahun ini, seorang diplomat AS yang mengawasi ucapan di Perhimpunan Agung PBB keluar meninggalkan perhimpunan tersebut 20 minit selepas ucapan dimulakan.
Menurut jurucakap misi AS, Mark Kornblau, seramai 27 orang dari Kesatuan Eropah (EU) kemudian mengikuti jejak langkah diplomat AS itu sebagai tanda Protes.
“Ahmadinejad mempunyai peluang menyatakan hasrat rakyatnya untuk kebebasan dan maruah tetapi sebaliknya beliau sekali lagi bersifat anti-Semitik dan mengeluarkan teori konspirasi yang keji,” kata Kornblau. - AFP

Pemimpin Palestin gelar Obama jurucakap Israel







2011/09/23

pix_gal0
Ucapan Presiden AS di PBB hanya sokong hak Yahudi 

RAMALLAH: Penduduk Palestin semalam mengutuk ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menyifatkannya sebagai memaparkan sikap berat sebelah Washington kepada Israel.
Pengulas, ahli politik dan penduduk awam Palestin berkata, ucapan Obama kelmarin, menjelang permohonan Palestin menjadi anggota PBB, menunjukkan Washington tidak mampu menjadi orang tengah yang adil antara Israel dan Palestin.
Pemimpin Hamas di Gaza berkata, ucapan itu bermakna Palestin dan dunia Arab perlu berhenti terus bergantung kepada Washington. 

“Ucapan Obama menunjukkan sikap berat sebelah Amerika yang menyokong penjajah Israel dan negara Arab dan Palestin patut berhenti bergantung kepada Amerika. 

“Kami menggesa pemimpin Palestin menggunakan strategi berdikari dan dunia Arab serta Islam sedar dengan keangkuhan Amerika dan Israel,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri. 

Pengulas dalam tiga akhbar utama Palestin turut menyuarakan kemarahan dan kekecewaan berhubung ucapan Obama itu. 
“Ucapan Obama mengecewakan mereka yang menanti sesuatu yang baru daripadanya, mencetuskan kemarahan. Ia menutup semua pintu dan tingkap yang dibiarkan terbuka oleh Presiden Palestin untuk mencari kemajuan,” menurut tulisan Talal Okal dan akhbar Al-Ayyam. 

Okal menuduh Obama mendalamkan sikap berat sebelah terhadap kisah, kedudukan dan dasar Israel. 

“Dia begitu ketara berat sebelah dan cinta kepada Yahudi dan Israel. Apa yang ditawarkan dalam ucapannya menunjukkan kerjasama, penerimaan penuh kepada dasar dan kehendak Israel. 

“Dia terus cakap bahawa Yahudi dan Israel dikelilingi kebencian dan perang oleh negara Arab tetapi ucapannya tidak menyentuh langsung kesengsaraan penduduk Palestin,” tulisnya. 

Al-Ayyam menyiarkan kartun menunjukkan Obama mengeluarkan buih keluar daripada mulut dalam bentuk Star of David ketika berucap. 

Menulis dalam akhbar Al-Quds, akhbar paling laris di Palestin, ahli Parlimen Arab Israel, Ahmed Tibi, berkata ucapan Obama dibayangi ucapan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. 

Walaupun pemimpin Perancis itu tidak menyokong usaha Palestin memohon keanggotaan penuh di PBB, dia mencadangkan alternatif menaikkan status pemerhati di UNGA dan jelas merujuk kepada derita penduduk Palestin, kata Tibi. 

“Tidak seperti Sarkozy, yang mengulas isu Palestin dan positif hak penduduk Palestin, ucapan Obama berat sebelah. 

Malah, dalam ucapan sama Obama memuji kebangkitan dan revolusi penduduk Arab terhadap pemerintahan kuku besi dan penindasan, tetapi dia tidak menyebut langsung mengenai pencerobohan Israel ke atas tanah penduduk Palestin,” tulisnya. 

Di jalan raya di Baitulmaqdis Timur, orang ramai juga mengutuk ucapan itu. 
“Tidak mengejutkan, Israel dan Amerika adalah satu dan Obama sudah tentu sokong Israel menentang Palestin supaya dia dipilih semula pada tahun 2012,” kata Shadi Elias, 22. 

Di Ramallah, pengarah sekolah, Mohammed Zeidan, menuduh Obama bersikap adil kepada semua negara Arab kecuali penduduk Palestin. 

“Apabila Obama memasuki Rumah Putih sebagai presiden, kedudukan dan aspirasinya memberikan kita harapan tetapi Obama menunjukkan kepada dunia kelmarin Amerika akan sentiasa di sisi Israel dan dia tiada beza dengan pemimpin Amerika terdahulu,” katanya. – AFP