Noor Rashid Ibrahim
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, walau bagaimanapun, senjata berkenaan akan digunakan pihaknya dalam kes jenayah lain pada masa depan bagi melumpuhkan sementara penjenayah yang terlibat.
Menurut beliau, senjata tersebut sememangnya dimiliki PDRM dan sedang diagih-agihkan ke pelbagai peringkat dalam pasukan kese­lamatan itu.
“Taser gun ini dapat melumpuhkan sementara atau melemahkan pesalah atau penjenayah tapi belum lagi digunakan untuk perhimpunan Bersih.
“Di masa hadapan kita (PDRM) akan lebih banyak guna taser gun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran laman web iSelamat.my di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa polis akan menggunakan senjata itu terhadap peserta perhimpunan tersebut jika berlaku insiden rusuhan atau keganasan.
Dalam pada itu, Noor Rashid meminta kerjasama masyarakat yang menyertai perhimpunan supaya lebih bertanggungjawab walaupun mereka mempunyai hak kebebasan bersuara.
Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana peserta yang melanggar peraturan pada perhimpunan itu nanti.
“Kita benarkan apa juga hak rakyat untuk berhimpun. Tetapi masyarakat juga mempunyai tanggungjawab untuk pastikan perhimpunan itu tidak ganggu orang lain,” katanya.