Wednesday, March 21, 2012

Semua pemimpin Islam patut tinggalkan Umno


Rizal Tahir,21 Mac 2012
KOTA BHARU, 21 Mac:Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat, semua pemimpin Umno beragama Islam sepatutnya sudah lari meninggalkan Umno sebagaimana Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil.

“Sepatutnya semua orang Umno yang beragama Islam lari dari menyertai perjuangan kebangsaan,”ujarnya.

Bagi beliau, setelah Umno semakin menyimpang dari perjuangannya, amat wajar lebih ramai pemimpin Umno keluar parti itu dan bukan hanya Tan Sri Abdul Kader sahaja.

Nik Abdul Aziz berkata sepatutnya pemimpin Umno telah ramai dan sudah lama keluar dari parti itu untuk menyertai PAS.

Tambahnya, ini kerana perjuangan PAS  sendiripun ditubuh oleh  Biro Agama Umno yang  menyedari perjuangan parti itu tidak selari dengan kehendak Rasulullah.

Menyentuh tentang penarikan diri Kadir sebagai ahli Umno oleh Datuk Kader, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sudah terlewat.

Ini kerana katanya  Umno sudah pecah serta berbau busuk menembusi hidup seluruh rakyat di negara ini Kader baru berbuat demikian.

“Ketika suasana begini baru istihar keluar Umno, jadi rasanya sudah tidak begitu strategik lagi,”ujarnya.

Katanya, rakyat juga sepatutnya sudah lama tidak menyokong Umno dan BN dengan gejala buruk seperti rasuah, penculikan kanak-kanak, penyalahgunaan wang zakat dan berbagai lagi.

Sambungnya, gejala itu berlaku berikutan pemimpin salah mentadbir negara seumpama memandu sebuah kereta yang tidak mempunyai ‘break’, akibat kerosakan.

Sambungnya, tidak ada perkara yang boleh menyekat golongan itu dari melakukan perkara mungkar ekoran break (iman) yang telah rosak.

Katanya lagi, pengertian maksiat juga telah disempitkan oleh manusia yang hanya melihat pada perbuatan zina sahaja, sedangkan derhaka pada Allah juga sebagai maksiat.

“Apa sahaja perbuatan yang derhaka kepada Allah, zina, tak solat, rasuah, culik manusia dan berbagai lagi adalah perbuatan maksiat,”ujarnya.

Tambahnya, ini kerana manusia sudah tidak ada lagi kuasa radhi’ (kuasa menyekat) dari mereka melakukan kejahatan.

Semua pemimpin Islam patut tinggalkan Umno:

Ubah wang haram RM935,000

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

SHAH ALAM 20 Mac - Bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 28 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM935,000 antara Disember 2008 dan Jun 2009.
Hasbie yang sebelum ini berdepan dengan tuduhan serupa melibatkan wang RM2.13 juta di Butterworth, Pulau Pinang pada awal tahun lalu, mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan tersebut selepas kesemuanya dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Bagi 28 pertuduhan ini, Hasbie, 39, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mendepositkan kesemua wang tunai itu ke dalam akaun bank milik 11 individu termasuk beberapa ahli keluarganya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank, CIMB, RHB dan Tabung Haji di beberapa lokasi seperti Salak Tinggi, Sepang; Bandar Baru Bangi serta Putrajaya antara 14 Disember 2008 dan 18 Jun 2009.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Ketua Unit Pelucutan Hak Harta, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam negara, Anselm Charles Fernandis menawarkan jaminan RM100,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan turut memohon agar kesemua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth untuk dibicara bersama kes yang dihadapi oleh Hasbie di negeri tersebut.
Sementara peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili Hasbie memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya hanya dikenakan jaminan RM60,000 bagi kes sebelum ini sedangkan jumlah wang yang terlibat lebih besar.
Aslam kemudiannya menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth, sebaliknya beliau mengarahkan kesemua 28 pertuduhan itu dibicara bersama di sini.
Beliau turut membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM90,000 beserta seorang penjamin serta menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes itu.
Pada 10 Februari tahun lalu, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram sebanyak lebih RM2.13 juta.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di alamat 4-10 Pangsapuri Sri Molek, Jalan Laksamana, Telok Air Tawar, dekat sini pada 11 Februari 2010.
Hasbie kemudian memohon dia dilepas tanpa dibebaskan dengan alasan kertas pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan cacat dan tidak jelas tetapi ditolak mahkamah.

'via Blog this'

Anwar saman Nalla, Utusan RM100j

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:




Anwar Ibrahim, S. Nallakaruppan



KUALA LUMPUR 20 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tindakan undang-undang ke atas Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) berhubung penyiaran berita ‘Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang-Nalla’ di akhbar ini hari ini.
Menurut Naib Presiden PKR, N. Surendran, Anwar melalui firma Edwin Lim Suren & Soh hari ini menghantar surat tuntutan bagi meminta UMMB dan Utusan Malaysia menarik semula berita itu, memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta ekoran penyiaran artikel tersebut.
“Notis serupa telah dihantar kepada Nallakaruppan dan Anwar mengambil tindakan ini demi kepentingan awam,” katanya.
Surendran berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi blog Anwar di http://anwaribrahimblog.com hari ini.
Nallakaruppan bagaimanapun sehingga kini belum menerima writ saman tersebut.
Dalam satu sidang akhbar semalam, Nallakaruppan secara terbuka mendakwa Anwar seorang biseksual dan tidak layak untuk mengetuai pembangkang di negara ini.

'via Blog this'

Dua beradik derita diebetes

Dua beradik derita diebetes - Melaka & NS - Sinar Harian:
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2012
Dua beradik derita diebetes
JASIN – Akibat penyakit diebetes yang dihidapi sejak lima tahun lalu, dua beradik di Kampung Serkam Darat, di sini kini hidup dalam kesempitan hidup kerana tidak mampu bekerja.
Sebelum ini, Zamri Atan, 32, bekerja di kantin sebuah kilang, bagaimanapun terpaksa berhenti sejak dua tahun lalu akibat luka di tapak kakinya yang berlubang semakin teruk.
“Bukan saya tidak mahu bekerja tetapi apabila bekerja banyak bergerak kaki akan bertambah teruk. Sudah tiga kali kaki saya dibedah dan sehingga sekarang setiap hari perlu mengambil insulin,” katanya.
Menurutnya, permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak dua kali sejak empat tahun lalu tidak diluluskan atas alasan dirinya masih mampu bekerja untuk menanggung kehidupan sendiri.
Sementara itu, abangnya, Ramlan, 40, turut mengalami nasib sama apabila jari kakinya dipotong sejak dua bulan lalu akibat penyakit sama.
Akibatnya, dia juga sukar untuk bergerak dan bekerja sebagai tukang masak kerana akan menyebabkan luka lambat pulih dan kaki semakin membengkak.
“Tugas sebagai tukang masak, ada kerja ada gaji. Sekarang ini, saya masih tidak bekerja menjadi pembantu kedai kerana kaki membengkak,” katanya.
Kedua-dua mereka kini hidup dengan simpati abang dan adik mereka yang bekerja kilang.

'via Blog this'

Tanah rizab Melayu: Kelantan saman Utusan


(Laporan Utusan hari ini yang membawa tindakan saman ke atas akhbar itu)



KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan, Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Susilo cuba diguling?



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2012
Susilo cuba diguling?
JAKARTA - Polis Indonesia akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan presiden Susilo Bambang Yudhoyono bahawa ada kumpulan cuba untuk menggulingkannya melalui satu rampasan kuasa sebelum 2014.

Bagaimanapun, beberapa pihak lain menolak dakwaan Susilo itu dan menganggap ia sebagai ‘usaha’ untuk mengalihkan perhatian terhadap rancangan kerajaan bagi menaikkan harga bahan api.

Ketua Polis Nasional, Timur Pradopo berkata, semasa mesyuarat bersama Parti Demokratik pada Ahad lalu, presiden mendedahkan kewujudan kumpulan yang telah mula bergerak dalam senyap untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, Susilo mendakwa kumpulan tersebut akan menggunakan momentum kenaikan harga bahan api untuk mencetuskan provokasi dan hasutan.

“Setiap hari saya menerima pelbagai mesej berbentuk sokongan dan ada juga yang berbaur ugutan,” kata presiden itu.

Dakwaan pemimpin tersebut turut mendapat reaksi dari ahli parti gabungannya termasuk timbalan pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Nasir Ali yang menyifatkan kenyataan presiden itu hanya akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Sebagai pemimpin tertinggi negara, beliau sepatutnya kuat menghadapi cabaran dan bukannya merungut untuk menunjukkan dia seorang lelaki yang lemah,” jelasnya.

Rais: 716 aduan berkaitan kandungan laman sosial tahun lepas




21 Mac 2012
Rais Yatim
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 716 aduan berhubung kandungan laman sosial seperti Facebook dan Twitter pada tahun lepas, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 289 merupakan aduan berkenaan kandungan jelik atau mengancam, kandungan palsu (247), kandungan lucah dan sumbang (40), penggodaman (124) manakala yang lain sebanyak 16 aduan.

Selain laman rangkaian sosial, SKMM juga menerima 1,112 aduan berkaitan laman web, blog dan emel, katanya semasa menjawab menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rais berkata SKMM juga menerima 693 aduan berkaitan phishing (percubaan mengambil data dari kumpulan data pihak lain).

"Masalah penyamaran, penipuan dan salah guna laman rangkaian sosial berpunca daripada perasaan seronok untuk meluaskan pandangan masing-masing melaluinya; tanpa mengambil kira aspek negatif yang timbul akibat perbuatan itu.

"Sebahagian anggota masyarakat lupa kita mempunyai kekangan dan cara hidup yang harus dilandaskan kepada nilai-nilai murni, agama dan amalan budaya," katanya.

Beliau berkata tidak kurang 15 kes telah diambil tindakan di mahkamah tetapi masyarakat masih perlu diberi didikan dan penerangan mengenai perkara itu.

"Penggunaan jalur televisyen, ceramah dan ikhtiar pencegahan terus dilaksanakan dan pengurangan dilihat menggalakkan. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam bentuk kekangan sosial yang diperlukan," katanya.

Kepada soalan sama ada kementerian bercadang memantau atau menyekat akaun Facebook yang sering dicemari penyalahgunaan, Rais berkata setiap kandungan atau komen yang dibuat pengguna laman sosial tidak melalui sebarang proses tapisan, kelulusan atau penilaian mana-mana pihak berkuasa termasuk SKMM.

Beliau berkata semua kandungan rangkaian adalah tertakluk kepada undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Selain pendakwaan di mahkamah, SKMM juga mengambil tindakan menyekat akses ke laman-laman web untuk meningkatkan kesedaran dari semasa ke semasa kepada orang ramai tentang isu sosial dan teknologi yang dihadapi pengguna internet," katanya. - Bernama

Nik Aziz: Yahudi lain, Zionis lain



NORHASRAM MOHAMAD
20 Mac 2012
Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan, kekeliruan orang ramai selepas Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang hanya menentang urus niaga dengan kerajaan Zionis yang menguasai tanah Palestin secara haram.

Nik Abdul Aziz berkata, Yahudi merupakan bangsa seperti bangsa-bangsa lain di dunia sedangkan Zionis sebagai ‘parti’ dalam Yahudi itu sendiri.

Katanya, Yahudi lain, Zionis lain kerana Zionis merupakan parti dalam Yahudi yang mempunyai agenda jahat sejak lebih 100 tahun lalu.

“Yahudi ni bangsa, bangsa tidak ada yang jahat tapi yang jahatnya ialah manusia, begitu juga Melayu dan Arab, Melayu dan Arab tidak jahat tapi yang jahatnya ialah perangai orang Melayu dan Arab itu sendiri.

“Orang Yahudi tidak minta untuk jadi Yahudi dan saya sendiri tidak nak jadi Melayu tapi bangsa saya bangsa Melayu, apa boleh buat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan kelmarin mempertahankan kenyataan Abdul Hadi dengan mendakwa berurus niaga dengan Zionis bererti mengiktiraf kewujudan mereka.

Beliau juga kecewa kerana larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994.

Kenyataan Abdul Hadi sebelum ini mendapat respons daripada pimpinan Umno termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menganggap Pas tidak konsisten apabila menyokong umat Islam bekerjasama dan menjalin hubungan dengan Yahudi.

Mohd Shafie berkata, kenyataan itu menunjukkan parti Pas menyimpang daripada prinsip asal mereka.

Ketika menjawab soalan media selepas sesi dialog program bersama pemimpin bagi mengutip dana menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 di Pusat Konvensyen Shah Alam Sabtu lalu, Abdul Hadi menegaskan, Pas tidak akan bekerjasama dengan negara yang mengamalkan fahaman Zionis.

Katanya, berniaga dengan Yahudi dibolehkan kerana Nabi Muhammad SAW juga pernah berurus niaga dengan bangsa itu ketika berada di Madinah.

Pas katanya, menolak Zionis kerana ia kefahaman anarki Yahudi yang menganggap bangsa Yahudi sebagai bangsa mulia serta menganggap bangsa lain adalah binatang.

Azmin, isteri didesak isytihar harta

Azmin, isteri didesak isytihar harta - Nasional - Sinar Harian:
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2012
Azmin, isteri didesak isytihar harta
SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan isteri, Shamsidar Taharin didesak mengisytihar keselu­ruhan harta bagi membuktikan mereka tidak mempunyai saham mencecah RM2 juta.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, 42, berkata, ia adalah kerana semasa Azmin bekerja dengan Anwar pada 1992 hingga 1994, gajinya tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Menurutnya, oleh sebab itu beliau mendesak Azmin menjelaskan dari mana beliau mendapat saham dan wang tersebut dalam akaun pada waktu itu.

“Saya membuat laporan polis pada 17 November 2009 berhubung pemilikan saham oleh Timbalan Presiden PKR dan isterinya. Saya juga telah menyerahkan salinan dokumen asal,” katanya.

Katanya, Azmin tidak mungkin mempunyai wang sebanyak itu kerana setahunya, isteri Azmin tiada kerja tetap dan tiada kerja sambilan lain.

Sebelum ini beberapa akh­bar melaporkan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, SA Vickneswaran mendakwa memiliki dokumen berkaitan urusan pembelian saham melibatkan Azmin dan isterinya, Shamsidar termasuk iparnya, Jamal Taharin yang mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an.

Anuar pada 2004 pernah menjadi Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum mengumumkan keluar parti PKR pada Mei 2007.

'via Blog this'