Friday, April 11, 2014

Kondisi Sidek Hussien semakin teruk

AKMALIAH RAZAK & FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Sidek Hussien
Sidek Hussien
11 April 2014
 PADA penghujung tahun lalu, pelakon veteran, Sidek Hussein pernah memberitahu, bahawa kesakitan yang dialaminya itu kian parah.

Namun, hasrat melakukan pembedahan untuk membuang bengkak di pipi kanannya itu terpaksa dilupakan atas nasihat doktor pakar.

Ketika itu, doktor memberitahu bahawa pembedahan tidak dapat dilakukan kerana mengundang risiko tinggi dan boleh membawa maut.

Cuba bertahan sedaya upaya menanggung penderitaan, akhirnya Sidek, 63, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dia pengsan di ibu kota pada 30 Mac lalu.

Menurut isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, suaminya itu tiba-tiba pengsan di hadapan kedai pemborong barang mainan, di Chowkit, ketika berjalan di kawasan berkenaan.

"Sebelum keluar rumah, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi ataupun mengadu kesakitan. Namun, sejak akhir-akhir ini, bengkak di pipinya itu semakin besar.

"Saya terpaksa meminta bantuan orang ramai agar menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.

"Hari ini (semalam), sudah 11 hari dia berada di wad dan saya juga turut 'berkampung' di sini menguruskannya," kata isteri pelakon filem, Karak ini.

Walaupun kondisi kesihatan Sidek sudah tidak menentu sejak setahun yang lalu, namun kini penyakitnya itu semakin menular ke bahagian mulut.

Kata Sebiah, sejak enam bulan lalu, Sidek menolak semua makanan dan hanya bertahan dengan meminum air sahaja.

"Saya memang risau dengan kesihatannya kerana dia hanya bergantung pada air sahaja, " katanya.

Menurutnya, dia tidak lalu nak makan kerana terasa mual.

"Sekarang, butir percakapan juga semakin tidak jelas dan saya hanya boleh memahami segelintir sahaja kerana bengkak itu menolak mulutnya," kata Sebiah lagi.


Tunggu keputusan doktor

Pada 1982, Sidek pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu, namun ianya hanya sia-sia.

Menurut Sebiah, bengkak berkenaan kembali membesar tiga tahun selepas itu tanpa diketahui puncanya.

Katanya, sehingga ke hari ini, doktor masih tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihidapi suaminya itu.

"Saya sendiri tak tahu apa penyakitnya kerana pada pembedahan pertama, doktor memberitahu ianya hanya bengkak biasa.

"Namun, bila ia membengkak lagi, situasi itu merisaukan kami. Semalam, doktor telah mengambil sampel dan dua minggu lagi, keputusannya akan diketahui.

"Sebelum ini, doktor ada memberitahu bahawa bengkak berkenaan turut melibatkan urat di bahagian otak dan paru-paru.

Kemungkinan besar, ia adalah barah,' katanya lagi Sebelum Ramadan tahun lalu, Sidek pernah menjalani pembedahan pintasan jantung namun, jantungnya tidak mampu menahan pembedahan lebih 10 jam.

Tambah Sebiah, Sidek amat jarang mengadu mengenai kesakitannya kepada keluarga termasuk dirinya sendiri.

"Dia memang jarang bercakap dan tidak suka mengadu kalau sakit. Mungkin dia tak mahu kami anak beranak risau.

"Namun, sebelum dia dimasukkan ke wad, dia ada menerima tawaran lakonan.

Namun, dia menolak kerana faktor kesihatan. "Lakonan filem terakhir adalah Paku Pontianak, dan drama, Abah, pada tahun lalu," jelasnya.

Sepanjang usia perkahwinan, Sidek mempunyai seorang anak bersama Sebiah yang kini bekerja di Kota Kinabalu manakala hasil perkahwinan terdahulu, Sidek mempunyai empat anak.

FAMA nafikan manggis yang dibawa MH370 adalah dari Muar

 KUALA LUMPUR 11 April - Polis setakat ini telah merekodkan lebih 205 keterangan daripada pelbagai pihak termasuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines MH370 bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lebih banyak lagi yang akan dipanggil untuk membantu siasatan dan polis tidak akan mendedahkan hasil keterangan yang diambil bagi mengelakkan gangguan siasatan.

``Siasatan ini berterusan, dan setakat petang semalam kami telah merekodkan lebih 205 kenyataan dan lebih banyak kenyataan yang akan direkodkan... terdapat perkara tertentu yang kami perlu teliti semula untuk menjadikan siasatan kami lebih jelas,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menghadiri aktiviti keagamaan Buddha sempena Peringatan Hari Polis ke-207 di sini, hari ini.

Ketika mengulas kenyataan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor yang menafikan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 adalah dari daerah Muar, beliau berkata ``tidak semestinya manggis itu ditanam di Johor, pembekalnya dari Muar.

``Saya tidak cakap ia dipetik dari Muar, saya cakap kita akan menyiasat sampai peringkat itu (di mana ia dipetik)... saya tidak kata ladangnya di Johor, memang manggis itu sebelum dibawa ke KLIA ia dihimpun di Muar.

Fama Johor sebelum ini menjelaskan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 tidak mungkin dihasilkan dari daerah Muar dan berdasarkan rekod Fama, tiada dusun di Johor yang menghasilkan manggis ketika ini kerana musim buah itu mulai Jun ini.

Khalid menjelaskan siasatan turut akan dijalankan bagi melihat sama ada makanan yang disediakan pembekal makanan bagi pesawat berkenaan beracun.

Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ketika berada di ruang angkasa Malaysia-Vietnam.

Pesawat B777-200ER itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_26/Polis-rekod-lebih-205-keterangan-berhubung-siasatan-kehilangan-pesawat-MH370#ixzz2yYhX6EA9

Akhbar Rusia dakwa MH370 kini di Kandahar


TEHERAN 10 April - Sebuah akhbar Rusia tampil dengan teori mendakwa pesawat berkenaan dirampas dan disembunyikan di wilayah Kandahar, Afghanistan berhampiran sempadan Pakistan.
Akhbar Moskovsky Komsomolets yang memetik sumber agensi perisikan Rusia turut melaporkan bahawa kedua-dua juruterbang pesawat berkenaan tidak bersalah dalam insiden tersebut.
"Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang bersama anak kapal dirampas. Kedua-dua juruterbang itu tidak bersalah, pesawat itu dirampas oleh beberapa pengganas yang tidak diketahui.
"Kami tahu nama pengganas yang memberi arahan kepada juruterbang adalah 'Hitch'. Pesawat itu berada di Afghanistan, tidak jauh dari Kandahar berhampiran sempadan Pakistan,"lapor akhbar itu yang mempunyai edaran kira-kira 1.1 juta. Menurut laporan akhbar itu, pesawat itu berada di sebuah jalan raya berhampiran kawasan pergunungan dan sayap kapal terbang itu patah.
"Mungkin pesawat itu mendarat dalam keadaan tidak lancar, namun semua penumpang dalam kapal terbang itu selamat, mereka hidup tanpa makanan,"katanya.
Bagaimanapun, sumber atau agensi perisikan dalam laporan itu tidak dinamakan.
Malah, dakwaan akhbar itu juga tidak dilaporkan dalam mana-mana media arus perdana di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.
Akhbar itu turut melaporkan, beberapa pakar dalam pesawat itu telah dibawa ke sebuah tempat persembunyian di Pakistan.
"Seramai 20 pakar Asia ditahan. Malah, terdapat seorang rakyat Jepun dalam kalangan mereka,"katanya yang mungkin merujuk kepada pekerja Freescale Semiconductor.
Pihak berkuasa Malaysia berkata, pesawat MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi dan operasi pencarian untuk mengesan serpihan kapal terbang itu sedang dijalankan.
Pada 16 Mac lalu, akhbar The Independent turut melaporkan beberapa khabar angin bahawa pesawat tersebut telah terbang ke 'sebuah kawasan yang dikawal oleh Taliban', kira-kira seminggu selepas MH370 hilang.
"Pesawat MH370 yang hilang itu mungkin diterbangkan secara sengaja melepasi radar ke kubu kuat Taliban di sempadan Afghanistan, isu ini mungkin wujud berikutan pihak berkuasa berkata, mesej terakhir yang diterima dari kokpit selepas sistem transponder pesawat itu dimatikan.
"Namun, dakwaan ini dibuat sebelum pihak berkuasa Malaysia mengumumkan MH370 hilang di suatu tempat di Lautan Hindi,"katanya.
Pihak berkuasa Australia sedang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisir pantai Perth yang terletak di barat negara itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_08/Akhbar-Rusia-dakwa-MH370-kini-di-Kandahar#ixzz2yZFGgZu2
© Utusan Melayu (M) Bhd