Muhammad Nizar Jamaluddin
Mohammad Nizar Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menang kes saman fitnah berhubung isu nombor pendaftaran kenderaan WWW1.
  
Hakim Rosnaini Saub memerintahkan Utusan, selaku defendan, turut membayar kos RM30,000 serta kadar faedah lima peratus terhadap jumlah ganti rugi bermula tarikh penghakiman sehingga bayaran penuh dijelaskan.
  
Dalam penghakimannya, Rosnaini berkata plaintif, Mohammad Nizar, berhak mendapat ganti rugi am dan teladan akibat difitnah berhubung komen plaintif dalam artikel yang diterbitkan oleh defendan.
  
Menurutnya artikel mengenai nombor pendaftaran WWW1 berjaya dibida oleh Sultan Johor itu telah menjejas dan mencemar reputasi dan imej plaintif.
  
Beliau berkata pihak defendan gagal mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab apabila tidak menghubungi Mohammad Nizar untuk mengesahkan komen sebenar beliau paparkan dalam Twitternya.
  
"Kita mungkin boleh mempersoalkan kewajaran tindakan plaintif yang mengkritik baginda Sultan Johor dalam pembelian nombor plat WWW 1, tetapi ini tidak bermakna defendan dibenarkan oleh undang-undang untuk memesong dan membuat laporan tidak benar yang bersifat fitnah ke atas plaintif," tegas Rosnaini.

Mengenai ganti rugi keterlaluan yang dipohon olehplaintif, hakim memutuskan berdasarkan kes, mahkamah merasakan ganti rugi keterlaluan adalah tidak diperlukan.
  
Beliau berkata ini kerana tiada terdapat apa-apa tanda bahawa defendan bersikap degil dan keras terhadap plaintif di dalam prosiding kes fitnah yang difailkannya.
  
Mohammad Nizar memfailkan saman itu pada 10 Julai tahun lepas berkaitan komen beliau mengenai nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang berjaya dibida oleh Sultan Johor dengan harga RM520,000.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohammad Nizar berkata pada 28 Mei tahun lepas beliau membuat kenyataan mengenai nombor pendaftaran kenderaan itu menerusi akaun Twitternya dan mendakwa pada 31 Mei, Utusan Melayu menerbitkan satu artikel di halaman 11 akhbar tersebut mengenai perkara itu.
  
Mohammad Nizar, ketika itu Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang, berkata kenyataan berbaur fitnah itu  antara lain bermaksud beliau adalah seorang penderhaka terhadap Raja-raja Melayu, terutamanya Sultan Johor, seorang ahli politik yang anti Sultan dan cuba menghasut rakyat supaya membenci Sultan Johor.
  
Plaintif telah diwakili peguam Mohamad Zamri Ibrahim dan Mohd Fitri Asmuni sementara itu defendan diwakili oleh Datuk Firoz Hussein Jamaludin.  - Bernama