Wednesday, July 24, 2013

Al-Qaeda Iraq akui serang 2 penjara

Baghdad: Negara Islam Iraq, kumpulan yang ada hubungan dengan al-Qaeda semalam mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas dua penjara negara itu yang membolehkan ratusan militan, termasuk pemimpin kanan melarikan diri.
Serangan ke atas penjara Abu Ghraib di barat Baghdad dan Taji, di utara ibu negara Iraq itu turut mengorbankan lebih 40 orang, termasuk anggota keselamatan. 
“Mujahidin menyerang dua penjara terbesar selepas merancang selama beberapa bulan,” menurut kenyataan kumpulan itu, semalam.

Menurutnya, beratus-ratus tahanan, termasuk 500 militan ‘dibebaskan’ dalam serangan itu.

Ia juga menyatakan, operasi itu adalah yang terakhir dalam kempen untuk membebaskan tahanan dan menyasarkan pegawai sistem kehakiman Iraq.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pasukan keselamatan Iraq meningkatkan gerakan memburu tahanan itu sebelum mereka dapat menyertai semula kumpulan militan.

“Kegelapan menanti Iraq. Sebahagian daripada yang melarikan diri itu adalah pemimpin kanan al-Qaeda dan serangan dilakukan untuk membebaskan kumpulan pemimpin itu.

“Mereka yang berjaya melarikan diri sudah pasti melancarkan gerakan membalas dendam, termasuk serangan berani mati,” kata pegawai kanan keselamatan Iraq.

Dalam serangan yang kelihatan memang sudah dirancang, militan yang menanti di luar penjara melancarkan serangan selepas tahanan di dalam merusuh. - AP

Keganasan semakin buruk di Selatan Thai


NARATHIWAT - Selatan Thailand masih belum dapat melalui hari-hari dalam bulan Ramadan ini dengan aman walaupun gencatan senjata dilaksanakan melalui Inisiatif Keamanan Ramadan.

Hari ini dan semalam beberapa kematian akibat tindakan keganasan berlaku di beberapa tempat.

Ketua polis wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Polis Wichai Kasemwong berkata sepasang suami isteri beragama Buddha mati ditembak di Kampung Kokmuba, daerah Takbai, Narathiwat tengah hari ini.

Kejadian 1.30 tengah hari itu berlaku semasa NaiChuai Temmuak dan Prapa Sanguanpan sedang dalam perjalanan pulang ke pekan Sungai Golok dengan menunggang motosikal, kata beliau.

Wichai Kasemwong berkata kedua-duanya adalah mangsa balas dendam berikutan kematian seorang anggota puak pemisah RKK (Runda Kumpulan Kecil) yang mati ditembak pihak keselamatan dalam satu pertempuran beberapa hari lalu.

Sementara itu, di Pattani pula, Hama Che Awae, 43, seorang tukang kebun Lembaga Pentadbiran Mukim Klong Maning, daerah Muang Pattani mati ditembak dalam di hadapan rumahnya dalam kejadian pada 1.50 pagi tadi.

Ketua polis daerah Pattani, Kolonel Polis Tuandir Jutanon berkata mangsa pernah ditahan di bawah undang–undang darurat atas tuduhan keamanan tetapi dibebaskan mahkamah.

Kejadian masih dalam siasatan. Pada 8.30 pagi, Saari Maming, 53, cedera ditembak di kampung Raweng, Yarang Pattani.

Di Yala pula, mayat seorang lelaki ditemui di kampung Lidong, daerah Muang Yala.


Boleh dikatakan keadaan keganasan tidak berubah walaupun di bulan Ramadan atas sebab biasa sama seperti bulan-bulan lain, dan yang tidak berlaku ialah kes pengeboman harian sahaja, kata Isra News Agency dalam artikel bertajuk "Suasana Harmoni Sudah Hilang: Suara Dari Anggota Gerakan di Lapangan."

Menurut artikel itu melihat kembali perkembangan di selatan, dalam sepuluh hari pertama Ramadan terdapat dua kejadian tembakan yang menimbulkan keraguan di kalangan penduduk di selatan Thailand iaitu kematian seorang ustaz dalam kejadian tembakan di Benangkuwang Benansetar dan seorang lagi bekas tahanan kes keamanan yang cedera parah.

Ia disusuli kejadian pengeboman ke atas anggota tentera dan disusuli pula dengan pemburuan dan seorang suspek ditembak mati di daerah Jok Irong, Narathiwat.

Sejak itu pembunuhan ke atas rakyat awam secara kejam berlaku hampir setiap hari, katanya.

Menurut artikel itu, pihak kerajaan harus memberi perhatian bagi menyelesaikan masalah dan membetulkan salah faham di peringkat akar umbi yang merupakan titik permulaan utama bagi kedamaian sebenar. - Bernama

Tujuh korban protes Mesir


Tujuh korban protes Mesir
Penyokong Mursi membantah tindakan rampasan kuasa yang menggulingkan pemimpin kesayangan mereka, Mursi.
KAHERAH - MESIR - Seramai tujuh dilaporkan terbunuh dan lebih 20 cedera dalam satu pertempuran antara kumpulan penyokong dan penentang Presiden Mesir, Mohammed Mursi, kelmarin.

Menurut pegawai perubatan, pertelingkahan itu berlaku di Bandar Nasr dan Giza.

"Pertempuran tersebut berlaku selepas ratusan penyokong Mursi berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi membantah tindakan AS mencampuri hal ehwal dalaman Mesir.

Menurut laporan dipetik PressTV kedua-dua kumpulan itu turut membaling batu antara satu sama lain sejurus penyokong Mursi memasuki Dataran Tahrir sehingga polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Sebelum itu, anak perempuan Mursi, Shaimaa mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan udang-undang terhadap Jeneral Abdel Fatah Al Sisi dan tentera atas dakwaan menculik bapanya, Presiden Mesir yang sah.

Lebih 100 juta muslim di China

ALHAMDULILLAH
Lebih 100 juta muslim di China. Islam berkembang pesat disana, walaupun terdapat diskriminasi terhadap umat islam.

Lelaki ditemui mati, tangan dan kaki terikat


Lelaki ditemui mati, tangan dan kaki terikat
Anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis melakukan siasatan ke atas mayat seorang lelaki yang ditemui mati di Kampung Padang Siding dekat Arau, hari ini. Lelaki yang dipercayai berumur dalam lingkungan 20-an tersebut ditemui mati terikat pada tangga yang disandarkan pada sebatang pokok dalam kebun buah-buahan oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut pagi tadi. - Foto Bernama
KANGAR - Seorang lelaki ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat pada tangga yang disandar pada sebatang pokok manggis di sebuah kebun buah-buahan di Padang Siding dekat sini hari ini.

Mayat lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang bahagian matanya turut ditutup dengan ikatan kain ditemui kira-kira pukul 10 pagi oleh orang ramai yang kemudiannya melaporkan kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata lokasi kejadian hanya kira-kira 20 meter dari jalan raya utama dan punca kematian sedang disiasat.

"Tiada sebarang kesan luka pada mayat mangsa. Identiti mangsa belum diketahui dan tidak dapat diketahui sama ada mangsa itu warga tempatan atau rakyat asing," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan punca kejadian. - Bernama