Friday, January 1, 2016

SPRM Serah Kertas Siasatan SRC, RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 9:30 PM
Mohd Shukri Abdull

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)telah mengemukakan kertas siasatan kes SRC International dan kes RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Khamis.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata badan itu turut mengemukakan beberapa cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes yang melibatkan tiga kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara.

"Justeru itu, SPRM menaruh keyakinan tinggi kepada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk membuat keputusan secara profesional," katanya dalam kenyataan di sini,Khamis.

Bagi kes SRC International, katanya SPRM berpuas hati dengan keterangan daripada lebih 100 saksi.

Pada Rabu, SPRM membentangkan syor dan penemuan siasatan terhadap SRC International kepada panel bebas khas terdiri daripada lima anggota yang mewakili badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara.

"Mereka merupakan pakar dalam bidang undang-undang, perbankan, korporat dan juga bidang siasatan," kata Mohd Shukri.

Lima anggota berkenaan ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Zamani Abdul Ghani, bekas Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dan peguam bela dan peguam cara Datuk Zuraidah Atan.

Beliau berkata anggota panel berkenaan juga telah mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas kepada SPRM. SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata satu kertas siasatan berkaitan kes RM2.6 bilion membabitkan saksi-saksi di dalam negara juga telah selesai sepenuhnya selain memperoleh keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai penderma.

Bagaimanapun, katanya SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara.

Menurutnya dokumen dan keterangan itu hanya boleh diambil melalui proses Bantuan Perundangan Bersama MLA) kerana ia terikat kepada peruntukan undang-undang perbankan di negara berkenaan.

"Proses MLA hanya boleh dikeluarkan dengan persetujuan dan kebenaran Peguam Negara seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau berkata SPRM juga telah membuat permohonan di bawah MLA kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan dokumen dan keterangan itu.

Najib, Ab Rauf Berjaya Batalkan Saman Anina


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 6:56 PM
Anina Saadudin (kiri) diiringi peguamnya Haniff Khatri, ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada Khamis berhubung kes keputusan pemohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membatalkan saman berkaitan sumbangan RM2.6 bilion. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja parti, Datuk Ab Rauf Yusoh berjaya membatalkan saman yang difailkan bekas anggota Umno Langkawi Anina Saadudin terhadap mereka berhubung isu derma RM2.6 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib dan Ab Rauf untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan Anina tidak mempunyai kausa untuk memulakan tindakan undang-undang berkenaan kerana dia bukan pegawai awam atau pemegang jawatan dalam Umno.

Beliau memerintahkan Anina selaku plaintif membayar kos RM5,000 kepada setiap seorang defendan (Najib dan Ab Rauf). 

Mohd Zaki berkata beliau bersetuju dengan hujahan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib dan Ab Rauf bahawa mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966, sebarang prosiding terhadap sesebuah pertubuhan atau pemegang jawatannya hanya boleh dibawa oleh pegawai awam atau pemegang jawatan dalam pertubuhan itu.

"Fakta yang jelas ialah plaintif bukanlah pegawai awam Umno dan pemegang jawatan dalam Umno, dalam keadaan sedemikian plaintif tidak mempunyai kapasiti untuk membawa tindakan ini," katanya.

Mohd Zaki berkata untuk mengekalkan dan meneruskan samannya itu, Anina mestilah seorang pegawai awam dan pemegang jawatan dalam Umno, tetapi dalam kes ini Anina bukan lagi anggota Umno selepas keanggotaannya dalam Umno telah gugur apabila memfailkan saman mengikut Perkara 20.7 Perlembagaan parti.

Berhubung persoalan sama ada bolehkah seseorang yang bukan anggota pertubuhan membawa tindakan ke mahkamah bagi mewakili orang ramai untuk menguatkuasakan tanggungjawab yang gagal dilakukan pertubuhan itu, Mohd Zaki berkata sesuatu yang hendak dikuatkuasakan itu mestilah mempunyai kepentingan awam dan bukan sekadar isu dalaman parti.

"Berdasarkan penyata tuntutan dan afidavit plaintif (Anina), saya dapati perkara yang diminta oleh plaintif untuk dikuatkuasakan atau dilakukan oleh Umno adalah urusan dalaman pertubuhan itu.

"Perkara yang hendak dikuatkuasakan itu tidak menjadi kepentingan awam,walaupun tidak dinafikan setiap anggota Umno mempunyai kepentingan tetapi bukan semestinya menjadi kepentingan orang awam keseluruhannya," katanya.

Mohd Zaki berkata berdasarkan alasan itu, beliau mendapati writ dan penyata tuntutan Anina adalah jelas tidak dapat dipertahankan.

"Selepas pertimbangkan permohonan ini, afidavit dan hujahan kedua-dua pihak,saya dapati tindakan plaintif ini tidak mempunyai kausa, oleh itu saya membenarkan permohonan kedua-dua defendan dengan kos," katanya.

Terdahulu, Mohd Hafarizam memohon kos RM10,000 bagi setiap seorang defendanatas alasan kes itu telah menarik perhatian orang ramai berhubung isu dalaman parti itu, bagaimanapun peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Anina memohon supaya tiada perintah berhubung kos kerana kes itu hanya diperingkat permohonan dan tiada pernyataan pembelaan difailkan setakat ini.

Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Ab Rauf antara lainmenuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion (US$650 juta) yang dikatakan dimasukkan oleh presiden parti ke dalam akaun peribadinya di Singapura.

Najib dan Ab Rauf kemudian menfailkan permohonan untuk membatalkan saman atas alasan ia remeh, menyusahkan dan Anina tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk memfailkan saman itu kerana beliau bukan seorang pegawai awam Umno.

Di luar mahkamah, Mohamed Haniff dan Anina berkata mereka akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu, manakala Mohd Hafarizam pula berkata: "Ia adalah hadiah Tahun Baharu yang baik untuk Umno.". -Bernama

Sirul Azhar Tunggu Kelulusan Visa Perlindungan - Peguam


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 10:06 PM

KUALA LUMPUR: Pesalah kes bunuh Sirul Azhar Umar, yang berada dalam tahanan Imigresen Australia, masih menunggu kelulusan jabatan itu untuk mendapatkan visa perlindungan supaya dia dibebaskan daripada tahanan berkenaan.

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin berkata anak guamnya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan visa itu awal tahun ini, dan satu temu bual telah diadakan terhadapnya pada 25 November lepas oleh pihak Imigresen Australia.

"Anak guam saya mengemukakan permohonan visa perlindungan memandangkan statusnya yang kini berada dalam tahanan pihak Imigresen. Kami dimaklumkan bahawa proses untuk mendapatkan visa itu masih berjalan sehingga kini," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Mengulas lanjut mengenai visa perlindungan itu, Kamarul berkata visa itu bukan bermaksud Sirul Azhar cuba mencari perlindungan di Australia sebaliknya ia merupakan satu kelas visa. 

"Visa perlindungan merupakan satu daripada kelas visa. Ia boleh dipohon oleh sesiapa sahaja yang ingin tinggal di Australia lebih lama sekiranya visa lawatan sosial mereka tamat tempoh," kata peguam itu.

Beliau berkata visa lawatan sosial Sirul Azhar telah tamat tempoh awal tahun ini.

Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah Hadri kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Namun pada hari mahkamah membuat keputusan, Sirul Azhar tidak hadir kerana telah melarikan diri ke Australia.   

Bagaimanapun, dia ditahan pada 20 Januari lepas oleh pegawai Imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah.

Dia kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.-Bernama

AGC Terima Dokumen 1MDB - Khalid


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 12:14 PM
Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima dokumen berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari rakan sejawatannya di Thailand, termasuk maklumat yang dikongsi bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo dengan Sarawak Report.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dokumen itu diserahkan oleh Jabatan Peguam Negara Thailand pada Khamis.
"Kami sedang menunggu AGC untuk meneliti dokumen itu sebelum menyerahkannya kepada kami.
"Dokumen itu termasuk maklumat yang dikongsi Justo bersama pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan juga transkrip soal siasat antara polis Malaysia dengannya di Thailand baru-baru ini," katanya di Bukit Aman pada Khamis.
Khalid berkata dokumen tersebut akan disemak oleh polis sebelum siasatan dilengkapkan.
Pada 15 Disember lalu, polis Malaysia dilihat memasuki penjara di Bangkok pada pukul 10 pagi waktu tempatan untuk bertemu Justo.
Pasukan polis Malaysia diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh.
Pada 17 Ogos lalu, Justo dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok kerana mencuri data termasuk e-mel, dokumen dan beberapa bahan lain milik PetroSaudi International.
Polis Malaysia cuba merekodkan kenyataannya sejak beberapa bulan lalu.

1MDB Jual 60 Peratus Ekuiti Bandar Malaysia


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 12:00 PM

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham dengan menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah konsortium bernilai RM7.4 bilion, langkah terakhir dalam pelan rasionalisasi tersebut.
Pembeli tersebut, sebuah konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd, merupakan usaha sama 60:40 antara Iskandar Waterfront Holding Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation.
Satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan 1MDB sebelum bermulanya majlis pada pagi Khamis, berkata perjanjian itu menandakan pencapaian terakhir dalam pelan rasionalisasi 1MDB seperti yang dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei lalu.
Menurut kenyataan itu, IWH-CREC Consortium menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia yang terletak di Sungai Besi pada harga RM12.35 bilion.
"Oleh itu, nilai bersamaan 60 peratus tanah adalah RM7.41 bilion dan 1MDB dan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta selepas pelaksanaan perjanjian.
"Urus niaga transaksi ini dijangka lengkap menjelang hujung Jun tahun depan," katanya pada majlis menandatangani perjanjian urus niaga, di sini, pada Khamis.

Hutang 1MDB Berkurangan Sebanyak RM40.4 Bilion - Najib


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 10:13 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata paras hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini telah berkurangan sebanyak RM40.4 bilion berikutan pemeteraian beberapa perjanjian oleh syarikat itu setakat ini.

Dalam perutusan tahun baharu beliau pada Khamis, Najib turut menyuarakan rasa puas hati dengan perkembangan yang dijanjikannya sebelum ini bahawa isu hutang 1MDB berkenaan akan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun.

"Pada Jun lepas, saya berkata bahawa cabaran yang dihadapi 1MDB itu dapat diselesaikan menjelang akhir tahun.

"Oleh itu saya ingin mengesahkan yang syarikat itu sudah menandatangani perjanjian yang menyaksikan hutangnya berkurangan sebanyak kira-kira RM40.4 bilion.

"Angka ini mewakili sebahagian besar daripada hutang 1MDB," katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan paras hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion, berdasarkan akaun kewangan yang diaudit setakat 31 Mac, 2014.

Perjanjian terbaharu ditandatangani pada Khamis antara 1MDB dengan konsortium usaha sama Iskandar Waterfront Holdings (60 peratus) dan China Railway Engineering Corp (40 peratus), melibatkan penjualan 60 peratus pegangan ekuiti dalam Bandar Malaysia yang membabitkan pengurangan hutang sebanyak RM7.1 bilion.

Menurut Perdana Menteri, apa yang jelas adalah cabaran besar yang dihadapi 1MDB sebelum ini sudah berlalu sepertimana yang dijanjikannya, sebelum ini.

"Apa yang tinggal adalah untuk semua perjanjian itu dimuktamadkan dan langkah akhir bagi pelan rasionalisasi 1MDB itu dapat diselesaikan," katanya.

Selain penjualan Bandar Malaysia, 1MDB juga bersetuju untuk menjual segmen tenaganya, Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corp padaharga RM9.83 bilion, November lepas.

Ia turut memeterai perjanjian dengan International Petroleum Investment Co(IPIC) yang menyaksikan syarikat Abu Dhabi itu mengambil alih obligasi bonbernilai US$3.5 bilion. -Bernama

Gereja minta maaf selepas paderi tunggang 'hoverboard'

Manila: Gereja Katolik Filipina memohon maaf selepas seorang paderi dirakam menaiki ‘hoverboard’ ketika mengetuai satu upacara di sebuah gereja ketika Krismas lalu.
Rakaman video yang viral di media sosial itu menunjukkan paderi Albert San Jose menyanyi lagu Krismas sambil menaiki ‘hoverboard’ di dalam gereja.
Gereja itu dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian berkenaan berlaku di gereja Miraculous Medal di Binan kira-kira 30 kilometer dari Manila.
“Tindakan ini adalah salah. Upacara itu sepatutnya dilakukan dengan penuh hormat kerana ia antara upacara yang paling suci.
“Upacara ini bukan satu perayaan individu dan menonjolkan sesuatu untuk menarik perhatian orang ramai,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, paderi terbabit juga meminta maaf dan mengakui tindakannya itu adalah salah.
“Ini adalah satu peringatan kepada paderi berkenaan dan dia berjanji perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, paderi berkenaan turut digantung tugas sebagai hukuman terhadap tindakannya itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:28 AM


GAMBAR menunjukkan Jose menunggang ‘hoverboard’ ketika upacara sempena Krismas di sebuah gereja di Binan, Filipina.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103702#sthash.xd2xm76M.dpuf