Wednesday, August 17, 2011

AS tuduh Pakistan beri China sampel helikopter

ISLAMABAD 16 Ogos - Badan perisikan Pakistan menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) kononnya tentera China dibenarkan mengambil gambar dan sampel daripada bangkai sebuah helikopter Black Hawk yang musnah dalam serangan untuk membunuh Osama bin Laden pada Mei lalu.
Pegawai AS percaya Pakistan secara rahsia membenarkan tentera China memeriksa bangkai helikopter yang diubah suai itu yang terhempas di pekarangan rumah persembunyian Osama di Abbottabad.
Akhbar New York Times (NYT) memetik sumber perisikan AS sebagai berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan panggilan telefon yang dipintas.
Helikopter tersebut kemudiannya diletupkan oleh komando khas AS untuk mencegahnya daripada terjatuh ke tangan negara asing.
Seluruh sistem elektroniknya dimusnahkan tetapi bahagian ekor helikopter itu masih utuh.
Seorang pegawai perisikan Pakistan menyifatkan laporan NYT itu sebagai 'tidak berasas' dan 'spekulasi tidak membantu membina hubungan'.
Bagaimanapun sejurus selepas pembunuhan Osama, para pegawai Pakistan yang marah kerana serangan itu dirahsiakan daripada mereka, membayangkan tentera China mungkin dibenarkan memeriksa bangkai helikopter tersebut.
Islamabad menjalin hubungan erat dengan tentera China dan membenarkan jurutera China bekerja di pangkalan tentera Pakistan.
Kedua-dua negara juga menjalin hubungan ekonomi yang semakin erat, dengan syarikat China banyak melabur dalam sektor infrastruktur dan telekomunikasi di Pakistan.
Jika laporan NYT itu sah, ketegangan antara Islamabad dengan Washington berhubung serangan untuk membunuh Osama dijangka meningkat lagi. - Agensi, utusan

GCM buat enam laporan polis

LAPOR...Zainuddin menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung gerakan memurtadkan orang Islam di IPD Shah Alam, semalam.
LAPOR...Zainuddin menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung gerakan memurtadkan orang Islam di IPD Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM: Enam laporan polis dibuat Gerakan Cegah Murtad (GCM) di beberapa balai polis berhubung kegiatan sesetengah pihak yang berniat memurtadkan umat Islam di negeri ini, di sini, semalam.
Timbalan Presiden Pertubuhan Penggerak Transformasi Malaysia (Pertama), Zainuddin Muhammad membuat laporan polis bersama beberapa anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Beliau berkata, program yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, pada 3 Ogos lalu mempunyai agenda halus untuk mengembangkan Kristian di kalangan penganut Islam.

Katanya, jika perkara itu (memurtadkan orang Islam) tidak dicegah, gerakan bagi menyatukan rakyat melalui gagasan 1Malaysia juga tidak mungkin akan berjaya.

“Walaupun Malaysia memberi kebebasan beragama diamalkan, percubaan halus memurtadkan orang Islam sangat melampau dan mesti dihalang kerana ia salah di sisi undang-undang.

“Kami (GCM) mendesak supaya polis dan pihak lain yang bertanggungjawab menyiasat perkara ini dengan terperinci,” katanya.


Menurut Zainuddin, agama Islam adalah agama Persekutuan dan kes ini bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya GCM tidak akan berdiam diri membiarkan pihak yang sepatutnya dihadapkan ke muka keadilan terlepas begitu saja tanpa hukuman setimpal.

“Kami membuat laporan ini supaya siasatan dan tindakan undang-undang diambil, namun jika tiada siasatan dijalankan, kami akan terus bertindak supaya perkara ini boleh dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri untuk siasatan.

“Selain itu, kami tidak mahu isu ini dipolitikkan kerana agama tidak harus menjadi alat untuk berpolitik,” katanya.-hmetro

Sarjan nafi tendang kemaluan suspek

SURESH (depan) dan Sarawanan   dibawa  ke  Mahkamah Tinggi Jenayah 8, Shah Alam, semalam.
SURESH (depan) dan Sarawanan dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 8, Shah Alam, semalam.

Saksi tinggal senjata dalam kereta ketika soal siasat 

SHAH ALAM: Seorang anggota polis semalam menafikan membawa pistol ketika menyoal siasat suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, sebaliknya pistol itu ditinggalkan dalam keretanya di Balai Polis Selayang.
Sarjan N Thiagarajan, 46, dari Cawangan D6 Bukit Aman, berkata beliau tidak membawa pistol ketika menemu bual tertuduh keempat, R Khatavarayan, 31, kerana lokasi temubual itu adalah tempat larangan membawa pistol.
Thiagarajan berkata, beliau meletakkan pistolnya dalam kereta di pekarangan balai polis kerana ada pengawal balai dan biasa meninggalkan pistolnya dalam kereta jika ada sesi temu bual dengan mana-mana suspek. 

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Thiagarajan menafikan beliau dan pegawai atasannya, Cif Inspektor N Govindan memasukkan pistol ke dalam mulut Khatavarayan untuk mengugutnya. 

Beliau yang sudah 26 tahun berkhidmat dengan PDRM, turut menafikan memukul dan menendang kemaluan Khatavarayan dan tertuduh kedua, T Thilaiyalagan, 20. 

Disoal mengenai gambarnya mengepit kepala Thilaiyalagan di atas jambatan Sungai Kampung Endah, Thiagarajan berkata, beliau berbuat demikian atas permintaan tertuduh sendiri bagi mengelakkan gambarnya dirakam media. 
“Sebab itu saya pegang kepala dan lehernya, manakala polis lain pegang baju tertuduh sebagai langkah keselamatan kerana takut mereka melarikan diri,” katanya. 

Thiagarajan juga tidak bersetuju kedua-dua suspek tidak diberi makan dan minum sepanjang dibawa ke Ladang Gadong serta beberapa lokasi lain di antara 11 dan 14 September 2010. 

Disoal apakah kaedah menemu bual Khatavarayan; Thiagarajan berkata, beliau menggunakan kaedah temu bual biasa. 
Disoal peguam bela Gurbachan Singh, yang mewakili Thilaiyalagan, Thiagarajan mengakui beliau tidak mempunyai bukti untuk mengesahkan dia menyimpan pistolnya di dalam kereta. 

Thiagarajan juga bersetuju mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara, beliau tidak dibenarkan menyimpan pistol dalam kereta, selain mengakui ada stor senjata di balai polis untuk menyimpan dan mengambil senjata. 

Disoal seorang lagi peguam bela Amer Hamzah, Thiagarajan menafikan keterangannya meninggalkan pistol dalam kereta adalah rekaan semata-mata. 

Sementara itu, prosiding semalam turut hangat dengan pertengkaran mulut antara Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan peguam bela Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili tertuduh pertama, bekas peguam, N Pathmanabhan, 42. 

Pertikaman lidah itu berlaku apabila disoal, Thiagarajan berkata, suspek tidak bergari ketika soal siasat, manakala Govindan dalam keterangannya berkata suspek bergari. 

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian menegur kedua-dua mereka dengan berkata: “Bila saya bercakap, kamu jangan bertengkar. Jika mahu bergaduh, saya beri lima minit gaduh di luar mahkamah.” 

Ishak mengajak Manjeet keluar, namun Manjeet menjelaskan beliau tidak perlu berbuat demikian kerana dia seorang peguam. Akhtar membenarkan Ishak untuk menenangkan dirinya di luar. 

Terdahulu, Govindan yang menyambung keterangannya menegaskan beliau akan mengaku jika benar mendera suspek. 

Govindan juga tidak bersetuju beliau menggunakan senjata dalam siasatan di IPD Gombak serta beliau dan pasukannya menggunakan kekasaran terhadap tertuduh kedua, Thilaiyalagan dan tertuduh keempat, Khatavarayan. 

Mahkamah kemudian diberitahu ada percanggahan keterangan Govindan dan diari lokap yang membabitkan waktu dan urutan masa Thilaiyalagan, tertuduh ketiga, R Matan dan Khatavarayan serta saksi pendakwaan ke-29, U Suresh, dibawa keluar untuk disoal siasat pada 11 September 2010. 

Manjeet mengemukakan diari lokap dan meminta Govindan membacakan waktu keempat-empat mereka dibawa keluar dari lokap pada tarikh itu. Apabila Govindan membaca diari itu, masa tercatat pada diari ketika Khatavarayan dibawa keluar adalah jam 1.10 petang dan bukannya 12.10 tengah hari seperti dalam keterangan Govindan sebelum ini. 

Govindan berkata, beliau membawa keluar Khatavarayan pada jam 12.10 tengah hari tetapi bukan beliau yang menulis catatan dalam diari itu. 

Beliau juga memberitahu mahkamah beliau dan ahli pasukannya tidak mempunyai sebarang kepakaran atau kemahiran dan sebagai anggota Bahagian D6, tugas mereka adalah untuk membantu siasatan dan memberikan bantuan teknikal kepada pegawai penyiasat. 

Ditanya Manjeet sama ada beliau tahu mengenai teknik menyoal siasat seperti teknik Ried, teknik polis jahat dan polis baik atau penggunaan getah paip yang dibalut dengan pita dan digunakan untuk memukul telapak kaki suspek, Govindan berkata, beliau tidak tahu. 

Perbicaraan bersambung esok. -bharian

Kesihatan Sonia Gandhi jadi misteri



SONIA GANDHI


NEW DELHI - Sejak pengumuman tergempar pada 4 Ogos lalu bahawa ahli politik paling berkuasa di India, Sonia Gandhi akan menjalani pembedahan di Amerika Syarikat (AS), tahap kesihatannya terus dirahsiakan daripada umum.
Sikap berdiam diri media India mengenai keadaan pemimpin berusia 64 tahun itu dan keengganan parti pemerintah, Parti Kongres untuk memberikan maklumat menimbulkan beberapa persoalan negatif berhubung ketelusan di India, negara demokrasi terbesar di dunia.
Kebebasan media dan amalan keterbukaan menjadi kebanggaan di negara itu dan situasi tersebut berbeza daripada negara-negara lain di Asia Selatan.
"Saya sungguh terkejut melihat dalam sesi penerangan biasa Parti Kongres, pihak media tidak meminta maklumat atau mendesak maklumat mengenai keadaan Sonia Gandhi," kata editor akhbar Business Standard, Sanjaya Baru.
"Pihak media mendiamkan diri mengenai keadaan kesihatan Sonia dan beliau merupakan ahli politik paling penting dalam negara ini," tambahnya semasa muncul dalam satu sesi debat di saluran televisyen CNN-IBN.
Sonia yang dilahirkan di Itali merupakan balu bekas perdana menteri India, Rajiv Gandhi yang mati dibunuh.
Beliau merupakan Presiden Parti Kongres dan pengerusi pentadbiran campuran India.
Sejak Sonia dimasukkan ke hospital, beberapa penasihat pemimpin berkenaan mengesahkan beliau berada di unit rawatan rapi selama 24 jam.
Menurut mereka, wanita itu kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan di satu lokasi rahsia dipercayai di New York, AS.
Sebelum ini sebuah majalah tempatan, Tehelka melaporkan bahawa Sonia menjalani pembedahan di Pusat Kanser Memorial di New York manakala sebuah akhbar tempatan lain, Deccan Herald pula memberitahu pemimpin itu menjalani pembedahan akibat kanser servik.
Dinasti Gandhi yang berasal daripada perdana menteri India yang pertama Jawaharlal Nehru tidak mempunyai kaitan dengan bapa kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.
Dinasti itu memiliki pengaruh besar dalam sejarah pasca kemerdekaan India.
Tiga anggota keluarga Gandhi pernah menjadi perdana menteri India dengan anak lelaki Sonia, Rahul Gandhi, 41, dikatakan akan menduduki kerusi perdana menteri negara itu. - AFP, kosmo

Susilo pertahan reputasi toleransi agama



JAKARTA - Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam mempertahankan reputasi kepelbagaian agama di Indonesia selepas pentadbirannya dikritik kerana gagal menangani jenayah kebencian agama.
Dalam ucapan sempena Hari Kemerdekaan Indonesia, Susilo berkata, keharmonian beragama di negara berpenduduk majoriti Islam itu kini berdepan pelbagai ancaman.
Beliau bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kepada golongan minoriti yang kerap menjadi mangsa serangan ekstremis agama sejak beberapa bulan lalu.
"Walaupun timbul cabaran dan ancaman terhadap kepelbagaian agama, toleransi serta keharmonian sosial, kita tidak boleh berganjak daripada kepercayaan kita bahawa Indonesia adalah sebuah negara yang mampu untuk hidup dalam kepelbagaian agama," katanya dalam ucapannya itu.
Ucapan beliau disampaikan selepas beberapa kumpulan hak asasi manusia berang berhubung hukuman ringan yang dijatuhkan ke atas beberapa penduduk yang membunuh tiga pengikut mazhab minoriti pada Februari lalu.
Sebuah mahkamah memenjarakan 12 pengikut mazhab Sunah masing-masing di antara tiga hingga enam bulan walaupun mereka menyerang dengan ganas beberapa pengikut mazhab Ahmadiyah di depan polis.
Mahkamah sama kelmarin memenjarakan seorang mangsa pengikut Ahmadiyah yang selamat dalam serangan itu selama enam bulan kerana mempertahankan dirinya dan rakan-rakannya.
Keputusan mahkamah berkenaan yang dilihat berat sebelah dikritik oleh Amerika Syarikat- AFP, kosmo