Thursday, August 19, 2010

Penderhaka sebenar ialah yang menipu rakyat


Zahid sifatkan Nurul Izzah penderhaka

BAGAN DATOH: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, sebagai penderhaka kepada negara kerana mengeluarkan kenyataan palsu mengenai aset pertahanan negara di luar negara. 

“Kenyataan itu amat jijik, tidak bermaruah dan beretika yang bertujuan memburukkan imej negara di mata dunia,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Jamek, Sungai Keli Hutan Melintang, dekat sini, malam tadi.Beliau mengulas tuduhan Nurul Izzah dalam temubual bersama akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lalu kononnya kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman, masih tidak boleh menyelam selain mendakwa aset canggih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sebagai usang dan terpakai.Berikutan kenyataan itu, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dilaporkan berkata Ketua Sel Pasukan Kapal Selam TLDM, Kapten Abdul Rahman Ayub, membuat laporan polis berhubung pembohongan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Balai Polis Hulu Kelang. 

Ahmad Zahid berkata, beliau kesal dengan kenyataan palsu berkenaan dan menegaskan seseorang Ahli Parlimen sepatutnya mempunyai tata etika dan bercakap sesuatu yang benar mengenai negara ketika berada di negara luar. 

“Tetapi cara beliau (Nurul Izzah) memburuk-burukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mempunyai agenda politiknya tersendiri. 

"Kedudukan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman sudah beberapa kali saya jelaskan di Parlimen, saya sebut kapal selam itu boleh menyelam, kalau tak mana boleh sampai dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar di Sabah,” katanya. 
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata tindakan TLDM membuat laporan polis amat wajar bagi membersihkan nama baik ATM. 

Beliau memberi amaran kepada semua Ahli Parlimen terutama dari parti pembangkang supaya jangan cuba mempolitikkan isu pertahanan negara yang boleh menganggu-gugat keselamatan negara. 

"Walaupun ahli politik mempunyai perbezaan pendapat tetapi janganlah cuba mengeksploitasi perkara yang benar dengan kenyataan berunsur palsu," katanya. 

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh melawat Ketua Kampung Kota, Syed Shabahar Syed Mohamad, 45, cedera ditembak lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya pada 9 Ogos lalu. 

UMNO PP protes guna nama KM dalam khutbah


19/08/2010 8:17pm

KEPALA BATAS 19 Ogos - Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.
Beliau berkata, tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.
"Lazimnya lafaz doa bagi khutbah kedua dibacakan untuk ketua negeri atau ketua agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di sini hari ini.
Setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu tetapi segala bukti berhubung perkara berkenaan memang ada, katanya.
Selain itu Ahmad Zahid turut mempersoalkan tindakan ketua menteri yang hadir pada majlis pengagihan wang zakat yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.
"Walaupun niat kerajaan negeri adalah untuk menggambarkan bahawa beliau (ketua menteri) seorang yang fleksibel tetapi mungkin ia mempunyai agenda tersembunyi bagi tujuan politik,” katanya. - Bernama

Ahli politik jangan mempolitikan isu pertahanan negara



BAGAN DATOH - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua Ahli Parlimen dan pemimpin politik tidak mempolitikkan isu pertahanan negara dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada hakikat sebenar.

"Walaupun kita sering berbeza pendapat tetapi biar perkara (kenyataan) yang benar, jangan sampai menjejaskan imej negara terutama yang melibatkan aset pertahanan negara," katanya.

Beliau berkata, wakil semua parti politik seharusnya tidak mempolitikkan isu pertahanan negara.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengulas tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan wartawan akhbar Malay Mail, Marhalim Abas berhubung dakwaan kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, mereka yang membuat dakwaan itu kini terdedah kepada tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan palsu.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen PKR itu adalah perbuatan tidak beretika dan bermaruah malah boleh dianggap sebagai perderhaka kepada negara kerana membuat dakwaan palsu mengenai aset pertahanan negara di mata dunia.

Kenyataan Nurul Izzah yang memburukkan imej pertahanan negara itu dilaporkan akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lalu.

Pornthip yakin Beng Hock tidak bunuh diri


SHAH ALAM – Pakar Patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand yakin Teoh Beng Hock tidak membunuh diri bagaimanapun pakar itu gagal mempertahankan teorinya sebelum ini bahawa 80 peratus berkemungkinan Beng Hock dibunuh. 

Pornthip dalam keterangannya kali ini tidak memberi peratusan punca kematian berdasarkan laporan bedah siasat kedua mayat Beng Hock yang dilakukan pada November tahun lalu. 

Beliau disoal peguam mewakili kerajaan Negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dalam inkues kematian Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini, semalam. 

Jika tidak sebelum ini beliau mengatakan 80 peratus terdapat homisid dalam kes Beng Hock manakala 20 peratus membunuh diri. 

Keterangan itu bertentangan dengan pendapat empat pakar lain yang mendokong teori Beng Hock membunuh diri jika dilihat berdasarkan kecederaan. 

Jika sebelum ini, Pornthip mengatakan pendapatnya berkemungkinan Beng Hock dicekik tetapi kali ini beliau berkata kesan calar pada leher mendiang disebabkan daya dan tekanan lebih kuat daripada perbuatan cekik. 

“Kesan itu mungkin disebabkan oleh benda tumpul seperti keadaan seseorang meletakkan sesuatu di leher (Beng Hock) atau kepalanya ditekan pada sesuatu,” kata Pornthip. 

Selain pakar patologi, Pornthip juga Pengarah Institut Sains Forensik, Jabatan Kehakiman Thailand menafikan bahawa kecederaan di leher boleh berlaku akibat kesan jatuh memandangkan bahagian leher adalah tersembunyi. 

Selain itu Pornthip berkata, kesan koyak di dubur dan kecederaan bahagian punggung Beng Hock adalah disebabkan akibat jatuh bukan kerana ditusuk dengan objek seperti teorinya sebelum ini. 

Walaupun Pornthip mempertahankan pendapatnya mengenai kecederaan sebelum kejatuhan itu tetapi beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Beng Hock sedar semasa jatuh.: 

Beliau memberitahu, tiada keretakan teruk pada pergelangan tangan seolah Beng Hock mempertahankan diri dengan tangan semasa jatuh. 

Sehubungan itu beliau tidak bersetuju dengan pandangan pakar forensik Britain, Dr Peter Vanezis yang dilantik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mendiang mendarat dengan kedua-dua kakinya dan sedar semasa jatuh. 

Begitu juga peratusan punca kematian, Pornthip tidak dapat menyatakannya memandangkan beliau tidak melawat lokasi kejadian malah tidak menyentuh mayat semasa bedah siasat kedua yang dijalankan pakar patologi, Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor. 

Namun Pornthip yakin, Beng Hock bukan membunuh diri. 

Selesai disoal Malik Imtiaz, Pornthip menjawab soalan peguam mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo mengenai sesuatu nota sekiranya ditemui di tempat kejadian seseorang membunuh diri. 

Menurut pakar itu, berdasarkan protokol lazim siasatan lokasi jenayah, sekiranya menemui sesuatu nota bunuh diri di tempat kejadian haruslah dilakukan siasatan segera termasuk menguji DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan kemudian ujian analisis tulisan dilakukan. 

Bagaimanapun baginya terlalu kecil sekiranya sesuatu nota itu boleh memberi kesan ke atas siasatan kerana dianggap bersifat emosi justeru beliau lebih memihak kepada bukti saintifik. 

Selesai sesi soal jawab itu, Pornthip diasak soalan demi soalan peguam SPRM, Datuk Abdul Razak Musa yang lebih menekankan kepada teori ‘pembunuhan’ yang diutarakan Pornthip. 

Berhubung kesan cekik, Abdul Razak mencadangkan kepadanya bahawa Beng Hock mencekik dirinya sendirinya memandangkan empat pakar sebelum ini mengatakan tiada bukti cekik.: 

Justeru Abdul Razak mencadangkan keterangan Pornthip itu semata-mata berdasarkan imaginasi sendiri kerana ketidaktetapan pendapat. 

Tambahan pula kata Abdul Razak, beliau tidak menyediakan laporan punca kematian Beng Hock. 

“Tidak. Ia berdasarkan kerja saya,” kata Pornthip yang turut dipertikaikan kewibawaannya oleh Abdul Razak berikutan seolah-olah mencabar kepakaran Dr Peter Venazis dengan teorinya itu. 

Inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 1 September depan.

Konvoi Gaza selamat pulang



KUALA LUMPUR - Misi Konvoi Ramadan di Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) selamat pulang ke tanah air selepas mengadakan lawatan selama 13 hari, termasuk lima hari di Genting Gaza, semalam. 

Konvoi dianggotai 44 peserta itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 malam. 

Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Hamid berkata, semua peserta konvoi bersyukur dengan kejayaan misi yang berjalan lancar. 

Konvoi kemanusiaan itu memasuki Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir pada 10 Ogos lalu dan meluangkan masa selama lima hari di wilayah Palestin itu bagi menjalankan tinjauan mengenai keadaan semasa di Gaza. 

Antara aspek penting yang dikaji termasuk keperluan bantuan seperti makanan, kesihatan, pendidikan, pembangunan masjid, wanita dan kanak-kanak, ekonomi dan politik, infrastruktur dan hak asasi. 

Misi itu juga berjaya membina kesepakatan konkrit antara Mapim dan kerajaan Gaza apabila Mapim menerima kerjasama baik daripada kerajaan Gaza dalam beberapa projek termasuk pembinaan hospital kanak-kanak serta projek bandar dan masjid berkembar antara Gaza dan Selangor.

Israel bunuh budak




BAITULMAQDIS - Mahkamah Baitulmaqdis memutuskan bahawa rejim Zionis bertanggungjawab atas kematian seorang budak perempuan berumur 10 tahun pada 19 Januari 2007. 

Dalam kejadian itu, Abir Aramin dilaporkan berdiri tidak jauh dari tempat penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan di kem pelarian Anata, Tebing Barat, tidak berapa jauh dari Baitulmaqdis, Israel. 

Sebutir peluru sesat terkena budak perempuan itu dan dia meninggal dunia akibat kecederaan parah di Hospital Baitulmaqdis, dua hari kemudian. 

Pada mulanya, tentera dan polis Israel bertegas mengatakan Abir sebenarnya cedera terkena batu yang dibaling penunjuk perasaan Palestin. 

Bapa budak itu, Basam Aramin adalah bekas pejuang Fatah dan pengasas Tentera Keamanan yang dianggotai bekas tentera Israel dan Palestin yang memperjuangkan perdamaian antara kedua-dua pihak.

Felcra tidak tipu rakyat: Tajuddin



SHAH ALAM – Tidak berlaku sebarang penyelewengan dan kepincangan dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) seperti yang didakwa Pengerusi Biro Pembangunan Tanah dan Wilayah Pas Pusat, Mazlan Aliman. 

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahma berkata, jika segala dakwaan yang dikemukakan itu benar, pasti pihak berkuasa atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan siasatan menyeluruh terhadap agensi kerajaan ini. 

“Namun tidak ada siasatan daripada pihak berkuasa itu, kemukakan semua aduan yang dilaporkan, jangan bercakap tanpa bukti, laporan yang dibuat mesti di atas sebab yang kukuh. 

“Nasihat saya kepada pembangkang, hentikanlah permainan politik kotor dengan membuat tohmahan yang tidak berasas, tidak kiralah mana-mana isu sekalipun, tingkatkan kualiti untuk berpolitik,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam. 

Menurutnya, pembangkang tetap tidak akan berpuas hati dan akan terus ’membongkar’ sesuatu untuk kepentibngan politik mereka. 

Tajuddin berkata, semua yang dilakukan pembangkang adalah untuk meraih undi rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. 

”Tidak mungkin institusi yang ternama seperti Felcra akan menipu rakyat lebih-lebih lagi kaum Melayu. 

“Alasan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, tapi apa yang penting, kemukakan bukti kepada Felcra,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, isu yang sama selepas siri Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didedahkan oleh pembangkang. 

“Jika terdapat penyalahgunaan kuasa di dalam Felcra pasti kerajaan telah menangani dan bersedia untuk memperbaiki segala kepincangan berkenaan dengan sebaik mungkin. 

“Semuanya bermotifkan politik, bermacam cara digunakan oleh pihak pembangkang untuk menarik perhatian pengundi,” katanya lagi apabila mengulas tentang pendedahan yang dilakukan oleh Pas. 

Di peringkat Felda, katanya, jika wujud masalah-masalah dalam kalangan peserta Felda, segala permasalahan sepatutnya dirujuk kepada jawatankuasa yang ditubuhkan, terdapat saluran dikhaskan untuk peneroka. 

Ahmad berkata, tuduhan yang dilemparkan harus diteliti dengan telus kerana pasti mempunyai motif di sebaliknya, dan beliau yakin, kerajaan tidak akan menipu rakyat. 

Kelmarin, Alimin mendedahkan wujudnya penyelewengan berlaku dalam Felcra menjejaskan kredibiliti institusi pemulihan tanah di negara ini. 

Setakat ini, Alimin mendakwa mengenalpasti 22 penyelewangan berlaku di agensi kerajaan itu, termasuk mempunyai dokumen bagi membuktikannya. 

Antara dakwaan salah laku itu termasuk pembelian 20,000 ekar estet di Sabah dan pelaburan RM17 juta bagi membeli bon tanpa mendapat kelulusan. 

Selain itu berlaku salah urus tadbir dalam unit perniagaan khas Felcra Berhad dan koperasi pesertanya.

Israel tidak berani lancar serangan: Hossein

MANAMA: Duta Iran ke Bahrain, Hossein Amirabdolahian, mengutuk ancaman Israel untuk berperang dengan negaranya dan menganggap amaran itu dibuat kerana kebimbangan mereka dimusnahkan.
“Perang psikologi Israel dibuat hasil daripada ketakutan mereka. Israel tidak berani melancarkan serangan ke atas Republik Islam Iran.
“Jika mereka mengambil tindakan agresif sekecil mana pun, Israel akan menerima padah,” katanya dipetik agensi berita Fars, semalam.

Kenyataan itu dibuat selepas Hossein bertemu Speaker Parlimen Bahrain, Khalifa Ahmad al-Zahrani.

Menurut Hossein, kestabilan dan keselamatan di rantau itu tetap menjadi keutamaan Iran.

“Masalahnya, kuasa besar dunia tidak pernah jemu bersungguh-sungguh menghalang negara di Timur Tengah menjalin hubungan akrab demi kepentingan mereka,” katanya. Menurut Hossein, AS dan sekutunya memperoleh keuntungan besar hasil ketegangan dan konflik di Timur Tengah, selain sengaja mencetuskan suasana tidak stabil. Sementara itu, Khalifa Ahmad berkata, memerangi keganasan menjadi keutamaan dalam kerjasama Bahrain dengan Iran.

Pada masa sama, katanya, Bahrain juga berusaha mengukuhkan hubungan kedua-dua negara. - Agensi

Cepat serang Iran: Bekas duta AS

WASHINGTON: Israel mempunyai masa ‘lapan hari’ untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear Iran di Bushehr dan menghentikan usaha negara itu mengaktifkan loji berkenaan.
Menurut bekas Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, John Bolton, jika tindakan itu tidak diambil, Israel mungkin ‘terlewat’ untuk berbuat apa-apa.
“Apabila uranium dan bahan lain berada di reaktor itu, sesuatu serangan akan menyebabkan radiasi tersebar dan terkena orang awam Iran,” katanya kepada stesen Fox Business Network, semalam.

Justeru, kata Bolton, jika Israel mahu bertindak ke atas loji nuklear Iran di Bushehr itu, ia mesti dilakukan dalam tempoh lapan hari akan datang.

Tanpa tindakan itu, katanya, Iran akan mencapai sesuatu yang tidak pernah dimiliki mana-mana musuh Israel dan AS di Timur Tengah, iaitu reaktor nuklear.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada dia yakin Tel Aviv akan melakukan serangan ke atas Iran dalam tempoh itu, Bolton jelas meraguinya.

“Saya tidak fikir mereka akan menyerang dan nampaknya Israel akan terlepas peluang begitu saja,” katanya.

Bekas duta kontroversi itu turut mengecam Russia kerana peranan mereka membantu Iran membangunkan loji berkenaan.

“Seperti biasa, Russia memainkan peranan bertentangan daripada yang sepatutnya,” katanya. - Agensi

Felcra didakwa seleweng



KUALA LUMPUR – Pas mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra). 

Pengerusi Biro Pembangunan Tanah dan Wilayah Pas Pusat, Mazlan Aliman mendakwa, kedudukan Felcra sebagai institusi pemulihan tanah di negara ini semakin kritikal apabila berlaku ‘ketidakadilan’ kepada peserta Felcra. 

“Kerajaan memberikan tanah kepada Felcra untuk dimajukan tetapi pemilik tanah hanya mendapat pulangan yang sedikit, sebagai contoh kes yang berlaku di Bagan Serai, Perak. 

“Peserta Felcra menye:rahkan lima ekar tanah untuk diusahakan oleh Felcra tetapi mereka hanya mendapat tiga ekar setengah dan selebihnya adalah hak milik Felcra,” katanya pada sidang media membongkar kepincangan Felcra di ibu pejabat Pas di sini, semalam. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Peserta-Peserta Felcra, Akmalluddin Mohd Noor dan Pengarah Perhimpunan Warga Felcra Kebangsaan, Razman Zakaria. 

Beliau yang juga pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan petugas khas bagi menyemak kembali aduan-aduan yang dibuat oleh peserta Felcra. 

:Katanya, setakat ini, pihaknya mendakwa mengenalpasti 22 penyelewangan berlaku di agensi kerajaan itu, termasuk mempunyai dokumen bagi membuktikannya. 

Antara dakwaan salah laku itu termasuk pembelian 20,000 ekar estet di Sabah dan pelaburan RM17 juta bagi membeli bon tanpa mendapat kelulusan. 

Dakwaan itu, antaranya melibatkan pembelian 20,000 ekar estet di Sabah, pelaburan RM17 juta dalam pembelian bon yang didakwa tidak diluluskan serta salah urus tadbir dalam unit perniagaan khas Felcra Berhad dan koperasi pesertanya. 

“Perhimpunan Warga Felcra kebangsaan diadakan pada 31 dan 1 Ogos lalu, pihak kami menerima banyak rungutan dan luahan daripada peserta,” katanya. 

Beri bukti pemimpin dalang aktiviti pelacuran: Musa




2010/08/19

SUBANG JAYA: Polis kesal dengan tindakan ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) M S Arjunan yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berhubung dakwaan seorang timbalan menteri mendalangi kegiatan pelacuran kelas atasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sikap ahli politik berusia 50-an itu hanya akan melewatkan proses siasatan yang sedang dijalankan.Kita sudah panggil ahli politik itu untuk diambil keterangan baru-baru ini berhubung dakwaan yang dibuatnya, namun dia gagal menjawab soalan dikemukakan. Jika betul apa yang didakwanya, kenapa enggan bekerjasama sebaliknya hanya cakap di luar (membuat sidang media).Kalau apa yang dia cakap itu betul, baru polis boleh buat kerja (jalankan siasatan). Jangan hanya berani cakap tetapi mangsa sendiri pun tidak mahu membuat laporan polis, katanya sambil enggan mengulas lanjut di mana dan bila soal siasat itu dijalankan.

Beliau berkata demikian selepas hadiri Majlis Penganugerahan Pangkat Secara Medan di perkarangan Balai Polis USJ 8 di sini, semalam.

Katanya, Arjunan seharusnya tahu bukti yang dimilikinya itu adalah penting bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap dakwaan yang dibuatnya.

Musa berkata, polis tetap akan menjalankan siasatan terperinci sebelum membuat keputusan sama ada akan membuka kertas siasatan atau tidak. 
Laporan polis berhubung dakwaan itu dibuat pihak ketiga baru-baru ini, sedangkan kes berkenaan didakwa dilakukan sembilan tahun lalu (sekitar 2000 dan 2001), katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan, berkata sebarang tindakan berhubung dakwaan beliau terbabit membekalkan pelajar kolej kepada golongan kenamaan bagi tujuan pelacuran hanya akan dibuat selepas siasatan polis selesai.

Saravanan yang juga Naib Presiden MIC berkata, beliau tidak mahu melayan Arjunan yang mencabar beliau mengemukakan saman fitnah bagi menafikan dakwaan itu.

Biar polis habiskan siasatan mereka dan saya akan tunggu keputusan polis untuk tindakan lanjut. Kenapa saya nak sibuk-sibuk? katanya kepada Berita Harian, semalam. 

Perkasa buat laporan polis berhubung ucapan Soi Lek berkaitan hak bumiputera


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat satu laporan polis berhubung ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menyentuh hak kaum bumiputera pada Perasmian Kongres Ekonomi Cina di ibu negara, baru-baru ini.
Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 2.30 petang.
Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang Perkasa Pusat, Amer Hassan berkata, intipati ucapan Soi Lek yang meminta kuota ekuiti bumiputera dihapuskan secara beransur-ansur dan digantikan dengan sistem meritokrasi dianggap sebagai prejudis.
Jelasnya, kenyataan Soi Lek itu dilihat melampaui batas kerana beliau tidak boleh menyentuh hak keistimewaan kaum bumiputera.
"Soi Lek langsung tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang majoritinya penduduk Melayu. Saya tahu ramai daripada kaum lain yang marah dengan ucapan beliau.
"Sesiapa yang membangkitkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan keistimewaan sesuatu kaum, ia adalah menyalahi undang-undang selain boleh didakwa di mahkamah.
"Beliau (Soi Lek) seharusnya sedar bahawa kenyataannya di dalam ucapan itu boleh mencetuskan rasa kurang senang di kalangan kaum bumiputera khususnya Melayu," katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Dalam ucapan bertajuk 'Peranan Masyarakat Cina Mencapai Sasaran Model ekonomi Baru (MEB)' pada 14 Ogos lalu, Soi Lek telah menggariskan sebanyak 12 resolusi bagi memantapkan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-10.
Antara salah satu cadangan kongres itu ialah meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.
Tambah Amer, Perkasa berharap agar satu tindakan diambil oleh pihak berkuasa termasuk memanggil Soi Lek untuk dirakam percakapan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Pengalaman di Palestin luar biasa



Kepulangan Abdul Azeez Abdul Rahim dan 67 sukarelawan misi kemanusiaan Gaza disambut meriah ahli keluarga dan rakan-rakan setiba mereka di KLIA, semalam. Turut serta dalam misi ini, artis negara, Fauziah Latiff.


SEPANG 18 Ogos - Pengalaman menyertai misi kemanusiaan di Gaza, Palestin adalah pengalaman luar biasa yang tidak boleh dibeli oleh wang ringgit, kata Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Beliau berkata, pada misi itu, mereka mengenal pasti hampir 20 pelajar Palestin yang memohon untuk mendapatkan bantuan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di Malaysia.
Abdul Azeez yang mengetuai misi anjuran kelab itu berkata, bantuan biasiswa itu akan direalisasikan dalam misi kedua ke Palestin yang dijadualkan pada Disember ini.
"Semasa saya berjumpa mereka, bantuan yang sangat diperlukan dan dikehendaki ialah membantu anak-anak mereka menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan misalnya," katanya dalam sidang media sejurus tiba di tanah air dari Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Abdul Azeez memberitahu, kumpulannya turut berdepan dengan saat-saat yang menakutkan apabila terpaksa bertemu dengan pemimpin kanan Hamas dan menunaikan solat sunat tarawih dengan diawasi oleh 2,000 tentera bersenjata.
"Kami berada di kawasan penempatan untuk pelarian dan di situ, apa sahaja boleh berlaku," katanya.
Misi mereka juga jelas beliau, diawasi oleh kamera tentera Israel yang diletakkan pada alat khas menyerupai layang-layang di ruang udara.
"Ada di kalangan anggota misi yang agak takut, tapi saya tanamkan dalam diri mereka bahawa kita berada di sini (Palestin) untuk misi kemanusiaan dan sedang berjihad. Jika berlaku apa-apa, kita akan (mati) syahid," katanya.
Sementara itu, penyanyi terkenal Fauziah Latiff yang turut menyertai misi tersebut ketika ditemui berkata, beliau beberapa kali menitiskan air mata apabila melihat kesusahan yang terpaksa diharungi oleh penduduk Gaza.
"Saya sedih apabila melihat masih ada rumah yang dibina daripada ranting-ranting kayu yang disatukan dan lantainya pula beralaskan pasir semata-mata.
"Kita patut bersyukur dengan kehidupan di Malaysia. Saya sangat sedih apabila melihat kanak-kanak di sana terpaksa hidup dalam serba kekurangan," katanya.

Kumpulan Felda, KPF keluar zakat RM25.82j


NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Kajang, pada Majlis Berbuka Puasa di Sri Perdana, Putrajaya, malam tadi. - BERNAMA


PUTRAJAYA 18 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berbuka puasa bersama anggota Kabinet, menteri besar dan ketua menteri di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Felda, hadir sama.
Pada majlis itu, Najib selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda, turut menyampaikan zakat perniagaan Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) Berhad kepada 14 buah Pusat Zakat Negeri (PZN).
Jumlah bayaran zakat bagi tahun 2009 bagi Kumpulan Felda dan KPF ialah berjumlah RM25.82 juta iaitu bertambah RM5.94 juta berbanding RM19.88 juta pada 2008.
Zakat Kumpulan Felda bagi 2009 adalah sebanyak RM14.92 juta iaitu bertambah RM2.15 juta manakala KPF pula berjumlah RM10.90 juta, meningkat sebanyak RM3.78 juta.
PZN Pahang adalah penerima terbesar zakat tersebut iaitu sebanyak RM9.02 juta, diikuti Johor (RM5.96 juta), Sabah (RM2.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM1.82 juta).
Bayaran zakat tersebut adalah kali yang keenam sejak 2005.
Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih dengan berimamkan Sheikh Amru Juma"h A"bduh dari Mesir, selepas majlis berbuka puasa itu.
Najib turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Kajang pada majlis tersebut. - BERNAMA

Lampu Ramadan terbesar dunia


Beberapa penduduk Gaza yang lalu-lalang melihat sendiri lampu Ramadan terbesar, kelmarin. - AFP


GAZA CITY 18 Ogos - Dalam usaha terbaru mencatat rekod dunia Guinness bagi mendapatkan perhatian dunia tentang kesengsaraan Palestin, seorang penduduk Gaza semalam mencipta 'lampu Ramadan terbesar dunia'.
Struktur setinggi 10 meter dan 3.5 meter lebar yang diperbuat dari kayu dan kain itu dibina menggunakan bentuk lampu tradisional yang menghiasi jalan-jalan raya negara Islam seluruh dunia dibulan puasa.
"Saya mahu mencatat rekod dunia Guinness dalam usaha memberi mesej kepada dunia agar memecahkan kepungan ke atas Gaza," kata Mustafa Massoud, 24, yang menghabiskan AS$400 (RM1,258) untuk membeli bahan bagi membina pelita itu.
Dia turut melahirkan harapan untuk mengirim mesej kepada kerajaan-kerajaan Palestin yang bertelagah di Gaza dan di Tebing Barat supaya menghentikan perbalahan.
Percubaan Massoud itu menyusuli usaha UNRWA untuk mencipta rekod bagi kanak-kanak paling ramai melantunkan bola keranjang dan bermain layang-layang, dalam dua acara yang diadakan bulan lepas.
Kedua-dua acara itu juga bertujuan menarik perhatian antarabangsa terhadap nasib penduduk Gaza yang dikenakan sekatan Israel dan Mesir sempat tahun lalu.
Israel melonggarkan sekatan Jun lalu selepas serangan komandon ke atas flotila bantuan 31 Mei lalu membunuh sembilan aktivis Turki dan mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun Israel masih menghalang penduduk Gaza mengeksport barang keluaran mereka dan membataskan pergerakan penduduk untuk memasuki dan meninggalkan wilayah itu. - AFP

Masjid 9/11 bakal dipindah?


NEW YORK 18 Ogos - Gabenor New York, David Paterson merancang untuk membincangkan pemindahan projek pusat kebudayaan Islam dan masjid ke lokasi kurang kontroversi yang terletak lebih jauh dari tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Jurucakap Paterson, Maggie McKeon semalam berkata, pihaknya sedang berhubung dengan pemaju projek tersebut walaupun belum ada perbincangan rasmi antara gabenor, imam atau pemaju.
"Kami bagaimanapun merancang untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat," kata McKeon.
Ahli Dewan Perwakilan AS dari New York, Peter King berkata, beliau membincangkan isu itu dengan Paterson semalam dan diberitahu gabenor akan menemui pegawai Islam minggu ini untuk membincangkan penyediaan peruntukan kerajaan negeri bagi membantu mereka mencari lokasi lain.
Jurucakap bagi projek tersebut, Oz Sultan berkata, setahu beliau belum ada pertemuan yang dijadualkan.
"Kami menghargai perhatian yang diberikan oleh gabenor sementara kami terus mengadakan perbincangan dengan ramai pegawai kerajaan," katanya.
Lokasi yang dicadangkan untuk projek itu, hanya dua blok dari 'Ground Zero' atau tapak runtuhan WTC yang musnah dalam serangan 11 September, 2001, mencetuskan perbahasan hangat di kalangan rakyat AS berhubung isu sama ada pusat kebudayaan dan masjid itu patut dibina di situ.
"Jika semua orang merenung isu ini sejenak, sebenarnya untuk kepentingan semua pihak jika lokasinya dipindahkan, terutamanya masyarakat Islam, untuk menunjukkan mereka bersungguh-sungguh mahu merapatkan hubungan dan bukan sekadar untuk membuat kenyataan dengan membina sebuah masjid dekat Ground Zero," kata King.
Katanya, beliau mahu melihat pusat kebudayaan dan masjid itu dibina tetapi jauh dari tapak serangan 11 September kerana lokasi yang dicadangkan sekarang akan membuka semula banyak luka lama.
Pelan bagi projek yang dikenali sebagai Cordoba House itu meliputi sebuah bangunan 13 tingkat yang menempatkan sebuah masjid, auditorium, kolam renang dan bilik mesyuarat. - Reuters

Roslin lafaz cerai


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Selepas perkahwinan pertamanya hanya mampu bertahan selama 12 hari, pemain badminton negara, Roslin Hashim sekali lagi berhadapan dengan masalah rumah tangga apabila dia didakwa telah melafazkan cerai terhadap isteri barunya, dua hari sebelum perkahwinan mereka genap sebulan.
Lafaz yang berbunyi 'I cerai u lah' didakwa diucapkan oleh pemain badminton itu terhadap isterinya, Nurhayati Othman, 39, di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang dekat sini kira-kira pukul 8.32 malam, 7 Ogos lalu.
Ketika lafaz itu dibuat, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman bersama suaminya yang juga bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek dan dua adik lelaki Nurhayati, Arif Rafhan serta Arif Fauzan turut berada di bilik tersebut.
Hari ini merupakan kali pertama permohonan pengesahan lafaz cerai itu disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini.
Sewaktu memberi keterangan pada prosiding tersebut, Nurhayati menyatakan, dia bersama-sama ibu dan dua adik lelakinya itu telah pergi ke hotel berkenaan selepas mengetahui bahawa Roslin, 34, dan Raja Azmi, 50, berada di situ.
Di hotel tersebut, mereka mendapati penerbit filem '...Dalam Botol' itu telah menempah bilik hotel bernombor 533 atas namanya sendiri.
Menurutnya, kesemua mereka kemudian menuju ke tingkat lima hotel berkenaan dan menunggu Jailani di tingkat itu sebelum pergi ke bilik tersebut.
"Tiba di bilik tersebut, suami saya tiada di situ, hanya Raja Azmi yang ada. Saya kemudian meminta Jailani untuk menelefon Roslin dan memanggilnya ke bilik tersebut kerana saya ingin bersemuka dengan suami saya mengenai keadaan berdua-dua ini," ujarnya.
Nurhayati yang juga Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut mendakwa, Roslin dan kakak angkatnya itu mengaku berdua-duaan di bilik tersebut.
Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Nurhayati pada 10 Ogos lalu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor.
Pasangan tersebut baru melangsungkan perkahwinan mereka pada 9 Julai lalu selepas diperkenalkan oleh Raja Azmi hampir enam bulan sebelum mereka bernikah.
Mereka dijangka mengadakan majlis resepsi perkahwinan selepas kedua ibu bapa Roslin pulang dari Mekah selepas Hari Raya Aidilfitri.
Pada prosiding hari ini, Nurhayati diwakili peguam syarie, Zulqarnain Lukman manakala Roslin diwakili peguam syarie, Roslizam Rahim.
Nurhayati juga tiba di mahkamah dengan ditemani kaum keluarganya dan rakan sekerja beliau manakala Roslin hanya ditemani peguam dan seorang rakannya.
Difahamkan, Roslin hanya pulang ke rumah isterinya sekali-sekala sejak pernikahan mereka.
Sementara itu, Roslin ketika disoal oleh Roslizam mengakui ada pergi ke hotel berkenaan tetapi dia tidak pernah memasuki bilik itu sebaliknya hanya berlegar-legar di luar kawasan hotel.
Menurutnya, dia hanya memasuki bilik 533 hotel tersebut selepas menerima panggilan Jailani untuk berbuat demikian.
Sebelum itu, katanya, dia pergi meletakkan kenderaannya selepas Raja Azmi turun dari kereta yang dinaiki mereka bersama untuk mendaftar masuk ke bilik hotel tersebut.
Menceritakan mengenai lafaz cerai itu, Roslin menyatakan, sebelum membuat lafaz itu, dia tertekan dan malu apabila mendapati isterinya menyerbu ke bilik tersebut tanpa mendapat kepastian daripadanya.
Ini kerana, jelasnya, dia ke hotel berkenaan bersama-sama Raja Azmi dengan keizinan Jailani.
"Sekiranya isteri saya mengesyaki bahawa saya menjalinkan hubungan dengan Raja Azmi, dia sepatutnya bertanya kepada saya dan bukannya menggunakan cara yang mengaibkan saya," katanya.
Ketika disoal oleh Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, Roslin mengakui ada niat untuk melafazkan cerai tetapi tidak.
Bagaimanapun, ketika disoal balas Zulqarnain, Roslin mengakui ada menghabiskan masa dengan Raja Azmi di Kemensah, Hulu Kelang pada tarikh tersebut untuk makan durian dan menjalankan aktiviti berkuda sejak pukul 3 petang.
"Yang Arif, apa kena-mengena durian dan kuda dengan kes pegesahan lafaz cerai hari ini?'' bantah Roslizam.
Selepas selesai mendengar keterangan kedua-dua pihak, hakim syarie tersebut menetapkan 1 September ini untuk mendengar hujah lisan dan bertulis pihak plaintif manakala defendan dijadualkan untuk berhujah pada 22 September ini.