Friday, December 23, 2011

Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel


PETALING JAYA: Akhirnya, konduktor muzik terkenal, Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS, membuat keputusan untuk berpindah ke rumah yang baru dibelinya awal tahun depan selepas 10 tahun menetap di sebuah hotel.
Ramli berkata, sudah sampai masanya untuk dia memikirkan masa depan dengan memiliki sebuah rumah yang selesa agar dapat tinggal bersama ibunya yang masih lagi menetap di Singapura.
"Antara sebab saya tinggal di hotel selama ini kerana kemudahan yang disediakan memudahkan saya yang sentiasa sibuk menguruskan kerjaya seni dan tidak perlu nak fikir tentang masalah rumah bersepah, keselamatan dan sebagainya.
"Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan tentang masa depan. Insya-Allah saya akan membawa ibu bersama-sama untuk berpindah sekitar bulan Januari atau Februari akan datang," katanya ketika ditemui di hotel penginapan di sini.
Tambah Ramli, dia juga akan mengubahsuai salah satu bilik di rumah itu untuk dijadikan sebuah studio mini bagi memudahkan dirinya untuk menghabiskan kerja-kerja seninya itu.
Dalam pada itu, Ramli menafikan sekeras-kerasnya bahawa perpindahan tersebut dibuat kerana bakal menamatkan zaman dudanya.
"Sikap saya lain, banyak perkara yang perlu diuruskan dulu seperti anak-anak, kerjaya dan urusan pembelian rumah baru. Jadi saya tak terfikir pun untuk berkahwin buat masa ini.
"Tapi semestinya saya mahu kahwin satu hari nanti," katanya berseloroh.
Bercerita tentang hidupnya sepanjang 10 tahun menetap di hotel, Ramli berkata tiada memori yang indah untuk diingati dek kerana terlalu fokus dengan kerjayanya, tetapi gembira, pekerja hotel sentiasa melayannya dengan baik.
"Memandangkan sudah lama saya tinggal di sini, mereka telah memberi kebebasan untuk saya.
"Bayangkan, mereka turut membenarkan saya memasak di dapur hotel. Alhamdulillah, saya dilayan dengan baik. Mungkin selepas berpindah nanti saya akan rasa perbezaannya.
"Lebih-lebih lagi dari segi penjagaan dan sekuriti rumah. Harap-harap saya dapat menguruskannya dengan baik," kata Ramli.
mStar Online : Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel:

'via Blog this'

SPRM akan panggil sesiapa saja yang terbabit dalam kes NFC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semua individu yang mempunyai kaitan berhubung kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata sesiapa saja yang terbabit termasuk ahli pengurusan kanan syarikat akan dipanggil oleh pihak SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program 'KL Principle Code of Ethics for the SMEs' di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini hanya satu tangkapan dibuat oleh pihak polis semalam dengan menahan reman seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk dan kes ini sudah diserahkan kepada pihak polis.

"Tangkapan ini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kes NFC namun kita masih meneliti keseluruhan skop siasatan sama ada mempunyai kaitan dengannya dan penyiasatan akan dibuat secara telus serta profesional yang mungkin," kata beliau. - BERNAMA
Berita Harian Online | SPRM akan panggil sesiapa saja yang terbabit dalam kes NFC:

'via Blog this'

Pegawai SPRM periksa pejabat NFCorp

KUALA LUMPUR: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeriksa pejabat National Feedlot Corporation (NFCorp) di Jalan Solaris, Mont Kiara, di sini.

Difahamkan, enam pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya memasuki pejabat NFCorp sebelum 3 petang tadi.
SPRM kini menyiasat dakwaan berhubung kontroversi projek penternakan lembu, Pusat Fidlot Nasional (NFC), di Gemas bernilai RM250 juta yang dibiayai dana awam.
Semalam, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan reman selama dua hari mulai selepas didapati cuba menyogok empat pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, yang menjalankan siasatan berkaitan kes NFC dan kes penipuan lain. Berita Harian Online | Pegawai SPRM periksa pejabat NFCorp:

'via Blog this'

Mangsa kemalangan Genting Sempah rayu bantuan

BALING - Seorang mangsa kemalangan bas melibatkan rombongan Belia 4B dari Kampong Baru, Siong, Baling pada 29 Oktober 2010, merayu pihak yang bersimpati agar menyumbangkan sebuah motosikal beroda tiga untuk memudahkannya bergerak.
Mohd. Adib Ramli, 21, yang kudung kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan itu, mengharapkan sumbangan kenderaan itu supaya lebih mudah baginya bergerak terutama ke masjid dan ke kelas mengajar al-Quran kepada kanak-kanak di Kampung Baru Siong.
Remaja itu yang mendapat bantuan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak November tahun ini, turut berharap agar jumlah itu ditambah kepada RM300 sebulan.
Ketika dikunjungi di rumahnya di Kampung Pokok Setol, Siong, Mohd. Adib berkata, kaki palsu yang disumbangkan kepadanya tidak begitu selesa digunakan.
"Saya lebih selesa tanpa kaki palsu itu kerana saya memerlukan bantuan untuk memakainya. Jika tiada sesiapa di rumah saya tidak mampu memakainya sendiri”, jelasnya.
Dalam kejadian itu, bas yang membawa peserta rombongan Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan di Genting Sempah, menyebabkan tujuh daripada mereka maut di tempat kejadian, lebih 15 mangsa cedera dan dua parah termasuk Mohd. Adib yang kehilangan kedua-dua kaki.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Adib di talian 019 4032 126 atau melalui akaun Maybank 162076587136 atas nama Mohd. Adib. - BERNAMA
Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Khir Toyo dipenjara setahun, hak ke atas hartanah dilucutkan


BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik ketika tiba di perkarangan Mahkamah Shah Alam, hari ini. Khir Toyo didapati bersalah terhadap pertuduhan menerima barangan berharga tanpa balasan, tujuh tahun lalu. - Foto Fariz Iswadi Ismail



SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, dipenjara setahun selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menerima barangan berharga tanpa balasan Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki turut memutuskan perlucutan hak tertuduh terhadap dua lot tanah dan rumah berkenaan dan diserah kepada Kerajaan Malaysia.
Beliau membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan, selepas menimbangkan semua keterangan bukti dan hujah pendakwaan dan pembelaan.
Bagaimanapun, Mohtarudin membenarkan permohonan pembelaan supaya hukuman itu ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.
Berita Harian Online | Khir Toyo dipenjara setahun, hak ke atas hartanah dilucutkan:

'via Blog this'

Hamid Othman meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, 72, meninggal dunia akibat strok di pejabat beliau di Maju Junction, di sini, pada kira-kira 5 petang tadi.

Allahyarham yang juga Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mengalami serangan strok ketika sedang bertugas.
Selain jawatan Penasihat Agam Perdana Menteri, Allahyarham pernah memegang jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Berita Harian Online | Hamid Othman meninggal dunia:

'via Blog this'

Sumpah laknat ngan Mahathir dah macam mamak ngan tongkang... kahkahkah...

IMF, Mahathir saja bersumpah laknat

Oleh Subky Latif

DR. MAHATHIR mengajak Anwar Ibrahim bersumpah laknat kerana mendakwanya pernah minta bantuan kewangan dari IMF, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia.

Antara punca Anwar disingkirkan dari kerajaan dan Umno selain dari tohmah liwat adalah juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menjadi hamba kepada IMF dan Bank Dunia.

Hampir 15 tahun setelah keduanya berpatah arang berkerat rotan, Anwar pula mendakwa Dr. Mahathir juga kaki penyembah Bank Dunia.

Ertinya kedua-duanya lebih kurang saja dalam hubungan Bank Dunia dan IMF.

Justeru itu Dr. Mahatahir mengajak Anwar bersumpah laknat.

Nampaknya bertambah orang yang mahu bersumpah laknat dengan Anwar. Tetapi tiada yang memikirkan Datuk Seri Najib mesti bersumpah laknat atas kes Altantuya dan tidak yang memikirkan Sharizat Jalil wajar berumpah laknat atas isu skandal lembu dan kondo.

Dr. Mahathir sepatutnya tidak terikut sangat dengan budak yang mendakwa dia diliwat Anwar dan geng Datuk T tentang video lucah yang cuba mengaiabkan Anwar.

Jika Dr. Mahathir sebenar bersih dari sebarang hubungan dengan Bank Dunia, dia tidak perlu mencabar Anwar bersumpah laknat tetapi dia sendiri bersedia untuk bersumpah seorang diri.

Apa yang Dr. Mahathir patut buat ialah meminta Anwar membuktikan dakwaan yang dibuat ke atasnya.

Kalau Anwar benar, maka dia akan membuktikan tuduhan terhadap Mahathir, tetapi kalau benar Dr. Mahathir bersih dari sebarang hubungan dengan Bank Dunia, tentulah sukar malah mustahil untuk membuktikannya.

Kalau Anwar dapat membutikannya tetapi Dr. Mahathir tidak dapat menerima kekterangan itu, dia berhak membela diri dan menafikannya. Dr. Mahathir kalau mahu boleh bersumpah.

Dia tidak perlu menyuruh Anwar bersumpah. Dia sendiri saja yang bersumpah.

Apakah Dr. Mahathir akan membuat sumpah palsu atau sebaliknya, ia adalah masalah antaranya dengan Allah. Allah saja yang tahu apakah dia bersumpah benar atau palsu.

Orang lain tidak boleh takwil lagi. Termasuk Anwar sendiri dengan hujah dan buktinya yang kuat misalnya, tak perlu mengongketnya lagi.

Bagi orang ramai pula mesti membebaskan fikirannya terhadap Dr. Mahahtir kerana dia sudah bersumpah. Kalau dia membuat sumpah palsa, maka biarlah Allah menentukan akibatnya. Allah tidak akan melepaskan sesiapa yang membuat sumpah palsu.

Anwar tidak perlu membuat sumpah. Apakah kita hendak mempercayai Anwar atau mempercayai Dr. Mahathir, maka tidaklah perlu untuk memanjangkannya lagi kerana Dr. Mahatahir sudah bersumpah.

Kes itu kira-kira ditutup setakat sumpah Dr. Mahathir itu. Tidak perlu dia hendak menyuuh Anwar mesti bersumpah juga.

Jika Anwar pula hendak bersumpah sebagai yang dituntut oleh Dr. Mahathir, itu adalah masalah dirinya sendiri. Tetapi dia tidak dikehendaki menunaikan kemahuan Dr. Mahathir.

Tugas dan tanggungjawab Anwar ialah membuktikan dakwaannya. Apakah kita dapat mempercayainya, bergantung pula kepada hujah penafian Dr. Mahathir dan apabila Dr. Mahathir berani bersumpah, kita serah saja kepada Yang Maha Hakim.

Selagi Dr. Mahathir tidak bersumpah, kita boleh bandingkan keterangan dan bukti siapa yang kuat.

Setakat ini Anwar tidak menapikan dia adalah hubungan yang baik dengan IMF. Dr. Mahathir pula tentulah dirasakan sebagai seorang yang tidak mahu terikat dengan IMF. Kalau dia juga ada hubungan dengan IMF, maka tidaklah dia wajar menempelak orang yang ada hubungan atau pernah berhubung dengan IMF.

Apakah IMF itu berguna kepada manusia atau sebaliknya, ia bukan isu yang dibincangkan. Ada pro dan kontranya pinjaman IMF.

Isu yang kita hadapi ialah hubungan kedua-duanya dengan IMF. Selama ini Anwar itu digambar buruk oleh Dr. Mahathir atas hubungannya yang baik dengan IMF. Anwar digambarkan hamba kepada IMF. Sekarang Anwar pula mengatakan Mahathir juga tidak bebas dari bahana IMF itu. Dakwaan Anwar itu boleh diterima kiranya Dr. Mahathir tidak membuat sumpah laknat.
shalehudin: Sumpah laknat ngan Mahathir dah macam mamak ngan tongkang... kahkahkah...:

'via Blog this'

Hassan Ali, Nasharuddin, Saari dipanggil

Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM – Pas akan memanggil bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Shaari Sungip berhubung beberapa isu berbangkit.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego, berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah.
Menurutnya, melihat situasi pilihan raya umum yang semakin hampir, Pas menegaskan parti tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj samada dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti.
“Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan kerenah – kerenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura.
“Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai ‘team player’ untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni,” katanya.
Katanya, Pas ialah sebuah parti dan jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jemaah.
“Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli Pas perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam,” katanya.
Kepada ahli-ahli Pas, ingatlah ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi.’ Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti.
Hassan Ali, Nasharuddin, Saari dipanggil - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pandangan dangkal Umno, Perkasa

IPOH – Umno dan Perkasa dilihat hilang kewarasan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti. Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim berkata, kenyataan Perkasa kononnya tindakan SPR mahu menggunakan dakwat kekal menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi dan membawa negara ke belakang adalah tidak wajar.

Menurut Khalil, langkah SPR itu seiring dengan syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya. “Pelbagai alasan yang langsung tidak kukuh dikemukakan mereka kononnya bertujuan untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat. Dalam hal ini Umno-BN seperti budak mentah. “Sebenarnya, rakyat ternanti-nanti bila kerajaan mahu mengorak langkah untuk ke arah perubahan, walaupun cuma satu harapan iaitu pelaksanaan dakwat kekal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 Beliau berkata, penggunaan dakwat kekal telah dilaksanakan negara di timur tengah dan Asia Tenggara dalam proses pilihan raya mereka. Tegasnya, tindakan blogger tegar pro Umno menerbitkan satu video mengenai tutorial menghilangkan palitan dakwat kekal di jari merupakan satu lagi usaha Umno menimbulkan keraguan rakyat. “Saya katakan begitu kerana ia dirakam secara potong-potong dan disunting semula sebagaimana yang dikatakan lima minit itu, mungkin juga dakwat itu telah dicampurkan dengan bahan lain yang boleh menghilangkan keasliannya,” katanya.
Beliau turut menyelar tindakan Umno yang dikatakan ejen pembunuh harapan rakyat, yang seharusnya ditukar segera demi menjaga kestabilan negara. “Pakatan Rakyat telah membuktikan harapan rakyat tidak mati begitu sahaja, buktinya boleh dilihat di empat buah negeri yang ditadbir PR, ini komitmen yang perlu dinilai seadilnya, saya boleh gambarkan betapa Malaysia boleh cemerlang di bawah pentadbiran PR,” katanya.
Pandangan dangkal Umno, Perkasa - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lembu tunggu bas

Lembu tunggu bas
IJOK - Jika sebelum ini lembu ternakan dibiarkan lepas tanpa pemantauan pemilik, kini kawasan hentian bas di sepanjang laluan dari Assam Jawa menuju ke Ijok pula menjadi kandang sementara pada waktu malam.

Lebih dikesalkan, semua pokok hiasan yang ditanam sepanjang laluan tersebut musnah dimakan haiwan ternakan itu.

Seorang penduduk, Mohd Yusof Abd Rahim berkata, isu itu sudah berlarutan sejak dahulu lagi dan apabila dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), ia bagai dipandang remeh.

“Penduduk di kawasan Ijok terutamanya yang tinggal di taman perumahan bengang dengan keadaan yang tidak berkesudahan ini, penternak sewenang-wenangnya melepaskan haiwan tanpa memikirkan kesannya.

“Saya lihat tanaman pokok hiasan di sepanjang laluan ini banyak yang rosak, kelibat haiwan ini tidur di hentian bas juga menyebabkan timbul masalah bau,” katanya.

Mohd Yusof berkata, najis lembu yang bertaburan dan meninggalkan bau kurang menyenangkan memberi imej buruk di kawasan yang menjadi pentadbiran Menteri Besar itu.

Katanya, masalah itu meskipun dipandang remeh, tindakan tegas terhadap pemilik perlu diambil agar ia tidak berlarutan.

Jelasnya, penduduk mencadangkan agar haiwan ternakan itu ditangkap dan disimpan sementara menunggu pemilik tampil menuntut.

“Mereka wajar dikenakan kompaun atau denda mengikut jumlah lembu yang berjaya ditangkap, tindakan ini wajar sebagai peringatan supaya pemilik tidak mengambil jalan mudah terhadap haiwan ternakan mereka,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan menjelaskan, MDKS kini berusaha untuk mencari mekanisme terbaik menangani isu gangguan haiwan ternakan itu.

“Cadangan yang diberikan penduduk disambut baik, namun PBT berdepan sebarang kemungkinan yang diambil pemilik termasuk saman sekiranya haiwan ternakan mereka mati atau sebagainya.

“Jadi, MDKS bersama agensi berkaitan akan berbincang bersama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk,” katanya ketika menjelaskan isu itu pada Program Khas Mesra Rakyat di Stadium Tertutup Kuala Selangor. Lembu tunggu bas - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Syurga dua beranak makin daif

Usang
KUANTAN – Kawasan rumahnya yang dipenuhi sampah dan berbau busuk memang tidak dilayak dihuni namun itulah syurga kecil bagi dua beranak, Dagang Embong, 77 dan anaknya, Embong Dagang, 53 untuk berteduh bagi meneruskan hidup.
Dia pernah dipujuk anak-anak lain untuk tinggak bersama tetapi Dagang lebih selesa menghuni rumah yang dibina daripada barangan terpakai kira-kira 20 tahun lalu bersama anaknya yang mempunyai masalah mental.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pondok kecil di Kampung Kempadang yang tiada bekalan elektrik itu dipenuhi barangan terpakai, kotor, atap bocor dan persekitaran yang berbau tidak sesuai dijadikan tempat tinggal.
Jirannya, Wan Rahimi Wan Mokhtar, 40 an berkata, Dagang membina pondok kecilnya itu selepas tapak rumah lamanya diambil alih tuan tanah dan timbunan sampah sarap itu adalah ‘rezeki’ mereka dua beranak.
“Saya dimaklumkan kerajaan negeri sudah menyediakan rumah kos rendah tetapi mereka lebih selesa tinggal di sini. Rumah itu kini dihuni anak ketiganya bersama bekas isteri.
“Saya sendiri sudah berkali-kali mempelawa dia dan anaknya tinggal bersama tetapi mereka menolak,” katanya.
Lebih menyedihkan lagi, katanya keadaan Embong yang sudah dua tahun berkurung di dalam rumah dan enggan berkomunikasi bersama jiran.
Wan Rahimi berkata, anak-anaknya ada memujuk supaya meninggalkan tempat itu tetapi dia enggan kerana mendakwa lebih selesa di situ dan terlalu sayang untuk meninggalkan rumah yang dibina itu.
Bapa kepada enam anak itu juga akan mengambil peluang mengutip barang terpakai yang dihanyut di tepi sungai untuk dijual sebagai sumber rezeki menampung hidup mereka.
Bagaimanapun, hasil daripada kerja-kerja itu, Dagang memperoleh pendapatan RM20 hingga RM40 seminggu tetapi tidak mencukupi untuk perbelanjaan mereka dua beranak.
Wan Rahimi mendakwa, sebelum ini Dagang dan Embong mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 sebulan namun sudah beberapa bulan mereka tidak menerimanya.
“Tiada sumber kewangan memaksa Dagang keluar seawal jam 7.30 pagi setiap hari untuk mengutip barangan terpakai seperti plastik, kotak dan besi di tepi sungai berdekatan untuk dijual kepada peraih,” katanya.
Katanya, Dagang masih sihat walaupun usianya sudah lanjut tetapi kadang kala tidak dapat mengingati perkara yang berlaku.
Kedaifan hidup dua beranak itu juga menyebabkan Wan Rahimi terpanggil membantu menghulurkan bantuan wang untuk perbelanjaan harian dan makanan.
Syurga dua beranak makin daif - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Anak saman KPF, FGVH hari ini

Anak saman KPF, FGVH hari ini
TEMERLOH - Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) akan memfailkan saman pemula terhadap Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini jam 10 pagi.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, saman pemula itu adalah bagi memohon injunksi (menghalang) kepada Mesyuarat Khas Perwakilan KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan aset KPF dalam Felda Holding.

“Kita akan mulakan perjuangan dengan bersama-sama lebih 10 NGO solat hajat di perkarangan mahkamah Temerloh esok (hari ini).

“Tindakan ini dibuat bagi menyelamatkan harta Felda dan peneroka,” katanya di pejabat Perhubungan Pas Pahang di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan Pas Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruh Jaya Pas Pahang.

Mazlan berkata, penyenaraian yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu adalah tidak berasas, tidak masuk akal dan hanya bakal menggali kubur untuk peneroka.

“Sebenarnya tindakan tersebut hanya untuk dapatkan dana sebesar RM3 bilion untuk agenda tertentu menjelang April nanti. Kita kenal siapa dalangnya, syarikat pelabur dan kita akan dedahkan apabila sampai masanya nanti.

“Anak juga akan buat bantahan kali kedua di tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menentukan status Tan Sri Isa Samad kerana kita tidak berpuas hati dengan jawapannya yang mengatakan beliau belum menjadi Pengerusi KPF sedangkan dia sudah bertindak sebagai penjawat itu berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai prestasi KPF, Mazlan memberitahu, pada masa ini koperasi terbesar dan paling berjaya itu sudah mendapat RM5 bilion perolehan setahun sehingga menjana keuntungan sebanyak RM800 juta dan rizab tunainya sahaja melebihi RM1.1 bilion.

“Sebab itu kita bersama NGO pada masa ini minta semua pihak menyekat penyenaraian saham FGVH ke Bursa Malaysia supaya terus berkembang. Kami ada maklumat bahawa penyenaraian hanyalah konspirasi tertinggi untuk dapatkan dana daripada Felda.

“Mereka ini ada agenda lain dan bukan wang semata-mata. Sebab itu kita mahu kerajaan juga menyekat usaha ini kerana ia melibat maruah negara dan isu keuntungan durian runtuh kepada peneroka sebenarnya tidak berbangkit langsung,” katanya. Anak saman KPF, FGVH hari ini - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

MB nafi berkeadaan uzur

Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU-Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyangkal dakwaan beliau berada dalam keadaaan uzur dan menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini.
Nik Aziz, 80 berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan.
“Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, ” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, di sini semalam.
Kelmarin, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd. Fadzli Shaari memaklumkan bahawa Nik Aziz telah dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu untuk berehat dan dimaklumkan dibenarkan pulang pagi kelmarin.
Ogos lalu, tersebar khabar angin bahawa Nik Aziz menghidap barah prostat bagaimanapun beliau menafikannya dan menjelaskan hanya menghadapi masalah saluran jantung yang tersumbat akibat kolestrol yang tinggi.
Sebelum ini, biarpun dipertikaikan keadaan kesihatannya Nik Aziz berulang kali menegaskan beliau akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) nanti.
MB nafi berkeadaan uzur - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

PR mahu rundingan semula diadakan


NURUL IZZAH

PETALING JAYA – Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mendesak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan rundingan semula mengenai skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Naib Presiden Keadilan, Tian Chua mendakwa sistem itu tidak membantu kakitangan awam yang berpendapatan rendah.
“Pada PR, Najib perlu mengkaji semula dan mengadakan rundingan bersama Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam).
" Jangan seperti sebelum ini, banyak perkara yang ditangguhkan oleh kerajaan tetapi tetap diluluskan seperti Akta Kerja 1955 walaupun dibantah oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Sekretariat Pakatan Rakyat, semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula berkata, pentadbiran Barisan Nasional (BN) disaran tidak meminggirkan kakitangan awam berpangkat rendah.
“Polis dan tentera dikecualikan dalam SBPA dan kita akan memberikan penerangan kepada mereka mengenai perkara ini. PR akan bantu polis dan tentera,” katanya.
Nurul Izzah berkata, kenaikan gaji bagi kakitangan awam yang berpangkat adalah 500 peratus manakala kakitangan awam bawahan kenaikan hanya 7 hingga 13 peratus sahaja.
PR mahu rundingan semula diadakan - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Yusry-Lisa umum pernikahan?


Yusry-Lisa

Hubungan cinta Yusry KRU dan Lisa Surihani bukanlah rahsia lagi dan pasangan ini bakal melangkah ke fasa perkahwinan tidak lama lagi.

Ini berikutan jemputan diterima media ke majlis khas pasangan popular itu yang dinamakan Pengumuman Istimewa Yusry dan Lisa.

Walaupun tidak menyatakan lebih lanjut, pengumuman itu dijangka berkaitan tarikh pernikahan Yusry dan Lisa.

Majlis akan diadakan Sabtu ini di Marriott Putrajaya Resort & Spa dan turut bakal dihadiri kedua ibu bapa Yusry, iaitu Abdul Halim dan Zarina Fenner serta ibu Lisa, Siti Amira Ahmad.

Sebelum ini, sudah bertebaran khabar angin bahawa pasangan ini memilih Februari depan untuk melangsungkan perkahwinan dan sudah menempah dewan di kawasan Lembah Klang. Yusry-Lisa umum pernikahan? - Hiburan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan

Kes Khir selesai hujahan
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu
barangan berharga dengan balasan diketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini empat tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu yang dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari ini.
Dalam pada itu, Mohtarudin turut memerintahkan agar tertuduh dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada kerajaan.

Keputusan itu dibuat menurut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan pelucutan hak sementara menunggu rayuan.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Khir Toyo didapati bersalah, diarah bela diri

SHAH ALAM 23 Dis. - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta di Seksyen 7 di sini, empat tahun lalu. Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu. Mohamad Khir melalui peguamnya diberi peluang untuk mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman. Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr. Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu. - UTUSAN Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Melayu ramai homoseksual?


MOHD. Zaman Khan (kanan) melakukan gimik perasmian Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV dan AIDS di Kelantan di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 22 Dis. – Semakin ramai golongan muda lelaki Melayu dikesan menjadi pengamal homoseksual sekalipun mengetahui perkara itu ditegah agama dan mendedahkan mereka kepada jangkitan virus HIV.
Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan berkata, penularan seks luar tabii semakin serius dan tidak tertumpu kepada negeri-negeri di pantai Barat sahaja tetapi berlaku di negeri-negeri lain termasuk Kelantan.
Beliau menambah, jika dahulu pengamalnya melakukannya secara sembunyi tetapi kini mereka semakin berani menonjolkan diri sehingga menubuhkan kelab-kelab gay.
Perkara itu ujarnya, sangat membimbangkan lebih-lebih lagi trend jangkitan HIV dan AIDS dalam negara telah berubah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan kepada transmisi aktiviti seks tidak selamat.
“Pada tahun 2010, jangkitan melalui hubungan seks secara heteroseksual, homoseksual dan biseksual mencatatkan jumlah 48.7 peratus melebihi jangkitan melalui penggunaan dadah suntikan iaitu 47.7 peratus.
“Nisbah jangkitan baru HIV di kalangan wanita juga telah naik tiga kali ganda apabila ia meningkat daripada 1.2 peratus pada 1990 menjadi 9.4 peratus pada 2000 dan 18.3 peratus pada 2010.
“Namun kita dapati, selain bilangan semakin meningkat di kalangan wanita yang menjadi isteri dan pasangan kepada penghidap HIV, golongan lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki juga semakin ramai terdedah kepada epidemik ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV dan AIDS peringkat negeri di sini hari ini.
Mohd. Zaman berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan HIV telah dicatat menjadikan jumlah keseluruhan 91,362 penghidap, sejak virus ini mula dilaporkan di negara ini pada 1986.
Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 16,532 orang telah ‘naik’ ke peringkat fasa AIDS di mana 14,298 orang daripada mereka meninggal dunia akibat kurang daya tahan kepada pelbagai jenis penyakit termasuk demam selesema.
Beliau berkata, pergaulan dan pengaruh rakan serta sokongan padu dari kelab mereka menjadi punca utama budaya songsang ini merebak dan menyebabkan golongan ini semakin berani mengamalkan cara hidup sedemikian.
Beliau tidak menolak penularan gaya hidup songsang itu dipercayai kesan daripada tindakan pihak-pihak tertentu yang giat memperjuangkan amalan berkenaan atas nama hak asasi dan kebebasan.
“Kita lihat kes pemuda Melayu yang berkahwin dengan pasangan gay di Dublin, Ireland baru-baru ini dengan lengkap bertanjak dan berbaju Melayu. Apa maknanya ini? Bagi saya ini sengaja hendak memalukan bangsa Melayu sahaja,” katanya.
Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Pas tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk sabotaj - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Kemelut dalaman Pas bertambah 'menggelegak' apabila Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula ikut serta dengan mengeluar kenyataan berbentuk amaran, bahawa Pas tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan sabotaj.
Tegas beliau, Pas akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang mencetus sabotaj sama ada dari dalam mahu pun luar parti, yang bertujuan untuk mengganggu persiapan akhir parti itu lebih-lebih lagi dalam keadaan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin hampir.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, Pas akan memanggil bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali serta Ketua Penerangan Pas Selangor, Shaari Sungip bagi memberi penjelasan berhubung krisis terkini.
Sambil menyifatkan perang mulut antara Nasharuddin dan Hasan dengan pucuk pimpinan Pas sebagai membazir masa parti, beliau berkata, penjelasan perlu dibuat oleh ketiga-tiga individu berkenaan agar selepas ini, tiada lagi masa perlu dihabis untuk melayan pertikaian sedemikian.
"Tidak perlu membazir masa melayan pertikaian akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan serta keengganan menerima keputusan parti dan jemaah. Semua ahli mesti memainkan peranan untuk memastikan jemaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.
"Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir (PRU Ke-13) daripada melayan kerenah segelintir pemimpin yang berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin hala tuju oleh Majlis Syura," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kemelut dalaman Pas mula meledak apabila Pas Selangor dikatakan mahu 'menendang' Hasan daripada negeri itu selepas Shaari secara mengejut membuat pendedahan kepada media bahawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu tidak cukup percalonan untuk diangkat menjadi calon.
Hasan kemudiannya bangkit mempertahankan diri dan langkah sama diikuti Nasharuddin, malah kedua-dua pejuang tulen Pas dalam mempertahan Islam itu turut membidas pucuk pimpinan parti kerana cepat melatah dengan mendakwa mereka terperangkap dengan mainan politik UMNO.
Kemuncaknya, Hasan mahu Pas kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan negara Islam sekali gus menolak konsep negara berkebajikan yang diperkenalkan selepas parti itu berkerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), selain muncul di ruangan Soal Jawab di TV3.
Menjawab desakan Hasan itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas adalah sebuah parti jemaah yang berdemokrasi maka segala keputusan bukan keputusan individu tetapi keputusan yang dibuat dalam jemaah selain turut mendakwa apa yang diperjuangkan sekarang selari dengan Islam.
"Setiap ahli Pas perlu bergerak kearah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan iaitu memenangkan Islam. Oleh itu, pendam dendam, buang kekecilan hati, ketepi kepentingan individu, fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti," katanya.
Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

'Saya ada bukti kaitkan Hasan Ali dengan UMNO'

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dengan agenda UMNO.
Sambil merujuk kepada satu pertemuan antara Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa di sebuah hotel bersama sekurang-kurangnya tiga individu lain pada Ramadan lalu, Mustafa menegaskan, Hasan tidak boleh beranggapan pergerakan beliau tidak diketahui oleh pemimpin Pas lain.
Malah katanya, selain pertemuan itu, beliau juga mempunyai 'peristiwa' lain yang boleh mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO.
"Saya mahu tanya apa yang dibincangkan pada pertemuan itu.
"Adakah ia berkaitan dengan politik atau ekonomi?
"Tapi saya tidak memaksa beliau untuk menjawab atau menafikannya.
"Terpulanglah kepada beliau," katanya pada sidang media di Bangunan Pas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan Hasan supaya beliau mengemukakan bukti bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu terperangkap dalam agenda UMNO yang mahu melemahkan parti tersebut.
Mustafa membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dibuat Hasan berhubung kontroversi yang melanda Pas ketika ini.
Ketika ditanya siapakah tiga individu lain yang turut serta dalam pertemuan itu, Mustafa bagaimanapun enggan mendedahkannya.
Malah, beliau juga menolak untuk mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tiga individu itu adalah ahli perniagaan, ahli politik atau orang UMNO.
''Saya tidak akan mendedahkan lebih daripada itu, tetapi cukuplah untuk Hasan tahu bahawa kita (Pas) tahu pergerakan beliau," katanya.
Mustafa menambah, Hasan juga perlu mengetahui bahawa perjuangannya ketika ini tidak mendapat sokongan daripada mana-mana sayap parti.
Malah kata beliau, ahli di peringkat akar umbi juga tidak menyokong Hasan seperti mana yang didakwa beliau sebelum ini.
"Pada mesyuarat semalam, Dewan Ulama Pas dan Dewan Pemuda Pas Pusat telah menyatakan bahawa mereka tidak pernah berada di belakang Hasan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa berkata, Hasan dan Nasharuddin serta Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib akan dipanggil dalam satu mesyuarat khas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau menolak ketiga-tiga mereka dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin Pas, sebaliknya menjelaskan ia hanyalah pertemuan biasa bagi mendapatkan penjelasan.
"Pertemuan itu juga akan diadakan secara berasingan," katanya.
Bercakap mengenai masa depan politik Hasan ekoran kontroversi itu, Mustafa berkata, beliau tidak berkeyakinan Hasan akan menyertai UMNO dan tidak pula beranggapan UMNO akan menerima Hasan.
Ini kerana kata beliau, dalam kedudukan Hasan ketika ini yang dilihat sedang 'diperangkap' UMNO, maka adalah menjadi kelebihan kepada UMNO untuk Hasan kekal di dalam Pas.
''Jika Hasan bercakap dari dalam Pas, orang (ahli-ahli Pas) akan percaya, tetapi jika Hasan menyertai UMNO dan menghentam Pas, ahli-ahli Pas tidak akan mempercayainya," kata beliau.
Mustafa menambah, dalam keadaan seperti ketika ini, adalah lebih baik untuk Hasan tidak lagi membuat sebarang kenyataan.
Malah, beliau turut menasihatkan Hasan supaya mencontohi sikap Nasharuddin yang memilih untuk menjauh daripada perangkap UMNO.
"Jika Hasan berhenti membuat kenyataan, maka pemimpin Pas lain juga tidak perlu menjawab, jadi kontroversi ini pun boleh berakhir,'' katanya.
Ditanya mengenai kedudukan Hasan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Mustafa berkata, tiada siapa pun ahli Pas ketika ini yang dapat memastikan akan terpilih menjadi calon atau sebaliknya.
Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

Jamal diarah keluar Pengasih


INILAH bangunan rumah Pengasih di Bukit Tunku, Kuala Lumpur tempat
Jamal Abdillah(gambar kecil) berlindung sejak hampir lima tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Selepas hampir lima tahun penyanyi Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali (gambar kecil) menjadi penghuni rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Bukit Tunku di sini, penyanyi tersohor itu dikatakan telah diarah keluar oleh pihak pengurusan pusat berkenaan pada awal November lalu.
Penyanyi itu dikatakan meninggalkan rumah tersebut pada awal November lalu setelah dia menerima surat arahan supaya keluar dari rumah perlindungan dan pemulihan akhlak itu yang disediakan untuk golongan penagih dadah.
Jamal, 52, yang ditemui selepas sidang akhbar Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah dan Pelancaran Album Raja Pop 2 di pejabat Warner Music Malaysia di sini semalam bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut tetapi mengaku lebih tenang duduk di luar berbanding di Pengasih.
"Saya lebih tenang berada di luar (Pengasih) daripada duduk di dalam. Kalau boleh saya tak mahu tumpang orang dan nak duduk di rumah sendiri.
"Saya minta maaf kerana tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini. Tunggulah nanti saya adakan sidang akhbar bagi menjelaskan isu ini," katanya yang kini menyewa sementara menunggu rumah baharunya yang dijangka siap pada bulan Februari tahun hadapan.
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Betis bengkok bak akar kayu




BAGAIKAN masih di dalam rahim ibu, pasangan kembar Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq Hashim masing-masing 15 tahun seolah-olah tidak dapat dipisahkan.

Keakraban kedua-dua beradik ini mungkin terbawa-bawa kerana mereka pernah berkongsi rahim yang sama 15 tahun lalu.

Benarlah kata pepatah, pasangan kembar mempunyai naluri yang kuat antara satu sama lain. Namun, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq bukan sekadar berkongsi naluri yang sama seperti pasangan kembar lain, sebaliknya mereka berkongsi 'derita' yang sama.

Kedua-duanya menghidap penyakit tulang rapuh (soft bone) yang dikesan ketika masih bayi iaitu sekitar 18 bulan dan baru belajar bertatih.

Akibat penyakit tersebut, bahagian betis mereka tidak sempurna sifatnya kerana ia membengkok seakan-akan akar pokok kerana terlalu kerap patah.

Kesannya, tumbesaran remaja tersebut terjejas. Pada masa yang sama mereka tidak dapat bergerak aktif kerana khuatir tulang mereka patah jika terlanggar tunggul kayu ataupun anak tangga.


HASHIM (kanan) menganggap penyakit yang dihidapinya dan tiga anaknya adalah ujian daripada Allah.


Setiap langkah yang diatur perlu berhati-hati kerana jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya. Lebih perit, kecederaan tersebut mengambil masa yang lama untuk pulih iaitu antara dua hingga tiga bulan.

Bukti episod kesakitan anak keenam dan ketujuh daripada lapan beradik itu dapat dilihat melalui kesan patah kerana struktur kaki mereka menjadi pipih persis akar kayu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah pepatah yang paling tepat menggambarkan keadaan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Serating, Merchang, Marang, Terengganu itu kerana penyakit mereka belum ada penawarnya.

"Setiap kali ingin berjalan, saya perlu berhati-hati bagi mengelakkan daripada tulang saya patah akibat terlanggar sebarang objek," kata Mohd. Syafiq ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Bagi Fatihah pula, sebiji bantal terpaksa digunakan bagi memudahkannya mengesot untuk bergerak memandangkan kakinya sudah patah lebih 20 kali sekali gus menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Sungguhpun begitu, dalam keadaan fizikal yang membataskan mobiliti, kedua-dua beradik ini menjadikan kerusi roda sebagai peneman setia ketika berada di luar rumah untuk ke sekolah bagi meneruskan rutin harian mereka.


NURUL FATIHAH terpaksa mengesot bagi membolehkannya bergerak.


Tidak seperti rakan-rakan lain yang gemar bergaul sesama rakan sebaya lain, sebaliknya berlaku kepada Fatihah mungkin kerana kekurangan yang ada pada dirinya.

Patah kaki

Situasi yang berbeza dapat dilihat pada Mohd. Syafiq yang mengalami patah kaki kanan kerana dia agak aktif walaupun dengan pergerakan yang terbatas.

"Kali terakhir kaki saya patah ialah pada pertengahan tahun 2009 ketika bermain.

"Saya kemudiannya dirawat selama seminggu di hospital dan tidak ke sekolah selama dua bulan," ujarnya.

Fatihah yang kini terpaksa bergantung dengan kerusi roda kali terakhir mengalami nasib yang sama kira-kira empat tahun lalu. Namun nasibnya tidak sebaik Mohd. Syafiq kerana kedua-dua kaki Fatihah patah menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Penyakit yang diwarisi daripada bapa mereka, Hashim Omar, 54 turut dialami oleh salah seorang abang mereka, Asrul, 22. Namun, lima lagi adik-beradik yang lain bernasib baik kerana mereka bebas daripada penyakit tersebut.

"Kini, Asrul sedang mengikuti kursus jahitan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tabah dengan dugaan ini, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq saling menjaga satu sama lain apabila seringkali dilihat bersama di sekitar rumah mereka di Perkampungan Orang Kelainan Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang.

"Sudah banyak ikhtiar dilakukan untuk mengubati penyakit anak-anak saya, namun doktor memberitahu penyakit mereka tidak boleh diubati.


MOHD. SYAFIQ (kiri) dan Nurul Fatihah merenung masa depan mereka yang penuh dengan ketidaktentuan.


"Saya juga hairan kenapa saya dan anak-anak terkena penyakit ini sedangkan ahli keluarga saya termasuk datuk dan saudara-mara lain tidak mengalaminya," kata Hashim.

Sungguhpun begitu, Hashim menerima keadaan tersebut sebagai ujian daripada Allah. Menurutnya, tidak ada apa yang perlu dikesali mereka walaupun tidak sempurna.

"Saya bersyukur dengan keadaan ini kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya juga bernasib baik kerana isteri, Nurzaimah Husin, 47, tetap setia bersama-sama menghadapi dugaan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Syafiq sangat positif meskipun sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya.

"Saya ada ramai kawan dan mereka sudi bermain dan bantu saya," katanya.

Kosmo! Online - Pesona:

'via Blog this'