Monday, December 5, 2011

Akta baru menyusahkan


Oleh : RAIHAM MOHD SANUSI
Tarikh : December 5, 2011
Akta baru menyusahkan

KEMAMAN – Pas menyifatkan Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai menghina taraf pemikiran rakyat selepas lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Mustaffa Ali berkata, akta yang baru diwujudkan itu sebenarnya lebih menyusahkan.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, antaranya akta itu menghapuskan keperluan mendapatkan permit polis untuk sebarang aktiviti politik tetapi penganjur perlu memaklumkannya 30 hari sebelum sesuatu program berlangsung kepada pihak polis.

“Akta yang baru diwujudkan ini lebih menyusahkan dan cubaan menggagalkan sebarang aktiviti Pas. Pas Terengganu menyedari perkara ini kerana mempunyai banyak pengalaman dan sudah biasa ditekan, diugut dan dihalang berbanding dengan Pas di negeri lain,” katanya.

Dakwanya, akta itu direka cipta oleh Umno dan BN untuk mencengkam dan mengawal aktiviti Pas.

“Memansuhkan akta lama dan menggantikan dengan akta baru sama seperti kata pepatah Melayu iaitu ‘keluar dari mulut buaya masuk ke dalam mulut harimau’.

“Ini semua timbul setelah Umno dan BN berada dalam keadaan cemas dan hilang pedoman serta kewarasan, apatah lagi inilah kali pertama sejak merdeka, Umno dan BN akan menghadapi dan memasuki Pilihan Raya Umum (PRU) dalam keadaan lima negeri berada di tangan Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima PRU Pas Kawasan Kemaman 2011 yang diadakan di Taman Islam, Kemaman, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Saiful Bahri Mamat mewakili Badan Perhubungan Pas Terengganu.

Seramai lebih 400 petugas parti dari pelbagai peringkat di cawangan, unit peti undi, Majlis Tindakan Dun dan ahli jawatankuasa kawasan serta dewan-dewan turut hadir.

Menyentuh mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC), Mustaffa mendakwa, penubuhan jawatankuasa itu tidak lain adalah satu helah Umno dan BN untuk menunjukkan kepada rakyat, pilihan raya yang telah dan akan diadakan adalah adil dan telus.

Begitupun Pas tetap akan menerima pelantikan wakilnya menganggotai PSC sebagai ruang dan usaha terakhir menghapuskan kebobrokan perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Mustaffa turut menjangkakan golongan muda Islam bakal menggalas amanah rakyat menerajui kerajaan Terengganu selepas PRU Ke-13 nanti berdasarkan keadaan politik semasa di negeri ini.

Beliau berkata, jangkaan itu berlandaskan senario semasa di mana pengundi muda mewakili hampir 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang fikirannya terbuka dan tidak jumud dengan sesuatu pendapat dan berita sahaja.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut mengingatkan semua petugas Pas untuk melipatgandakan kerja dan usaha secara bersasaran.

“Kekuatan petugas Pas terletak pada akidah yang kuat dan mantap yang tidak terdapat pada pekerja Umno yang bergerak dengan kekuatan fulus,” katanya.

Akta baru menyusahkan - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ops Ajar: Wanita dicekup separuh bogel bersama kekasih


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 5, 2011
Belasah

SEREMBAN – Seorang pelajar wanita yang sedang leka bermesra dengan kekasihnya warga Nigeria dicekup di sebuah rumah berhampiran kolej swasta di Mantin dekat sini, semalam.

Lebih memalukan, wanita berusia 20-an itu berada dalam keadaan separuh bogel dalam bilik di tingkat lima rumah berkenaan bersama kekasihnya itu kira-kira jam 4 pagi.
Seramai sembilan warga Nigeria turut berada di rumah berkenaan dalam keadaan mabuk di ruang tamu rumah dipercayai sedang berpesta menyambut hari lahir seorang rakan mereka.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi Ops Ajar Jabatan Imigresen ketika serbuan dilakukan terhadap sebuah rumah penempatan Mini Afrika itu.
Mengikut sumber, ketika serbuan dilakukan, pintu bilik wanita itu tertutup rapat dan dia enggan membukanya mes­kipun lebih 30 minit pintu bilik diketuk.
“Anggota Imigresen terpaksa memecahkan pintu dan kelihatan seorang wanita berada di atas tilam dalam keadaan separuh bogel bersama seorang lelaki warga Nigeria yang turut tidak berpakaian.
“Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku lelaki Nigeria berkenaan teman lelakinya dan menjalinkan hubungan lebih dua tahun,” katanya.
Menurut sumber, wanita itu mendakwa kekasihnya itu adalah rakan sekelas dan menjalinkan hubungan cinta ketika belajar di tahun dua kolej berkenaan.
Wanita terbabit kemudian ditahan dan diambil ketera-ngan sebelum diserahkan kepada keluarganya kira-kira jam 7 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa Jaba­tan Imigresen negeri, Abdul Kadir Hussin berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 42 warga asing ditahan yang terdiri daripada warga Nigeria dan selebihnya warga Kenya, Indonesia, Bangladesh, India, Iraq, Mesir dan Myanmar.
“Kita melakukan lebih 500 pemeriksaan dan mendapati, lima lelaki warga Nigeria memalsukan pas pelajar mereka melalui sindiket.
“Begitu juga dengan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingku-ngan 20 hingga 30-an dan dihantar ke Depoh Tahanan Lenggeng.

Ops Ajar: Wanita dicekup separuh bogel bersama kekasih - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Budak "kanyiaq' kata kat orang "kemere"

Mukhriz gelar kerajaan pembangkang ‘kemere’
Oleh : BERNAMA
Tarikh : December 5, 2011
mukhriz

KODIANG - Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menggelar Kerajaan Negeri ditadbir pembangkang sebagai ‘kemere’ kerana tidak ada usaha membantu rakyat keluar dari tekanan hidup dan hanya tahu mengkritik.

Katanya, ini kerana Kerajaan Negeri ditadbir pembangkang seharusnya bersama Kerajaan Pusat menyelesaikan masalah rakyat.
“Mereka tidak bagi buah fikiran cara terbaik untuk diselesaikan pada masa rakyat terbeban dengan pelbagai masalah, sebaliknya hanya tahu mengkritik program kerajaan BN walaupun ia hanya perkara remeh-temeh.
“Inilah bezanya pendekatan kerajaan BN dengan parti pembangkang dalam usaha meringankan beban rakyat,” katanya selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) Ke-15 di Padang Sera, Jerlun, semalam.
Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, kewujudan KR1M tidak akan membunuh kedai runcit atau mewujudkan persaingan tidak sihat malah ia membantu pengusahanya mendapat bekalan lebih mudah, harga murah dan keuntungan berpatutan.
Katanya, kerajaan mahu mewujudkan sistem pengedaran produk berkualiti berharga murah melalui KR1M supaya orang ramai dapat membeli barangan asas pada harga terkawal dan berpatutan dan tidak bertujuan menanggung subsidi harga barangan.
“KR1M usaha murni kerajaan BN, sebaliknya menjadi amalan pembangkang menjadikannya polemik supaya dapat kritik dan mempolitikkan apa saja usaha BN walaupun ia dilaksanakan demi kebaikan rakyat.

Mukhriz gelar kerajaan pembangkang ‘kemere’ - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Catriona bertudung cetus fitnah


Oleh : SUHAIZA ABU BAKAR
Tarikh : December 4, 2011
Catriona bertudung cetus fitnah

KOTA BHARU - Penghijrahan aktres Catriona Ross untuk bertudung mengundang fitnah apabila beliau dilemparkan pelbagai tohmahan termasuk menyertai parti politik pembangkang apabila aktif menerima undangan berceramah dalam majlis-majlis tertentu.

Menurutnya, sejak mengambil keputusan bertudung selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, rakan seangkatan dalam industri hiburan yang dulunya rapat semakin menjauhkan diri.

“Rakan-rakan rapat saya yang dulu sentiasa bersama juga hilang entah ke mana. Ada juga yang menuduh saya masuk politik kerana saya banyak terima undangan majlis motivasi dan ceramah.

“Ada juga rakan-rakan dalam bidang hiburan sendiri yang menggelar saya ‘ustazah jadi jadian’ ekoran perubahan drastik yang saya lakukan selepas tampil bertudung di khalayak,” kata ibu kepada Sephia Rania Ross-Iddin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel Program Bual Bicara Hijrah-Antara Usaha atau Hidayah Sempena Majlis Budaya Ilmu Perdana Maal Hijrah 2011 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, kelmarin.

Program itu turut disertai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Dr Aminurrasyid Yatiban dan Dr Noorhisham Md Nawi.

Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross yang berasal dari Kota Bharu itu berkata, beliau akur dengan segala cercaan dan tohmahan yang diterima sejak berhijrah lebih ke arah kehidupan Islam kerana ia sudah menjadi lumrah.

Menurutnya, beliau selesa dengan penampilan baru itu dan bersyukur ahli keluarga dan rakan-rakan rapat semasa belajar dulu sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya sehingga kini.

Katanya, penampilannya itu tidak lengkap tanpa diserikan dengan ilmu dan sebab itulah beliau kini aktif menerima pelbagai undangan program motivasi, bual bicara, ceramah dan juga usrah.

Anak kacukan Melayu-Scotland itu berkata, melalui aktiviti seumpama itu beliau dapat berkongsi pengalaman dengan pelbagai lapisan masyarakat dan juga dapat menimba lebih banyak ilmu agama dengan membaca al-Quran dan kitab agama untuk dikongsi bersama hadirin.

“Melalui pembacaan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan ilmu agama saya dan apabila bercakap saya bukan bercakap kosong tetapi ada fakta yang menyokongnya.

“Saya tidak mahu menjadi individu yang hanya menutup aurat tetapi tiada ilmu. Sebab itu saya banyak membaca al-Quran dan kitab berkaitan agama untuk memperoleh lebih banyak pengetahuan,” katanya.

Mengenai pelbagai fitnah yang dilemparkan pula, beliau menerimanya dengan reda dan menganggapnya sebagai dugaan apabila berhijrah ke jalan ALLAH SWT.

Menurutnya, apabila menerima cercaan seumpama itu beliau hanya mampu tersenyum dan mendoakan individu yang mencercanya supaya berubah suatu hari nanti.

Katanya, beliau sentiasa istiqamah dalam menjalani kehidupan supaya perubahan yang dilakukan itu selain memberi kebaikan kepada diri sendiri, ia turut dapat dirasai dan dikongsi bersama mereka di sekelilingnya.

Catriona berkata, kini beliau sibuk dengan program ceramah dan motivasi di beberapa negeri sehingga aktiviti lakonan yang masih diminati terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

Untuk perancangan masa depan, beliau bercadang menghasilkan buku yang menceritakan pengalamannya selama ini dan perubahan yang dilakukan selepas berumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata.

“Insya-Allah jika tiada masalah, saya akan mula menulis buku itu tidak lama lagi,” katanya.

Catriona bertudung cetus fitnah - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Memalukan keluarga!


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 4, 2011
Jalaluddin Hassan

Memalukan dan mengecewakan! Itulah digambarkan pelakon tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan, apabila tersebarnya berita perkahwinan penyanyi, Syella Kamaruddin yang dikaitkan dengan abangnya, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Jalaluddin memberitahu, berita yang tersebar di laman maya itu, membuatkan dia dan keluarga terkejut besar. Malah orang tuanya sendiri tidak mengetahui perkara ini.
“Baru semalam (Jumaat) saya hubungi abang saya. Bila saya bertanyakan perkara ini, abang dan kakak ipar saya tergelak besar.
“Orang paling terkesan dengan khabar ini ialah orang tua kami. Takkanlah abang saya sekejam itu sehingga menyembunyikan hal ini dari pengetahuan mereka,” katanya kepada Zass.
Jalaluddin turut kesal dan marah apabila berita itu turut mengaitkan bapanya.
“Saya ada terbaca artikel berkenaan isu itu. Kenapa menulis sedemikian? Mengaitkan pula ayah saya dalam hal ini.
“Cukuplah mereka membuat cerita tidak benar tentang abang saya. Kini mereka mahu melibatkan ayah saya pula. Orang yang menyebarkan berita ini memang tidak berbudi bahasa,” katanya dalam nada geram.

Gesa Musa ambil tindakan
Berikutan fitnah yang disebarkan, Jalaluddin menggesa abangnya mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebarkan fitnah tersebut.
“Bagi saya, mereka yang menyebarkan fitnah ini merupakan orang yang tidak mempunyai hati dan perasaan. Main sedap mulut sahaja berkata-kata.
“Kalau tidak tahu, buat cara tidak tahu. Sebelum sebarkan, siasat dahulu berita itu benar atau tidak,” katanya.
Membangkitkan mengenai perkahwinan yang dikatakan menelan belanja RM15 juta itu, Jalaluddin memberitahu, adalah sesuatu yang mustahil jika abangnya mempunyai wang sebanyak itu kerana menurutnya, Musa merupakan seorang yang sederhana dalam segala hal.
“Abang saya memakai selipar apabila keluar. Dia juga pergi ke kedai mamak untuk makan. Kalau abang saya mampu mengadakan majlis perkahwinan yang berjumlah RM15 juta, pasti bapa saya kini hidup lebih senang,” katanya.

Minta suami Syella tampil
Selain akan mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebarkan fitnah ini, Jalaluddin juga turut meminta agar suami Syella tampil membuat kenyataan.
“Perkara ini melibatkan maruah kami sekeluarga. Jika suami Syella seorang yang gentleman, sila tampil dan betulkan keadaan,” katanya.
Jalaluddin juga meminta agar Syella tidak terus menyembunyikan suaminya itu.
“Sekiranya suami Syella rasa bertanggungjawab terhadap isu ini, dia harus datang ke depan dan tonjolkan dirinya.
“Dia harus sedar, kami semua terluka dengan tohmahan yang dibuat oleh masyarakat, terutama terhadap orang tua saya. Tambahan pula, perkara ini tidak semena-mena melibatkan orang yang tidak bersalah,” kata Jalaluddin.
Sebelum ini, perkahwinan Syella, mengejutkan orang ramai apabila majlis persandingan dan hantaran yang diterima mencecah RM15 juta.
Bertambah kecoh, apabila Syella, dikatakan berkahwin dengan orang kenamaan yang pernah memegang jawatan penting dalam negara.

Gambar mereka turut tersebar dan nama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tiba-tiba menjadi sebutan. Musa, bagaimanapun, dalam satu kenyataan, menafikan khabar itu dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu itu.
Sementara itu, Syella gagal dihubungi bagi menjelaskan perkara sebenar.
Memalukan keluarga! - Hiburan - Sinar Harian:

Bai'ah Pas haramkan pendapatan, elaun dan pencen


Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
Tarikh : December 5, 2011
Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Jika Umno melakukan Sumpah Taat Setia bagi 'mengikat' ahlinya daripada mengkhianati calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, Pas pula melakukan Sumpah Bai'ah bagi memastikan calon yang menang tidak lompat parti.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada tiga perkara dalam Sumpah Bai'ah yang perlu dipatuhi oleh calon Pas yang dipilih.

"Pertama, calon berjanji jika menang (dalam pilihan raya), dia tidak akan melompat atau keluar parti. Kedua, sekiranya keluar parti atau lompat parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi kerana telah khianat kepada pengundi yang telah memilihnya daripada parti yang dia bertanding.

"Dan yang ketiga, sekiranya dia (calon) keluar parti atau lompat parti dan tidak mengosongkan kerusi, maka haramlah pendapatannya, elaunnya dan pencen yang diterimanya kerana dia tidak amanah kepada rakyat yang diwakilinya," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, tiga perkara tersebut ditetapkan bagi mengelak calon Pas yang menang tumbang di tangan Umno.

"Sebelum ini, ada usaha untuk membeli wakil rakyat kita (Pas) dengan menawarkan wang agar lompat parti. Jadi dengan cara ini, kita ikat calon dan mereka bersumpah atas nama Allah," katanya.

Jelasnya, sebelum lafaz sumpah dilakukan, taklimat terperinci akan diberikan supaya calon jelas dengan perkara yang ditetapkan.

"Sumpah Bai'ah dibuat setelah seseorang telah pasti dipilih sebagai calon. Yang melanggar sumpah ini berdosa dan wajib bayar kifarah sumpah," ujarnya.

Semalam, Tuan Ibrahim memberitahu sumpah antara Umno dan Pas begitu berbeza.

"Dalam Pas, kita lakukan Sumpah Bai'ah terhadap calon yang memenangi pilihan raya agar mereka tidak keluar atau lompat parti kerana mereka menang atas tiket Pas yang dipilih oleh rakyat. Sebaliknya, Umno melafazkan sumpah itu untuk tidak mengkhianati dan taat setia pada calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding.

"Sumpah Umno ini lebih kepada pemilihan calon dan bukan dibuat kerana amanah yang diberikan oleh rakyat atau parti," katanya.

Pada Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Sabtu lalu, sumpah taat setia yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilafazkan oleh semua perwakilan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno

Antara kandungan lafaz ikrar taat setia ahli Umno ialah:

"Kami orang UMNO, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan irihati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Kami orang UMNO berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya nanti.

Kami orang UMNO bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah s.w.t, bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti."

Bai'ah Pas haramkan pendapatan, elaun dan pencen - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lebih baik diperkuda dari diperlembu- Hadi


Oleh : Zulaikha Zulkifli
Tarikh : December 5, 2011
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

SHAH ALAM- Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat (PR) menggunakan kaedah Fekah Islam yang mengajar supaya sentiasa membuat hubungan baik dengan semua bangsa di dunia.

Beliau berkata, kini sudah tiba masa Pas membuat perubahan dan jangan mempedulikan cemuhan Pas diperkudakan DAP, DAP diperkuda oleh Pas ataupun PKR diperkuda Pas, tetapi beliau mendakwa, Umno sebenarnya diperlembukan.

"Lebih baik diperkuda dari diperlembu. Kuda untuk perjuangan, lembu utk disembelih."

“Kini sudah tiba masanya rakyat di negara ini membuat perubahan dan tidak memperdulikan cemuhan yang dilempar oleh Umno,” katanya ketika berucap pada majlis Rapat Umum PR di perkarangan Stadium Malawati, semalam.

Katanya, sikap ahli Umno yang cenderung mempertahankan diri dan mengapi-apikan semangat perkauman bukanlah cara yang wajar untuk menyelamatkan bangsa.

Beliau menambah, atas dasar itu juga PR telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan dan buku jingga untuk memberitahu rakyat perbezaan agenda mereka dengan Umno.

"Alangkah baiknya jika pelbagai bangsa dan kaum di dalam sebuah negara dapat diadun dengan baik dan menjadi satu ummah, satu masyarakat yang ada keistimewaan masing-masing dalam membina sebuah negara yang mana semua kaum boleh menerima satu konsep dan dasar iaitu sebuah negara berkebajikan, adil, benar dan menentang kezaliman," katanya.

Abdul Hadi turut menegaskan, hubungan rapuh dalam masyarakat majmuk di negara ini juga merupakan bukti kegagalan kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang perlu diperbaiki.

"Ini semua kerana kegagalan Umno yang telah menghilangkan jati diri orang Melayu dan kewibawaan bangsanya sendiri kerana Umno mendahulukan Melayu dan membelakangkan Islam.

"Islam tidak 'memandu' Umno dan mereka tidak boleh melahirkan seorang pemimpin contoh dan berwibawa ," ujarnya.

Lebih baik diperkuda dari diperlembu- Hadi - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'