Monday, August 9, 2010

habislah PAS

194 keluar Pas


MUSTAPA Mohamed diiringi Dali Hussin bersalaman dengan ahli Pas yang menyertai UMNO di Kampung Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 8 Ogos – Seramai 194 ahli Pas dari sini mengambil keputusan menyertai UMNO kerana terkilan dengan sikap pemimpin parti itu yang didakwa gagal membawa perubahan selain enggan berjuang untuk penyatuan orang Melayu di negara ini.
Mereka merupakan ahli Pas di tiga kampung di Pengkalan Chepa dekat sini iaitu Kampung Tukang Dollah, Kampung Pantai Cahaya Bulan dan Kampung Tok Betek.
Ketiga-tiga kampung tersebut sebelum ini mendapat gelaran ‘kawasan hijau’ berikutan sokongan fanatik penduduknya kepada Pas.
Kesemua ahli Pas terbabit menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sempena ceramah ‘Selamat Tinggal Pas’ yang dihadiri lebih 2,000 penduduk di Kampung Tukang Dollah di sini malam tadi.
Turut menyampaikan ceramah ialah Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin dan Mudir Pondok Pok Krau Tumpat, Mohammed Zainal Abidin.
Mustapa dalam ucapannya mengisytiharkan gerakan untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) merampas kembali Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.
“Beberapa bulan lalu ketika di Pasir Mas ada penyokong setia Pas termasuk pemimpin mereka menyertai UMNO dan malam ini sekali lagi anda semua telah membuat satu keputusan yang betul.
“Di sinilah kita bermula, saya mengisytiharkan gerakan habis-habisan untuk kita bersama-sama menumbangkan Pas Kelantan dan merampas semula negeri ini,” jelas beliau sambil mendapat sorakan padu penduduk yang hadir.
Sementara itu, Salmah Yahya, 66, berkata, dia telah menjadi ahli Pas sejak 36 tahun lalu kerana mengikut jejak langkah arwah ibu bapanya.
Bagaimanapun, jelasnya, selepas melihat semua dasar dan kekerasan Pas dalam memperjuangkan perpaduan, dia mulai insaf dan memilih untuk beralih arah.
“Saya pun belajar agama, belajar isu-isu semasa dan fasal perpaduan ini memang tidak boleh dimaafkan, bukan setakat pembangunan yang gagal diberikan.
“Kami tidak mahu lagi tertipu dan mengharapkan sesuatu daripada Pas kerana hanya UMNO yang mampu memberikannya,” jelasnya.
Bagi pemborong ikan, Zulkifli Jafar, 45, pula, dia telah memohon kerajaan Pas untuk membina Jeti Kuala Pak Amat sejak beberapa tahun lalu tetapi gagal, namun selepas masalah tersebut dimaklumkan kepada pemimpin UMNO, ia segera dibina.
“Sekarang jeti sudah ada dan senang untuk kami bekerja. Jadi kenapa perlu saya menyokong Pas lagi kalau selama ini mereka tidak menyokong atau membela kami,” tegasnya.

Soi Lek bidas Guan Eng reka cerita


KOTA KINABALU 8 Ogos - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak mereka-reka cerita kononnya pemimpin MCA memperkecilkan cendekiawan Islam dan sumbangan mereka kepada pembangunan tamadun ilmu ketika menyampaikan ceramah pada di Kedah baru-baru ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menegaskan, perkara tersebut tidak pernah berlaku tetapi intipati utama ucapan beliau ditokok tambah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat khususnya umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan taktik kotor Guan Eng itu.
"Ketika merasmikan Konvensyen MCA Kedah, saya sama sekali tidak menyentuh atau memperkecilkan sumbangan tamadun Islam dan cendekiawan Islam terhadap pembangunan ilmu termasuk dalam sains dan matematik.
"Apa yang saya cakap hanyalah berkisar kepada fakta mengenai nasib 57 negara di dunia yang majoriti penduduknya beragama Islam yang dipetik daripada buku tulisan Syed Akbar Ali bertajuk Malaysia And The Club of Doom," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Timbalannya merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua MCA Sabah, Datuk Edward Khoo.
Soi Lek berkata, dengan penjelasan itu, beliau berharap pemimpin DAP dan Pas tidak memutarbelitkan fakta ucapan yang dibuat berdasarkan buku tulisan Syed Akbar Ali itu.
Katanya, intipati daripada buku berkenaan digunakan bagi menyedarkan masyarakat Cina padah yang bakal diterima jika terus menyokong Pas yang diketahui lebih mengutamakan pembangunan agama berbanding sosioekonomi rakyat.
Beliau menambah, antara lain penulis buku itu menyebut, oleh kerana 57 negara berkenaan mengabaikan pembangunan sosioekonomi rakyat, maka mereka hanya menyumbang lima peratus kepada Keluaran Kasar Negara (KDNK) dunia, walaupun memiliki 1.4 bilion penduduk atau 20 peratus populasi dunia.
"Di negara berkenaan tahap pendidikan juga rendah apabila 800 juta penduduk buta huruf dan kebanyakannya wanita, kadar pengangguran juga tinggi dan kemiskinan di mana-mana.
"Itu sahaja yang saya sentuh, bukan menyentuh pencapaian tamadun Islam lalu seperti dikatakan Guan Eng," katanya.
Sementara itu, Soi Lek berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri untuk mempertimbangkan kerusi tambahan kepada parti itu di negeri ini.
Katanya, MCA Sabah layak menerima kerusi tambahan kerana berjaya menambahkan ahli sehingga 20,000 di semua 25 bahagian di negeri ini.
Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan hasrat masyarakat Cina di negeri ini untuk diwakili parti yang berpangkalan di Semenanjung, yang disifatkan mereka memiliki kelebihan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan Kerajaan Pusat.

Sekolah remaja hamil: Jawatankuasa pelaksana ditubuh


MELAKA 8 Ogos - Bagi menyegerakan penubuhan sekolah remaja hamil di negeri ini, kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pelaksana untuk menggerakkan operasinya yang dijadual bermula September ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa khas itu menumpukan kepada kesesuaian peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, sekolah itu akan beroperasi dalam bangunan yang hanya dikhaskan oleh kerajaan negeri dan tidak melibatkan sekolah agama atau sekolah awam lain.
"Bagaimanapun, sebelum sekolah khas ini beroperasi, jawatankuasa yang baru ditubuhkan ini mengkaji kesesuaian dan memastikan penubuhannya memenuhi keperluan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Forum Khas Menangani Gejala Sosial peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Antara ahli panel yang terlibat dalam forum itu ialah Mufti negeri, Datuk Wira Rashid Redza Md. Salleh; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Mozaimi Mohamad.
Turut hadir pada sesi dialog tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekolah Remaja Hamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim.
Mohd. Ali menambah, biarpun sekolah itu ditubuhkan bagi memberi perlindungan dan pembelajaran kepada remaja hamil namun tindakan undang-undang tetap dikenakan terhadap mereka.
Sementara itu, kata beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti modul pembelajaran yang sesuai dipraktikkan di sekolah khas tersebut.
"Modul pembelajaran yang akan diajar di sekolah khas itu mengikut modul pendidikan kebangsaan sedia ada atau kita boleh menyediakan pengajian agama kepada mereka dalam tempoh setahun," katanya.

UMNO tegakkan Islam kerana tanggungjawab - Abdullah



Abdullah Ahmad Badawi dan Jeanne Abdullah bersama orang ramai selepas menanam pokok di Pantai Kamloon, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.


KEPALA BATAS 8 Ogos - Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, polisi serta pendirian UMNO dalam menegakkan isu-isu berkaitan agama Islam di negara ini dilakukan atas prinsip tanggungjawab bukan berlandaskan kepentingan politik semata-mata.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mendakwa UMNO terikut-ikut pendekatan Pas menggunakan agama untuk meraih sokongan sehingga menjadikannya parti konservatif adalah satu persepsi yang salah.
"Samalah juga seperti program yang ada hubung kait dengan Islam yang dijalankan jabatan agama di peringkat negeri atau Persekutuan, ini kita lakukan atas dasar tanggungjawab bukan hendak pancing undi.
"Kalau kita bina masjid, madrasah serta sekolah agama untuk membangunkan (syiar) Islam, adakah ini untuk pancing undi? Sudah tentu tidak kerana itu memang menjadi tanggungjawab kita," katanya.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penanaman kira-kira 400 pokok pelbagai spesies di sekitar Pantai Kamloon sempena program Mai Riuh!!! di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Ketika berucap pada Majlis Perhimpunan MCA Kedah baru-baru ini, Soi Lek menyifatkan kecenderungan Pas menggunakan agama dalam meraih sokongan rakyat telah memaksa UMNO untuk menggunakan cara yang sama bagi mengukuhkan kedudukan parti itu.
Beliau berkata, disebabkan itu, UMNO menjadi sebuah parti konservatif kerana bersaing dengan Pas untuk mendapatkan perhatian sehingga ada beberapa polisi yang kurang berkesan dibuat oleh kerajaan.
Malah, katanya, senario itu menyebabkan negara terperangkap menjadi negara berpendapatan sederhana selama 10 tahun.
Bagaimanapun, Abdullah berkata, adalah tidak adil membuat telahan begitu kerana walaupun UMNO mempunyai prinsip jelas berkaitan agama Islam, agenda pembangunan negara sentiasa diberi perhatian.