Monday, October 11, 2010

Nenek tabah jaga 3 cucu


Oleh Mahaizura Abd Malik 
bhnews@bharian.com.my 
2010/10/11

MARSINAH bersama Nornadia melihat gambar keluarga di rumah mereka di Flet Taman Cendana.
MARSINAH bersama Nornadia melihat gambar keluarga di rumah mereka di Flet Taman Cendana.
Marsinah sedia keperluan sekolah, makanan dalam serba kekurangan 

PASIR GUDANG: Seorang nenek terpaksa meminta tiga cucunya bergilir-gilir memakai pakaian sekolah kerana kedaifan hidup hingga sukar menyediakan keperluan persekolahan mereka.Malah Marsinah Md Amin, 70, turut berjimat ketika menyediakan juadah serba sederhana buat keluarganya dengan kebiasaannya jika membeli seekor ayam, ia terpaksa dipotong dan dibahagikan kepada tiga bahagian supaya dapat dijadikan lauk untuk beberapa hari.
Marsinah yang menetap di Blok 44, Flet Taman Cendana di sini, bagaimanapun tetap tabah menghadapi dugaan hidup itu demi memastikan tiga cucunya, Mohd Roslin Rosli, 14, Nurnabilah, 11, dan Nornadia, 9, tidak berpisah dengannya. 

Katanya, walaupun semakin dihimpit kesempitan hidup memandangkan dirinya tidak mampu untuk bekerja kerana sudah tua, dia tetap tidak mahu memberikan cucunya kepada kenalan walaupun ada yang pernah meluahkan hasrat untuk menjaga ketiga-tiga cucunya itu. 

“Saya masih ingat pesan arwah anak saya yang meninggal dunia akibat barah empat tahun lalu yang mahu saya menjaga dan membesarkan mereka menjadi insan berguna. 

“Kerana itu saya sanggup ikat perut dan berbelanja secara berhemah bagi memastikan bantuan bulanan sebanyak RM300 diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta RM200 daripada Baitulmal cukup untuk kami berempat,” katanya. 
Marsinah berkata, fikirannya kerap bercelaru memikirkan nasib tiga cucu sekiranya dia ditimpa sesuatu perkara tidak diingini memandangkan usianya semakin meningkat dan semakin uzur. 

Pada masa sama, Marsinah turut bergantung kepada beberapa jenis ubatan termasuk bagi mengawal tekanan darah dan menghilangkan sengal badan. 

“Saya cuba elak daripada memikirkan nasib keluarga yang boleh dianggap seperti sudah jatuh ditimpa tangga tetapi setiap kali terpandang wajah Nornadia, saya mula berasa bimbang menyebabkan tekanan darah tiba-tiba naik. 

“Apa tidaknya, ketika Nornadia berusia empat bulan, bapanya meninggalkan ibunya digantung tak bertali dan ketika dia mencecah usia lima tahun, ibunya pula meninggal dunia. Saya tidak tahu apa akan jadi kepada mereka jika saya sudah tiada,” katanya. 

'Bakti saya tidak terhenti'

PUTRAJAYA: “Saya bersyukur dan gembira kerana majlis (pernikahan) berjalan lancar, malah bertambah ceria dengan kehadiran ribuan rakyat Malaysia.


CERIA...Dr Sheikh Muszaphar menyarungkan cincin ke jari Dr Halina pada majlis pernikahan mereka, semalam.
CERIA...Dr Sheikh Muszaphar menyarungkan cincin ke jari Dr Halina pada majlis pernikahan mereka, semalam.

“Apa yang pasti, walaupun sudah berkahwin, saya tetap Dr Sheikh Muszaphar yang sama dan akan terus mencurahkan bakti kepada negara dan terus memberikan ceramah kepada pelajar,” kata angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor selepas diijab kabul dengan Dr Halina Mohd Yunos, semalam.

Pasangan dua sejoli, masing-masing berusia 38 dan 30 tahun yang berpakaian sedondon putih itu diijbabkabulkan bapa Dr Halina, Leftenan Kolonel (B) Mohd Yunos Mohd Ali sambil disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, kira-kira jam 11.40 pagi.

Sebelum itu, Dr Sheikh Muszaphar tiba di masjid kira-kira jam 11 pagi, bersama sembilan dulang hantaran, manakala Dr Halina tiba 10 minit kemudian dengan membawa 11 dulang.

Majlis pernikahan yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu turut diserikan kehadiran beberapa angkasawan luar negara kebetulan berada di negara ini sempena Kongres Planetari Association of Space Explorers (ASE) Ke-10 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sejak beberapa hari lalu.

Sambil memegang erat suaminya, Dr Halina berkata, beliau berharap rakyat Malaysia mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga mereka agar kekal sehingga ke akhir hayat.
Menurutnya, beliau juga gembira dan berterima kasih kepada mereka yang hadir termasuk mereka yang banyak menyokong suaminya selama ini.

Majlis lebih sejam itu turut dihadiri ibu Dr Halina, Habibah Endan serta ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraida Datuk Sheikh Ahmad.Tarikh 10 Oktober tahun ini menjadi pilihan pasangan berkenaan sempena ulang tahun ketiga Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas selepas bertunang pada awal tahun lalu.

Bapa terkilan anak tidak sempat terima ijazah

MELAKA: Seorang bapa terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya menggengam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) apabila anaknya itu terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, semalam.
Abdul Karim Jamaludin, 60, berkata anaknya Norazmi, 24, dijadual menerima ijazah itu pada majlis konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak Jumaat ini.
"Anak saya pergi ke Kuala Lumpur petang semalam menaiki bas ekspres untuk berjumpa kawan-kawannya bagi membuat persiapan menghadiri konvokesyen itu dan kemudian pergi bersama kawan-kawanya ke UPSI," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, 12 orang terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebuah van dan tiga kereta.

Abdul Karim yang reda dengan pemergiaan anak keenam dari tujuh adik-beradik itu, berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kempas, Selandar hari ini.

Sementara itu, Maria Johan, 54, ibu kepada seorang lagi mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu, Azizi Ajis, 19, berkata anaknya yang baru bekerja dengan sebuah agensi pelancongan di Kuala Lumpur, menyatakan dia rasa malas untuk pulang ke ibu negara mungkin kerana dia sayang untuk berpisah dengan adik- beradiknya.

"Beliau (Azizi) sempat minta maaf dengan Pak Longnya yang akan menunaikan fardu haji dan minta (Pak Long) doakan dia berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur," katanya yang tinggal di Kampung Gapis, Nyalas di Jasin.

Maria berkata Allahyarham, anak ketiga daripada lima adik-beradik, tidak menunjukkan perubahan yang luar biasa sebelum kemalangan itu berlaku.

Isteri kepada R Ramachandra, 52, pemandu bas ekspres itu, M Gayarati, 47, berkata dia kali terakhir melihat suaminya ketika Ramachandra keluar untuk pergi bekerja pada jam 11 pagi semalam.

"Jam 9 malam tadi kakak saya beritahu ada kemalangan bas ekspres di lebuhraya (Utara-Selatan) saya terus pergi Melaka Sentral (stesen bas) dan dapat tahu kemalangan yang melibatkan suami saya," katanya yang tinggal di Kampung Tengah, Klebang Besar di sini.

Katanya, suaminya adalah seorang pemandu yang berhemah dan berpengalaman yang telah bekerja dengan syarikat bas ekspres itu selama tiga tahun selepas bekerja dengan sebuah syarikat bas bandaran di Melaka selama 15 tahun.
Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, penumpang bas ekspres yang maut dalam kemalangan itu berkata, ini adalah tragedi malang untuk anaknya yang pertama kali menaiki bas ekspres.

"Anak saya sebelum ini tidak pernah berjalan jauh berseorangan, kalau nak jalan jauh pun kami pergi sekeluarga menaiki kereta," katanya.

Katanya, anaknya ke Kuala Lumpur kerana ingin berjumpa dengan seorang rakan dan sepatutnya pulang ke Melaka pada esok (Selasa).-Bernama

9 pelajar sekolah antara ditahan curi motor


11/10/2010 5:40pm

YAN: Dua belas orang termasuk sembilan pelajar sebuah sekolah di sini berumur antara 15 dan 21 tahun ditahan polis dalam dua operasi berasingan pada 4 Okt. dan semalam kerana mencuri motosikal.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu berkata dalam operasi Ops Lejang Bersepadu semalam, polis menahan lima suspek, termasuk tiga pelajar sekolah, iaitu dua ditahan di sekolah dan tiga lagi di rumah masing-masing di Singkir Badung di sini.
"Polis telah merampas tiga buah motosikal curi dan sebuah motosikal yang menggunakan komponen yang dicuri manakala polis juga turut merampas empat rangka motosikal dan beberapa komponen yang lain yang telah dibuang ke dalam sungai,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini hari ini.
Beliau berkata selepas kelima-lima suspek itu ditahan, mereka telah membawa pasukan polis ke Sungai Segantang Garam dan menunjukkan tempat rangka dan komponen motosikal itu dibuang.
"Semua suspek ini mempunyai pertalian persaudaraan dan rumah mereka juga berdekatan,” katanya.
Ismail berkata dalam operasi berasingan iaitu pada 4 Okt lepas, polis telah menahan tujuh suspek termasuk enam masih bersekolah kerana melakukan kes yang sama.
"Mereka juga berasal dari kampung dan sekolah yang sama dengan kes semalam tetapi mereka itu adalah kumpulan yang berbeza.
"Suspek telah membawa pihak polis ke hutan paya bakau Sungai Pial dan polis menjumpai sebuah rangka motosikal di situ,” katanya.
Beliau berkata semua suspek direman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Dengan tertangkapnya dua kumpulan ini, kita telah menyelesaikan banyak kes kecurian di sekitar daerah ini dan Sungai Petani,” katanya. - Bernama

Kes rampasan CD ajaran Kristian ditetap 26 Okt.


11/10/2010 1:24pm

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 Okt ini untuk menentukan tarikh perbicaraan kes seorang wanita dari Sarawak yang mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lapan cakera padat (CD) mengenai ajaran Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’.
Penolong Pendaftar Kanan Halilah Suboh menetapkan tarikh tersebut dalam kamar hari ini.
Pada 20 Ogos 2008, Jill Ireland Lawrence Bill, 27, memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) bagi mengarahkan KDN mengembalikan kesemua CD tersebut.
Jill, yang bekerja sebagai seorang kerani, mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi pada 4 Mei tahun lalu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.
Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi, yang mewakili pihak responden, memberitahu pemberita bahawa mahkamah mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk memfailkan afidavit balasan berhubung kes itu. - Bernama

Enam laporan polis terhadap suspek utama kes bunuh Sosilawati


11/10/2010 2:43pm

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap peguam dan adiknya yang disyaki suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, yang mana kesemuanya berkaitan dengan kes penipuan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Dalam Negeri itu memberitahu Persidangan Dewan Rakyat hari ini, bahawa kesemua laporan yang dibuat di Balai Polis Banting, masing-masing bertarikh 19 Ogos 2005, 20 Oktober 2005, 20 Februari 2009, 18 Mac 2010, 13 dan 14 September 2010.
Beliau berkata, daripada enam laporan membabitkan peguam terbabit serta adiknya, dua kes telah selesai disiasat dengan satu daripadanya, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan satu lagi dalam perbicaraan di mahkamah.
"Satu telah ditutup berikutan tindakan pengadu menarik semula laporannya dan tiga lagi masih dalam siasatan polis,” katanya menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di sini bersekali dengan soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Kit Siang dalam soalannya ingin tahu tarikh dan jenis laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Sosilawati di Banting serta tindakan terkini terhadap laporan polis berkenaan.
Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 12 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
Hishammuddin berkata, tidak timbul persoalan bahawa polis tidak menjalankan siasatan ke atas laporan-laporan yang buat terhadap suspek dan menegaskan bahawa tiada laporan orang hilang dikaitkan dengan suspek sebelum ini.
"Cuma satu laporan sahaja yang dibuat oleh Allal Kathan Kasi iaitu adik kepada A. Muthuraja (hartawan warga India) pada 29 Mac 2010 di Balai Polis Klang. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana fakta kes menjurus kepada penipuan.
"Orang yang disyaki dalam kes ini (kes A. Muthuraja) bukan suspek utama kes Datuk Sosilawati dan tiga yang lain. Laporan kehilangan Muthuraja yang dikaitkan dengan suspek cuma dibuat pada 8 September lepas oleh isterinya S. Usharani, 24, iaitu selepas kes Sosilawati dibongkar termasuklah lain-lain kes yang didedahkan media massa baru-baru ini,” katanya. - Bernama

Kementerian mulakan siasatan kemalangan ragut 12 nyawa


11/10/2010 5:09pm

SEREMBAN 11 Okt. - Kementerian Pengangkutan telah memulakan siasatan berhubung kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, dekat Rembau petang semalam.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Miros untuk menjalankan siasatan tersebut.
"Bas ekspres yang terbabit adalah bas baru dan didaftarkan pada 2007. Siasatan awal mendapati bas tersebut kerap menjalani pemeriksaan biasa Puspakom dan kali terakhir bas ini diperiksa pada Mei lepas.
"Kita akan menjalankan siasatan lanjut terhadap sistem stereng dan brek bas terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang cedera dalam kemalangan itu di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini hari ini. - Bernama

Muszaphar sah milik Harlina



SHEIKH MUSZAPHAR menyerahkan cek mas kahwin kepada isterinya, Harlina di Masjid Tuanku Sultan Mizan, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sah menjadi milik Dr. Harlina Mohd. Yunos setelah selamat diijabkabulkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini semalam.
Dengan hanya sekali lafaz, Sheikh Muszaphar telah dinikahkan oleh bapa Harlina, Lt. Kol. (B) Mohd. Yunos Mohd. Ali dengan mas kahwin RM80 sambil disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.
Kedua-dua mempelai mengenakan pakaian pengantin sedondon berwarna putih dan rombongan pengantin lelaki membawa sembilan dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak pengantin perempuan.
Turut hadir pada majlis itu ialah ibu bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraida Sheikh Ahmad serta ibu Harlina, Habibah Endan, keluarga dan kenalan masing-masing.
Perkahwinan itu turut dihadiri 100 angkasawan luar negara yang dijemput khas pada majlis berkenaan dan persandingan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Kemarahan peneroka ladang rakyat antara isu di Galas


GUA MUSANG - Pembukaan "Ladang Rakyat" di Hulu Kelantan dijangka menjadi isu besar untuk ditangani oleh kerajaan PAS negeri Kelantan menjelang pilihan raya kecil Galas 4 Nov ini kerana tanah yang terlibat didakwa diambil daripada penerokanya oleh kerajaan negeri untuk diusahakan oleh swasta.

Malahan isu berkenaan sudahpun menjadi topik utama perbualan di kedai-kedai kopi di sini walaupun penamaan bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan itu adalah pada 26 Okt ini.

Seorang peneroka, Harun Che Anal, 61, berkata, tindakan kerajaan negeri mengambil tanah itu dan diberi kepada syarikat swasta luar Kelantan bagi membangunkannya sebagai "Ladang Rakyat" telah menjejaskan masa depan penduduk setempat yang telah mengusahakan pelbagai tanaman di situ lebih dari dua dekad.

Beliau berkata, tanah yang telah ditanam dengan getah dan kelapa sawit itu sudah lama mengeluarkan hasil, tetapi tanagh itu diambil oleh kerajaan negeri, walaupun ada peneroka yang telah membayar deposit bagi mendapatkan hak milik tanah itu.

"Ada pihak cuba melengah-lengahkan pemberian hak milik itu, mungkin sebagai muslihat untuk merampas tanah ini. Kami akan cuba halang daripada tanah kami dirampas," katanya kepada Bernama.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Mat Yusof Abdul Ghani berkata, beliau yakin PAS akan dihukum oleh pengundi pada pilihan raya kecil itu kerana tidak berlaku adil kepada rakyat. 

Mat Yusof, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Nenggiri, berkata, kerajaan negeri telah mengabaikan nasib penduduk yang kehilangan tempat untuk mencari rezeki.

"Terdapat ketidakadilan dalam pembahagian semula keuntungan tanah ini, sebahagian diberi (tanah) dan sebahagian tidak, walaupun rakyat telah duduk dan bercucuk tanam di situ untuk mencari rezeki sejak bertahun-tahun.

"Sudahlah hilang pendapatan, hilang pula tanah. Orang Gua Musang suka membuka tanah dan menanam getah, kelapa sawit dan buah-buahan, sepatutnya mereka diberikan geran," katanya.

Mat Yusuf berkata, kerajaan negeri telah mengambil tanah tersebut dengan alasan untuk membangunkan Ladang Rakyat dan memulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk dividen serta pembangunan untuk menghapuskan kemiskinan sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata, bahawa tindakan kerajaan negeri meluluskan tanah untuk projek perladangan swasta boleh menjejaskan penduduk Orang Asli di Gua Musang.

Tak pernah ganggu Aidil, menantu - Abd. Radzak




SEREMBAN – Keluarga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 25, memberitahu, mereka tidak pernah mengganggu kehidupan Aidil Zafuan dan isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar.
Ayah Aidil Zafuan, Abd. Radzak Salleh, (gambar) 61, menegaskan, mereka sekeluarga menyayangi anak, menantu dan cucunya, Airit Rayyan Rizqin yang berusia setahun.
Ujarnya, beliau sekeluarga sedia untuk bertemu dengan Rita Rudaini, 35, mahupun keluarga menantunya di Perlis pada bila-bila masa bagi menjelaskan perkara sebenar.
“Kami akan menyatakan pendirian keluarga kami yang telah menerima baik kehadiran Rita sebagai isteri kepada Aidil.
“Sebenarnya tidak timbul soal keluarga kami menolak Rita kerana itu tidak akan berlaku, lagi pun Rita sudah pun menjadi sebahagian daripada keluarga dan melahirkan zuriat Aidil,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di sini semalam.
Katanya, sidang akhbar itu dibuat bagi menyatakan pendirian keluarga dan menjelaskan penerimaan mereka dan merestui rumah tangga Aidil Zafuan dan Rita Rudaini.

Sakit mata gelagat Awang Hitam



SEBUAH pub di Taman Connaught, Cheras menjadi tumpuan warga Afrika melepak bersama rakan-rakan.


KUALA LUMPUR – Sesiapa yang tidak pernah menjejaki kaki ke Taman Connaught, Cheras di sini pasti terpegun dan hairan kerana kelibat lelaki warga Afrika senang ditemui di situ.
Dari stesen minyak, restoran makanan segera, kedai mamak sehingga sebuah pub di situ hanya kelibat warga Afrika yang kelihatan.
Fenomena itu membuatkan anda yang bukan penduduk di situ pasti merasa keliru dan tidak senang kerana suasana di situ seolah-olah anda berada di bumi Afrika.
Warga Afrika tanpa mengira jantina dilihat tidak kekok untuk melepak dengan gaya hidup mereka yang tidak ada perasaan segan silu.
Tinjauan Kosmo! mendapati sebuah pub di situ telah dijadikan markas oleh warga Afrika untuk berhibur dan berkumpul bersama rakan-rakan senegara.
Sepanjang hari lagu-lagu yang dimainkan dalam pub itu pula berunsur lagu-lagu rock dan balada.
Oleh itu, tidak ada penduduk tempatan yang berani menjejakkan kaki ke pub itu kerana ia telah didominasi oleh warga Afrika sejak sekian lama.
Jika ada gadis-gadis tempatan melalui pub tersebut, pasti ia menjadi tarikan kepada warga Afrika untuk memikat mereka dipercayai untuk dijadikan teman sosial.
Ibarat kawasan itu mereka punya, aktiviti berseronok di pub tersebut bermula seawal pukul 11 pagi dan semakin aktif menjelang tengah malam apabila lebih ramai di kalangan warga asing itu memenuhi segenap ruang pub berkenaan.
Menjelang tengah malam, keadaan pub itu didakwa menjadi bising dengan gelagat warga asing yang juga didakwa kerap bergaduh.

cegah buang bayi besar-besaran

7,200 pasangan kahwin serentak


SEBAHAGIAN pasangan yang menyertai perkahwinan beramai-ramai di Asan, Korea Selatan semalam.


ASAN, Korea Selatan - Kira-kira 7,200 pasangan Korea Selatan dan asing melafazkan ikrar perkahwinan pada majlis perkahwinan beramai-ramai di Gereja Penyatuan di sini semalam.
Pengasas gereja itu, Paderi Sun Myung-moon memberi restu kepada pasangan yang berkahwin di Universiti Sun Moon itu.
Universiti itu ditubuhkan Myung-moon yang terletak di selatan Seoul.
"Saya mengumumkan perkahwinan untuk merahmati wanita cantik dan lelaki tampan yang berdiri di depan Tuhan, dunia dan diri saya," kata paderi yang berumur 90 tahun itu.
Menurut beberapa pegawai gereja, pasangan itu melafazkan ikrar perkahwinan dalam majlis selama satu jam yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen satelit ke 194 buah negara.
Paderi itu mencetuskan kontroversi kerana pernah menyatakan bahawa semasa berumur 15 tahun, Nabi Isa memintanya meneruskan kerja-kerja yang tidak dapat disempurnakannya.
Kali pertama dia menganjurkan perkahwinan beramai-ramai ialah pada awal 1960-an dengan melibatkan 24 pasangan dan memperbaharui ikrar perkahwinan 12 pasangan. - AP

Karpal mahu Rahimi dicap hina mahkamah




GEORGE TOWN (Pulau Pinang): Encik Karpal Singh, peguam utama dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin mengambil tindakan agar bekas pembantu anak guamnya itu, Encik Muhamad Rahimi Osman (gambar), dianggap sebagai menghina mahkamah.
'(Encik) Rahimi mung- kin telah menghina mahkamah dengan membebaskan secara terbuka Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan isteri daripada pertuduhan terhadap mereka dalam perbicaraan (Datuk Seri) Anwar,' kata Encik Karpal seperti ditukil Sunday Star semalam.'Hakim adalah manusia biasa. Mereka boleh terjejas dengan apa yang mereka baca dalam surat khabar,' katanya kepada pemberita kelmarin.Encik Rahimi, 25 tahun, bekas pembantu Datuk Seri Anwar, baru-baru ini mendakwa beliau dipaksa menandatangani satu perakuan berkanun yang mengaitkan Datuk Seri Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam kes liwat Datuk Seri Anwar.Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang juga pembantu Datuk Seri Anwar, menuduh bekas majikannya itu meliwatnya.Kelmarin, Encik Rahimi menafikan dakwaan peguam Cik Latheefa Koya, bahawa beliau takut ditahan polis dan meminta dilindungi di Hotel Quality, di Shah Alam dalam kejadian pada Jun 2008.Menurut Rahimi, beliau berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama Mohd Saiful Bukhari, bapa saudara- nya, kakitangan dan doktor HKL serta ramai polis termasuk daripada Bahagian Siasatan Jenayah sebelum ke hotel berkenaan.'Orang Anwar sebenarnya tidak henti-henti menelefon saya menyuruh ke Quality Hotel.'Pada mulanya saya enggan pergi, tetapi ibu dan bapa menasihati supaya (saya) pergi menemui (Datuk Seri) Anwar atas tanda hormat kerana (Datuk Seri) Anwar belum tentu bersalah,' katanya seperti ditukil Berita Minggu, Malaysia, semalam.'Saya menceritakan kepada R. Sivarasa (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat) dan Latheefa apa yang berlaku. Tetapi mereka tetap suruh tukar cerita. Saya tak hairan Latheefa boleh menipu kerana dia sibuk mengajar saya berkali-kali untuk memberi kenyataan palsu di mahkamah' ka- tanya. -- BMM, Sunday Star.

Hishammuddin mahu jumpa Sultan Johor mengenai Moorthy



Pengerusi Hindraf dianggap biadab kerana kritik kenyataan Sultan Ibrahim


RAWANG: Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Selasa ini sebelum memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), Encik P. Waytha Moorthy.
Menurut laporan, Encik Waytha Moorthy, dalam portal Free Malaysia Today, mempertikai peringatan Sultan Ibrahim supaya semua pihak di Malaysia jangan sesekali mempersoal kuasa raja dan hak serta keistimewaan orang Melayu.Sambil menyifatkan kebiadaban Encik Waytha Moorthy itu sebagai sesuatu yang serius dan terlalu berat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata segala bentuk tindakan yang bakal diambil nanti banyak berkisar pada Sultan Ibrahim sendiri.'Kami akan menghadap Sultan Johor yang kebetulan mempunyai program di Bukit Aman Selasa ini bagi membincangkan tindakan ke atas Waytha Moorthy. Saya telah mengarahkan pihak polis supaya mengkaji dengan teliti apa sebenarnya yang berlaku,' kata Datuk Seri Hishammuddin seperti ditukil Mingguan Malaysia semalam.'Bagi orang Johor, perkara yang menyentuh raja kita (Sultan Johor) adalah sesuatu yang cukup sensitif,' tegasnya.Pengerusi Hindraf itu secara biadab menganggap Sultan Ibrahim sebagai jurucakap kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).Beliau menuduh baginda mencemar pemisahan kuasa dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, Gelang Patah dan Pulai akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin ini bagi mengecam tindakan pengerusi Hindraf itu.Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, Encik Khalid Mohamad, berkata tindakan Encik Waytha Moorthy mengkritik kenyataan Sultan Johor dalam laman Free Malaysia Today adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan kerana beliau seolah-olah mempersoalkan kuasa yang ada pada raja-raja Melayu.Menurutnya, kenyataan Encik Waytha Moorthy itu boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.'Kita akan meminta kerajaan supaya menghalang Encik Waytha Moorthy daripada memasuki Malaysia dan pada masa yang sama menutup laman Free Malaysia Today kerana ia merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara ini,' katanya seperti ditukil Mingguan Malaysia.Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas menyertai satu tunjuk perasaan secara aman bersama 200 orang di Terminal Pengangkutan Awam Larkin sebagai membantah kenyataan Encik Waytha Moorthy itu kelmarin. -- Mingguan Malaysia.

Perkasa sering menjadi sasaran


KUALA LANGAT - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang berterusan menjadikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai sasaran atau 'punching bag' hanya kerana NGO itu mempertahankan hak kaum Melayu, kata presidennya, Datuk Ibrahim Ali. 

Beliau berkata, Perkasa bukan pertubuhan yang bersifat perkauman atau kumpulan pelampau seperti yang digelar sesetengah pihak, kerana ia turut menolak perkauman. 

“Pada kami, kami hanya mempertahankan Perkara 143 dalam Perlembagaan Persekutuan dan selain itu, kami juga menyentuh tentang isu ekonomi kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi,” katanya selepas melancarkan Perkasa Daerah Kuala Langat di sini, semalam. 

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pemuda MCA semalam supaya kepimpinan Barisan Nasional (BN) memisahkan diri daripada pelampau atau kumpulan pelampau di negara ini. 

Ketuanya, Datuk Wee Ka Siong berkata, langkah itu penting dalam usaha BN melobi sokongan daripada seluruh rakyat, selain menunaikan tanggungjawabnya dalam menjaga kebajikan semua pihak agar tiada siapa yang tersisih daripada proses pembangunan. Mengenai kenyataan Wee bahawa Pemuda MCA menghormati kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan, Ibrahim meminta Wee memberikan tafsiran serta pemahamannya berhubung perkara itu. 

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan tindakan Wee yang hanya mengkritik perjuangan Perkasa tetapi tidak mengkritik tindakan pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy yang mempertikai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 4 Oktober lalu. 

“Beliau (Wee) juga tidak desakpun kerajaan tubuh Suruhanjaya Diraja mengenai isu membabitkan konsesi balak yang berlaku semasa pemerintahan pakatan pembangkang di Perak. 

“Kami turut digelar primitif tetapi kami terima. Kami bangga digelar primitif kerana primitif ini asli. Walaupun kami dianggap primitif, itu kami tidak kisah, kerana kami hanya pertahankan hak kami,” katanya. 

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Perkasa mempunyai perancangan untuk meletakkan calon pada pilihan raya umum akan datang berikutan peningkatan sokongan terhadap NGO itu, Ibrahim menegaskan Perkasa bukan parti politik. 

“Kami tidak langsung berfikir ke arah itu (untuk bertanding dalam pilihan raya umum), belum lagi. Fokus kami hanya untuk menyatupadukan orang Melayu,” katanya. - Bernama

UMNO mahu jatuhkan Ku Li




GUA MUSANG –UMNO disifatkan parti yang tidak mempunyai dasar apabila sanggup memilih calon yang hanya boleh menang dalam pilihan raya sahaja tanpa memikirkan ia mampu mengabaikan prinsip parti. 

Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hasan berkata, Pas tidak menyentuh soal calon memandangkan semua layak untuk menjadi calon sama ada mereka Orang Asli, Cina mahu pun India. 

Menurutnya, terdapat banyak pihak berpendapat Pas takut dengan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, ditambah desas desus yang mengaitkan beliau akan dicalonkan. 

“Kita tetap menghormati Ku Li, (namun) kita tidak takut, sebab kita tidak lawan Ku Li, tapi kita melawan ideologi UMNO, tetapi disebabkan UMNO letakkan Ku Li di barisan hadapan, kita nak buat macam mana. 

“UMNO memilih Ku Li mungkin kerana kemenangan semata-mata, atau mungkin ada konspirasi sama ada hendak menjatuhkan Ku Li,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan Dividen Ladang Rakyat kepada 250 masyarakat Orang Asli di Markas Pas, di Bandar Lama, di sini. 

Mohd Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning berkata, pada PRK Galas, UMNO melihat Ku Li boleh membawa kemenangan kepada mereka sehingga sanggup menunggu kepulangannya beliau dari luar negara. 

Namun katanya, umum mengetahui sebelum ini UMNO telah mengetepikan Ku Li tetapi kini dijulang semata-mata mahu kemenangan berpihak kepadanya. 

“Bagi kita, dia seorang (Ku Li) negarawan, anak raja dan politik veteran yang pernah mencabar bekas Perdana Menteri, tapi UMNO tetap mencalonkan Ku Li,” katanya. 

Mohd Fadzli berkata, UMNO sanggup membuat apa sahaja demi mahu menang walaupun tindakan itu seolah-olah menjatuhkan martabat Ku Li.

segera agih kepada kroni

Segera agih RM25 juta wang ihsan

KOTA BHARU 10 Okt - Kerajaan Persekutuan akan memastikan semua pengagihan wang ihsan pelajar di negeri Kelantan diselesaikan akhir bulan ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustaffa berkata semua peruntukan RM25 juta itu akan dihabiskan sehingga tempoh tersebut.
"Ini sebagaimana dikehendaki oleh Kerajaan Pusat melalui agensi pelaksana pengagihan wang itu iaitu JPP dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan," katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pelepasan serombongan 1,500 anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Kelantan yang menaiki 32 bas di Dataran Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, di sini, malam tadi.
Rombongan diketuai Mejar (B) Mohd Ali Nawang itu dijangka mengadakan pertemuan khas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Putrajaya, petang ini.
Makhtar berkata, lebih 70,000 pelajar rendah dan tingkatan enam menerima bantuan wang ihsan itu yang dikendalikan jabatannya dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (JPP) dan Pejabat Pembangunan Jajahan (PPJ).
Pemberian wang ihsan itu diperuntukkan Kerajaan Persekutuan selepas menukarkannya daripada royalti mula dikeluarkan kepada pelajar Ogos lalu melibatkan 70,800 pelajar di seluruh negeri Kelantan tanpa mengira bangsa. Katanya, mengikut peraturan, pelajar yang telah menerima bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajaran Malaysia (KWAMP) dan keluarga berpendapatan lebih RM1,500 sebulan, tidak layak menerima wang itu.
"Pelajar tingkatan enam layak menerima wang ihsan itu tanpa mengira kedudukan dan pendapatan keluarga," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu mereka yang menerima wang ihsan itu memanfaatkan pemberian itu sewajarnya untuk kemudahan pelajaran mereka tanpa menyalahgunakannya. - BERNAMA