Sunday, September 12, 2010

Pengasas empayar kosmetik pernah toreh getah




2010/09/12

BATU PAHAT: Hari ini genap 12 hari sejak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hilang secara tiba-tiba bersama tiga lagi individu iaitu pemandunya, peguam peribadi serta seorang pegawai bank.

Berita kehilangan pengasas empayar produk kecantikan Novelle Visages itu bukan saja mengejutkan masyarakat pada ketika umat Islam menghitung hari menyambut Aidilfitri malah menarik minat yang bukan sedikit terhadap perkembangan terbaru kehilangannya.Walaupun Sosilawati dikenali ramai apatah lagi beliau pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi kumpulan Lefthanded, Nasharuddin Elias atau Nash, tetapi tidak ramai yang mengetahui betapa berliku perjalanan wanita ini sebelum mampu membina empayar syarikat kosmetik sendiri seterusnya bergelar jutawan.Sosilawati adalah anak keenam daripada 14 adik beradik hasil perkahwinan Allahyarham bapanya, Lawiya Abdullah Yusof serta ibunya, Yatmah Abdul Rahman, 80.

Bapanya yang juga seorang buruh kasar turut mempunyai seorang lagi isteri, Ruminah Wasidin dan tujuh lagi anak bersama isteri keduanya itu. 

Menerusi adik ketujuhnya, Rosnani Lawiya, 45, antara saudara kandung paling rapat dengannya berikutan jarak usia yang hampir, segala jerih-perih Sosilawati, seorang anak kelahiran Kampung Sri Menanti, Sri Medan untuk ke puncak jaya dikongsi bersama untuk tatapan semua.

Rosnani berkata, kakaknya itu tidak pernah menyimpan cita-cita menjadi seorang jutawan mahupun seorang yang dikenali ramai apatah lagi membina empayar kosmetiknya sendiri. 
“Hanya satu yang Kak Wati idamkan dan sering disebut-sebutkannya sejak di usia remaja, iaitu mahu membantu keluarga dan membantu mereka sedaya upaya. Dulu di kampung, kami antara keluarga orang susah tetapi hidup gembira seadanya.

“Ketika itu setiap kali musim raya tiba, Kak Wati selalu mengatakan kepada saya jika beliau mendapat kerja yang bagus nanti, dia akan membelikan semua ahli keluarga kami pakaian baru serta cantik seperti yang dipakai jiran tetangga,” katanya kepada Berita Minggu.

Disebabkan tekad kuat untuk membantu keluarga, Rosnani berkata, kakaknya sanggup belajar semula di sekolah swasta selepas gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu.

Beliau berkata, kakaknya turut mengajaknya yang juga gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) untuk mengambil semula peperiksaan berkenaan di sekolah swasta.

“Bagi menampung perbelanjaan, Kak Wati dan saya akan menoreh getah seluas lima ekar (dua hektar) milik penduduk kampung, setiap kali selepas pulang kelas di bandar semata-mata bagi membayar tambang bas RM20 sebulan untuk ke kelas selain kos yuran.

Rosnani berkata, Sosilawati kemudian bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar daerah ini selama satu setengah tahun selepas berjaya menyelesaikan pelajaran di sekolah swasta terbabit sebelum bertukar haluan sebagai seorang kerani kaunter di sebuah hotel di sini.

Katanya, genap usia 20 tahun, kakaknya mengambil keputusan meninggalkan daerah ini untuk merantau ke Kuala Lumpur mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan berjaya mendapat pekerjaan sebagai setiausaha kepada pengurus sebuah bank di ibu kota.

“Ketika bekerja itulah, Kak Wati bertemu jodoh dengan pengurus bank berkenaan ketika berusia 21 tahun dan sempat melahirkan enam anak hasil perkongsian hidupnya sebelum berpisah 12 tahun kemudian.

“Detik perpisahan itulah bermulanya Kak Wati dalam dunia kosmetik, apabila berjinak-jinak sebagai jurujual kosmetik dari rumah ke rumah bagi menyara anaknya. Saya masih ingat lagi Kak Wati menceritakan dia terpaksa menebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi menjual produk kosmetik diedarkannya itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kakaknya itu sudah berjaya dalam hidup, beliau tidak pernah sekalipun meninggi diri serta melupakan asal-usul serta janjinya untuk membantu keluarga.

"Kak Wati seorang yang penyayang, lembut dan tidak pernah membanggakan diri malah menunaikan janjinya dulu untuk membantu setiap ahli keluarga kami. Apa yang paling mengharukan kami adik beradik ialah beliau pernah mengatakan dia tidak mahu melihat kami hidup susah di saat rezekinya dimurahkan Tuhan.

"Kak Wati tidak pernah kedekut menghulur bantuan termasuk wang ringgit malah sanggup memberi peluang pekerjaan serta perniagaan kepada kami supaya kami adik beradik dapat mengubah kehidupan kami sepertinya," katanya. 

Nash Sebak Dengan Berita Pembunuhan Sosilawati


Share
Bekas vokalis kumpulan Lefthanded, Nashrudin Elyas atau Nash yang juga bekas suami Sosilawati, berkata jika berita mengenai pemergian Sosilawati itu benar, ternyata ia adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.






Saya tidak tahu kenapa ada manusia yang kejam sampai sebegitu, sanggup membunuh... sepatutnya benda ini tidak boleh berlaku dalam negara kita yang aman ini," katanya ketika dihubungi.


Nash berkata, beliau juga ada menghubungi anak-anak Sosilawati sejak berita kehilangannya dilaporkan media, namun panggilannya itu tidak berjawab.

"Hari pertama berita mengenai dia dilaporkan hilang, saya ada call anak-anak dia, tetapi tidak berangkat. Pagi tadi juga selepas dengar berita dia dipercayai mati dibunuh, saya ada juga call lagi anak-anak dia, tetapi masih juga tidak berjawab," katanya sebak.
Ketika, ditanya sama ada beliau akan melawat anggota keluarga Sosilawati, Nash berkata beliau tidak berkesempatan berbuat demikian kerana kini berada di Sabah atas urusan kerja.

Katanya, walaupun jodoh beliau dengan jutawan kosmetik itu tidak mampu bertahan, namun mereka tidak pernah berdendam dan beliau masih rapat dengan anak-anak bekas isterinya itu.

"Saya memang berniat untuk melawat anak-anaknya dalam masa terdekat selepas urusan kerja saya di sini selesai. Saya memang baik dengan anak-anak dia terutamanya Fatimah (Siti Nur Fatimah) dan anggap anak-anak dia seperti anak-anak saya sendiri, tiada bezanya," kata Nash yang tidak dapat menahan kesedihan.

Katanya, beliau begitu sedih dan bersimpati bukan sahaja dengan anggota keluarga bekas isterinya itu malahan juga kepada anggota keluarga tiga lelaki yang turut hilang.

"Saya amat sedih mendengar berita ini. Apalah nasib anak-anak dia (Sosilawati) dan ahli keluarga tiga (rakan Sosilawati) yang lain. Saya ucapkan takziah kepada mereka," katanya
http://nurizspace.blogspot.com/2010/09/nash-sebak-dengan-berita-pembunuhan.html

Tunai janji raya dengan anak

KUALA KRAI: Selepas hampir setahun menghilangkan diri, pasangan suami isteri, Kasmaliza Kassim, 29, dan Mahadi Che Mansor, 31, menunaikan janji mereka untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama anak mereka di Kampung Tengah, di sini.
Kasmaliza dan Mahadi bagaimanapun bertekad untuk membawa semua anak secara berperingkat ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri bagi memulakan kehidupan baru mereka sebagai sebuah keluarga besar.
“Saya dan suami merancang membawa lapan anak kami yang ditinggalkan di Kuala Krai hidup bersama di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, semuanya masih dalam peringkat perbincangan bersama Pudin (Mahadi).

“Ini kerana kami masih menumpang di rumah seorang rakan yang juga rakan kongsi Pudin. Insya-Allah, kami berharap dapat menempuh kehidupan baru bersama anak,” kata Kasmaliza ketika ditemui di rumah ayahnya, Kassim Mat Diah, 55, di sini, kelmarin.

Menurutnya, memandangkan empat lagi anaknya masih bersekolah, mereka menangguhkan untuk membawa anak ke Kuala Lumpur sehingga tempoh persekolahan selesai dua bulan lagi, manakala Nia Khalisa, 2, dan Nurul Hidayah, 13, dijaga oleh penjaga masing-masing di Kota Bharu dan Jempol, Negeri Sembilan.

Kasmaliza dan suami berharap permohonan bantuan bagi mendapatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu diluluskan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Jika permohonan mendapatkan rumah PPRT itu berjaya, saya akan menetap di sini dan suami akan terus bekerja di Kuala Lumpur.

“Dengan cara itu saya berharap keluarga ini bersatu kembali seperti dulu, selain mengimpikan untuk membina sebuah keluarga bahagia,” katanya.

Kasmaliza berkata, dia pulang bersama suami dan empat anaknya pada Selasa lalu dengan menaiki kereta seorang rakannya yang bermurah hati meminjamkan kenderaan terbabit.

Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Nurul Hidayah berkata, dia terlalu gembira mendapat seorang adik baru walaupun terpisah hampir setahun dengan ibu bapanya.

Masih awal nyatakan sokongan individu bertanding



SHAH ALAM – Biar pun sudah ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan sokongan kepada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Azmin Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, namun ada yang berpendapat masih awal untuk membuat keputusan. 

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa ketika dihubungi berkata, setakat ni beliau tidak pernah menyatakan sokongan kepada Azmin mahupun seorang lagi calon yang ingin bertanding iaitu Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim. 

“Saya akan menunggu pengumuman dulu dan melihat individu yang menawarkan diri untuk bertanding sebelum membuat sebarang keputusan. 

“Azmin sendiri pun belum mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding atau tidak, maka masih terlalu awal untuk saya menyatakan sokongan kepada beliau mahupun Zaid,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau mengatakan kedua-dua individu yang disebut-sebut akan bertanding itu sebagai layak untuk memegang jawatan nombor dua parti. 

“Azmin dan Zaid masing-masing berkaliber dan jika ada Ahli Parlimen yang mengumumkan sokongan awal terhadap Azmin itu adalah hak mereka untuk menyuarakan pendapat,” katanya. 

Sementara itu, ADUN Rawang, Gan Pei Nei berkata, beliau langsung tidak mengetahui namanya tersenarai dalam kumpulan Ahli Parlimen yang menyokong Azmin seperti diumumkan dalam sidang media baru-baru ini. 

“Pada saya, masih awal untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak kerana calon yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pun belum lagi diketahui. 

“Saya hanya akan menyatakan sokongan selepas pengumuman calon bertanding sudah dibuat dan ia bergantung juga kepada calon mana yang mampu mengemukakan manifesto yang lebih bagus,” katanya. 

Menurutnya, setiap undi adalah penilaian ahli-ahli terhadap calon yang bertanding. 

“Kedua-dua mereka iaitu Azmin dan Zaid mempunyai kelebihan dan pengalaman dalam bidang politik yang boleh membawa kepada kemajuan parti. 

“Namun, apa yang lebih penting ialah setiap calon perlu meletakkan perjuangan parti dan rakyat di hadapan dan seterusnya tertakluk kepada ahli untuk membuat penilaian,” katanya.

Telur juadah hari raya




KUANTAN - Tarikh 1 Syawal yang disambut kelmarin tidak membawa erti kepada Timah Abd Rahman, 51, ibu tunggal beranak 10 dari Kampung Chendor Baru dekat sini, yang tidak mampu menyediakan sebarang persiapan raya akibat kesempitan hidup. 

Malah tempat keluarganya berteduh daripada panas dan hujan didirikan ala kadar itu pun dengan usaha seorang anak lelakinya yang mengutip lebihan kayu dan atap zink selepas selesai bertukang rumah penduduk kampung. 

Apa yang lebih menyedihkan, rumah Timah yang boleh diibaratkan seperti bangsal itu hanya berlantaikan tanah dan apabila hujan, keadaan di dalam rumah akan menjadi becak dimasuki air. 

Dinding rumah hanyalah cebisan papan usang yang disusun bersama sedikit bata dan setiap kali hujan, mereka anak-beranak bingung mencari ruang yang kering untuk berteduh sementara menunggu hujan reda. 

Ini kerana tiada tempat di rumah itu yang tidak terkena tempias malah tempat tidur, perabot dan pakaian mereka akan basah apabila hujan. 

“Sudah 20 tahun saya menetap di sini walaupun tahu rumah ini didirikan di atas tanah kerajaan. Bukannya tidak memohon tetapi permohonan tidak pernah lulus. 

“Lebih menyulitkan apabila bekalan air tidak ada dan kami sekeluarga terpaksa bergantung kepada air telaga di belakang rumah untuk urusan seharian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini. 

Menurutnya, kehidupannya bertambah perit apabila berpisah dengan suami keduanya yang merupakan warga Indonesia lebih 10 tahun lalu. 

“Selepas dihantar pulang, dia langsung tidak mengirimkan khabar berita dan akhirnya tinggal saya sahaja terkontang-kanting membesarkan anak-anak. 

“Daripada 10 anak, empat daripadanya masih tinggal dengan saya termasuk dua yang masih bersekolah,” katanya yang mempunyai anak berusia di antara 13 dan 34 tahun. 

Timah berkata, dua anak yang tinggal dengannya bekerja sebagai tukang rumah dan tukang cuci hotel berhampiran. 

“Sekurang-kurangnya lepaslah perbelanjaan untuk mereka berdua namun saya harus terus bekerja untuk menyara dua anak yang masih bersekolah menengah. 

“Walaupun bekerja menyapu sampah di Kemaman dengan pendapatan RM500 sebulan, ia masih tidak mencukupi dengan kos hidup yang semakin tinggi sekarang termasuklah tambang bas untuk anak berulang-alik ke sekolah setiap hari,” katanya. 

Timah berkata, tiga tahun lepas dia pernah berpindah ke rumah sewa yang terletak tidak jauh daripada rumah yang didiami sekarang.

“Rumah itu lebih selesa kerana dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik namun saya terpaksa berpindah ke rumah lama kerana tidak mampu membayar sewa sebanyak RM200 sebulan tambahan pula ketika itu anak sudah mula bersekolah menengah. 

“Apabila berpindah kembali ke rumah lama, anak-anak tolong baiki setakat yang mampu malah mereka turut merobohkan bahagian dapur untuk disimen namun sehingga kini masih terbengkalai kerana kekurangan wang,” katanya. 

Menurutnya, dia juga tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun sudah bayak kali memohon. 

“Wakil JKM ada dua tiga kali datang membuat lawatan namun selepas itu senyap begitu sahaja. 

“Anak-anak pun tidak mendapat sebarang bantuan seperti biasiswa di sekolah,” katanya. 

Apabila ditanya mengenai persiapan raya, Timah berkata, dia tidak membuat sebarang persiapan dan hanya mengharapkan anak-anak pulang ketika hari raya. 

Juadah raya mereka tetap seperti hari-hari sebelumnya iaitu hanya nasi berlaukkan telur. 

Katanya, dia amat berharap untuk mendapatkan bantuan tempat kediaman yang selamat untuk anak-anak apabila dia keluar bekerja dan juga kediaman selesa untuk anak-anak belajar. 

“Bukannya tidak mahu mencari rumah sewa lain tetapi tidak mampu jadi saya amat berharap ada pihak sudi meringankan beban saya untuk mencari tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Rumah ibu Wati suram



BATU PAHAT – Suasana rumah ibu jutawan terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya, di Seri Menanti, Seri Medan, di sini, cukup berbeza berbanding tahun sebelumnya yang memang begitu meriah, dengan keceriaan terpancar di wajah ahli keluarga, terutama ibunya. 

Tahun ini, tanpa kehadiran usahawan kosmetik itu, yang lebih mesra dengan panggilan Wati, membuat persiapan menyambut Aidilfitri dalam kalangan keluarganya di kampung menjadi sangat sederhana. 

Ini kerana kemeriahan Aidilfitri dalam kalangan keluarga tercetus dari kehadiran Wati dan keceriaan yang ada padanya. 

Abangnya, Maskor Lawiya, 55, berkata, dia memang rindukan Wati kerana beliaulah penyeri suasana perayaan. Beliau juga mesra dengan kanak-kanak yang mengunjungi rumah ibunya. 

Menurutnya, keadaan pada tahun ini agak suram. Mereka terasa sunyi dan hiba tanpa Wati bersama mereka pada raya kali ini. 

“Kami sekeluarga masih lagi mengharapkan agar Wati dapat pulang di bulan Syawal ini untuk bersama kami. 

“Biasanya setiap Syawal, sejak beberapa tahun lalu, rumah terbuka di rumah ibu diuruskan oleh Wati bersama ahli-ahli keluarga. 

"Sanak saudara dan kenalan dari jauh dan dekat tidak putus putus datang,” katanya. 

Adik ipar Sosilawati, Muslimah Shawan, 28, berkata, kakak iparnya memang seorang yang baik hati dan sejak 1997, layanan terhadapnya sama seperti adik sendiri. 

Menurutnya, Wati tidak pernah membeza-bezakan adik beradiknya dan kenangan yang paling diingatinya ialah pada malam menjelang Syawal, dia dan kakak iparnya itu sibuk mengisi duit raya dalam sampul untuk tetamu yang hadir.: 

“Perkara yang paling saya terharu sangat ialah akak Wati telah pun menempah tujuh kilogram dodol untuk persiapan rumah terbuka di sini yang sepatutnya diadakan hari ini (semalam),” katanya. 

Manakala, ibunya Yatmi Abdul Rahman, 70, ketika ditemui wartawan :Sinar Harian: di kediamannya, tidak banyak berkata-kata dan banyak termenung mengenang nasib anaknya. 

“Saya percaya Wati masih hidup dan berharap dia pulang seperti tahun lalu. 

“Buat masa ini saya anggap Wati masih berada di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke kampung kerana sibuk bekerja,” katanya. 



Pernah diugut suami bekas pekerja 

Sosilawati dikatakan pernah diugut beberapa bulan lalu kerana memberhentikan salah seorang pekerjanya di Kuala Lumpur. 

Muslimah, yang menceritakan perkara itu semalam berkata hanya beberapa ahli keluarga yang mengetahuinya. 

Mereka tidak memberitahu ibu beliau kerana khuatir memudaratkan kesihatannya. 

Menurut Muslimah, setelah memberhentikan pekerja berkenaan, suami pekerja tersebut telah berjumpa dengan kakak iparnya dan mengugutnya dengan mengacukan pisau. 

Katanya, pada mulanya dia tidak memikirkan langsung ugutan itu berkaitan dengan kes ini, tetapi setelah difikirkan kembali ia mungkin boleh dijadikan satu andaian. 

“Bagaimanapun, kami sekeluarga telah menyerah�kan kepada polis untuk tindakan selanjut dan mengharapkan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya. 



Keluarga bekas suami sentiasa ambil berat 

Misteri kehilangan Sosilawati masih menjadi tanda tanya dan pelbagai pihak mengharapkan kes ini dapat diselesaikan dengan segera. Mereka yang turut berdoa untuk keselamatan beliau termasuklah keluarga bekas suaminya, Nasharuddin Elias. 

Ibu Sosilawati, Yatmi Abdul Rahman berkata, walaupun telah bercerai dengan bekas suaminya yang juga artis terkenal, Nash, hubungan mereka tidak pernah terputus. 

Menurutnya, Nash sering menghubungi keluarga dan bertanya khabar Wati dan dia seorang yang cukup baik, tetapi mungkin jodoh mereka tidak panjang. 

“Dia ada juga menghubungi kami sekeluarga dan bertanyakan khabar kami semua,” katanya. 

Sementara itu, Muslimah memberitahu, kedua-dua bekas suaminya yang terdahulu adalah individu yang baik kepada mereka sekeluarga dan mengambil berat terhadap mereka. 

Menurutnya, keluarga bekas suami keduanya ada datang ke rumah ibu di Seri Menanti untuk mengetahui keadaan sebenar misteri kehilangan kakak Wati. 

“Perkara berkenaan menunjukkan mereka masih lagi mengambil berat terhadap akak walaupun sudah tiada apa-apa lagi hubungan keluarga. 

“Begitu juga dengan bekas suaminya yang pertama sering kali menghubungi kami bertanya khabar, terutama anak-anaknya,” katanya.

Istana tidak keluar surat


KOTA BHARU - Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan surat bagi menjemput mana-mana pihak menghadiri Majlis Pemasyhuran Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar Khamis lalu. 

Katanya, pihaknya masih belum menerima titah daripada Tengku Muhamad Faris untuk membuat sebarang kenyataan berhubung dengan desas desus majlis itu seperti mana yang laporan akhbar tersebut. 

“Selagi mana tidak dititahkan Pemangku Raja untuk mengulas isu ini, saya tidak boleh komen, cuma bagi peringkat ini saya tidak boleh mengesahkan betul atau menidakkan (majlis pemasyhuran) itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang mengatakan Tengku Muhammad Faris dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu. 

Laporan itu menyatakan, Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada jam 11.30 pagi. 

Sumber menyatakan pihak polis juga diarah supaya meningkatkan kawalan keselamatan pada hari berkenaan malah cuti anggota polis sempena Hari Raya Aidilfitri di beberapa unit tertentu turut ditarik balik. 

Bagi tujuan tersebut, Abdul Halim menasihatkan agar pihak media menggunakan saluran rasmi sebagai sumber rujukan untuk membuat laporan berkaitan Istana Kelantan. 

“Kalau media nak buat kenyataan harus guna kenyataan rasmi dan kenyataan rasmi,” katanya yang enggan mengulas lanjut isu yang kini menjadi perhatian rakyat Kelantan tersebut. 

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias ketika ditanya hal tersebut enggan mengulas, namun menyatakan akan membuat kenyataan dalam masa terdekat. 

Bernama pula melaporkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau hanya menerima surat daripada Istana untuk menghadiri majlis hari raya. 

Sebelum ini, Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009. 

Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.

Zaid bukan Tun Ghafar kedua


SHAH ALAM - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dinasihatkan tidak cepat melatah dan risau berhubung ancaman diterima daripada pihak tertentu yang mendakwa beliau bakal menerima nasib serupa Tun Ghafar Baba jika bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. 

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, Zaid masih berupaya untuk menyumbang kepada parti dan keputusan sama ada kalah atau menang terletak di dalam genggaman anggota parti. 

“Menang atau kalah itu soal kedua. Yang kalah, belum tentu kalah dan yang menang belum tentu menang. Beliau tidak perlu risau kerana beliau tidak akan jadi Tun Ghafar ‘kedua’. 

“Kita tidak tahu latar belakang ancaman yang diterimanya. Apa yang jelas di sini, nasib diterima Tun Ghafar seperti dikuburkan dari politik kerana ketika itu beliau berada dalam UMNO, sebaliknya, Zaid sekarang berada dalam PKR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Menyokong pendapat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, ancaman diterima Zaid sinonim dengan senario dunia politik. 

“Konsep PKR adalah menyuburkan demokrasi. Jadi, sesiapa merasakan dia berkeyakinan untuk memimpin, kita sentiasa terbuka untuk menerimanya. Realitinya, dalam dunia politik ini, kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. 

“Bagi Zaid sendiri, beliau perlu memiliki ketahanan luar biasa untuk berhadapan dengan ancaman sebegini kerana saya percaya serangan kali ini bukan berpunca daripada anggota dalaman, tetapi individu yang ‘tumpang sekaki’ dan bergabung membuat kacau,” katanya. 

Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari memberitahu dalam pemilihan PKR ini, sesiapapun berhak mencadangkan atau menerima cadangan dilantik sebagai calon untuk bertanding. 

“Ini adalah kali pertama PKR membuka pemilihan terus daripada rakyat dan mereka memiliki kuasa untuk memilih mana-mana ahli akar umbi untuk dijadikan sebagai anggota pimpinan parti. 

“Setiap jawatan yang disandang adalah natijah daripada sokongan ahli. Yang penting sekarang ialah, setiap calon perlu meyakinkan ahli bahawa mereka berupaya untuk memimpin,” katanya. 

Ditanya mengenai ancaman diterima Zaid dan sokongan daripada ADUN Selangor terhadap Naib Presiden Parti, Mohamed Azmin Ali, beliau memberitahu, ADUN Selangor melihat Azmin berpotensi untuk menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR. 

“Sebahagian besar ADUN menganggap dialah calon yang layak untuk memimpin. Jadi, kita mencadangkan nama beliau sebagai calon bagi jawatan itu,” katanya. 

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Zaid mengeluarkan kenyataan memberitahu beliau menerima ancaman mengalami nasib sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba selepas mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.

Bukti UMNO tidak taja Perkasa: Tsu Koon



KUALA LUMPUR - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan jaminan UMNO untuk menjauhkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dapat menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa UMNO dan Perkasa berkait rapat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi gambaran jelas Perkasa ialah badan bukan kerajaan (NGO) seperti mana NGO lain. 

“Kenyataan beliau (Tengku Adnan) sekali gus membuktikan dakwaan tentang Perkasa adalah satu organisasi yang ditubuhkan oleh UMNO atau yang dikatakan sebagai ‘outsourcing’, sebenarnya tidak benar dan tidak berasas,” katanya kepada pemberita, di sini semalam. 

Koh berkata kenyataan itu juga mencerminkan pendirian liberal Barisan Nasional (BN) terhadap semua kaum walaupun berpaksi kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.: 

Beliau yang ditemui selepas pelancaran Kamus Kembangan di sini diminta mengulas kenyataan Tengku Adnan bahawa Umno tidak menyokong Perkasa mahupun Presidennya, Datuk Ibrahim Ali. 

Mengulas mengenai kamus tersebut, Tsu Koon berkata, penerbitan Kamus Kembangan yang merangkumi tiga bahasa iaitu Inggeris, Mandarin dan Melayu dapat membawa faedah besar kepada pengguna. 

Ia dapat dimanfaatkan menerusi penguasaan lebih daripada satu bahasa oleh rakyat Malaysia selaras dengan konsep 1Malaysia, katanya. - Bernama