Wednesday, June 15, 2011

Jurunilai sahkan banglo RM5.5 juta

SHAH ALAM: Seorang jurunilai bertauliah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bekas menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo membeli dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7 di sini, pada harga lebih rendah berbanding nilai hartanah itu.

Pengarah Penilaian di Henry Butcher, Long Tian Chek, 54, berkata, hartanah dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta menerusi urusan jual beli pada 2007 itu mempunyai nilai RM5.55 juta. Beliau memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang penilaian itu berkata, ia berdasarkan nilai hartanah itu pada tahun Dr Mohamad Khir membelinya dari Pengarah Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Hayroni. “Nilai hartanah itu RM5.55 juta iaitu untuk tanah bernilai RM2.35 juta dan bangunan (RM3.2 juta),” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes dakwaan salah laku Dr Mohamad Khir. Mengikut pertuduhan, Dr Mohamad Khir, 46, didakwa memperoleh dua lot tanah dan rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, bagi diri dan isterinya, Zahrah Kecik, 46.


Ia diperoleh daripada Shamsuddin, 52, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Hartanah itu dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini, pada 29 Mei 2007.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Long yang juga saksi pendakwaan ke-8 itu berkata, pihaknya menyediakan laporan penilaian terhadap dua lot tanah dan rumah itu untuk nilai pada 2007 selepas diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 31 Julai 2009. Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya membuat kaedah perbandingan iaitu mendapatkan harga hartanah di Seksyen 7 yang dijual pada 2007 atau kawasan dengan nilai hartanah yang hampir sama. “Kami mendapatkan nilai empat lot banglo kosong di Seksyen 7 yang dijual pada 2007. Satu lagi banglo di tempat sama pada 2009 digunakan untuk mendapatkan gambaran,” katanya. Saksi itu berkata, penilaian dibuat berdasarkan pada harga RM45 untuk setiap kaki persegi dan tanpa mengambil kira projek pengubahsuaian banglo yang sedang berjalan di hartanah itu pada 2007. Katanya, pihaknya turut meneliti penilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Harta Selangor (JPHS) dan pelan bangunan daripada firma Rahim & Co. Ditanya Mohd Dusuki sama ada pernah melawat tapak hartanah dimaksudkan, Long berkata; “Ada pergi pada Ogos 2009, tetapi saya hanya melihat daripada luar.” Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki bersambung hari ini.

myMetro | Jurunilai sahkan banglo RM5.5 juta

Dewan Rakyat: Penganjur skim kutu berdepan denda RM500,000

DEWAN Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011 yang memperuntukkan tindakan lebih tegas terhadap syarikat penganjur perniagaan skim kutu.
Rang undang-undang yang dikemukakan pada sesi persidangan Mac lalu itu memperuntukkan denda sehingga RM500,000 iaitu 100 kali ganda lebih tinggi daripada denda sebelum ini kepada syarikat menganjurkan perniagaan skim kutu.
Pindaan rang undang-undang itu juga bertujuan menambah tempoh penjara maksimum daripada tiga tahun kepada 10 tahun bagi kesalahan sama.
Bagaimanapun, tindakan tidak diambil terhadap penganjur dan pemain wang kutu kecil-kecilan kerana kegiatan itu tidak tertakluk di bawah rang undang-undang berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata akta itu tidak tertakluk terhadap penganjur kutu yang menjalankan kutu pusingan biasa dan membabitkan jumlah wang serta kumpulan kecil.

“Ia fokus kepada penganjur kutu yang membabitkan unsur perniagaan. Kerajaan tidak akan ambil tindakan terhadap penganjur kutu yang menjalankan kutu pusingan biasa sesama kita seperti cari 10 orang atau lebih.

“Jika wujudkan syarikat dan kumpul duit daripada berpuluh-puluh ribu orang serta ada unsur perniagaan seperti penganjur kutu mengambil komisyen misalnya 10 peratus untuk dirinya yang dipanggil caj perkhidmatan atau apa saja, ia tertakluk dalam akta ini,” katanya.
Berita Harian Online | Dewan Rakyat: Penganjur skim kutu berdepan denda RM500,000

'Saya dengar arahan suara'


NOOR Azam (tengah) bersama      Natrah dan bapanya Mohd Nazri,  Taman Bunga Raya, Jitra, semalam.
NOOR Azam (tengah) bersama Natrah dan bapanya Mohd Nazri, Taman Bunga Raya, Jitra, semalam.



Doktor pelatih hilang sejak Mei lalu ditemui selamat di Kuantan

JITRA: Seorang doktor pelatih yang dilaporkan hilang hampir sebulan ditemui selamat di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Sabtu lalu tetapi tidak dapat menyatakan dengan jelas apa yang berlaku kepadanya.
Dr Mohd Noor Azam Mohd Nazri, 26, berkata di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini, semalam, sepanjang dilaporkan hilang, beliau tidak sedar apa yang berlaku sehingga membawanya ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Apa yang saya tahu, saya mendengar arahan daripada satu suara yang saya tidak pasti dari mana. Saya rasakan kehilangan saya hanya empat hari saja" Mohd Noor Azam Mangsa
“Apa yang saya tahu, saya mendengar arahan daripada satu suara yang saya tidak pasti dari mana. Saya rasakan kehilangan saya hanya empat hari saja,” katanya.

Mohd Noor Azam adalah lulusan Akademi Perubatan Moscow dan sedang menjalani latihan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar sejak Oktober tahun lalu. Menceritakan detik beliau ditemui, Mohd Noor Azam berkata beliau ditahan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kuantan kerana tidak membayar makanan yang dimakannya.

“Ketika ditahan, mereka memeriksa dompet saya untuk memastikan sama ada saya betul-betul tiada wang atau sebaliknya. Ketika membuka dompet saya itu, baru saya berada dalam keadaan sedar.

“Sebaik sedar, saya berasa sangat lapar dan letih. Kaki juga berasa sangat lenguh, mungkin saya berjalan terlalu jauh,” katanya.
Difahamkan, Dr Mohd Noor Azam dilaporkan hilang sejak 16 Mei lalu selepas dihantar ke tempat kerja oleh bapanya.

Katanya, ketika berjalan menuju ke pejabatnya pada hari itu, beliau mendengar suara yang pernah didengarnya sebelum ini dan ketika itulah beliau tidak sedar apa-apa.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, berkata beliau menerima maklumat mengenai penemuan anaknya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan ketika beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Kuantan.

“Kami tergerak hati untuk pergi sendiri mencari Azam di Kuantan selepas diberitahu dia ada mengeluarkan duit di sebuah mesin ATM di sana,” katanya.

Natrah berkata, apabila sampai di IPD Kuantan, beliau melihat anaknya berada dalam keadaan sihat tetapi pakaian yang dipakainya lusuh dan bukan miliknya.

“Beg kerjanya juga tiada bersamanya, sebaliknya dia menggalas sebuah beg mengandungi berus gigi, berus sabut, kain pelikat, kemejanya yang sudah lusuh dan beberapa barang lagi yang bukan miliknya,” katanya.

Sebelum kejadian itu, Mohd Noor Azam pernah hilang dua kali tetapi kehilangannya hanya dua hari saja. – BERNAMABerita Harian Online | 'Saya dengar arahan suara'