KENYA - AFRIKA. Seorang peguam di Kenya menawarkan 50 ekor lembu, 70 ekor biri-biri dan 30 ekor kambing untuk mengahwini anak Presiden Amerika Syarikat, Malia Obama.
 
Memetik laporan Metro.co.uk, peguam itu, Felix Kiprono berkata, ia merupakan impian utamanya sejak beberapa tahun dahulu.
 
Kiprono dikatakan sudah membuat persiapan untuk berbincang dengan Presiden AS, Barack Obama ketika Obama melawat Kenya pada bulan Julai akan datang.
 
“Saya jatuh hati pada Malia sejak tahun 2008. Sejak dari itu, saya tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita dan setia kepadanya.
 
“Saya sudah berbincang dengan keluarga saya dan mereka sedia membantu untuk menaikkan tawaran untuk berkahwin dengan Malia,” katanya.
 
Menurut Kiprono, cintanya pada Malia, 16, adalah sejati dan bukan berlandaskan nafsu semata-mata.
 
Dia juga menegaskan bahawa tujuannya melamar anak Presiden itu bukan kerana pangkat dan harta.
 
“Saya sedang merangka surat untuk dihantar kepada Obama dan saya berharap supaya Malia turut dibawa bersama ketika lawatannya ke Kenya nanti. Saya berharap surat saya akan disampaikan kepada Obama menerusi kedutaan AS,” katanya lagi.
 
Menurut Kiprono lagi, sekiranya Malia bersetuju berkahwin dengannya, mereka akan membina kehidupan bersama dengan kesederhanaan tanpa menggunakan faedah atau harta Obama.