Saturday, June 25, 2011

Telefon bimbit dedah 'rahsia' Osama

Ketua Al-Qaeda ada hubungan dengan militan di Pakistan
WASHINGTON: Telefon bimbit yang dijumpai semasa serbuan yang mengorbankan Osama bin Laden dilaporkan mengandungi kontak satu kumpulan pengganas yang mempunyai hubungan dengan agensi risikan Pakistan.
Akhbar The New York Times kelmarin melaporkan dapatan itu telah dimaklumkan kepada para pegawai kanan Amerika Syarikat.Osama dikatakan menghubungi kumpulan Harakat-ul-Mujahedeen, sebagai sebahagian daripada rangkaian sokongan di Pakistan.Telefon bimbit itu milik pengirim barang Osama, yang turut terbunuh bersama pemimpin Al-Qaeda itu dalam serbuan di bandar Abbottabad, Pakistan, pada 2 Mei lalu.Sebelum ini, Amerika tidak memaklumkan Islamabad berkaitan serbuan yang dijalankan pasukan elitnya sehingga ia selesai, sekali gus menyebabkan hubungan dua hala tegang.Dalam menjejak panggilan yang dibuat daripada telefon bimbit itu, pakar penganalisis Amerika mendapati komando Harakat telah menghubungi pegawai risikan Pakistan, lapor akhbar itu yang menukil pegawai kanan Amerika.Pegawai itu berkata perbualan mereka tidak semestinya mengenai Osama atau berkaitan perlindungan yang diberikan kepadanya.Tiada bukti juga menunjukkan agensi risikan Pakistan telah memberi perlindungan kepada Osama.Akhbar itu turut menukil seorang pegawai sebagai berkata analisis yang dijalankan atas telefon bimbit itu telah memberi 'petunjuk penting' dalam mencari jawapan bagaimana Osama gagal dikesan oleh agensi risikan dan tentera Pakisan sejak beberapa tahun tahun.Akhbar itu berkata Harakat mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan sekitar Abbottabad.Para pemimpin kumpulan itu mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua kumpulan pengganas Al-Qaeda dan juga agensi risikan Pakistan.Akhbar itu melaporkan agensi risikan Pakistan malah telah menjadi mentor kepada Harakat dan membenarkan kumpulan itu beroperasi di Pakistan sekurang-kurangnya sejak 20 tahun lalu.Sebelum ini, Harakat telah diklasifikasikan sebagai kumpulan 'pengganas' oleh Amerika.Badan penganalisis pertahanan berkata Harakat pernah menjalankan serbuan ke atas pasukan keselamatan India dan aktif di wilayah Kashmir yang dikawal Pakistan.Pegawai kanan Amerika berkata anggota kumpulan Harakat yang dihubungi itu berada di wilayah Waziristan Selatan, yang telah menjadi pangkalan Al-Qaeda selama ini.Ini membolehkan Osama menyampaikan pesanan dan wang kepada anggota Al-Qaeda di kawasan itu dan juga kawasan pedalaman lain.Ketika dihubungi bulan lalu, ketua Harakat, Fazle-ur-Rahman Khalil, menafikan dakwaan bahawa dia telah berhubungan dengan Osama.'Ini 100 peratus mengarut. Osama tidak menghubungi sesiapa pun,' katanya. -- AP, AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

'Ada bukti ideologi dan gerakan JI bertapak di M'sia'

Muhyiddin: KL pandang serius ancaman
TAMPIN (Negeri Sembilan): Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin menegaskan bahawa kerajaannya mempunyai bukti wujudnya ideologi dan gerakan fahaman pelampau Jemaah Islamiah (JI) bertapak di Malaysia, sebagaimana yang dilaporkan media.
Tan Sri Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia memandang serius ancaman tersebut kerana kumpulan itu dianggap berbahaya, bukan sekadar sebagai pelampau agama, malah dalam beberapa hal, dianggap sebagai kumpulan pengganas.'Sebagaimana yang dimaklumkan pihak berkuasa, ada bukti-bukti dan ia telah dinyatakan dalam media.'Kumpulan ini menyalahgunakan Islam dan melatih mereka menjadi pejuang jihad.'Ini jihad yang menyimpang dan membahayakan keselamatan negara,' kata beliau kepada pemberita selepas meninjau ladang ternakan lembu di Pusat Fidlot Nasional, Gemas, dekat sini, kelmarin.Tan Sri Muhyiddin, yang diminta mengulas gerakan jihad yang memesongkan pemikiran pelajar sekolah agama dan maahad untuk membenci kerajaan, menambah bahawa pihak berkuasa mengetahui perkara itu dan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh.'Mungkin pihak sekolah dan maahad tidak sedar perkara ini berlaku atau sengaja tidak sedar bahawa tempat pendidikan dan pengajian mereka itu digunakan bagi tujuan tidak baik ini,' ujarnya.Justeru, katanya, kerajaan Malaysia mahu jihad yang menyimpang itu dicegah daripada berlarutan sehingga boleh membahayakan negara itu.'Kalau sudah jelas kes itu ada, tindakan bersesuaian sepatutnya boleh diambil pihak berkuasa keselamatan.'Pihak berkuasa boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri terbabit atau pihak berkuasa yang menjaga perihal sekolah dan maahad ini,' tambah beliau.Ditanya sama ada isu JI itu melibatkan maahad atau sekolah di beberapa negeri, Tan Sri Muhyiddin berkata, setakat yang diketahuinya, hanya tempat tertentu sahaja yang menjalankan kegiatan tersebut.'Kami haruslah ke tempat itu, tengoklah gerakannya. Tempat lain, tiada dalam pengetahuan saya,' tegasnya.Akhbar Utusan Malaysia baru- baru ini melaporkan bahawa ideologi kumpulan ekstremis seperti JI disebarkan di kalangan pelajar sekolah di negeri itu.Malah, para pelajar seolah-olah dipupuk dengan sikap membenci kerajaan, selain mereka diperlukan berbaiah dan melakukan demonstrasi sebagai persediaan menentang kerajaan. -- Utusan Malaysia.Cyberita Online Luar Negara

6 maut letupan di bazar

KABUL 25 Jun – Seramai enam orang terbunuh dan 22 lagi cedera dalam letupan di sebuah bazar di wilayah Kunduz, Afghanistan semalam.
Jurucakap polis wilayah, Sarwar Hussaini berkata, mangsa yang terbunuh terdiri daripada lima orang awam dan seorang anggota polis, manakala mangsa yang cedera termasuklah kanak-kanak dan wanita.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 2,777 orang telah terkorban akibat perang di Afghanistan yang kebanyakannya orang awam. – AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

152,000pelajar bakal ditamatkan pinjaman PTPN

MARAN 24 Jun - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menghentikan pemberian pinjaman kepada kira-kira 152,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berikutan keputusan peperiksaan semester mereka di bawah 2.0 mengikut Purata Nilai Gred (PNG).

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, nilai pinjaman tersebut membabitkan sebanyak RM632 juta.

"Mereka sebelum ini merupakan pelajar terbaik yang maju dalam pelajaran, tetapi atas sebab tertentu, pembelajaran mereka semakin merosot dan keputusan peperiksaan semester dua gagal mencapai 2.0 mengikut PNG.

"Bagaimanapun, jika mereka berjaya mendapat keputusan PNG 2.0 ke atas dalam peperiksaan semester berikutnya, pinjaman itu akan disambung semula," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan wang pendahuluan pembiayaan pinjaman untuk 100 pelajar dalam Parlimen Kuala Krau yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke politeknik di sini, hari ini.

Menurut Ismail, PTPTN tidak akan teragak-agak memberhentikan terus pinjaman tersebut jika prestasi pelajar-pelajar itu masih mengecewakan dalam peperiksaan semester yang berikutnya.

Sementara itu katanya, PTPTN memperuntukkan pinjaman sebanyak RM38.69 juta kepada seramai 1.75 juta pelajar yang menuntut di IPT pada tahun ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, PTPTN telah melupuskan pinjaman sebanyak RM277.99 juta kepada seramai 9,545 pelajar yang berjaya mendapat ijazah kelas pertama pada tahun lalu.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Suruhanjaya Pilihan Raya jawab isu 11 pemilih guna alamat ibu Azmin Ali

KUALA LUMPUR 24 Jun - Kesemua 11 pemilih yang mendaftar di alamat rumah ibu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali ketika memohon untuk menjadi pemilih diminta membuat permohonan menukar alamat pusat mengundi berdasarkan alamat di kad pengenalan mereka sekarang.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, hasil daripada semakan, pihaknya mendapati lima orang pemilih merupakan ahli keluarga Azmin dan enam lagi bukan.

Enam pemilih itu, katanya, ialah Tan Teek Fong yang mendaftar pada 31 Mac 1990, Tan Teek Hock (31 Mac 1990), Song Poo Wan (31 Mac 1990), Amirudin Harun (19 Ogos 1993), Lim Hock Seng (9 September 1994) dan Chong Chee Peng yang mendaftar pada 9 September 1994.

"SPR mendapati permohonan yang dibuat oleh kesemua 11 pemilih itu dilakukan sebelum 16 Julai 2002 atau sebelum Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST) diperkenalkan.

"Sebelum tarikh tersebut, SPR tidak menguatkuasakan peraturan yang menghendaki pemilih untuk hadir sendiri menghantar permohonan kepada Pendaftar atau Penolong Pendaftar yang dilantik SPR," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan Azmin dalam sidang Dewan Rakyat 21 Jun lalu iaitu terdapat seramai 11 pemilih yang mendaftar di alamat rumah ibunya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Lindsay Lohan diharam berparti

LOS ANGELES: Pelakon, Lindsay Lohan (gambar) semalam diharamkan daripada berparti ketika menjalani tahanan rumah.

Bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman penjara walaupun disahkan positif dalam satun ujian alkohol.


Seorang hakim berkata, Lindsay yang menjalani tahanan rumah sebagai sebahagian daripada persetujuan berhubung merayu dalam satu kes mencuri barang kemas, tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan.

Hakim Stephanie Sautner berkata, Lindsay sepatutnya lebih bijak ketika membuat keputusan untuk mengadakan barbeku di bumbung rumahnya.


“Anda tidak bersalah dalam tuduhan melanggar syarat percubaan. Anda bersalah kerana membuat keputusan yang tidak betul.


“Tahanan rumah sama dengan penjara,” katanya.

“Saya mengarahkan kamu supaya tidak berparti. Anda hanya boleh menerima seorang kawan pada satu masa dan seorang anggota keluarga jika anda mahu. “Jangan anjurkan barbeku di atas bumbung rumah anda,” kata hakim itu.

Pelakon berusia 24 tahun itu memulakan tahanan rumah pada 26 Mei lalu dalam kes berhubung dakwaan mencuri rantai berharga AS$2,500 (RM7,500) dari sebuah kedai barang kemas berhampiran kediamannya di Venice Beach.

Lindsay menghabiskan masa beberapa jam dalam penjara pada April setelah seorang hakim mendapati dia bersalah melanggar syarat percubaan dalam kes memandu di bawah pengaruh dadah dan arak pada 2007.


Pada Julai tahun lalu, Lind- say dihukum penjara 90 hari dan 90 hari lagi di pusat pemulihan kerana kerana kes memandu dalam keadaan mabuk.


Dia bagaimanapun dibebaskan selepas 13 hari atas alasan keadaan sesak dalam penjara.


Pada September, pelakon itu sekali dipenjara tetapi dibenarkan diikat jamin hanya selepas 15 jam.


Pada 2007, dia menghabiskan masa 84 minit dalam penjara selepas polis menahannya dua kali kerana memiliki kokain ketika memandu. - AFP

myMetro | Lindsay Lohan diharam berparti

Arnold bayar saraan anak sebelum cerai

Isteri minta pandangan akauntan aset bekas Gabenor California

LOS ANGELES: Arnold Schwarzenegger membayar sejumlah ‘besar’ wang saraan anak kepada isterinya yang kini tinggal berasingan.

Pelakon berusia 63 tahun itu bersetuju memberi bantuan kewangan kepada Maria Shriver, yang berpisah dengannya bulan lalu, sejurus sebelum didedahkan beliau bapa kepada anak bekas pembantu rumahnya Mildred Patty Baen, untuk dua anak remajanya Patrick, 17, dan Christopher, 13, walaupun tiada pihak yang memfailkan perceraian setakat ini.
Sumber memberitahu RadarOnline.com Arnold membayar sejumlah besar wang saraan anak selain membayar yuran sekolah persendirian untuk anak lelakinya, Patrick dan Christopher.
Mengikut undang-undang California, Maria layak menerima wang saraan anak sebaik salah seorang daripada mereka memfailkan perceraian. Peguam Maria dan Arnold sedang menguruskan penyelesaian perceraian namun buat masa ini Arnold bersedia membayar wang terbabit kepada Maria,” kata sumber.

Sumber mendakwa Maria, yang turut mempunyai anak perempuan Katherine, 21, dan Christina bersama bekas Gabenor California itu, menyenaraikan bantuan akauntan forensik bagi mendapatkan pandangan tepat berhubung aset pasangannya untuk memastikan perceraian mereka berlaku secara adil.

“Maria mahu mendapatkan penyelesaian perceraian yang adil dan meneruskan kehidupannya.”

“Maria dan Arnold kerap bercakap di telefon dan berbincang mengenai anak mereka, agak mengejutkan apabila Maria sangat tenang menghadapi semua masalah yang timbul daripada perkahwinannya. Beliau sangat tabah kerana tidak mahu anaknya menderita kerana keputusan bodoh yang dibuat bapa mereka dan beliau menggalakkan anaknya bersikap jujur dalam menyatakan perasaan mereka,” katanya. – Agensi
Berita Harian Online | Arnold bayar saraan anak sebelum cerai

Anwar bohong dakwa saya jumpa Rahim: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menganggap dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduhnya ada berjumpa bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berhubung isu video seks membabitkan seorang lelaki mirip pemimpin pembangkang itu sebagai satu pembohongan.

“Tan Sri Rahim tak berjumpa saya... itu satu pembohongan. Dia (Anwar) boleh dakwa, tapi dia (Rahim) tidak jumpa saya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN), di sini malam tadi.
Perdana Menteri mengulas dakwaan Anwar seperti dilaporkan laman portal berita kelmarin, kononnya Abdul Rahim ada mengadakan pertemuan dengan Najib berhubung isu video seks berkenaan.
Mengenai hasil analisis Prof Hany Farid dan Prof Lorenzo Torresani dari Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat yang mendapati 99 peratus gambar dalam video terbabit adalah tulen, Najib berkata, terserah kepada rakyat membuat penilaian.

“Ia sesuatu (perkara) yang rakyat sendiri kena buat penilaian. Kalau kita kata apa pun, paling penting adalah untuk cari kesahihan dan kebenaran. Itu kita serahkan kepada rakyat untuk tentukan apa yang dikatakan berdasarkan penilaian dua pakar dari Amerika Syarikat yang membuat kesimpulan sedemikian,” katanya.

Mengulas cadangan pembentukan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu video seks berkenaan, Perdana Menteri berkata, kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

“Polis sudah hantar pita (video) kepada pihak yang pakar dalam hal ini dan laporan telah diterangkan dalam mahkamah hari ini (semalam),” katanya merujuk kes membabitkan Abdul Rahim, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuaib Lazim yang didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan menayangkan secara terbuka video seks berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, laporan bedah siasat Pilihan Raya Negeri Sarawak turut dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam tadi, tetapi menganggapnya tidak perlu diulas kerana ia perkara dalaman.

“Banyak perkara dibincangkan tetapi saya tidak perlu ulas kerana ia perkara dalaman, rahsia yang perlu kita kaji dan ambil iktibar daripadanya. Kita turut membincangkan keahlian terus anggota BN membabitkan kira-kira 10,000 pemohon tetapi mungkin selepas ditapis kelak oleh semua komponen BN, tinggal kira-kira 3,000 saja,” katanya.

Mengenai cadangan kumpulan pengacau yang berkeras mahu mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini, Perdana Menteri berkata, semua rakyat di negara ini mempunyai hak untuk bersuara.

“Masing-masing ada hak dalam negara ini dan kita ada undang-undang. Kalau BERSIH (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) ingin buat (perhimpunan), Pemuda UMNO pun nak buat juga,” katanya.
Berita Harian Online | Anwar bohong dakwa saya jumpa Rahim: Najib

Tahan gaji sertai perhimpunan

Guru terbabit perarakan haram boleh dikenakan hukuman gantung kerja

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung tugas serta menahan gaji guru yang menyertai perhimpunan haram di ibu negara, Kuching serta Kota Kinabalu pada 9 Julai ini.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata mereka yang menyertai perhimpunan haram itu juga berdepan implikasi lebih berat yang tertakluk pada tindakan polis.
“Saya harap tidak ada guru yang akan menyertainya. Kita yakin guru negara ini sudah cukup matang dan tidak akan terbabit dalam perhimpunan sebegini apatah lagi mereka tahu implikasinya. Bagaimanapun sekiranya ada juga masih berdegil, kita terpaksa ambil tindakan tegas termasuk menggantung tugas, menahan gaji atau sebagainya.
“Tindakan bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Pelajaran yang akan meneliti setiap kes terlebih dulu... mereka juga berdepan tindakan polis,” katanya selepas majlis penyampaian cek bantuan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil Parlimen Batu Pahat, di sini, semalam.

Kumpulan pengacau berkenaan sebelum ini dilaporkan berkeras mahu meneruskan perhimpunan haram terbabit di ibu negara, Kuching dan Kota Kinabalu walaupun dinasihat membatalkan hasrat berkenaan oleh pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan.

Sementara itu, Mohd Puad turut mencadangkan perhimpunan haram itu dipindahkan ke Jambatan Pulau Pinang berikutan ia disokong penuh kerajaan negeri berkenaan.

“Saya cabar Datuk Ambiga Sreenevasan memindahkan perhimpunan haram ini ke Jambatan Pulau Pinang dan minta kerajaan negeri itu memberikan kebenaran. Biar kita tengok rakyat negeri itu susah atau tidak, ganggu pelabur asing atau tidak. Ini bermotif politik, sebab itulah ia mahu diadakan di ibu kota untuk eksploitasi semangat rakyat.
“Mengapa tidak diadakan di negeri dikuasai pembangkang... mereka tahu ia akan menyusahkan rakyat di situ dan (menyusahkan) mereka sendiri. Ia bukti perhimpunan itu hanya bermotif politik serta tidak ikhlas,” katanya.
Berita Harian Online | Tahan gaji sertai perhimpunan