Monday, September 15, 2014

Harga minyak naik lagi dengan GST


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Laporan akhbar Sin Chew Daily yang turut dipetik oleh laman kereta paultan.org mengesahkan bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel.

Mengikut laporan, pengesahan ini dibuat oleh Ishak Daud, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais dalam satu taklimat GST anjuran Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) minggu lalu.

"Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak," ujar Rafizi Ramli dalam satu kenyataan.

Katanya, pada kadar GST 6%, harga seliter petrol selepas ini adalah RM2.27 sen.

Menurutnya, jika seorang pengguna biasa dianggarkan menggunakan 80 liter seminggu bersamaan 320 liter petrol sebulan, kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini bermakna bil petrol satu isi rumah biasa akan meningkat sebanyak RM50 sebulan.

Pada masa yang sama, ujarnya kenaikan harga minyak ini juga akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain.

Akhirnya, kata beliau bebanan bulanan setiap isi rumah akan bertambah dan dianggarkan sekurang-kurangnya meningkat RM100 sebulan (kenaikan terus harga minyak dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain) bagi setiap isi rumah di kawasan bandar dan separa bandar.

"Saya juga telah menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan melaksanakan penarikan balik subsidi minyak dengan menghadkannya kepada golongan tertentu dan sebahagian pengguna akan terpaksa membayar harga penuh tanpa subsidi," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau dimaklumkan keputusan itu telah dibuat tetapi belum dilaksanakan sementara memuktamadkan syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menaiktaraf semua pam minyak bagi tujuan ini.

Sudah tentu apabila ini juga dilaksanakan, katanya bebanan akibat kenaikan harga minyak itu adalah lebih tinggi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang menyusul juga lebih tinggi.

Tambahnya, pada ketika pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Eksais telah mula mengesahkan mengenai kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini, Najib masih diam seribu bahasa dan mahu berahsia.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Najib mengesahkan dengan segera bahawa harga minyak akan naik dengan pelaksanaan GST dan berterus terang dengan rakyat.

Pada masa yang sama, beliau seru seluruh rakyat Malaysia menzahirkan bangkangan mereka kepada kenaikan harga minyak ini melalui laman-laman sosial terlebih dahulu sebelum disusuli dengan protes yang lebih besar. - HARAKAHDAILY 15/9/2014

Isu MB: Azizah ada rekod cemerlang

Pemimpin masyarakat dan pemimpin NGO Selangor menyatakan sokongan secara terbuka kepada Azizah untuk menjadi menteri besar negeri ini pada sidang media di ibu pejabar PKR hari ini.
Pemimpin masyarakat dan pemimpin NGO Selangor menyatakan sokongan secara terbuka kepada Azizah untuk menjadi menteri besar negeri ini pada sidang media di ibu pejabar PKR hari ini.
PETALING JAYA - Presiden PKR,  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disifatkan mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang bagi menggalas jawatan Menteri Besar Selangor.

Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Selangor, Datuk Mat Ghazali Abd Rakim berkata, kelayakan yang ada pada Wan Azizah sudah mencukupi syarat yang digariskan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

"Kami tanpa sebarang keraguan menyokong Wan Azizah sebagai menteri besar yang baharu kerana kelayakan yang jitu.

"Beliau mencukupi segala syarat dan kelayakan. Kami yakin beliau akan menjadi menteri besar yang mementingkan rakyat dengan mengamalkan corak kepimpinan secara musyawarah melalui pembentukan majlis Syura kerana latar belakang pendidikan, pengalaman dan rekod cemerlang beliau," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Pada sidang media berkenaan, 50 pemimpin masyarakat dan pemimpin NGO Selangor menyatakan sokongan secara terbuka kepada Azizah untuk menjadi menteri besar negeri ini.

Menurutnya, kemelut isu pelantikan menteri besar yang sudah terlalu lama boleh mengakibatkan gangguan terhadap kelancaran pentadbiran.

"Ia boleh mengakibatkan pentadbiran kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik. Banyak urusan kerajaan boleh terganggu dan boleh dicabar kesahihannya.

"Penyelesaian isu ini akan dapat meredakan konflik politik di Selangor," katanya.

Nik Aziz persoal JPPK

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
TUMPAT - Kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) menjadi penyebab kerajaan negeri itu tidak menerima wang ihsan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penubuhan JPPK seolah-olah menunjukkan Kerajaan Pusat tidak percaya kepada pegawai kerajaan yang berkhidmat di Kelantan.

“Duit itu bukan untuk saya tetapi untuk kerajaan negeri yang akan diuruskan setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan negeri,” katanya di Kampung Genting, semalam.

Nik Abdul Aziz mendakwa Kerajaan Pusat tidak membuat pembayaran terus royalti kepada kerajaan negeri, tetapi kepada pihak lain.

“Sebagai contoh saya meminjam wang daripada seorang individu, tetapi saya membayar hutang kepada individu lain. Adakah itu dinamakan membayar hutang?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bukti Kerajaan Pusat berhutang wang royalti dengan kerajaan negeri.

Henti latihan tentera dengan AS

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
SHAH ALAM - Kerajaan patut menghentikan kerjasama latihan ketenteraan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Amerika Syarikat (AS).

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerjasama dengan AS dari segi ketenteraan mendedahkan Malaysia kepada kemarahan banyak pejuang Islam dan pejuang pembebasan di dunia yang melihat AS sebagai dalang dan punca pelbagai konflik umat Islam dan antara negara di merata dunia.

"Kami kecewa dengan dasar Malaysia mengukuhkan hubungan dan kerjasama ketenteraan dengan AS kerana ia menunjukkan tanda kesediaan Malaysia untuk terus menjadi rakan AS bersama dengan segala dasarnya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Malaysia harus berani menunjukkan sikap tegas terhadap kuasa imperialis dunia itu yang jelas menyokong Israel dalam serangan selama 50 hari di Gaza, baru-baru ini.

"Malah ketika pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin di Gaza dan menghancurkan hampir seluruh prasarana di Gaza oleh Israel, AS mengisytiharkan bantuan dana tambahan AS$250 juta (RM800 juta) untuk tentera Israel," katanya.

Beliau mengulas laporan kira-kira 300 anggota tentera AS tiba di Terengganu, Khamis lalu bagi menjalani latihan bersama Tentera Darat Malaysia.

Menurut Mohd Azmi, latihan bersama seperti itu petanda jalinan Malaysia dengan tentera AS terus akrab.

Beliau menegaskan, keselamatan negara berhadapan risiko bila tentera AS berada di bumi Malaysia kerana segala maklumat yang diperlukan oleh AS terhadap keseluruhan aspek pertahanan Malaysia akan lebih mudah diperoleh dan boleh diakses secara langsung.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, Jumaat lalu, memaklumkan kehadiran tentera AS itu adalah bagi menjalani latihan Eksesais Keris Strike Siri 18/14 dari 13 hingga 26 September 2014 di sekitar kawasan Kem Pangkalan Chepa dan Kem Desa Pahlawan.

Menurut kementerian itu, eksesais itu merupakan siri latihan gabungan yang diadakan setiap tahun dan bagi tahun ini, ia dilaksanakan berorientasikan pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan dalam senario bencana banjir.

Namun menurut Mohd Azmi, penjelasan itu tidak meyakinkan kerana Malaysia boleh memilih negara lain untuk menjalankan latihan seperti itu.

Beliau turut memetik laporan Jabatan Negara AS kepada Kongres pada 2007 yang menyebut kerjasama keselamatan menjadi alat dasar luar penting bagi AS untuk mengukuhkan kepentingan  negara itu.

"Berdasarkan laporan seperti inilah yang menyebabkan kami yakin sebarang kerjasama ketenteraan dengan AS pasti memberi impak kepada bentuk kepatuhan yang dikehendaki oleh AS kepada negara yang mengadakan kerjasama dengannya," katanya.

Poroshenko, Obama lakukan jenayah perang

Kira-kira 285,000 penduduk terpaksa menjadi pelarian akibat konflik di timur Ukraine.
Kira-kira 285,000 penduduk terpaksa menjadi pelarian akibat konflik di timur Ukraine.
ROM - UKRAINE . Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan rakan sejawatnya, Barack Obama didakwa melakukan jenayah perang oleh tribunal antarabangsa yang pernah menyiasat kekejaman tentera Amerika Syarikat (AS) ketika Perang Vietnam.

Menurut Tribunal Russell, Ketua Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso dan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Anders Fogh Rasmussen turut bertanggungjawab di dalam konflik di wilayah Donbas, tenggara Ukraine.

Perbicaraan yang diadakan di Venice, Itali itu dihadiri beberapa saksi termasuk wakil kumpulan pemisah pro-Rusia di Lugansk dan Donetsk, Galina Kozhushko yang tampil memberikan keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Difahamkan, keputusan perbicaraan itu akan dihantar ke Kesatuan Eropah (EU), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan beberapa agensi antarabangsa untuk tindakan lanjut, dipetik dari laporan Press TV.

Rugi jika tolak Wan Rosdi - Presiden PAS


SALMAH MAT HUSAIN | .

TUMPAT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan pengundi di Dun Pengkalan Kubor sebagai orang yang rugi sekiranya menolak calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim pada 25 September ini.

Katanya, Wan Rosdi bukan sahaja seorang calon yang setia kepada parti, sebaliknya telah menjalankan kerja-kerja wakil rakyat sejak dua penggal lalu iaitu selepas Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 dan PRU13.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di Markas Besar PAS Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Menurutnya, calon Pakatan Rakyat itu juga seorang yang setia kepada parti yang sering mengikut keputusan parti.

“Ketika tidak dicalonkan sebagai calon PRU, beliau tidak bersungut dan menjalankan kerja-kerjanya sebagaimana biasa.

“Bila calon PKR kalah pada PRU12 dan 13, beliau menerima pula jawatan Penyelia Dun dan menjalankan kerja-kerja wakil rakyat sebagaimana biasa,” ujarnya.

Katanya, calon yang paling layak untuk dipilih oleh pengundi di Dun Pengkalan Kubor sememangnya Wan Rosdi, seorang yang bersifat sederhana dan berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Menyentuh tentang peringkat awal Wan Rosdi menolak apabila namanya dicalonkan, beliau berkata Islam menggalakkan memilih orang sedemikian.

Menurut beliau lagi, orang yang tidak meminta jawatan itu sebenarnya yang lebih layak berbanding mereka yang meminta untuk mendapatkan jawatan.

“Nabi s.a.w. sendiri berpesan supaya memilih mereka yang tidak meminta jawatan kerana mereka itulah yang sebenarnya lebih layak berbanding daripada orang yang meminta-minta jawatan.

“Yang terbaik ialah calon kitalah, Pakatan Rakyat kerana Pengkalan Kubor dari segi sejarahnya PAS telah menguasi Dun tersebut sejak tahun 1959,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya lagi, mengikut keputusan PRU13 lalu, peringkat parlimen calon Pakatan Rakyat Datuk Kamarudin Jaffar menang, namun di Dun sahaja tewas.

Beliau bagaimanapun mengingatkan anggota parti seluruhnya agar tidak over confident untuk meraih kemenangan dengan mudah.

Ini, ujarnya kerana PAS bukan sahaja melawan parti Umno dan BN, sebaliknya turut berlawan dengan agensi kerajaan Pusat yang datang dari pelbagai arah dengan tidak malu-malu lagi.

"Demokrasi di tempat kita berat sebelah dan kita bertanding tidak di padang yang sama rata," ujatnya lagi. - HARAKAHDAILY 14/9/2014

IS penggal seorang lagi warga Barat


IMEJ daripada video yang didedahkan oleh IS kelmarin menunjukkan Haines sebelum dia dipenggal di suatu tempat yang tidak diketahui.


WASHINGTON - Kumpulan Negara Islam (IS) mendakwa memenggal kepala seorang sukarelawan dari Britain, David Haines yang menjadi mangsa ketiga dalam tempoh beberapa minggu selepas dua orang wartawan warga Amerika Syarikat (AS) dibunuh.
IS melalui satu rakaman video yang disiarkan dalam laman web kumpulan militan itu menunjukkan seorang anggota militan bertopeng sedang memenggal kepala Hianes.
Video berdurasi selama dua minit 27 saat bertajuk A Message to the Allies of America telah menyalahkan Perdana Menteri Britain, David Cameron yang bergabung tenaga dengan AS untuk melancarkan serangan udara terhadap IS di Iraq.
"Anda menghantar sukarelawan ke negara Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Tony Blair sehingga menjadi ikutan setiap Perdana Menteri Britain yang tidak berani membantah kehendak AS," kata seorang anggota militan dalam rakaman video itu.
Anggota militan itu yang dipercayai individu yang sama dalam rakaman video sebelum ini memberitahu Britain bahawa kerjasama antara negara itu dengan AS akan menyebabkan kemusnahan yang turut melibatkan kematian rakyat Britain.
Anggota militan itu turut mengancam akan membunuh seorang lagi tahanan British.
Mangsa penculikan warga Britain itu melalui rakaman video sebelum ini telah diberi ancaman oleh kumpulan IS yang akan memenggal kepalanya seperti yang dilakukan terhadap seorang wartawan AS, Steven Sotloff.
Haines bekerja untuk Agensi Kerjasama Teknikal dan Pembangunan (ACTED), iaitu sebuah badan amal bantuan antarabangsa yang terlibat dengan kerja-kerja kemanusiaan di kawasan Balkan, Afrika serta beberapa kawasan lain di Asia Barat.
Sebelum ini, dua orang wartawan warga AS, Sotloff telah didakwa mati dipenggal pada 19 Ogos lalu diikuti James Foley dua minggu kemudian yang turut menerima nasib yang sama pada 2 September lalu selepas diculik di Syria.
Tindakan itu dilakukan selepas AS mula melancarkan serangan udara dan misi kemanusiaan pada Ogos lalu untuk membantu menghapuskan pasukan keselamatan Iraq dan puak Kurdish di utara Iraq. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3DKuj67jX 
Hakcipta terpelihara 

Cairkan hati wanita lagi


Berganding dengan pelakon baru, Faye Kusairi, pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin, 28, berkata, dia tidak menyangka akan jadi ‘hero Akasia’ sekali lagi dalam jangka waktu yang amat dekat. 
“Hampir lima tahun membabitkan diri dalam lakonan, baru kini orang dapat melihat bakat saya. Bukan mudah untuk saya berada pada tahap ini dan segala peluang yang datang saya akan gunakan dengan sebaik mungkin. 

“Sementara fenomena drama bersiri Rindu Awak 200% masih menjadi kegilaan ramai, saya perlu menarik perhatian mereka untuk beralih ke drama Istikharah Cinta yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Foto

“Saya perlu berusaha lebih keras untuk mengalih penonton drama Rindu Awak 200% yang sudah ada pengikut sendiri kerana ia diadaptasi daripada novel untuk menonton Istikharah Cinta yang kisahnya dicipta penulis skrip.

“Pun begitu, saya yakin dengan promosi yang dilakukan, penonton akan teruja untuk menonton drama baru lakonan saya ini,” katanya. 



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

‘Pergi’ selepas lima hari koma


Kuala Lumpur: Seorang lagi rakyat Malaysia yang berjuang di Syria disahkan meninggal dunia selepas koma hampir lima hari.
Pendakwah dari Baling Ustaz Lotfi Ariffin, 48, dilapor kritikal selepas diserang tentera Presiden Bashar al-Assad ketika berada di kawasan mereka di Hama, Syria Selasa lalu. 
Dia bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam (waktu Syria), kelmarin di Hospital Antarkia, Turki. 

Dalam serangan kira-kira jam 8 pagi, Selasa lalu, rakan seperjuangan Lotfi iaitu Mohamad Fadzlan Shahidi, 21, yang juga rakyat Malaysia meninggal dunia beberapa jam selepas serangan berkenaan sebelum jenazahnya dikebumikan di Syria.
Foto
USTAZ Lotfi (kiri) bersama rakan.

Lotfi yang sebelum ini pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan selepas dia dan rakannya terkena bedilan tentera Bashar.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Dakwa dihina buku teks


Surakarta: Seorang penduduk di bandar ini membuat laporan kepada Majlis Hak Asasi manusia Kebangsaan semalam berhubung penerbitan buku teks yang didakwa mendiskriminasi rakyat Indonesia berketurunan Arab.

Dia menamakan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Muhammad Nuh sebagai individu yang bertenggungjawab berhubung perkara itu.


“Saya mewakili seorang penduduk Surakarta, Muhsin Al-Jufri yang merasa didiskriminasi melalui penerbitan buku teks ini,” kata peguam Muhsin, Arief Sahudi semalam

Buku teks yang dimaksudkan adalah buku elektronik (e-book) yang digunakan pelajar sekolah sejak 2008.


Menurut Arief, pada muka surat 110 buku berkenaan terdapat novel yang memaparkan satu watak bernama Syekh Abdullah yang menjadi ceti haram.


Paparan itu dikatakan memberi imej buruk terhadap penduduk keturunan Arab di Indonesia.

“Kementerian perlu mengambil kisah yang mampu mendidik pelajar di negara ini,” kata Arief.

Muhsin menuntut kementerian itu menarik balik penerbitan buku itu dan memohon maaf secara terbuka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/14

Manila usir Bilal Philips


Abu Ameenah Bilal Philips dihantar pulang ke Kanada lewat kelmarin selepas ditahan sejak hujung minggu lalu di selatan Filipina ketika dalam perjalanan untuk berceramah. 
Pihak berkuasa imigresen Filipina berkata, persetujuan Bilal untuk diusir secara sukarela membantu memendekkan prosiding pengusirannya. 

“Dia dianggap warga asing yang tidak dikehendaki berada di negara ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan biro imigresen Filipina.
Foto
BILAL Philips

Biro itu sebelum ini berkata, Bilal disenaraihitamkan berdasarkan maklumat bahawa dia mungkin menjalankan kegiatan yang mengancam keselamatan negara.

Polis juga mendakwa dia mungkin mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau ketika melarang pendakwa itu mengadakan ceramah di selatan Filipina yang majoriti penduduknya beragama Islam. 

Bilal, kelahiran Jamaica, turut mengakui dia disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Kenya tetapi ia dilakukan berdasarkan kenyataan yang disalah petik daripada ceramahnya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Apple punca leukemia?


BEIJING 14 Sept. - Syarikat elektronik gergasi Amerika Syarikat (AS), Apple Inc. menyiasat kes 13 pekerja kilang pembuatan produknya di China yang didapati menghidap penyakit leukemia dengan lima daripadanya telah meninggal dunia, dipercayai akibat terdedah kepada bahan kimia yang digunakan dalam dua alat elektronik, iPhone dan iPad.
Menurut laporan portal berita, China Topix, insiden melibatkan serangan kanser darah ke atas pekerja kilang terbabit bermula sejak 2010 dan membabitkan pekerja berusia antara 19 hingga 24 tahun walaupun penyakit berkenaan kebiasaannya dihidapi golongan kanak-kanak atau orang tua.
Sebelum ini Apple menjalankan siasatan selama empat bulan ke atas 22 kilang pembuatan produknya di China dan mendapati tiada bukti menunjukkan dua bahan kimia itu mendatangkan kesan bahaya.
Namun, pada bulan lalu syarikat yang beribu pejabat di California itu melarang penggunaan dua bahan berkenaan yang dikhuatiri boleh mengancam kesihatan kira-kira 500,000 pekerja.
Pengarah kanan yang bertanggungjawab berurusan dengan pembekal komponen produk itu, Jacky Haynes berkata, syarikat Apple dan pemilik kilang berkenaan, Foxconn kini bekerjasama untuk menyiasat kes tersebut.
"Sebelum ini memang ada pembekal menggunakan dua bahan kimia itu dalam komponen produk Apple, tetapi kandungan bahan kimia yang digunakan sangat rendah dan mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, pengarah eksekutif pertubuhan bukan kerajaan, Labour Action China, Suki Chung berkata, 13 kes berkenaan yang berlaku di kilang Apple di Shenzen merupakan kes yang berjaya dikesan, tetapi beliau percaya lebih ramai pekerja menghidap penyakit tersebut.
Malah Chung berkata, pekerja yang didapati menghidap penyakit berkenaan dibuang kerja dan tidak diberikan perlindungan perubatan selain membayar sendiri kos rawatan.
"Saya dan keluarga mangsa percaya dua bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan iPhone dan iPad iaitu benzene dan n-hexane sebagai punca pekerja kilang Apple menghidap leukemia," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_09/Apple-punca-leukemia#ixzz3DKlZVQFG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat Scotland cenderung keluar dari United Kingdom


LONDON 14 Sept. - Sokongan terhadap kemerdekaan Scotland dari United Kingdom (UK) meningkat sebanyak lapan peratus, menurut satu tinjauan pendapat baharu lima hari menjelang undian pungutan suara.
Laman web Presstv.ir melaporkan, tinjauan yang dijalankan oleh Yayasan Penyelidikan Institut Pengurusan Komersial (ICM) yang dikeluarkan hari ini menunjukkan, kumpulan pro-kemerdekaan mendapat sokongan sebanyak 54 peratus berbanding 46 peratus bagi anti-kemerdekaan.
Sementara itu, satu lagi tinjauan yang dijalankan oleh Pusat Dinamik Etnik Universiti Glasgow mendapati, 94 peratus etnik minoriti yang dilahirkan di Scotland mengakui diri mereka sebagai rakyat Scotland berbanding Britain.
Pusat berkenaan memberi kesimpulan, kecenderungan kumpulan minoriti untuk dikenali sebagai rakyat Scotland memberi petunjuk baik kepada kejayaan kempen mencapai kemerdekaan.
Kebanyakan pengundi etnik minoriti berkata, Scotland mempunyai polisi imigresen yang lebih terbuka berbanding UK yang mungkin menjadi faktor penentu kepada keputusan pungutan suara.
Menteri Pertama Scotland, Alex Salmond berkata, rakyat Scotland tidak akan 'dibuli' oleh London jika memilih untuk keluar dari UK.
Scotland akan mengadakan pungutan suara pada 18 September ini bagi mengetahui masa depan negara berkenaan yang sudah 300 tahun bersama UK.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_07/Rakyat-Scotland-cenderung-keluar-dari-United-Kingdom#ixzz3DKjg5H21
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kadar sewa khemah untuk jemaah haji dikurangkan


Kerajaan Arab Saudi menurunkan harga sewaan khemah bagi musim haji tahun ini. - AGENSI
MEKAH 14 Sept. - Menteri Haji Arab Saudi, Bandar Hajjar berkata, pihaknya akan mengurangkan kadar sewa khemah di sekitar tanah suci daripada 85 peratus kepada 75 peratus untuk tujuan mengurangkan kos haji pada tahun ini.
Menurut laman web arabnews.com, kementerian itu juga mendedahkan bahawa pihaknya akan mempertimbangkan penilaian semula syarikat haji untuk mengurangkan bilangan cawangan mereka supaya dapat memberikan khidmat terbaik kepada para jemaah.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Haji, Hatem Qadi, mengesahkan sebanyak 20,500 jemaah telah mendaftar untuk program haji kos rendah sebelum tempoh akhir lanjutan selama 48 jam.
Tambah beliau, program haji kos rendah anjuran syarikat-syarikat perkhidmatan haji dan Kementerian Haji membabitkan kira-kira 41,000 jemaah.
Kementerian turut menetapkan harga di kem utama bermula daripada SR5,000 (RM4,260) untuk lokasi yang menjadi perhatian kepada harga terendah sebanyak SR2,500 (RM2,130).
Hatem menjelaskan bahawa kementerian telah memperuntukkan 53 khemah untuk program haji kos rendah yang bakal diagihkan kepada 116 penyedia perkhidmatan haji.
Jemaah yang memohon program haji kos rendah perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan antaranya tidak melaksanakan haji dalam tempoh lima tahun, berusia lebih daripada 15 tahun, wanita perlu bersama mahram dan dihadkan kepada 10 pemohon yang mengunjungi portal elektronik.
Panduan sistem haji elektronik menjelaskan permit haji akan dikeluarkan kepada mereka yang berdaftar sahaja dan permit perlu dicetak serta disahkan dengan pihak berkuasa.
Selain itu, jemaah perlu membawa dokumen perjalanan dan perlu berdaftar untuk pengesahan jadual perjalanan dan memiliki permit untuk melalui pusat pemeriksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_05/Kadar-sewa-khemah-untuk-jemaah-haji-dikurangkan#ixzz3DKj4KmRk
© Utusan Melayu (M) Bhd