Saturday, November 12, 2011

69,573 pelajar diperintah bayar balik pinjaman PTPTN


12/11/2011 9:32pm

TEMERLOH 12 Nov. – Seramai 69,573 pelajar yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diperintah agar membayar balik pinjaman mereka oleh mahkamah sehingga Oktober lepas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said berkata, jumlah itu antara 104,083 peminjam yang disaman kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.

"Tindakan mahkamah ini terpaksa dilakukan setelah pelajar terbabit gagal membayar balik pinjaman walaupun selepas dihubungi dan diberikan peringatan berkali-kali oleh PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bee Yong, Kerdau hari ini.

Ismail, yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, berkata, sehingga September lepas, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus berbanding RM6.2 bilion, jumlah yang sepatutnya diperoleh.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 8,143 pelajar yang disenarai hitam Jabatan Imigresen membayar balik pinjaman mereka membabitkan kutipan kira-kira RM146 juta.

Katanya, jumlah itu masih rendah berbanding 132,801 pelajar yang disenarai hitam dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman. – BernamaUtusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Kondo mewah RM9.8j dipertikai


Oleh : NORJIMI AZMI LATIF
Tarikh : November 11, 2011
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – PKR mendakwa syarikat ada kaitan dengan Menteri Pemba­ngu­nan Wanita, Datuk Shah­rizat Abdul Jalil menggunakan dana melalui National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk membeli satu unit kondominium mewah dengan bayaran RM9.8 juta.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, NFC melakukan transaksi pindahan wang dari akaun semasanya pada 2 Disember di Bank CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail kepada Bandar Raya Development Berhad (BRDB) untuk tujuan pembayaran sebuah kondominium.
Beliau mendakwa, tin­­dakan berkenaan merupakan satu bentuk penyelewengan memandangkan bayaran untuk pembelian unit kondominium mewah itu di Bangsar bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.
“Bayaran pembelian kondo­mi­nium dengan harga RM9.8 juta ini direkodkan sebagai ‘hutang’ National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC.
“Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada RM83 juta hutang NMLC kepada NFC pada 31 Disember 2009,” dakwanya pada sidang media, di lobi Parlimen, semalam.
Dakwanya, urusan dilakukan sebanyak empat kali pada hari sama bukan untuk membeli lembu kerana BRDB adalah pemaju perumahan dan tidak terlibat dengan urusan itu.
Ahli Parlimen Machang itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat berhubung dakwaan itu.
“Dakwaan ini wajar disiasat secepat mungkin kerana ia melibatkan integriti kese­luruhan kerajaan Malaysia,” katanya.
Katanya, Najib perlu disiasat berhubung kenyataannya mengenai jumlah dana yang telah dipindahkan daripada jumlah RM250 juta.
Muhyiddin pula, katanya, perlu disiasat selaku kedudukannya sebagai menteri pertanian yang meluluskan projek dan pinjaman untuk projek feedlot berkenaan sebelum ini, manakala penggantinya Datuk Seri Noh Omar perlu disiasat berhubung penjelasan menteri berkenaan sebelum ini.
Saifuddin berkata, Shah­rizat juga perlu disiasat kerana melibatkan kepentingan keluarga beliau dalam projek kontroversi itu.
Beliau juga meminta Ketua Pemuda Umno, Khairy Jama­luddin disiasat kerana didakwa cuba memutarbelitkan fakta dan melindungi perbuatan pecah amanah.
“Saya nak tanya (Khairy) sekarang. Beli kondo RM9.8 juta, jawatankuasa teknikal mana yang luluskan? Mesyua­ratnya bila? Siapa yang pengerusikan? Cek-cek ini siapa tandatangan? Di mana kawalan ketat?” katanya.
Sementara itu, pada sidang media sama, Pengarah Stra­tegik PKR, Rafizi Ramli pula berkata, mereka mem­peroleh maklumat berhubung dakwaan transaksi untuk pem­belian kondominium berkenaan melalui enggan mendedah­kannya.
“Kalau kita sudah berani buat dan kita sudah melawat (ke kondominium itu), dakwaan yang kita buat ini kita berani bawa ke SPRM. Tanggung­jawabnya kalau nak buktikan kami tidak betul adalah tanggungjawab Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertanian, Ketua Wanita Umno dan Ketua Pemuda Umno,” katanya.Kondo mewah RM9.8j dipertikai - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Saya bersedia disiasat: KJ


Oleh : ARHIZA AHMAD
Tarikh : November 12, 2011
Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bersedia disiasat sekiranya beliau dikatakan cuba melindungi mana-mana individu mahupun syarikat dikaitkan dengan penyele­wengan dan pecah amanah.

Katanya, dalam isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) beliau tidak ber­cakap kosong dan berhujah bersandarkan fakta dengan kajian yang dilakukan secara terperinci.
“Siasatlah saya, saya berse­dia kerana apa yang saya bentangkan adalah benar, bukan penipuan.
“Saya bukan mahu jadi pembela atau jurucakap, tetapi saya membuat kajian sebelum membentangkan sesuatu, bukan seperti mereka (pemimpin pembangkang),” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Se­ti­ausaha Agung PKR, Sai­fuddin Nasution Ismail didak­wa cuba memutarbelitkan fak­ta dan melindungi perbuatan pecah amanah.
Saifuddin sebelum itu men­­­dedahkan syarikat ada kai­­­t­an dengan Menteri Pemba­ngu­nan Wanita, Datuk Shah­ri­zat Abdul Jalil menggunakan pinjaman melalui NFC untuk mem­beli satu unit kondo­mi­nium mewah dengan bayaran RM9.8 juta.
Beliau mendakwa, tin­­dakan berkenaan merupakan satu bentuk penyelewengan memandangkan bayaran untuk pembelian unit kondominium mewah itu di Bangsar bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.
Mengulas mengenai serangan pemimpin pembangkang itu, Khairy berkata, Saifuddin cuba berniat jahat (mala fide) dan cuba menipu rakyat berhubung isu NFC kerana ada beberapa fakta yang bercanggah.
“Pada hakikatnya peruntukan yang diterima syarikat berkenaan adalah RM181 juta dan bukan RM250 juta seperti didakwa PKR. Manakala tanah yang dipajak hanya 600 hektar kepada NFC dan bukannya 2,000 hektar se­per­ti yang didakwa Saifuddin, kenapa lakukan sedemikian? Beliau seolah-olah ada agenda tersembunyi,” katanya.
Mengulas mengenai pembelian kondominium itu, beliau berkata, National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NLMC) mendapat pulangan pelaburan memandangkan projek lembu fidlot oleh National Feedlot Corporation mengalami kelewatan operasi.
“Hartanah yang dibeli atas nama syarikat yang meng­­u­ruskan ladang. Syarikat itu mene­rima peruntukan, tetapi pro­jek tidak boleh dilak­­sanakan.
“Oleh itu pihak syarikat mengambil langkah untuk melabur dalam bidang hartanah sebelum menjualnya ia akan memberikan keuntu-ngan kepada mereka akibat projek tertangguh sebelum itu,” katanya.
Sementara itu dalam blognya, Rembau.net, Khairy berkata, pengurusan NLMC membuat keputusan untuk melabur dalam aset hartanah yang “boleh dijual apabila duit diperlukan untuk operasi” akibat kelewatan operasi itu.
“Sudah pasti mereka mencari projek perumahan yang berkualiti tinggi dan popular agar pulangan NLMC dalam bentuk sewa dan juga kenaikan harga apartmen itu lebih besar dari pelaburan lain se­perti akaun simpanan tetap.
“Difahamkan, apartmen berkenaan telahpun disewa dan mula memberi pulangan kepada NLMC. Nilai apartmen tersebut juga telah naik sejak dibeli NLMC,” katanya.Saya bersedia disiasat: KJ - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tak bubar Parlimen

KUALA LUMPUR: Ketika pelbagai pihak membuat spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan semalam bersamaan 11,11,2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula menjelaskan tarikh ‘cantik’ itu berlalu dengan tiada sebarang perubahan kepada pimpinan negara.

Malah, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, selaku pemimpin tertinggi kerajaan, beliau tidak membincangkan sebarang perkara mengenai pembubaran Parlimen itu dengan majlis tertinggi parti.


“Tiada perbincangan mengenai agihan kerusi atau apapun. Tak ada...kita tak membincangkan perkara itu di mesyuarat ini. Tarikh 11 November 2011 berlalu tanpa Parlimen dibubarkan.

“Mesyuarat (Majlis Tertinggi BN) hari ini (semalam) mesyuarat biasa untuk kita tentukan organisasi BN lebih kukuh dan mantap, terutamanya membabitkan perjalanan dan semua kerja dalam usaha menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek; Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk Dr M Kayveas.


Najib berkata, perbincangan juga tertumpu kepada betapa pentingnya pimpinan parti kembali kepada prinsip BN yang saling hormat menghormati antara satu sama lain dan cenderung mengamalkan konsep berbincang terhadap apa jua isu dalam bilik tertutup.

“Ini supaya kita dapat mencapai kata sepakat bersama dalam apa isu sekalipun termasuk membabitkan hal yang disifatkan sensitif,” katanya.


Beliau turut mengingatkan pemimpin BN supaya tidak menyentuh sensitiviti pihak dan parti komponen lain jika perlu membuat kenyataan secara terbuka selain memikirkan semasak-masaknya sesuatu kenyataan sama ada boleh mendatangkan keuntungan atau kerugian.

Selain itu, Najib memperjelaskan kepada ahli majlis tertinggi BN mengenai Belanjawan 2012 yang mendapat maklum balas positif daripada semua pihak dan rakyat juga menantikan pelaksanaannya.


“Saya dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) juga menerangkan mengenai kaedah penyampaian serta pelaksanaan khususnya mengenai wang bantuan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang mula diagihkan bulan ini.


“Keduanya, mengenai pemberian RM500 bagi setiap keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Ini sudah dibincangkan di peringkat jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan TPM mengenai kaedah pelaksanaan supaya ia sampai ke golongan sasaran,” katanya.


Ditanya mengenai kenyataan ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Ei Kim Hock yang mengatakan penduduk Malaysia di luar negara tidak layak mengundi, Najib menegaskan itu bukan pendirian BN.


Sebaliknya beliau berkata, pelaksanaan bagi membolehkan pembuangan undi dijalankan mungkin menimbulkan kesukaran terutama daripada segi logistik apabila perlu menyelia proses buang undi untuk 800 kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.


“Ini mungkin menimbulkan kesukaran untuk dilaksanakan...itu saja,” katanya.

myMetro | Tak bubar Parlimen:

'via Blog this'