Sunday, October 13, 2013

AS tahan komander kanan Taliban

Washington: Tentera Amerika Syarikat, semalam mengesahkan menahan komander kanan Taliban Latif Mehsud dalam satu operasi ketenteraan.
Latif kini ditahan di bawah undang-undang yang membolehkan penggunaan kekerasan terhadap al-Qaeda berikutan serangan ke atas Amerika pada 11 September 2001.

Penangkapan Latif, penolong kepada pemimpin kumpulan Tehreke-e-Taliban (TTP) Hakimullah Mehsud memberi tamparan kepada kumpulan itu yang berusaha menggulingkan kerajaan Pakistan yang disokong Amerika Syarikat.
Kumpulan berkenaan juga menyasarkan tentera Amerika di Afghanistan di samping bercita-cita untuk melancarkan serangan ke atas Amerika Syarikat.

Seorang jurucakap Pentagon berkata, Mehsud ditangkap dalam operasi tentera Amerika di Afghanistan.

Bagaimanapun, Washington Post melaporkan, dia ditawan dari konvoi kerajaan Afghanistan di wilayah Logar beberapa minggu lalu ketika pegawai Afghansitan cuba berbaik-baik dengannya untuk memulakan rundingan damai.
Menurut akhbar itu, kejadian berkenaan disifatkan mencabuli kedaulatan Afghanistan serta mencetuskan kemarahan Presiden Hamid Karzai dan menjejaskan hubungan Washington-Kabul.

Pegawai Pentagon enggan mengulas laporan itu.
TTP atau juga dikenali Taliban Pakistan dipercayai melatih rakyat Amerika keturunan Pakistan Faisal Shahzad mengenai teknik membuat bom serta membiayai rancangannya untuk meletupkan sebuah bom kereta di Dataran New York Times pada 2010.

Bom kereta itu bagaimanapun gagal meletup.

Derita lepas disahkan ‘mati’

Findlay: Seorang lelaki Ohio mendapati tiada jalan mudah untuk dia kembali hidup selepas disahkan mati.
Donald Miller Jr ke mahkamah minggu lalu untuk memohon supaya hakim menarik balik keputusan mengesahkan dia mati selepas hilang dari rumahnya selama lapan tahun pada 1994.

Hakim bagaimanapun menolak permohonan itu dengan alasan melebihi tempoh tiga tahun yang dibenarkan untuk menukar sesuatu sijil kematian.
Hakim Mahkamah Probet Wilayah Hancock Allan Davis menyifatkan kes itu sebagai pelik.

“Seorang lelaki duduk di mahkamah. Dia kelihatan sihat,” kata Davis yang memberitahu Miller mengenai had tiga tahun itu jelas.

“Saya tak tahu apa yang berlaku nanti, tetapi mengikut undang-undang kamu sah mati,” kata hakim itu.
Miller muncul di mahkamah selepas hilang lapan tahun lalu untuk memohon lesen memandu dan mengaktifkan semula nombor Keselamatan Sosialnya.

Bekas isterinya menghalang tindakan Miller dengan berkata, dia tidak mempunyai wang membayar balik bantuan Keselamatan Sosial untuk dia dan dua anak mereka selepas Miller disahkan mati.
Robin Miller berkata, bekas suaminya menghilangkan diri kerana menanggung hutang $26,000 (RM77,000) pada 1994.

Miller yang kini tinggal di bandar Ohio di Fostoria memberitahu hakim dia hilang pada 1980-an kerana dibuang kerja dan ketagih arak. Dia tinggal di Florida dan Georgia sebelum kembali ke Ohio pada 2005.

Ibu bapa Miller memberitahu mengenai kematiannya selepas dia pulang ke Ohio. “Perkara ini berlaku di luar jangkaan saya. Saya lenyap kemudian berakhir di beberapa tempat lain,” kata Miller. - AP

Fasa pertama pembinaan Masjidil Haram dibuka

SEKUMPULAN bakal jemaah memegang Kaabah di dalam Masjidilharam kelmarin.


MEKAH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah semalam mengarahkan pembukaan fasa pertama peluasan Masjidilharam di sini bagi menghadapi musim haji, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.
Fasa itu turut meliputi pelebaran tingkat pertama dan ruang mezanin di bangunan tersebut.
Projek peluasan itu bertujuan untuk menempatkan kira-kira 450,000 jemaah haji di Masjidilharam.
Sejurus projek itu disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 10 bulan, kapasiti Masjidilharam akan dapat ditingkatkan kepada 1.6 juta jemaah.
Fasa yang telah disiap itu akan dilengkapi dengan kemudahan tangga bergerak untuk kemudahan para jemaah haji.
BEBERAPA jemaah duduk di atas kerusi roda di laluan khas yang baru dibina untuk mengelilingi Kaabah di Masjidilharam, Mekah semalam.


Tangga bergerak itu juga akan menyediakan akses untuk jemaah pergi ke kawasan air zam-zam.
Kemudahan penyaman udara, lampu, sistem kebakaran dan audio juga disediakan di kawasan tersebut.
Projek peluasan sepenuhnya Masjidilharam itu melibatkan kawasan seluas 1,300,000 meter persegi.
Ia turut melibatkan kemudahan perkhidmatan terowong dan sistem pengangkutan awam.
Pihak berkuasa Arab Saudi menjangkakan sejumlah dua juta jemaah akan melakukan ibadah haji pada tahun ini.
Angka tersebut jauh menurun berbanding jumlah 3.2 juta jemaah pada tahun lalu.
Pengurangan itu antara lain berpunca daripada kerja pembesaran di kawasan sekitar Masjidilharam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2hYIZlESs 
Hakcipta terpelihara