Friday, May 31, 2013

Mikrokredit menyebabkan beribu-ribu wanita China untung

 GUANGZHOU - Jalan Usahawan Wanita sepanjang 500 meter dan selebar 60 meter di wilayah Luzhai, mempunyai 63 buah kedai yang dikendalikan oleh wanita.

Peniaga wanita di sini menjual pelbagai barangan - pakaian, makanan, kasut, produk kulit, dan sehinggakan mereka mengendalikan bar dan butik kecantikan.

Seorang daripada mereka ialah Yang Min, 31, yang menjual beg tangan.

Beliau berkata dengan senyum lebar bahawa hasil jualannya boleh mencecah 150,000 Yuan setiap bulan semasa musim puncak.

"Dengan ini, kedudukan ekonomi keluarga saya bertambah baik," katanya.

Yang, seperti kebanyakan peniaga wanita di sini telah banyak menerima manfaat daripada skim microkredit kerajaan China yang diperkenalkan pada 2009 untuk membantu wanita menjalankan perniagaan kecil.

Sehingga kini, sejumlah 129.3 bilion Yuan (kira-kira RM62.8 bilion) diagihkan kepada 2.68 juta wanita merentasi seluruh China menerima manfaat besar daripada pinjaman mikrokredit tanpa faedah ini, demikian menurut statistik Persekutuan Wanita Seluruh China.

Presiden Persekutuan Wanita Wilayah Liuzhou, Wei Dong, berkata hampir 100,000 wanita di wilayah itu, yang menerima kemudahan mikrokredit, berjaya menambahbaik  perolehan tahunan mereka sekurang-kurangnya 5,000 Yuan.

Persekutuan itu juga bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan untuk membantu wanita tanpa pekerjaan mendapatkan kemudahan mikrokredit ini.    Sementara itu, Presiden Persekutuan Wanita Wilayah Luzhai, Chen Xiuyun, pula berkata; "Kami juga menawarkan pelbagai latihan untuk mempertingkatkan kemahiran keusahawanan wanita".

MIKROKREDIT MEMPERKASA WANITA

Kemudahan mikrokredit yang disediakan oleh kerajaan China dilihat banyak membantu memperkasa beribu-ribu wanita luar bandar dan bandar.

Terdapat banyak lagi  kisah kejayaan termasuk kisah Mo Chunhong, 31, seorang pekerja dari luar wilayah ini yang memulakan perniagaan memproses jeruk pada 2010.

"Sebelum saya menceburi perniagaan, saya bekerja di kilang dengan pendapatan sebanyak 1,000 Yuan setiap bulan," katanya kepada Bernama.

"Saya menerima pinjaman sebanyak 500,000 Yuan untuk memulakan perniagaan, dan saya telah membayarnya balik," katanya dengan penuh bangga.

Zhang Yoking, 42, dari Pusat Pengeluaran Buah-buahan oleh Wanita Kampung Matoushan di utara bandaraya Guilin adalah seorang lagi penerima manfaat daripada skim mikrokredit.

Beliau meminjam sejumlah 200,000 Yuan pada 2012 untuk menanam anggur dan strawberi.

"Bersama rumah hijau yang kami beli, kami dapat menuai strawberi lima atau enam kali setiap tahun," tambah beliau.

Sehingga kini, mikrokredit berjumlah 270,000 Yuan (kira-kira RM131,927) diagihkan ke pusat pengeluaran buah-buahan itu dengan 119 wanita di kampung itu menerima manfaatnya.

LAGI KISAH KEJAYAAN

Sementara itu, di Wilayah Luzhai, Huang Yanfang, 41, seorang lagi pekerja dari wilayah luar dan ibu kepada dua anak perempuan mencatatkan pencapaian baik dalam menambahbaik kedudukan ekonominya.

Wanita berkenaan, yang sebelum ini berpendapatan sebanyak 3,000 Yuan setiap bulan, kini adalah pengurus besar Pusat Demonstrasi Pertanian Moden Wanita Guangxi.

"Saya meminjam 200,000 Yuan daripada skim mikrokredit pada 2007 untuk menanam anggur atas tanah seluas sembilan hektar.

"Pada 2008, saya dan suami turut menceburi pembuatan wain," katanya dan menambah kata bahawa beliau berjaya melunaskan pinjaman itu pada 2009.

Kisah kejayaan wanita-wanita Cina ini memberi harapan kepada beratus ribu lagi wanita luar bandar di negara ini yang mahu memperkasa kedudukan ekonomi dan menambahbaik kedudukan sosial masing-masing.- Bernama

Lelaki New York iklankan rambut sendiri

 Lelaki New York iklankan rambut sendiri
Lelaki New York iklankan rambut sendiri. - Foto Ihsan metro.co.uk
NEW YORK - Kelihatan seperti situasi tawar-menawar dalam perniagaan tetapi apa yang mengejutkan barang yang dijual ialah rambut asli, bukan barang lain.

Sesiapa yang mahu mencari rambut sepanjang 69 sentimeter, hitam dan panjang boleh mencarinya di papan iklan online, Craigslist.

Seorang lelaki New York, menawarkan rambutnya sendiri untuk dijual dengan harga AS$ 600 (RM1,800).

Menurut lelaki berkenaan, rambutnya tidak pernah rosak dan tidak pernah menggunakan sebarang pewarna rambut malah, ianya merupakan rambutnya yang asli.

Dia dengan bangga menyatakan yang rambutnya hitam dan cantik seperti gagak hitam bersinar dalam cahaya bulan.

Dia turut meyakinkan para pembeli yang rambutnya tidak pernah menggunakan kaedah meluruskan rambut dan sentiasa mengeringkan rambutnya secara semulajadi tanpa menggunakan pengering rambut.

Dia mengisytiharkan dalam Craigslist, “tawaran hanya dibuka kepada  pembeli serius saja,”.

Katanya lagi, masa dan tempat untuk memotong rambut boleh dipilih oleh pembeli sendiri.