Sunday, March 4, 2012

Salahuddin: Krisis Pas Kedah 'sudah diselesai'

misi

[TERKINI 4.30 PAGI] ALOR SETAR - Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di sini, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi, telah mencapai satu penyelesaian yang diputuskan "secara sebulat suara", kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub awal pagi ini.

Menurut beliau, keputusan itu yang diterima semua pihak akan diumumkan dalam waktu terdekat, kemungkinan tengah hari ini, pada sidang media khas.

Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

"Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sekitar jam 4 pagi tadi.

Wartawan yang menunggu sejak 8 malam tadi dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan hari ini. Lokasinya akan diberitahu kemudian.

Pertemuan lebih lima jam itu dibahagikan kepada dua iaitu pertemuan Salahuddin dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi fokus kontroversi, dan keduanya mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhubungan Negeri.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut kepimpinan Kedah ini, di ibu negara Khamis lalu.

Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi.

Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang menjadi fokus kontroversi ini, apabila menolak tawaran untuk dilantik semula sebagai Exco pula berkata, biar Pas Pusat memberikan kenyataan terlebih dahulu.

Difahamkan kedua-dua Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin.

Seorang lagi Exco Kerajaan Negeri yang menolak tawaran pelantikan semula, Dr Ismail Salleh tidak dipanggil untuk memberi hujah.

Kedua-dua pertemuan ini, sebahagian daripada usaha Pas Pusat untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan negeri, diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di sini.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri I dan II. Azizan adalah Pesuruhjaya Pas Negeri.

Dalam laporan awal Sinar Harian Online, disebutkan bahawa pertemuan bersejarah ini, menurut pemerhati dan penganalisis, tidak mungkin akan membawa kepada penyelesaian muktamad. Banyak pihak meragui sama ada pertemuan misi damai akan membawa formula penyelesaian.

Dalam pada itu, antara pemimpin Pas Pusat yang dilihat hadir awal pada pertemuan kali ini di Seri Mentaloon ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Salahuddin serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz merupakan pemimpin dari Kedah dan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Pun begitu, Sinar Harian Online difahamkan hampir sebahagian besar ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhububungan Negeri Kedah menghadiri pertemuan kali ini.

Pertemuan misi damai ini hanya bermula sekitar jam 10 malam tadi, lewat sejam berbanding maklumat yang diperoleh sebelum ini.

Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu.

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar untuk membuat liputan, sebaliknya hanya dibenarkan berkumpul di depan pintu masuk utama Seri Mentaloon.

Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi pertemuan sejak 8 malam tadi juga melaporkan bahawa setiap kenderaan yang masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar diperiksa rapi dengan hanya mereka yang berkaitan sahaja dibenarkan masuk.

Sinar Harian Online juga difahamkan dua pemeriksaan perlu dilalui setiap kenderaan yang masuk ke pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar.
Mereka sekali lagi diperiksa sebelum masuk ke dalam dewan mesyuarat.

Malah ada sumber memberitahu bahawa kesemua pemimpin tidak dibenarkan membawa masuk alat perakam termasuk telefon bimbit ke dalam bilik mesyuarat bagi mengelak perbincangan disebarkan kepada umum.Salahuddin: Krisis Pas Kedah 'sudah diselesai' - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pimpinan tertinggi PAS temui Azizan, 2 EXCO


ALOR SETAR: Pucuk pimpinan tertinggi PAS malam tadi menemui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta dua Exco yang enggan menerima pelantikan jawatan dalam usaha menjernihkan keadaan pentadbiran negeri ini.

Usaha itu diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Muhammad Sabu dan beberapa ahli Jawatankuasa PAS Pusat berikutan mesyuarat di ibu negara selama empat jam yang diadakan pada malam Khamis lalu menemui jalan buntu.
Turut dipanggil ialah dua Exco yang dikatakan berusaha untuk menyingkirkan Azizan, iaitu Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah dan Datuk Dr Ismail Salleh yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Setar.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pelaburan dan Industri yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah turut hadir.

Abdul Hadi dilihat tiba kira-kira jam 9.50 malam dan mesyuarat tertutup yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon itu bermula kira-kira jam 10 malam.

Petugas media yang membuat liputan dan ahli PAS bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan manakala pintu pagar dikawal ketat.

Kemelut dalam pentadbiran PAS Kedah bermula apabila Phahrolrazi yang juga Exco kanan bersama Dr Ismail menolak untuk dilantik semula ke jawatan itu beberapa hari sebelum majlis angkat sumpah jawatan Exco berlangsung di Istana Anak Bukit, Isnin lalu.
Berikutan itu, pelbagai usaha memujuk mereka menerima jawatan dilakukan oleh kepimpinan tertinggi parti, bagaimanapun gagal. Malah, Phahrolrazi dan Dr Ismail bertindak lebih berani apabila menetapkan syarat kepada Menteri Besar untuk dilantik semula ke jawatan itu, namun mereka enggan mengumumkannya.

Krisis kepimpinan itu dikatakan berlaku apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail mengakui mereka tidak dapat lagi bekerja di bawah pentadbiran Azizan yang didakwa tidak mahu mendengar pandangan mereka, sebaliknya hanya membuat keputusan sendiri.

Phahrolrazi kemudian bersama jawatankuasanya di peringkat kawasan turut melarang Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit menerima pelantikan Exco itu dan memberi kata dua, sama ada melepaskan jawatan Exco atau dipecat keahliannya.

ADUN Anak Bukit terletak dalam kawasan Kuala Kedah. Phahrolrazi juga adalah ADUN Pengkalan Kundur, manakala Dr Ismail adalah ADUN Alor Mengkudu di kawasan Alor Setar.
Berita Harian Online | Pimpinan tertinggi PAS temui Azizan, 2 EXCO:

'via Blog this'

'Saya guna duit poket sendiri'

Hasan Ali bertegas tak terima tajaan biaya ceramah jelajah negara

KUALA LUMPUR: Bekas EXCO kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menegaskan beliau tidak menerima tajaan daripada mana-mana parti politik serta Kementerian Belia dan Sukan, sebaliknya menggunakan duit poket sendiri untuk menjayakan siri ceramah jelajah negara yang kini sudah berada di 33 kawasan.
Hasan yang juga Presiden JATI, berkata program anjuran pertubuhan itu termasuk ceramah tiada kaitan dengan tajaan daripada mana-mana pihak dan pihak yang mendakwa boleh tampil mengemukakan bukti.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak menafikan ada menerima sedikit sumbangan daripada pihak yang sama-sama mahu memartabatkan Islam, Melayu dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu yang tidak mahu nama mereka didedahkan, malah menganggap tidak salah NGO menerima sumbangan itu.

“Saya tidak nampak apa masalahnya... masalahnya ialah ada orang dengki, hasad, khianat, tidak boleh lihat orang senang (sebab itu ada dakwaan JATI mendapat tajaan),” katanya pada sidang media di rumahnya, di sini, semalam.

Kelmarin Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta penjelasan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kononnya terdapat unit di bawah kementerian itu yang menyumbangkan RM30 juta untuk membiayai 2,000 siri ceramah Hasan di seluruh negara, menjelang pilihan raya umum akan datang.

Hasan dikatakan diberi tugas untuk mendekati golongan belia dalam siri ceramahnya di seluruh negara untuk menarik sokongan di kalangan pengundi muda.
Sehubungan itu, Hasan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahfuz dalam masa terdekat kerana tuduhan itu disifatkan berniat jahat, fitnah dan cubaan untuk memburukkan imej dan mencemar kredibilitinya sebagai ahli politik dan pakar runding profesional.

Kenyataan itu juga katanya mencemar imejnya sebagai pakar motivasi dan peneraju badan bukan kerajaan (NGO) seperti JATI yang berjuang untuk mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja Melayu.

“Saya percaya Mahfuz menjadi kuda tunggangan untuk mengalihkan isu pergolakan politik di Kedah selain (dengki dengan) kejayaan program jelajah yang menerima kunjungan antara 15,000 hingga 20,000 orang di setiap kawasan.

“Saya lihat kenyataan Mahfuz begitu berani malah saya anggap paling berani di dunia kerana beliau tidak kisah sama ada kenyataan itu disokong dengan fakta atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor menegaskan beliau tidak terbabit dalam mana-mana rundingan dengan KBS untuk membincangkan program belia seperti didakwa Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Berita Harian Online | 'Saya guna duit poket sendiri':

'via Blog this'

Hasan Ali nafi terima RM30 juta dana KBS





KUALA LUMPUR - Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali menafikan dakwaan Pas bahawa beliau menerima peruntukan dana sebanyak RM30 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melaksanakan program latihan khusus untuk golongan belia di negara ini.

"Tuduhan ini berniat jahat, berunsur fitnah dan satu percubaan untuk memburukkan imej saya di mata rakyat serta mencemar kredibiliti saya sebagai ahli politik dan peneraju badan NGO, Jati," katanya kepada pemberita di kediamannya di Damansara semalam.

Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat parti itu kelmarin mendakwa KBS merupakan antara penyumbang utama dana kepada Hasan dalam melaksanakan program latihan khusus untuk belia, selain menggerakkan sesi jelajah ceramah Hasan Ali ke seluruh negara.

Hasan menyelar Mahfuz dan menyifatkannya sebagai 'parasit' dalam parti pembangkang itu.