WAJAH Presiden Rusia, Vladimir Putin sering dipersendakan media Barat untuk melepaskan kemarahan. Bermula dari binatang, hero kartun malah apa jua objek sering disamakan dengan wajah beliau.

Minggu lalu, media menyamakan wajah beliau dengan Raja Louis XII dengan menggambarkan bentuk mata dan hidung raja itu mempunyai persamaan dengan Putin.
Pemimpin yang merupakan musuh tradisi Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah itu juga sering dicemuh.

Vladimir Putin Vladimirovich menjadi Presiden Rusia sejak 7 Mei 2012. Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Presiden dari 2000 hingga 2008, Perdana Menteri Rusia 1999-2000 dan sekali lagi terpilih dari 2008 hingga 2012. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai Agensi Keselamatan Negara selama 16 tahun.

Pada 1996, beliau berpindah ke Moscow dan menyertai pentadbiran Presiden Boris Yeltsin di mana beliau ditawarkan menjadi Pemangku Presiden pada 31 Disember 1999 apabila Yeltsin meletak jawatan
secara mengejut.

Pada September 2011, Perlembagaan negara itu diubah dengan menetapkan tempoh perkhidmatan presiden dilanjutkan dari empat kepada enam tahun sekali gus memberi laluan kepada Putin untuk terus berkuasa.

Kehidupan, pendidikan Putin dilahirkan pada 7 Oktober 1952 di Leningrad (St Petersburg) Rusia merupakan anak kepada Vladimir Putin Spiridonovich dan Maria Ivanovna Putina.

Ibunya adalah pekerja kilang dan bapanya seorang askar Tentera Laut Soviet. Dua kakanya yang dilahirkan pertengahan 1930-an meninggal dunia beberapa bulan dilahirkan dan seorang lagi meninggal dunia akibat difteria semasa pengepungan Leningrad dalam Perang Dunia II. Putin dikatakan mendapat pendidikan awal di Sekolah Baskov Lane hingga gred lima.

Memasuki gred enam beliau mula melibatkan diri dalam sukan judo. Pada 1975, Putin mendapat Sarjana Muda dalam bidang Undang-undang Antarabangsa di Leningrad State University. Ketika itu, Putin dikatakan menciplak tesis berjudul ‘Perancangan Strategik Sumber Serantau di bawah Pembentukan Perhubungan Pasaran’ dari seorang penyelidik dari di University of Pittsburgh.

Keluarga Pada 28 Julai 1983 Putin berkahwin dengan Lyudmila Putina. Lyudmila memiliki ijazah bahasa dari Leningrad State University dan merupakan bekas pramugari Aeroflot.

Selepas berkahwin mereka tinggal di Jerman dari 1985 hingga 1990. Lyudmila mendakwa beliau sering dipukul selepas mengetahui Putin menjalin hubungan dan mempunyai seorang anak luar nikah.

Selain itu, Putin juga dikaitkan menjalin hubungan dengan atlet gimnastik Alina Kabayeva dan bekas perisik Anna Chapman. Pada Jun 2013, pasangan itu mengumumkan penceraian mereka. Putin dan bekas isteri
mempunyai dua anak Mariya Putina dan Yekaterina Putina. Kedua-dua anaknya membesar di Jerman dan bersekolah di Sekolah Jerman di Moscow. Segala butiran lanjut mengenai dua anaknya itu tidak didedahkan atas sebab keselamatan.

Kekayaan peribadi dan kediaman Pada 2007, Putin dilaporkan mempunyai simpanan di dalam akaun peribadi kira-kira 3.7 juta Rubles (RM331 juta), pangsapuri di St Petersburg, 260 saham dalam bank St Petersburg. Pada 2012, Putin memperoleh pendapatan 3.6 juta Rubles (RM322 juta) sekali gus tersenarai sebagai 100 individu paling kaya di Rusia.

Beliau juga memiliki 11 jam tangan mewah bernilai kira-kira 25.5 juta Rubles (RM2.2 juta). Pemimpin pembangkang mendedahkan, nilai keseluruhan Putin mencecah AS$70 bilion.

Selian itu, beliau juga mempunyai 20 vila dan sembilan istana yang dibina sejak 12 tahun berkuasa. Bahasa Putin fasih berbahasa Jerman. Mereka sekeluarga banyak bertutur dalam bahasa itu.

Selepas bergelar Presiden, beliau dikatakan  mengambil kursus bahasa Inggeris. Kali pertama beliau berucap dalam Bahasa Inggeris adalah ketika majlis makan malam di Istana Buckingham pada 2003 dan menyampaikan ucapan takziah ketika kematian bonda Queen Elizabeth II.

Ketua Kremlin Sergei Ivanov mendedahkan, Putin juga mahir bertutur dalam bahasa Sweden. Seni mempertahankan diri Judo adalah sukan paling digemari Putin. Beliau mula melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri sambo (seni mempertahankan diri tradisional berasal dari Kesatuan Soviet) pada usia 14 tahun, sebelum beralih kepada judo.

Pemegang tali pinggang gred 6 ini pernah memenangi pertandingan di kampungnya di St Petersburg. Ketika lawatan ke Jepun, beliau dijemput ke Institut Kodokan iaitu ibu pejabat judo di mana beliau menunjukkan teknik judo yang berbeza kepada pelajar dan pegawai-pegawai Jepun.

Beliau juga pemegang tali pinggang hitam dalam sukan Kyokushin Kaikan karate. Sukan kegemaran Putin sering dilihat bermain ski di Krasnaya Polyana bersama Perdana Menterinya Dmitry Medvedev. Putin juga gemar bermain badminton, berbasikal dan memancing. Beliau merupakan penyokong fanatik pasukan bola sepak FC Zenit Saint Petersburg.

Haiwan peliharaan Putin memiliki anjing digelar Koni dan Buffy. Pada 2000, Ketua Tentera Sergey Shoigu menghadiahkan Koni kepadanya dan anjing itu sering menemaninya ketika mesyuarat dan menyambut pemimpin dunia. Canselor Jerman, Angela Merkel menjadi individu pertama yang melarikan diri ketika bertemu dengan anjingnya itu.

Pada 2003, Koni melahirkan lapan ekor anak dan kemudiannya  anjing itu dihadiahkan kepada pemimpin politik dan duta asing.