PUTRAJAYA - Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkaitan isu kebocoran maklumat siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mereka termasuk Timbalan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai dan dua lagi pegawai yang dipanggil semula untuk memberi keterangan, kata jurucakap SPRM di sini hari ini.

Kang Sai merupakan pegawai SPRM yang ketujuh yang telah memberi keterangan berkenaan kes berkenaan kepada polis Bukit Aman.

Seorang pegawai SPRM pada Isnin lepas membuat laporan polis di IPD Putrajaya bagi menafikan dakwaan pihaknya membocorkan draf kertas pertuduhan serta menafikan berlaku kebocoran maklumat atau siasatan SPRM kepada pihak luar.

Sementara itu, sepasukan polis dilihat memasuki pejabat Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di Menara Prisma, Presint 3 Putrajaya di sini kira-kira pukul 7 malam dan beredar sejam kemudian dengan menaiki dua kenderaan polis. - Bernama