Sunday, December 11, 2011

Projek lembu: Ghapur pula gesa Shahrizat letak jawatan


Seorang lagi pemimpin BN hari ini menggesa Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya melepaskan jawatan parti dan kerajaan yang disandanganya berikutan kontroversi projek ternakan lembu, Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

NONEAhli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata Shahrizat perlu berbuat demikian demi kepentingan BN dan Umno, salah sebuah parti komponen, yang bakal berdepan pilihan raya umum ke-13.

“Ini adalah isu paling besar yang berlaku dalam sejarah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia cukup memalukan dan kita tidak mahu isu ini menjejaskan BN dan Umno. Kalau isu ini sampai pada waktu pilihan raya, saya rasa undi kita akan kurang," katanya.

Ghapur diminta mengulas mengenai isu itu selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai kanak-kanak kawasan Dewan Undangan Negeri Merotai di Kg Pasir Putih, di Tawau.

Ditanya jika Shahrizat masih mendapat sokongan Pergerakan Wanita Umno, Ghapur berkata, "Ini bukan soal sokong-menyokong tetapi ini soal keseluruhan parti. Bila kita buat salah, kita mesti bertanggungjawab".

Menurut Ghapur di negara maju seperti Amerika Syarikat jika sesuatu isu atau skandal menimpa seseorang pemimpin, pemimpin yang terlibat akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

"Kita juga perlu tahu bahawa bukan pembangkang yang bongkar isu ini tetapi ia didedahkan oleh Ketua Audit Negara,” tambah Ghapur.

- Bernama
Projek lembu: Ghapur pula gesa Shahrizat letak jawatan:

'via Blog this'

Dr M: Shahrizat patut undur sebelum 'dihalau'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil enggan mengulas gesaan bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia itu meletak jawatan berhubung skandal penyalahgunaan dana RM250 juta ($103 juta) membabitkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikendalikan ahli keluarganya.

Dr Mahathir, yang masih mempunyai pengaruh dalam Umno, kelmarin memberitahu para wartawan bahawa ketua Wanita Umno itu seharusnya meninggalkan Umno sebelum 'dihalau' oleh partinya.

Datuk Seri Shahrizat diminta oleh laman berita The Malaysian Insider untuk mengulas kenyataan Dr Mahathir itu selepas satu majlis pelancaran Permata Expo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Beliau, bagaimanapun, tidak mengendahkan soalan itu sebelum meninggalkan majlis tersebut.

Datuk Seri Shahrizat dihantui kontroversi projek NFC yang diberikan kepada ahli keluarganya itu, sejak beberapa minggu lalu.

Bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu kelihatan mendapat sokongan daripada kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita Umno semasa perhimpunan agung parti itu minggu lalu, selepas menafikan terbabit dalam sebarang salah laku berhubung projek penternakan lembu kebangsaan yang kontroversial itu.

Namun, para pemimpin Umno lain, termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, telah menggesa beliau meletak jawatan daripada 'menyusahkan' parti tersebut.

Kelmarin, Dr Mahathir pula berkata Datuk Seri Shahrizat sewajarnya berundur daripada politik jika tindakan itu perlu dilakukan bagi membantu Umno.

'Jika kita merasakan ia adalah penting demi parti, kita berundur. Ketika saya hendak berundur, saya tidak bertanya sesiapa. Saya berharap yang lain akan berbuat begitu. Jangan tunggu orang menghalau anda keluar. Ya, ukur baju di badan sendiri,' katanya.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

Ingatt..Umno "Tersekat" Untuk Sampai Ke Syurga..??

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyelar penggunaan istilah jihad oleh Umno, dalam perhimpunan agungnya minggu lalu, bagi mengajak lebih tiga juta ahlinya menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurut Nik Aziz (gambar), istilah jihad itu berasal daripada al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam.

Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Jihad ini istilah al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?

“Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia,” katanya dipetik Harakahdaily.

Ketika berucap merasmikan secara serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno minggu lalu, Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli-ahli Umno berjihad untuk mempertahankan kuasa orang Melayu dengan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menurunya merupakan “ibu segala pilihan raya.”

Susulan tsunami politik tiga tahun lalu, Muhyididn menegaskan, pilihan raya umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan kelangsungan mereka.

“Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?” kata beliau.

Malah dalam ucapannya, sambil menyifatkan PAS berhadapan dengan pilihan raya “setiap hari”, Nik Aziz ibaratkan Umno sebagai bas ekspres yang singgah di tengah jalan untuk makan buah-buahan tetapi tidak sampai ke destinasi disasarkan.

“Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala Lumpur,” kata beliau menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad dekat sini, hari ini.

“Samalah dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia,” kata beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu, Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.

Ini kerana menurut Nik Aziz, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri.

“Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan,” katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu.

Katanya, akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.

“Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu.

“Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa.

“Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan,” kata beliau lagi.

Karat E-jau: Ingatt..Umno "Tersekat" Untuk Sampai Ke Syurga..??:

'via Blog this'

Hasan Ali digugur

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:



Hasan Ali


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali digugurkan daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Sumber-sumber mengesahkan bahawa nama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia itu telah ‘disingkirkan’ oleh Pas Selangor dan pada masa sama Pas Pusat merestui pengguguran tersebut.

Mingguan Malaysia difahamkan Pas Pusat turut menggugurkan beberapa pemimpin Pas yang selama ini tidak disenangi oleh kumpulan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Erdogan dan antaranya bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (gambar).

Pengguguran Hasan sebagai calon Pas pada pilihan raya umum nanti sememangnya telah dijangka dan ia hangat diperbincangkan di blog-blog tempatan sejak semalam seperti MyKMU.net, brojinggo.blogspot.com dan darikakigunungjerai.blogspot.com.

Ia berikutan kenyataan Ketua Penerangan Pas Selangor, Shaari Sungib yang dipaparkan dalam beberapa blog bahawa kemungkinan besar Hasan akan digugurkan daripada menjadi calon parti itu pada PRU13.

Shaari memberi alasan bahawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi dari setiap cawangan.

Bagaimanapun, Mingguan Malaysia difahamkan pengguguran Hasan sebagai calon Pas ada kaitan dengan dakwaan yang mengatakan ADUN Gombak Setia itu menjadi duri dalam daging bagi Pas Selangor dan pakatan pembangkang terutama DAP.

Ia berikutan beberapa tindakan Hasan yang mengundang kritikan terbuka pemimpin Pas Selangor seperti Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad terutama berkaitan dengan tugasnya sebagai exco menjaga hal ehwal agama.

Antaranya, isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikatakan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu ekoran pendedahan terdapat gerakan tersusun kumpulan tertentu untuk memurtadkan orang Islam.

Selain Khalid isu itu turut kurang disenangi oleh kepimpinan negeri walaupun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa berdasarkan siasatan JAIS terdapat cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam.

Dalam isu tersebut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Khalid sendiri telah memohon maaf kepada pihak gereja sebelum laporan penuh berhubung insiden itu dikeluarkan oleh pihak JAIS.

Begitu juga dengan DAP, parti itu dikatakan tidak begitu senang dengan Hasan berikutan beberapa tindakan antaranya kes rampasan arak di kedai 24 jam di Shah Alam hingga menyebabkan berlaku pertelingkahan antara beliau dengan seorang lagi Exco Selangor, Ronnie Liu.

Akhirnya arak yang dirampas itu dikatakan dipulangkan semula kepada kedai tersebut dalam kejadian yang berlaku pada Julai 2009.

Ekoran daripada insiden itu, DAP dikatakan mula kurang menyenangi Hasan kerana pendiriannya yang begitu tegas dalam soal berkaitan memelihara kesucian agama Islam di Selangor.

Hasan juga kurang disenangi kepimpinan Pas negeri dan rakan sekutu mereka sama ada DAP atau Parti Keadilan Rakyat berikutan sokongannya terhadap usaha menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO. Kesan daripada sokongan itu pada Muktamar Tahunan Pas 2011, Jun lalu beliau digugur sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.

Hasan merupakan seorang pemimpin yang popular di kalangan umat Islam sama ada di Selangor mahu pun di seluruh negara.

Ia ekoran komitmennya memelihara kesucian akidah umat Islam di Selangor dan contoh terbaik langkah JAIS mengadakan pemeriksaan terhadap DUMC selepas menerima laporan wujudnya usaha memurtadkan umat Islam di premis tersebut.