Monday, October 31, 2016

SPRM Kelantan Siasat Aduan Orang Asli Isu Pembalakan Di Gua Musang


Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2016 7:20 PM
HALANG...Orang Asli membina pondok sementara di Kampung Petei sejak 26 September lepas bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan itu.
 -fotoBERNAMA

GUA MUSANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menerima dua aduan daripada penduduk Orang Asli yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam isu pembalakan di kawasan Gua Musang.

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof berkata siasatan berhubung aduan pertama yang diterima pada 28 September lepas telah selesai manakala satu aduan yang diterima baru-baru ini kini dalam proses untuk siasatan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Merakyatkan SPRM Bersama Pemimpin Orang Asli dari tujuh perkampungan Orang Asli di sekitar Gua Musang di Kampung Jias C, Kuala Betis di sini, Ahad.

Program itu dirasmikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Pada 3 Oktober lepas, kerajaan Negeri Kelantan mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang, selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori balak di Kampung Petei, sejak 26 September lepas.

Kumpulan berkenaan menggesa semua aktiviti pembalakan di HSK Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan kerana mereka mendakwa aktiviti itu merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Sementara itu, Shamshun Baharin berkata program merakyatkan SPRM diadakan di seluruh negara untuk mendekati masyarakat termasuk kaum Orang Asli bertujuan mendedahkan mereka dengan usaha pencegahan rasuah selain menggalakkan masyarakat bekerjasama dengan SPRM.

Agensi lain yang turut terlibat menjayakan program tersebut ialah Biro Pengaduan Awam, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Majlis Daerah Gua Musang dan Pejabat Penerangan Kelantan.