Wednesday, June 2, 2010

Kerja tambak laut jejas rezeki 100 nelayan



SEBERANG TAKIR – Kira-kira 100 nelayan di pesisir pantai Teluk Ketapang hingga ke Hujung Tanjung, di sini, hilang punca pendapatan sejak lebih seminggu lalu susulan kerja-kerja tambakan laut yang sedang giat dilaksanakan di kawasan berkenaan. 

Berikutan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan itu, nelayan tidak lagi memiliki tempat mendarat atau laluan ke laut kerana sepanjang pesisir pantai berkenaan telah dipasang batang paip untuk kerja-kerja menyedut pasir. 

Namun, apa yang paling dikesalkan nelayan yang terjejas teruk itu adalah tiada sebarang perbincangan atau wakil daripada pihak kontraktor tampil bertemu dan berbincang sebelum melaksanakan projek sebelum itu. 

Nelayan, Abd Halim Long, 43, berkata, dia yang bergantung sepenuhnya dengan hasil laut mengakui ekonomi keluarganya turut terjejas kerana dia tidak dapat lagi ke laut. 

“Bagaimana kami hendak ke laut sedangkan tempat mendarat atau menurunkan bot tiada dan yang pasti, hasil tangkapan yang biasa diperoleh boleh mencecah hingga RM40 sehari tidak lagi dikecap sejak lebih seminggu. 

“Sehubungan itu, saya merayu pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu kesemua nelayan ini agar masalah ini tidak berlarutan,” katanya yang telah lebih 20 tahun bergelar nelayan. 

Seorang lagi nelayan, Mohd Noor Taib, 51, menuntut pihak berkenaan membayar ganti rugi atau pampasan berhubung kesulitan dihadapi mereka susulan kerja-kerja tambak laut berkenaan. 

“Saya difahamkan nelayan di tempat lain yang terjejas disebabkan kerja-kerja tambak laut yang dilakukan pihak berkenaan diberikan bayaran sagu hati atau pampasan kerugian. Sedikit sebanyak dengan cara itu mampu meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung kami,” katanya. 

Bagaimanapun kata Mohd Noor, nelayan di situ tidak menolak sebarang pembangunan yang ingin dilaksanakan kerajaan, namun penilaian atau kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu supaya tidak mengundang pelbagai masalah kemudian hari.: 

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Teluk Ketapang, Mohd Razaki Abdullah, 60, berkata, pihaknya telah merujuk masalah itu kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif, Abd Rahman. 

“Beliau (Ahmad Razif) telah mengarahkan saya menyenaraikan semua nelayan terlibat dan kini kita sedang menunggu keputusan selanjutnya berhubung tindakan yang bakal diambil bagi membantu semua nelayan yang terjejas teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat KPSP, di sini.

Pas tidak amal dasar perkauman


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan Pas tidak pernah mengamalkan dasar perkauman dan radikal dalam perjuangannya, sebaliknya ia menjadi label negatif yang dipakaikan media massa.

Menurutnya, jika Pas sebelum ini dilabel sebagai perkauman dan radikal, tuduhan itu seolah-olah bertukar dan dipakai pula golongan yang dulunya mendakwa liberal.

“Pas tidak pernah bersikap perkauman sejak dahulu hingga ke hari ini. Label negatif yang dipakaikan media massa langsung tidak benar dan hari ini ia terbukti yang tuduhan itu tidak berasas.

“Perjuangan Pas bukan mengajak kepada menegakkan idealisme perkauman sempit, tetapi mengajak manusia untuk abdikan diri kepada Allah selaku pencipta alam semesta,” katanya.

Selcat pertikai pengurusan kerajaan Selangor berkaitan royalti pasir


SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) hari ini mempertikaikan pengurusan Kerajaan Negeri Selangor yang dikatakan gagal mencapai unjuran perolehan hasil royalti pasir RM127 juta bagi 2009.

Pengerusinya, Teng Chang Khim berkata, unjuran itu tidak harus dibuat Kerajaan Negeri memandangkan hasil pasir sebenar pada tahun itu hanya mencatatkan jumlah RM5.7 juta bagi tahun berkenaan.

Katanya, meskipun Kerajaan Negeri menubuhkan anak syarikat untuk menguruskan sumber berkenaan iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), unjuran itu sebenarnya tidak praktikal selain menunjukkan perbezaan amat besar berbanding perolehan sebenar yang diterima Kerajaan Negeri.

Chang Khim juga menyoal anggota Exco Kerajaan Selangor, Yaakop Sapari yang bertanggungjawab dengan aktiviti perlombongan pasir negeri itu, bahawa unjuran itu turut mengundang sentimen negatif dalam kalangan rakyat yang menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap kecekapan dan ketelusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Mengenai unjuran yang dibuat ini, angka ini juga dibandingkan adalah terlalu jauh. Jadi saya nak maklumkan bahawa adakah angka (unjuran) ini munasabah," katanya ketika mempengerusikan sesi pendengaran awam Selcat di sini, hari ini.- Bernama

Tiga kapal tajaan NGO Malaysia teruskan misi ke Gaza





PUTRAJAYA: Penaung Perdana Global Peace Organization (PGPO), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tiga kapal tajaan PGPO meneruskan pelayaran ke Semenanjung Gaza untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan, tetapi akan diarah berpatah balik jika ada halangan daripada tentera Israel.
Beliau berkata PGPO menghantar tiga kapal untuk menyertai konvoi 'Flotilla Pembebasan' bagi menghantar bantuan kemanusiaan, termasuk perubatan dan bahan binaan, kepada penduduk Gaza.'Misi bantuan PGPO diketuai oleh Matthias Chang, selain dua lagi wakil PGPO, iaitu Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu. Mereka menaiki kapal kargo yang membawa bantuan perubatan untuk penduduk Gaza.'Turut serta dalam misi yang mendapat tajaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, ialah Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, wartawan dan jurugambar TV3, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin,' katanya kelmarin.Tentera Israel kelmarin menyerang sebuah kapal Turkey, Mavi Marmara, yang dilaporkan turut dinaiki 10 sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza serta wartawan dan jurugambar stesen televisyen Astro Awani, iaitu Encik Ashwad Ismail, 25 tahun, dan Encik Shamsul Kamal Latip, 38 tahun. Nasib mereka belum diketahui.Dr Mahathir juga mendesak masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan tegas terhadap Israel kerana menyerang kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.Beliau berkata tindakan itu tidak wajar kerana kapal tersebut berada di perairan antarabangsa dan dinaiki aktivis pelbagai negara yang tidak dilengkapi sebarang senjata tajam seperti yang didakwa tentera Israel.'Saya marah kerana Israel menggunakan senjata api untuk menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. Walaupun kami sudah menjangkakan halangan daripada tentera Israel, tetapi sama sekali tidak menyangka mereka menggunakan peluru hidup dan kekerasan untuk menyekat usaha penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,' katanya kelmarin.Sementara itu, jurucakap TV3 ketika dihubungi berkata kapal Rachel Corrie yang membawa Encik Halim dan Encik Mohd Jufri selamat daripada serangan itu disebabkan tertinggal jauh di belakang.'Sebelum ini kapal terbabit terpaksa memperlahankan kelajuan kerana menghadapi masalah teknikal. Kapal terbabit belum sempat memasuki perairan Gaza ketika serangan Israel terhadap kapal Turkey, Mavi Marmara, yang sudah berada jauh di hadapan,' katanya. -- BHM, Harian Metro.

Tindakan Israel hadapi kutukan keras


GESA HENTI BANTU ISRAEL: Aktivis pro-Palestin menunjuk perasaan menggesa Amerika berhenti membantu Israel di luar kedutaan Israel di Washington, kelmarin. -- Foto REUTERS
Mudah cetak
E-mel

2 Jun 2010

LUAR NEGARA

SERANGAN KE ATAS FLOTILA BANTUAN KEMANUSIAN GAZA


Tunjuk perasaan di Australia dan Indonesia bantah serangan ganas

SYDNEY: Australia mengutuk keras semalam serbuan yang dilakukan komando tentera laut Israel ke atas konvoi kapal membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza, yang menyebabkan 10 orang terkorban, kelmarin.'Kerajaan Australia mengutuk penggunaan kekerasan di bawah keadaan yang kami saksikan,' kata Perdana Menteri Australia, Encik Kevin Rudd, kepada pemberita.'Kami bimbang dengan korban jiwa yang berlaku,' ujar Encik Rudd, yang menggesa Israel menjalankan 'siasatan bebas segera' dan laporannya diserah kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Beliau turut menggesa agar ditamatkan sekatan bekalan kemanusiaan ke Jaluran Gaza.Seorang lelaki rakyat Australia di atas salah sebuah kapal terlibat telah menjalani pembedahan selepas ditembak askar Israel di kaki, manakala dua wartawan Australia selamat selepas mendapat bantuan pejabat konsul Australia, kata Menteri Luar Australia, Encik Stephen Smith, kepada parlimen.Wartawan Sydney Morning Herald itu dan dua wanita Australia telah ditahan di Beersheba, Israel, menurutnya.Beratus-ratus orang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Australia mengutuk kekejaman Israel, dan menggesa ditamatkan sekatan ke atas Gaza.Di Indonesia, ribuan penduduk di Jakarta, Bandung dan Madura menunjuk perasaan mengutuk serangan Israel itu.Sekitar 12 aktivis rakyat Indonesia dalam flotila itu dilapor selamat, kata seorang pegawai Kementerian Luar, Encik Teguh Wardoyo.'Kami mengutuk serbuan Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang belayar di perairan antarabangsa,' kata satu kenyataan pemerintah Indonesia.'Sekatan sepihak oleh Israel ke atas Jaluran Gaza sejak Januari 2009 mencabul undang-undang antarabangsa dan menyebabkan kesengsaraan rakyat Palestin yang tidak berdosa,' tambah kenyataan itu.China turut mengutuk serangan Israel itu semalam.'China terkejut dengan serangan Israel. Kami mengutuk tindakan tersebut,' kata jurucakap Kementerian Luarnya, Encik Ma Zhaoxu, dalam satu sidang berita.'China menggesa Israel mematuhi resolusi Majlis Keselamatan dan memperbaiki situasi kemanusiaan di Jaluran Gaza,' ujar Encik Ma, yang menyiftakan situasi di Timur Tengah 'kritikal'.Para menteri luar Asean dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang bersidang di Singapura semalam turut 'mengutuk keras' serangan Israel itu.'Para menteri mengutuk keras serangan dan tindakan ganas Israel di perairan antarabangsa,' kata para menteri luar Asean dan GCC itu, yang termasuk Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). -- Agensi.

Pemimpin nombor tiga Al-Qaeda sah terbunuh


MUSTAFA: Ketua Al-Qaeda di Afghanistan serta rakan paling dipecayai Osama. -- Foto AFP
Mudah cetak
E-mel

2 Jun 2010

LUAR NEGARA




KABUL: Kumpulan pengganas Al-Qaeda telah mengumumkan kematian pemimpin tertingginya di Afghanistan, Mustafa Abu al-Yazid, yang juga rakan paling dipercayai Osama bin Laden.
Warga Mesir berusia 54 tahun itu, yang dikenali juga sebagai Sheikh Said, antara pengasas Al-Qaeda dan bekas bendahari Osama.Dia menjadi ketua Al-Qaeda di Afghanistan tiga tahun lalu.Satu kumpulan yang memantau laman web Islam berkata berdasarkan kenyataan daripada forum laman web jihad, isteri Mustafa, tiga anak perempuan serta cucu perempuannya turut terbunuh.Bagaimanapun, tidak dinyatakan bagaimana, bila dan di mana Mustafa dibunuh.Di Washington, agensi perisikan Amerika Syarikat percaya pemimpin nombor tiga Al- Qaeda itu terbunuh di kawasan puak di Pakistan.'Dari segi usaha menentang pengganasan, ini satu kemenangan besar,' kata seorang pegawai yang tidak mahu dikenal pasti.Menurut beliau, Mustafa ketua pegawai operasi Al-Qaeda dan bertanggungjawab dalam setiap aspek kumpulan itu, daripada kewangan kepada perancangan operasi.Mustafa antara individu, pertubuhan dan dana awam yang dibekukan aset mereka oleh Perbendaharaan Amerika selepas serangan 11 September 2001.Menurut Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika, dia memindahkan wang melalui Dubai kepada tiga perampas pesawat dalam serangan itu, iaitu Mohammed Atta, Marwan al-Shehhi dan Wal al- Shehri.Encik Ben Venzke, pengamat pengganasan daripada kumpulan analisis risikan IntelCenter, berkata: 'Ini salah satu daripada tamparan paling hebat ke atas Al- Qaeda sejak beberapa tahun lalu dan kesannya akan dirasakan oleh kumpulan itu.'Menurut beliau, Mustafa mengendalikan operasi Al-Qaeda bukan saja di Afghanistan bahkan Pakistan.Encik Venzke meramalkan Al- Qaeda akan tetap meneruskan serangan baru pada masa depan biarpun selepas kematian Mustafa. -- AFP, AP, Reuters.

Polis Aetos mati tertembak di kepala


SINGAPURA




SEORANG konstabel polis tambahan daripada syarikat Aetos dijumpai mati akibat kecederaan tembakan di kepalanya.
Mayat konstabel itu ditemui dalam tandas sebuah bangunan di Corporation Road, dekat Jurong West, kelmarin.Menurut polis, lelaki itu berbangsa Cina dan berusia 30-an tahun.Beliau telah bekerja selama dua tahun dengan syarikat keselamatan itu dan ditugaskan di Pusat Pemeriksaan Tuas.Menurut polis, mendiang dijumpai oleh rakan sekerjanya dalam salah satu kamar kecil di tandas bangunan tersebut sekitar 3.30 petang.Bangunan itu tidak boleh dimasuki orang awam.Mendiang dijumpai dengan kesan tembakan di kepalanya. Pistol mendiang dijumpai di sebelahnya.Mendiang disahkan mati oleh pegawai paramedik pada 3.40 petang.Polis sedang menyiasat dan percaya ia bukan kes khianat.

PBB kutuk Israel serbu kapal bantuan buat Gaza




NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk semalam 'tindakan yang menyebabkan' sembilan korban jiwa semasa serbuan askar komando Israel ke atas kapal-kapal membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza.
Lima belas anggota Majlis Keselamatan itu menggesa dijalankan 'siasatan segera, tidak pilih kasih, berwibawa dan telus' berhubung insiden itu.Ia turut menggesa Israel membebaskan kapal dan aktivis hak asasi yang ditahannya.Kenyataan majlis itu, yang dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar selama 12 jam, ternyata lebih lemah daripada yang dituntut oleh Palestin, negara-negara Arab dan Turkey disebabkan bantahan Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel.Turkey, yang juga rakan Israel, menyuarakan kutukan paling lantang kerana kebanyakan korban ialah rakyatnya.Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata: 'Kami tidak akan berdiam diri berhubung pengganasan tidak berperikemanusiaan ini.'Beliau menggesa Israel menarik balik kepungan ke atas Gaza, dan menegaskan Turkey akan terus memberi sokongan kepada rakyat Palestin.Menteri Luar Turkey, Encik Ahmet Davutoglu, menyifatkan serangan Israel itu sebagai 'tindakan lanun dan penyamun' dan 'pembunuhan oleh sebuah pemerintah'.Di Istanbul, penunjuk perasaan menyerang Pejabat Konsul Israel. Di utara Baitulmakdis, rakyat Palestin melempari askar Israel dengan botol dan batu.Di Jordan, penunjuk perasaan menggesa kerajaan mengikut jejak Turkey dan memutuskan hubungan dengan Israel.Pemerhati Palestin di PBB, Encik Riyad Mansour, menyifatkan serangan Israel itu sebagai 'jenayah perang'.Gerakan Bebaskan Gaza (FGM) yang menganjurkan flotila enam kapal bantuan kemanusiaan yang disekat Israel itu berkata ia akan menghantar dua lagi kapal dalam masa beberapa hari.Palestin dan Turkey menegaskan aktivis di atas flotila itu membawa bekalan bantuan kepada penduduk Gaza.Namun, timbalan duta besar Israel ke PBB, Encik Daniel Carmon, mendakwa sesetengah aktivis mempunyai 'sejarah pengganas' manakala penganjurnya menyokong kumpulan radikal, termasuk Hamas.Seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri Israel, Encik Yossi Edelstein, berkata 45 daripada 686 aktivis yang dipintas dihantar balik semalam.Yang lain dibawa ke sebuah penjara di bandar Beersheva, selatan Israel. Jika hakim tidak mendakwa mereka, mereka akan dihantar pulang dalam masa 72 jam.Presiden Iran, Encik Mahmoud Ahmadinejad, menggesa Majlis Keselamatan meluluskan resolusi lebih lantang terhadap Israel.Semalam dua lelaki Palestin ditembak mati askar Israel semasa cuba menyusup ke selatan Israel.Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, mengarahkan semalam lintasan sempadan di Rafah dibuka bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Jaluran Gaza. -- Agensi.

Ciuman perokok boleh membunuh

Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.

Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children's Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," katanya seperti dipetik laporan Australian Associated Press.

Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia.
- Bernama

Bapa nafi anak gantung diri, minta siasatan

Seorang bapa meminta polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kematian anak lelakinya di Penjara Kluang, yang dikatakan menggantung diri pada Januari lalu.

P Regispran, 59, berkata sehingga hari ini dia tidak berpuas hati dengan punca kematian anaknya, R Aruljothi, 24, sepertimana dimaklumkan pihak penjara, memandangkan anaknya itu tidak pernah mengadu sebarang masalah sejak ditahan di penjara itu pada September 2008.

"Kali terakhir saya berjumpa Aruljhoti adalah pada 1 Dis lalu dan anak saya memberitahu dia akan dibebaskan pada 25 Januari lalu.

"Bagaimanapun, kegembiraan saya bertukar kepada terkejut apabila menerima panggilan telefon dari pihak penjara pada kira-kira pukul 1 pagi, 9 Januari lalu, yang memaklumkan kematian Aruljhoti," katanya yang ditemani isteri, T Annaputany, kepada pemberita pada pertemuan yang diaturkan Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, di Johor Baharu hari ini.

Regispran, dari Taman Sri Skudai, di Johor Baharu, berkata keadaan anaknya itu yang sihat dan gembira semasa dia dan isterinya melawat anak bongsu dari enam adik-beradik itu pada kali terakhir, membuatkan mereka sekeluarga tidak mempercayai Aruljhoti sanggup menggantung diri.

Katanya, mengikut laporan polis Penjara Kluang, Aruljhoti menggantung diri pada kira-kira jam 9.45 malam, 8 Jan lalu.

Berikutan itu, Regispran berkata dia membuat laporan di Balai Polis Skudai pada 19 Jan lalu bagi menyiasat kejadian berkenaan, bagaimanapun dakwanya sehingga kini pihak berkuasa masih belum memberikan sebarang maklum balas.

"Saya tahu anak saya bersalah di atas jenayah samun yang dilakukannya tetapi saya mahukan keadilan terhadap kematian ini. Apa yang saya pertikaikan adalah cara kematiannya," katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata pihaknya sudah melantik seorang peguam bagi mewakili keluarga itu dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat supaya membuka semula kertas siasatan kematian Aruljhoti.

"Kita juga akan membantu Regispran membeli laporan bedah siasat kerana dia tidak mampu membeli laporan itu disebabkan masalah kewangan," katanya.

- Bernama

Scorpene: Polis Perancis serbu pejabat DCNS

Polis Perancis menyerbu pejabat pengeluar senjata DCNS dan kumpulan industri Thales berhubung siasatan terhadap penjualan kapal selam kepada Malaysia, demikian menurut sumber kehakiman semalam.

Dokumen-dokumen dirampas dalam serbuan tersebut minggu lalu, tambah sumber itu.

Thales enggan mengulas perkara itu, manakala DCNS memberitahu AFPbahawa ia "tidak mengesah atau menafikan maklumat tersebut."

"Satu siasatan sedang dijalankan dan kami tidak boleh memberi sebarang komen."

Mac lalu, Pejabat pendakwaraya Paris memulakan siasatan terhadap penjualan kapal selam tersebut pada tahun 2002 ekoran aduan yang dibuat oleh badan hak asasi manusia dari Malaysia, Suaram.

Suaram mendakwa Armaris - anak syarikat Thales dan DCN - telah membayar komisyen sebanyak 114 juta euro kepada syarikat Malaysia Perimekar, yang dikaitkan dengan individu yang rapat dengan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak .

Najib merupakan merupakan menteri pertahanan pada tahun 2002 dan bertanggungjawab dalam rundingan kontrak tersebut.

Sejak tahun 2000, bayaran komisyen bagi kontrak yang berkaitan dengan pemimpin asing merupakan satu rasuah di bawah undang-undang Perancis.

Pada 2002, The DCN menyertai Thales dan kumpulan pembinaan Navantia dalam kontrak untuk menjual tiga kapal selam kepada Malaysia pada sekitar harga satu bilion euro.

Lewat April lalu, seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa "tiada kes" untuk dijawab.

Menurutnya, urusniaga tersebut bebas daripada rasuah dan tidak benar Perimekar mendapat manfaat secara tidak betul daripada urusniaga tersebut.

AFP

Israel mula bebaskan tawanan

Israel, yang menghadapi tekanan antarabangsa berhubung serangannya ke atas flotila kemanusian yang menghantar bantuan kepada Gaza, Isnin lalu bersetuju membebaskan semua tawanannya dari kapal Mavi Marmara, termasuk 12 rakyat Malaysia.

Menurut laporan Reuters, rejim Yahudi itu dijangka menghalau semua 682 aktivis pro-Palestin yang ditawan itu, membabitkan 35 negara.

Pada kejadian itu, sembilan orang dilaporkan terbunuh manakala puluhan yang lain cedera.

Sebelum ini, rejim Israel itu dilaporkan akan mendakwa sebahagian daripada aktivis berkenaan.

Jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata semua tahan akan diusir secepat mungkin dan rejim Zionis itu berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh 48 jam ini.

Sementara itu, AFP melaporkan kira-kira 50 aktivis Turki yang ditahan dalam serbuan tentera Israel itu mula dibebaskan dari penjara, hari ini.

"Kumpulan pertama terdiri 50 negara Turki sudah meninggalkan penjara Beersheva menggunakan bas ke Lapangan Terbang Ben Gurion, dekat Tel Aviv sebelum pulang ke tanah air mereka," kata pegawai kerajaan Israel.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.
“Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra,” kata seorang pembantu beliau.
Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, "Mavi Marmara", dan mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan Wisma Putra menggunakan semua saluran bagi membebaskan semua tawanan Malaysia yang berada di kapal itu.
Anifah memberitahu pemberita semalam bahawa Wisma Putra sedang mengenal pasti lokasi di mana kesemua rakyat Malaysia itu kini berada.

Jordan dan Turki sudah menyatakan kesediaan untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia itu. 

MCA tak setuju wajib lesen jual barangan terkawal



MCA kesal dengan keputusan kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan pengguna yang mewajibkan peniaga memiliki lesen runcit untuk menjual barangan terkawal, berkuatkuasa serta merta.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah mewajibkan lesen bagi menjual barangan terkawal seperti gula, tepung dan minyak masak, tidak akan dapat menangani perbuatan menyorok barangan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, MCA mengalu-alukan niat baik peraturan tersebut untuk menghalang perbuatan peniaga menyorok dan menyeludup barangan terkawal serta mengawal pembelian panik di kalangan pengguna.

Bagaimanapun, katanya, keputusan tersebut dikuatkuasa tanpa terlebih dahulu berbincang dengan pihak peniaga yang sebahagian besarnya pemilik kedai runcit, sedangkan merekalah yang akan teruk terjejas.

Oleh itu, katanya, adalah lebih sesuai diadakan sesi dialog dengan pihak-pihak terbabit untuk mencari jalan bagi mengelak perbuatan menyorok barangan terkawal.

"Jika dasar ini dilaksanakan serta merta, ia akan menambah beban para peniaga dan rakyat.

"Peraturan seumpama itu pernah dilaksanakan pada tahun 1950-an tetapi ditarik balik pada 1980-an kerana ianya tidak berkesan," kata Liow.

Oleh itu, katanya, memperkenalkan semula dasar itu adalah satu langkah kebelakang.
"Saya telah membangkitkan ini dalam mesyuarat kabinet hari ini," katanya
Liow berkata, MCA menggesa kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan pengguna supaya menarik balik peraturan tersebut.

Selaras dengan itu, katanya, MCA menggesa badan-badan penguatkuasa supaya meningkatkan kawalan di sempadan negara untuk menghalang penyeludupan barangan terkawal.

Di samping itu, katanya, mereka juga digesa memantau keadaan dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang disyaki menyorok barangan terkawal.

'Merangkak di kawasan berlumuran darah'

Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail nyaris terkena tembakan komando Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara, pagi Isnin lalu.

Menceritakan insiden itu melalui telefon setelah dihubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, selepas dibebaskan tentera Israel pagi tadi, Ashwad berkata aktivis Turki di kiri dan kanannya terkena tembakan komando Israel ketika serangan itu.

Katanya, tentera Israel mula mengepung kapal misi mereka pada jam 11 malam dan menghampiri kapal mereka pada jam 2 pagi sebelum menyerang pada jam 4.30 pagi dengan sokongan bot dan kapal perang serta helikopter penggempur Apache.

"Kami diserang bertubi-tubi dan Alhamdulillah saya dan jurukamera, Shamsul (Kamal Abdul Latip), terselamat daripada tembakan di mana peluru hidup digunakan.

"Dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga di bahagian bahu. Tapi saya sempat menyelamatkan diri dan merangkak turun dari dek kapal melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat di dalamnya.

"Saya merangkak di kawasan yang berlumuran darah dan ternyata pengalaman yang memeritkan untuk kita imbas kembali tetapi jika diperhatikan kami berjaya membuka mata dunia tentang apa yang berlaku.

"Saya tidak menjangkakan bahawasanya Israel boleh bertindak sedemikian kerana kami orang awam di dalam kapal tetapi tindakan ketenteraan yang dilakukan. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan," katanya dalam lintas langsung dari sempadan Jordan semasa berita Awani tengah hari ini.

Ashwad dan Shamsul adalah antara 12 sukarelawan negara yang ditawan bersama ratusan sukarelawan antarabangsa oleh tentera Israel kelmarin selepas kapal mereka diserang.

Sambil menyatakan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak, khususnya kerajaan Malaysia, yang berusaha membebaskan mereka, Ashwad berkata pengalaman 28 jam ditahan tentera rejim Zionis itu amat memeritkan.

Katanya, keperitan yang dialami dalam tempoh singkat itu sudah cukup untuk beliau menyelami kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin akibat kezaliman rejim Zionis selama enam dekad konflik Palestin-Israel itu.

"Apa yang saya dapat simpulkan, 28 jam itu saya boleh rasakan pengalaman konflik enam dekad Israel-Palestin, kesengsaraan Palestin di bawah kekejaman rejim Zionis dalam masa 28 jam dan ternyata tidak dapat digalas dengan segala apa yang ada pada kita," katanya.

Ditanya bagaimana layanan tentera Israel terhadap mereka, Ashwad enggan menjawabnya dan hanya mahu seluruh penonton memahami kezaliman rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin selama enam dekad.

"Seperti yang saya katakan tadi, mesej saya ringkas, saya merasakan konflik enam dekad Palestin-Israel bagaimana Palestin ditindas tetapi saya merasakan dalam tempoh 24 hingga 28 jam.

"Saya harap penonton semua termasuk Zaiful dan ibu bapa saya sudah mendapat mesej itu, Tak perlu saya huraikan jenis apa yang telah dilakukan ke atas saya," katanya.

Ahmadiah diarah robohkan bangunan

Nasib yang menimpa 'kumpulan ajaran sesat' Ahmadiah kini boleh disifatkan sebagai 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila diarahkan merobohkan bangunan sendiri dalam masa 30 hari.

Kumpulan itu mendapat notis daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) supaya merobohkan bangunan pusat pengajian mereka di Gombak pada Khamis lalu.

Dalam surat daripada Jabatan Bangunan majlis perbandaran itu, Ahmadiah diberikan notis perintah itu kerana "tidak mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS 1984)".

Butiran lanjut kesalahan itu tidak dinyatakan dalam surat yang ditandatangai oleh seorang jurutera bangunan daripada bahagian penguatkuasaan dan pemantaun MPS itu.

"Kegagalan tuan mematuhi arahan ini setelah tempoh yang diberikan tamat, Majlis Perbandaran Selayang melalui penjawat-penjawatnya akan mengambil tindakan yang sewajarnya tanpa sebarang notis lagi," surat satu halaman itu dipetik.

Menurutnya lagi, kegagalam mematuhi notis itu, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM250 bagi tiap-tiap hari kesalahan.

Jurucakap Ahmadiah Ainul Yakin Mohd Zain bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas berhubung arahan terbaru MPS itu.

Sejak Mei tahun lalu, Ahmadiah - dikenali juga sebagai Qadiani - yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India, bergelut dengan pelbagai kontroversi, antaranya apabila dipantau ketat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sejak 24 April tahun lalu, jabatan itu melarang pengikut Ahmadiah mengadakan solat Jumaat di premis berkenaan.

Pusat pengajian yang diasaskan sejak 1950-an lagi itu juga dilaporkan pernah ditampal dengan surat larangan daripada badan agama negeri dan papan tanda bertulis "Qadiani bukan agama Islam"

Semua 12 rakyat Malaysia bebas, kini ke Amman

Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26 yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
"Alhamdulillah, kini kami selamat," katanya.
Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu.
"Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.
"Saya dapat rasakan bagaimana derita penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan," katanya ketika menceritakan mengenai layanan yang diterimanya ketika ditahan tentera Israel.
Menurut Ashwad, dia dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip, 43, kini berada di Jordan selepas dibebaskan daripada tahanan Israel dan menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air.
Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.
“Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra,” kata seorang pembantu beliau.
Sementara itu menurut laporan AP, seramai 124 aktivis pro-Palestin dari 12 negara Islam termasuk Malaysia tiba di Jordan hari ini selepas dibebaskan oleh Israel.

Kumpulan itu yang ditahan dalam serangan komando Israel ke atas flotila bantuan Gaza kelmarin menyeberangi Jambatan Allenby ke Jordan dengan menaiki lima bas.

Pegawai
 tentera Jordan, Brigadier Mahmoud Abu Jumaa berkata, negaranya akan membantu menghantar pulang aktivis itu ke negara masing-masing dengan kerjasama kerajaan mereka.

Aktivis yang dibebaskan itu terdiri daripada rakyat Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Jordan, Kuwait, Maghribi, Mauritania, Yemen, Oman dan Bahrain.
Rakyat Malaysia sehelai sepinggang
Sementara itu, Bernama melaporkan seramai 12 sukarelawan Malaysia itu yang kini selamat dan sedang dalam perjalanan melalui darat ke Amman, Jordan.
Rombongan itu diiringi Duta Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz dan pegawai kedutaan yang lain.

Sebelum itu, rakyat Malaysia telah melepasi sempadan Jordan.

"Kesemua mereka selamat dan berada dalam keadaan baik," kata duta itu apabila dihubungi dari Dubai.

Katanya semua sukarelawan hanya sehelai sepinggang dan tidak mempunyai pasport.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dijangka tiba di Amman hari ini.

Abdul Malek berkata Kementerian Luar Malaysia dan pihak kedutaan akan menyediakan semua persiapan bagi memudahkan sukarelawan itu pulang ke Malaysia.
Pengalaman ngeri

Salah seorang daripada mereka, Noor Azman Muhamad Samsuddin, memberitahu Bernama melalui telefon, serangan yang dilakukan pada awal pagi oleh tentera komando Israel adalah pengalaman yang mengerikan.

Katanya sebahagian besar penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, yang telah disekat Israel sepanjang tiga tahun yang lalu, tidak menyangka akan menerima tentangan dari tentera Israel sewaktu insiden maut tersebut.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam serangan itu, menyebabkan Israel dikutuk di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Menurut Noor Azman, dua sukarelawan Indonesia juga tercedera dalam serangan tersebut.

Faez: Saya tidak larikan adik perempuan Saiful



Hafiz Yatim
Jun 2, 10
7:19pm
Seorang lelaki berusia 27 tahun hari ini menafikan pengakuan yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan di mahkamah minggu lalu yang kononnya, dia melarikan diri dengan adik perempuan Saiful.

Faez Khairi (kiri) berkata adik Saiful - Saidati Adha, secara rela mengikutinya ke selatan Thailand untuk bernikah dengannya.

"Saya difahamkan bahawa Saiful membuat pengakuan di mahkamah pada Isnin lalu, bahawa saya dan Saidati melarikan diri dan perkahwinan kami adalah tidak sah.”

"Saya ingin menegaskan saya bernikah dengan Saidati pada Mac 2009 secara sah. Saya tidak pernah melarikannya. Malah, dia yang ingin mengikut saya dengan rela,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Faez, pernikahan mereka tidak mendapat restu dari bapa Saidati dan sijil nikah mereka dikoyakkan sekembali mereka dari Thailand.
Justeru, beliau ke negara itu sekali lagi dua bulan lalu untuk mendapatkan salinan sijil nikah itu.
Dalam perbicaraan liwat II Isnin lalu, Saiful ditanya mengenai keluarganya dan berkata ibubapanya telah bercerai ketika beliau berumur tujuh tahun dan beliau tinggal dengan bapanya dan adiknya, Saidati.
Menjawab soalan peguam Karpal Singh mengenai sama ada adiknya telah berkahwin, Saiful berkata pada tahun lalu adiknya telah dibawa lari ke Thailand dan beliau tidak pasti sama ada adiknya telah berkahwin atau tidak.

Dalam sidang media ini, Faez yang ditemani oleh peguam N Surendran berkata beliau berjumpa dengan Saiful sebanyak dua kali selepas berkahwin dengan Saidati.

Justeru, katanya, Saiful sepatutnya tahu kedua-dua mereka telah berkahwin.

Menurut Faez, dia ingin membersihkan nama dan maruahnya dan mengulangi bahawa perkahwinan itu adalah sah.

“Pengakuan Saiful di mahkamah telah memalukan saya,” kata Faez.

[Baca berita penuh]

Wartawan, jurukamera Astro Awani dibebaskan



02/06/2010 12:38pm

KUALA LUMPUR - "Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.’’
Kata wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26, ketika menceritakan mengenai layanan yang diterimanya ketika ditahan tentera Israel selepas kapal Mavi Marmara yang dinaikinya ditahan rejim itu, pagi kelmarin.
Menurut Ashwad, dia dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip, 43, kini berada di Jordan selepas dibebaskan daripada tahanan Israel dan menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air.
"Saya dapat rasakan bagaimana derita penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan.
"Alhamdulillah, kini kami selamat,’’ katanya ketika menghubungi bilik berita Astro Awani pagi ini. - Utusan

Hutang tidak berbayar PKS masih tinggi




ABDUL WAHID (kanan) menerima anugerah Rakan Kewangan Terbaik daripada Zamani di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pinjaman tidak berbayar (NPL) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih lagi tinggi, kata pengerusi Credit Guarantee Corp. Malaysia Bhd. (CGC), Datuk Zamani Abdul Ghani.
Beliau berkata, memandangkan sektor PKS penting untuk pertumbuhan ekonomi negara, kualiti pinjaman perlu diberi perhatian.
"Kita berharap ini dapat diteliti pada peringkat sumber penjanaan pinjaman bagi memastikan NPL boleh dikekalkan pada paras yang lebih mudah diuruskan," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Pendokong Utama PKS di sini semalam.

Jual 3 barang kawalan kena ada lesen khas





KEGIATAN menyorok gula seperti dalam kes yang berlaku di Seremban minggu lalu menjadi antara punca kerajaan menetapkan semula syarat lesen menjual barangan kawalan.

PUTRAJAYA – Kerajaan menguatkuasakan semula syarat lesen menjual barangan kawalan ke atas semua peruncit selepas peraturan itu dihentikan sejak 1991 atas keperluan menjaga kepentingan orang ramai.
Ini bermakna kira-kira 100,000 peruncit wajib mendapatkan lesen jika mahu meneruskan penjualan barangan keperluan seperti gula, tepung gandum dan minyak masak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat itu akan dikuatkuasakan bermula 15 Jun ini selepas ia diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
kredit : kosmo.com.my

Sime Darby, Pos Malaysia dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pengurusan Sime Darby Sdn Bhd dan Pos Malaysia Bhd bagi memberi penjelasan berhubung kerugian kedua-dua syarikat itu.
Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Azmi Khalid berkata kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dijangka dipanggil pada minggu kedua persidangan Parlimen yang akan bermula 7 Jun ini. “Kita buat keputusan untuk panggil kedua-dua syarikat ini memandangkan isu ini mempunyai kepentingan awam. “Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua syarikat ini, tetapi memandangkan ia kes berprofil tinggi dan mendapat liputan meluas oleh media, jadi kita perlu panggil mereka untuk beri penjelasan,” katanya di sini, semalam. - Bernama

Senarai 12 rakyat M'sia yang ditawan



Jun 1, 10 10:41am
Berikut senarai nama nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel awal pagi semalam.
Maklumat adalah berdasarkan laman web Lifekine4Gaza.
  • Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin
  • Dr Mohd Arbai'e Syawal, Haluanalestin
  • Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
  • Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
  • Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
  • Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
  • Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
  • Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  • Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
  • Mustafa Mansur, Mapim
  • Ashwad Ismail, wartawan Astro
  • Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro
Nasib mereka masih belum diketahui.

Pelatih mati: Prosedur latihan Intan dipersoal



Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 1 Jun: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) mempersoalkan prosedur tetap operasi (SOP) pihak Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sehingga menyebabkan kematian seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) akibat jangkitan paru-paru semasa menjalani latihan anjuran institut berkenaan.
Beliau berkata, peserta-peserta seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan yang lengkap sebelum dilibatkan dalam sebarang aktiviti lasak.
"Program-program lasak seperti ini mesti ada prosedur tetap operasinya. Peserta-peserta mesti menjalani full executive screening sebelum dilibatkan," katanya kepada Harakahdaily.
Norhashimah Wahid, 31, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.35 pagi semalam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi setelah koma sejak Jumaat lepas.
Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Norhashimah, Lo' Lo' juga meminta pihak Intan lebih bertanggungajwab dalam menganjurkan program sedemikian bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kembali.
Intan juga, ujarnya perlu menjelaskan secara jujur serta memaklumkan kepada orang ramai mengenai insiden berkenaan.
"Penganjur mesti bertanggungjawab dan menangani permasalahan ini dengan jujur. Orang ramai perlu dimaklumkan sebab musababnya dan latihan ala komando seperti ini harus ditangguhkan," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Beliau turut menyarankan agar program peningkatan ketahanan fizikal dan mental dijalankan secara berfasa bertujuan menerapkan budaya bersukan dan kemahiran menyelamat serta meningkatkan minat kepada kerja-kerja sukarela.
"Kenapa tidak buat program meningkatkan ketahanan fizikal dan mental melalui program berfasa dan dengan tujuan menerapkan budaya bersukan dan kemahiran menyelamat atau survival serta meningkatkn minat kepada kerja-kerja sukarela. Apa tujuan latihan komando? Ia akan menjadi latihan one-off sahaja sebab saya tidak yakin ada program follow up. Modul-modul latihan seperti ini perlu disemak," katanya.
Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik meninggalkan suami, Ahmad Zulkhairi Zainal Abidin, 31, dan seorang anak perempuan Nur Hylda Daenia, dua tahun.
Allahyarham sedang mengikuti latihan Modul Jati Diri di Jugra, Banting, selama tujuh bulan sebelum disahkan jawatan sebagai PTD dan telah tiga bulan mengikuti latihan itu.
Sebelum kejadian, Norhashimah yang bertugas di Kementerian Kewangan, Putrajaya, mengadu tidak sihat, tetapi beliau terpaksa mengikuti latihan tersebut.
Ibunya, Norlia Rashid, 61, bahawa berkata sejak Ahad lepas kesihatan Norhashimah tidak begitu baik tetapi dia tetap mahu pulang ke kem untuk menjalani latihan seperti biasa.
Abang iparnya Zakir Hussain, 41, sebagaimana disiarkan sebuah portal berita memberitahu bahawa beliau difahamkan antara latihan yang ditempuhi oleh Norhashimah dan rakan-rakannya semasa modul jati diri itu ialah meminum air stokin dan direndam di dalam lumpur.
Beliau berkata latihan seperti itu nampak tidak relevan kerana adik iparnya bukan anggota tentera yang hendak dihantar berperang, memadai beliau diberikan latihan asas ketenteraan.
Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula menafikan laporan media bahawa latihan itu di bawah kendalian dan seliaan Pasukan Khas Udara TUDM.
"Latihan itu bukan di bawah kelolaan kami atau mana-mana unit di bawah naungan TUDM, sebaliknya ia dikelolakan sepenuhnya oleh agensi lain yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan TUDM," kata satu kenyataan TUDM.