Thursday, June 30, 2011

21 korban serangan Taleban di Afghanistan



TERBAKAR: Kepulan asap dan api menjulang dalam kebakaran di Hotel Intercontinental di Kabul berikutan serangan oleh kumpulan Taleban dan tindak balas oleh tentera Afghanistan dan Nato sepanjang malam kelmarin. -- Foto AFP


KABUL: Sekumpulan sembilan anggota militan bersenjata Taleban menyerang sebuah hotel utama di Kabul, mencetuskan pertempuran sengit melibatkan tentera komando Afghanistan serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) hingga sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh.
Para pegawai berkata kesemua sembilan penyerang terbunuh dalam serangan sepanjang lewat malam kelmarin di Hotel Intercontinental itu, yang sebahagiannya terbakar akibatnya.Hotel milik pemerintah Afghanistan sejak 1960-an itu sering dikunjungi pegawai pemerintah dan warga negara Barat.Ia sedang menjadi hos sebuah persidang keselamatan yang dihadiri oleh sekumpulan delegasi keselamatan dan satu majlis perkahwinan apabila serangan kumpulan pemisah itu berlaku.Sembilan penyerang bersenjatakan bom tangan yang dilancar dari roket dan beberapa senjata lain menyerbu hotel yang dikawal rapi itu.Serangan lima jam itu berakhir apabila helikopter tentera Nato berjaya membunuh kesemua anggota kumpulan itu dalam satu pertempuran di atas bumbung hotel.Selepas beberapa letupan, para penyerang itu memasuki hotel tersebut lewat malam kelmarin dan menuju ke kawasan dewan menari, kata seorang penyambut tamu hotel.Beberapa daripada mereka membawa bersama pita rakaman yang memainkan lagu-lagu perang Taleban dan menembak sesiapa saja yang lalu di depan mereka.Penginap hotel lompat dari tingkat dua dan tiga untuk melarikan diri, kata penyambut tamu itu kepada agensi berita Reuters, sambil meminta identitinya dirahsiakan.'Polis masih mencari dari bilik ke bilik bagi melihat jika ada sebarang mangsa atau ancaman lain,' kata ketua polis Kabul, Encik Ayoub Salangi.Dua anggota polis dan seorang warga Sepanyol adalah antara 21 orang yang terbunuh dalam kejadian itu.Menurut satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, lapan orang lagi cedera dalam serangan tersebut.Serangan tersebut, yang bermula lewat malam kelmarin, menunjukkan bahawa pihak Taleban masih mampu menyerang sesuka hati meskipun tentera pimpinan Nato mendakwa telah berjaya mengawal keadaan sejak 18 bulan lalu.Serangan itu juga dibuat seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, mengumumkan rancangannya mula mengundurkan 10,000 askar Amerika di Afghanistan menjelang akhir tahun ini dan 23,000 lagi menjelang akhir tahun depan.Langkah itu mencetuskan kebimbangan tentang kesediaan pasukan keselamatan Afghanistan mengambil alih tugas keselamatan di negara tersebut. -- AFP, Reuters.Cyberita Online Luar Negara

Wardina berehat dua bulan daripada mengacara MHI

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 32, mengambil keputusan untuk berehat selama dua bulan daripada mengacara program itu.

Menurut selebriti berkenaan, tindakan itu untuk meredakan keadaan berikutan isu beliau dituduh sebagai penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus menyokong perhimpunan haram Bersih.

Beliau menafikan diarah oleh pengurusan TV3 supaya mengundurkan diri daripada mengacara program berkenaan, sebaliknya keputusan untuk berehat daripada mengacara program MHI dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

"Selepas isu ini timbul, saya ada berbincang dengan pihak pengurusan TV3 dan memberitahu niat saya untuk berehat seketika. Bagaimanapun mereka tidak bersetuju kerana tindakan saya ini akan membuatkan masyarakat mempercayai saya di pihak yang salah.

"Dalam keadaan sekarang saya tidak mampu untuk melakukan tugasan yang diberi dengan sempurna. Adalah lebih baik saya berehat selama dua bulan untuk meredakan keadaan yang membuatkan saya tidak selesa," katanya yang ditemani peguam, Muhammad Hanif Harun dan Iylia Iqbal Ibrahim serta suami, Ikhwan Johari.

Beliau berkata demikian pada sidang akbar di Kelab Darul Ehsan, Ampang bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh penulis-penulis blog yang mendakwa beliau penyokong PKR.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Wardina yang menafikan beliau adalah penyokong PKR dan sekali gus menyokong perhimpunan haram Bersih seperti yang diuar-uarkan dalam Internet.

Wardina mengendalikan program MHI yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat selama dua jam setengah mulai pukul 6.30 pagi mengikut jadual.

Selebriti itu menjelaskan, walaupun berehat daripada mengacara program MHI, namun segala jemputan untuk program motivasi yang diterima sebelum ini akan dijayakan.

Pada sidang akhbar itu juga, Wardina berkali-kali menegaskan yang beliau tidak berminat menyertai mana-mana parti politik walaupun ada pihak yang pernah mengajaknya berbuat demikian.

Malah katanya, beliau tidak mengetahui Program Karnival Mesra Rakyat yang diadakan di Desa Mentari, Petaling Jaya, Ahad lalu adalah anjuran PKR dan kehadirannya adalah atas jemputan seorang individu yang memintanya memberi ceramah berkaitan keibubapaan.

Katanya, buat masa sekarang beliau lebih berminat memberi ceramah motivasi berbanding politik kerana mahu berkongsi ilmu dengan para pelajar wanita di institusi pengajian tinggi (IPT), ibu-ibu muda dan kanak-kanak.

"Selama ini sudah banyak kali saya bekerjasama dengan badan-badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tapi tidak timbul pula isu salah faham begini. Mungkin selepas ini kalau ada undangan daripada mana-mana pihak yang bukan NGO, saya akan lebih berhati-hati sebelum bersetuju," katanya.

Wardina mengaku yang beliau amat kecewa dan sedih dengan tuduhan yang dilontar kepadanya dan paling mengguris hatinya apabila gambar beliau tanpa bertudung disebarkan dengan kata-kata nista dan hina.

Sehubungan itu atas nasihat peguamnya, Wardina memberi tempoh dua minggu kepada penulis-penulis blog agar mengeluarkan semula gambar-gambar lamanya serta cerita yang tidak benar tentang dirinya.

"Sebenarnya saya tidak mahu perkara ini berpanjangan. Namun saya perlu mengambil tindakan jika masih ada penulis-penulis blog yang menyebarkan fitnah terhadap saya. Saya beri mereka tempoh dua minggu, kalau masih berdegil saya akan menghantar surat amaran dan tindakan seterusnya," jelasnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Pejabat Bersih diserbu, ratusan baju T dirampas



PASUKAN polis membawa keluar dokumen dipercayai berkaitan Bersih di Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 29 Jun - Pejabat komuniti pertubuhan haram, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Seksyen 4 di sini, yang berselindung di sebalik pejabat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Dalam serbuan pukul 12 tengah hari dan berakhir pada pukul 3 petang itu, sebanyak tujuh beg plastik hitam berisi baju T yang mempunyai logo Bersih dilihat dibawa keluar daripada rumah berkenaan.

Selain itu, enam kotak berisi dokumen, empat helai kain rentang dan beberapa poster, kesemuanya berkaitan perhimpunan haram Bersih turut dirampas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat awam berhubung aktiviti sebuah pertubuhan haram di premis itu.

"Hasil serbuan, polis menemui ratusan baju T berwarna kuning tertulis Bersih 2 selain poster dan kain rentang. Berikutan itu, kita menahan lima wanita dan dua lelaki, dipercayai pekerja kepada pertubuhan haram tersebut.

"Polis turut merampas logo Bersih dan dokumen lain dikaitkan dengan pertubuhan yang turut merancang mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, ketujuh-tujuh individu yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan kes diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tindakan lanjut.

Di IPOH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Leong Mee Meng dan ADUN Teja, Chang Lih Kang antara 14 individu yang ditahan ketika mengagihkan baju T bertulis 'Bersih' di pasar tani pekan Sungai Siput hari ini.

Mereka ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pasukan itu merampas tiga baju T tertera tulisan Bersih 2 di depan dan sehelai kain rentang tertera tulisan 'Sokong Bersih'.

"Pada baju itu tertera tulisan Menuju Ke Istana Negara pada 9 Julai, Bersihkan Pilihan Raya Kembalikan Hak Rakyat dan 300,00 bergerak Menuntut Demokrasi Yang Adil pada belakang baju," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, semasa tangkapan dibuat tiada berlaku sebarang kekerasan.

Katanya, kesemua mereka ditahan di Balai Polis Sungai Siput untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27(5) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bekas isteri larikan anak



Muhd. Khairun Aseh dan Tan Eng Keong menunjukkan gambar Tan Xin Ru yang dilarikan Pau Moi Moi ke Batam, Indonesia di Pejabat Biro Aduan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Jun - Seperti lelaki lain, Tan Eng Keong mengidamkan kehidupan bahagia selepas mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan yang dikenalinya semasa sama-sama bekerja di Singapura, lapan tahun lalu.

Namun manusia hanya mampu merancang, siapa menyangka mahligai dibina atas dasar cinta itu hanya mampu bertahan selama empat tahun dan terpaksa pula berpisah dengan anak kesayangannya yang dilarikan bekas isteri.

Kisah itu bermula apabila Eng Keong, 31, seorang tukang ubah suai rumah bercerai dengan isterinya, Pau Moi Moi, 32, berasal dari Batam, Indonesia pada 2007.

Pasangan yang bercerai secara baik ini bersetuju untuk menyerahkan hak penjagaan anak mereka, Tan Xin Ru yang kini berusia lapan tahun kepada Eng Keong memandangkan kanak-kanak terbabit merupakan warganegara Malaysia.

Malah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam keputusan pada 27 Julai 2007 turut mengeluarkan perintah agar Xin Ru dijaga oleh bapanya.

Pada peringkat awal, bekas pasangan suami isteri itu tiada masalah untuk membahagi kasih sayang kepada anak tunggal mereka kerana Eng Keong merupakan seorang yang bertolak-ansur dan tidak pernah menghalang Moi Moi datang ke Pulau Pinang bertemu Xin Ru.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila Moi Moi mengkhianati kepercayaan Eng Keong apabila enggan memulangkan Xin Ru setelah kanak-kanak itu dibawa pulang ke kampung halamannya pada 21 November 2008.

Menurut Eng Keong, sejak bercerai, Xin Ru tinggal bersamanya, manakala bekas isterinya biasanya datang melawat menjelang sambutan hari kelahiran Xin Ru pada 10 November setiap tahun.

Katanya, pada 10 November 2008, Moi Moi telah datang ke Butterworth untuk bertemu Xin Ru, namun sebelum pulang pada keesokan harinya, dia berbincang meminta agar anak mereka dihantar ke Batam apabila cuti sekolah untuk bertemu ahli keluarga di sana.

"Selang 11 hari kemudian, saya membawa Xin Ru ke Batam untuk bertemu bekas isteri dan dia berjanji memulangkan anak selepas tamat cuti sekolah," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan UMNO di sini, hari ini.

Eng Keong berkata, dia mula menyedari ditipu apabila Moi Moi dan ahli keluarganya menyembunyikan Xin Ru apabila dia sekali lagi datang ke Batam untuk menjemput anaknya pada 6 Februari 2009 dan terus tidak dibenarkan berjumpa dengannya sehingga sekarang.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan semula anaknya termasuk membuat laporan polis di Batam pada 24 Mac lalu tetapi pihak polis di sana memaksanya menandatangani surat persetujuan agar hak penjagaan Xin Ru diserahkan kepada bekas isterinya.

Eng Keong yang tiada pilihan akhirnya meminta bantuan Biro Pengaduan UMNO untuk mendapatkan semula anaknya dan Pengerusinya, Datuk Muhd. Khairun Aseh bersetuju meminta kerjasama polis antarabangsa (Interpol) untuk membawa pulang kanak-kanak itu ke Malaysia.

Dalam pada itu, Muhd. Khairun meminta kerajaan menggubal undang-undang supaya kes penculikan anak-anak oleh ibu bapa diklasifikasikan sebagai kes jenayah bagi memudahkan pihak berkuasa bertindak terhadap mereka yang melanggar perintah mahkmah dan menghalang kanak-kanak dilarikan ke luar negara.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Spratly: China ulangi pendirian tegas hak kedaulatannya tidak boleh dipertikai

BEIJING 29 Jun - China hari ini mengulangi pendiriannya bahawa ia memiliki 'kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan' terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan, selepas Amerika Syarikat (AS) berikrar akan membantu Filipina yang mempunyai tuntutannya sendiri di kawasan sama.

Seorang jurucakap bagi Pejabat Hal-Ehwal Taiwan, Yang Yi juga mengulangi pendirian Beijing bahawa melindungi kedaulatan pulau-pulau di perairan yang dipercayai kaya dengan sumber asli itu menjadi 'tanggungjawab bersama' Beijing dan Taipei.

"China memiliki kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan dan perairan di sekitarnya," kata Yi kepada wartawan, menurut satu transkrip rasmi.

China, Filipina, Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan mempunyai tuntutan bertindih terhadap seluruh atau sebahagian Laut China Selatan, yang dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas selain menjadi laluan perkapalan penting bagi perdagangan dunia.

Vietnam dan Filipina baru-baru ini menuduh China mengambil tindakan semakin agresif dalam mengukuhkan tuntutannya terhadap kepulauan-kepulauan dan perairan di Laut China Selatan.

Sebagai respons, China mendakwa mahu menyelesaikan pertikaian wilayah secara aman tetapi enggan berganjak daripada tuntutannya terhadap seluruh laut tersebut, termasuk perairan dalam lingkungan zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina.

AS dan Filipina semalam melancarkan latihan bersama tentera laut di perairan Filipina berhampiran dengan Laut China Selatan.

Komander Armada Ketujuh tentera laut AS, Laksamana Madya Scott Van Buskirk menggambarkan AS dan Filipina sebagai 'sekutu', menandakan komitmen paling kukuh dan paling berkekalan yang boleh diberikan oleh kedua-dua negara.

"Perikatan kita berteraskan kepentingan AS yang mendalam dan berterusan dalam memastikan kebebasan dan keselamatan Republik Filipina," katanya. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Myanmar ingatkan Suu Kyi hentikan semua kegiatan politik

YANGON 29 Jun – Kerajaan baru Myanmar yang disokong oleh tentera memberi amaran kepada pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dan partinya supaya menghentikan semua kegiatan politik.

Kementerian Dalam Negeri dalam suratnya kepada pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu berkata, partinya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) melanggar undang-undang dengan terus mengendalikan pejabat parti, mengadakan mesyuarat dan mengeluarkan kenyataan.

“Jika mereka benar-benar mahu menerima dan mengamalkan demokrasi dengan berkesan, mereka perlu menghentikan tindakan sedemikian yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan, kedaulatan undang-undang dan perpaduan di kalangan rakyat termasuk sami dan pasukan keselamatan,” menurut surat yang dipetik oleh akhbar rasmi New Light of Myanmar, hari ini.

Suu Kyi, 66, dibebaskan pada November lalu setelah ditahan di rumah selama tujuh tahun berturut-turut, kurang seminggu selepas pilihan raya umum yang dilabel oleh pengkritik sebagai sandiwara bagi mengekalkan pemerintahan tentera di sebalik kerajaan awam di Myanmar.

NLD dibubarkan oleh junta tentera tahun lepas kerana memulaukan pilihan raya itu dengan alasan peraturannya tidak adil.

New Light of Myanmar berkata, NLD boleh bertukar menjadi sebuah pertubuhan masyarakat dengan syarat ia mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Akhbar berbahasa Inggeris itu turut memberi amaran, jelajah politik yang dirancang oleh Suu Kyi boleh mencetuskan huru-hara.

“Kami amat bimbang jika Suu Kyi melakukan lawatan ke kawasan luar bandar, huru-hara dan rusuhan boleh berlaku, seperti yang dibuktikan oleh insiden-insiden sebelum ini.

– AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Askar Thai ugut pembangkang

BANGKOK 29 Jun - Empat tentera Thai dan seorang orang awam ditahan di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut negara ini kerana mengugut penyokong pembangkang menjelang pilihan raya umum Thai pada Ahad ini.

Pegawai polis Leftenan Kolonel Suebtragool Theppiyawong berkata, penahanan itu dibuat selepas penyokong parti Puea Thai membuat aduan mendakwa askar terlibat telah ke kampung mereka di wilayah berkenaan dan memberi amaran supaya jangan terlibat dalam politik.

Menurutnya, dua sarjan dan masing-masing seorang prebet, leftenan muda serta orang awam ditahan sejak semalam, namun mereka menafikan dakwaan tersebut.

Kelima-lima mereka turut didakwa mempunyai senjata haram.

Ketua tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha telah mengarahkan tenteranya bersikap berkecuali pada pilihan raya umum Ahad ini.

Beliau bagaimanapun turut campur tangan dalam hal ehwal politik negara apabila mengeluarkan kenyataan menyeru orang ramai mengundi 'calon yang baik'. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Google Plus lawan Facebook



CONTOH paparan halaman sosial Google Plus yang disiarkan untuk Reuters, kelmarin. - REUTERS


SAN FRANCISCO 29 Jun - Google Inc. sekali lagi cuba memecah dominasi Facebook dalam rangkaian sosial dengan memperkenalkan satu perkhidmatan baru dikenali sebagai Google Plus, semalam.

Google menyatakan perkhidmatan baru itu akan menghubungkan semua sifat perkhidmatan yang ditawarkan di talian, menjadikannya sebagai sebuah rangkaian sosial.

Pengasas bersama Google, Larry Page mahu menjadikan enjin carian nombor satu di Internet itu sebagai satu jaringan sosial kerana orang ramai lebih menggunakan Facebook dan Twitter.

Bagi membezakan perkhidmatan tersebut, Google menyatakan ia mempunyai pendekatan lebih baik berhubung privasi, perkara yang menjadi isu dalam rangkaian sosial sebelum ini.

Google Plus menawarkan pendekatan 'rangkaian' rakan dan kenalan di mana pengguna boleh menguruskan rakan mengikut rangkaian anggota keluarga, rakan sekerja atau rakan kolej, apa yang hendak dikatakan selain perkongsian gambar dan video atau pelbagai maklumat dalam kumpulan kecil itu sahaja.

''Dalam dunia di talian, terdapat perkhidmatan dikenali sebagai perkongsian kotak di mana anda tidak akan tahu ke mana perkara yang dimasukkan dalam kotak itu atau siapa akan membaca atau adakah ia akan memalukan anda dalam tempoh enam bulan akan datang.

''Bagi kami, privasi adalah perkara penting,'' kata Timbalan Presiden Pengurusan Produk Google, Bradley Horowitz.

Facebook yang dikritik kerana menyediakan kawalan privasi yang memeningkan pengguna, pada tahun lepas memperkenalkan satu ciri yang membolehkan pengguna membentuk kumpulan-kumpulan kecil rakan.

Google Plus akan dibuka kepada sejumlah kecil pengguna dalam sesi percubaannya.

Syarikat enjin carian itu tidak pula memaklumkan tarikh ia akan diperluaskan kepada semua pengguna. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Flotila tidak bawa senjata



Seorang aktivis memegang poster 'Biarkan Kami Belayar ke Gaza' semasa sidang akhbar pengumuman persediaan 'Flotila Pembebasan II' oleh aktivis antarabangsa ke Gaza dari Greece, di Athens pada 27 Jun lalu. - REUTERS


ATHENS 29 Jun - Penganjur flotila ke Genting Gaza semalam menyelar dakwaan Israel yang menyatakan mereka membawa bahan berbahaya yang akan digunakan untuk menyerang tentera rejim Zionis sekiranya ia cuba menghentikan pelayaran mencabar sekatan Israel di perairan antarabangsa.

Aktivis Huwaida Arraf dari pergerakan Bebaskan Gaza berkata, dakwaan itu 'sama sekali mengarut' dan flotila tersebut 'bukanlah bermaksud menimbulkan keganasan'.

Beliau memberitahu agensi berita dpa, semua penumpang dan aktivis yang menyertai konvoi itu juga telah menandatangani satu perjanjian sebagai jaminan tidak melakukan keganasan.

Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Avital Leibovich semalam mendakwa, pihaknya menerima maklumat menyatakan flotila itu membawa baja sulfur.

Dakwanya, baja sulfur itu akan dilemparkan ke arah tentera rejim Yahudi ketika mereka cuba menghalang konvoi tersebut daripada sampai ke Genting Gaza.

Israel kelmarin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak menghalang flotila 10 kapal tersebut daripada mencabar sekatan ke atas Genting Gaza, dengan janji kononnya tidak akan melibatkan sebarang pertumpahan darah seperti tahun lalu.

Beratus-ratus aktivis pro Palestin dari Greece, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan negara lain bakal menyertai konvoi 10 kapal termasuk dua kapal kargo dengan muatan hampir 3,000 tan bekalan bantuan bagi pelayaran merentasi Laut Mediterranean ke Genting Gaza.

Masih belum jelas bilakah kapal-kapal itu akan memulakan pelayaran dari pelabuhan Piraeus di Greece.

Aktivis Skandinavia yang mahu menyertai flotila antarabangsa ke Genting Gaza itu kelmarin berkata, kipas kapal mereka telah disabotaj oleh orang yang tidak bertanggungjawab semasa berlabuh di sebuah pelabuhan di Greece.

Kata aktivis Sweden, tali kipas kapal 'Juliano' dikerat di pelabuhan Piraeus dan kerja membaiki kerosakan itu akan mengambil masa beberapa hari. - dpaUtusan Malaysia Online - Luar Negara

105,941 kes gangguan mental dalam tiga tahun

KUALA LUMPUR 29 Jun – Sebanyak 105,941 kes gangguan mental dan tingkah laku telah dirujuk ke institusi mental dan hospital seluruh negara dalam tempoh tiga tahun sejak 2007 hingga 2010.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, 65 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada golongan lelaki berbanding 35 peratus wanita.

“Majoriti kes yang menerima rawatan adalah dari kumpulan umur 25 hingga 34 tahun iaitu sebanyak 30 peratus diikuti kumpulan umur 35 hingga 44 tahun sebanyak 21.8 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Tiong Lai, 70 peratus daripada keseluruhan kes melibatkan masalah schizophrenia diikuti gangguan perasaan termasuk kemurungan (12 peratus), gangguan mental akibat penyalahgunaan substans (tujuh peratus) dan masalah neurosi (lima peratus),” katanya.Utusan Malaysia Online - Parlimen

Wang haram: Denda RM5 juta, penjara 10 tahun


KUALA LUMPUR 29 Jun - Mana-mana individu yang didapati bersalah terlibat dalam apa juga kegiatan wang haram akan dikenakan penalti jenayah, penalti sivil dan penalti pentadbiran melibatkan denda sehingga RM5 juta serta penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Hukuman yang lebih tinggi itu akan dikenakan selepas Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 yang telah diluluskan pada sidang Dewan Rakyat hari ini dikuatkuasakan akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Rang Undang-Undang itu hasil kajian komprehensif Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap industri pengurupan wang, pengiriman wang dan perniagaan mata wang borong yang ketika ini dikawal selia di bawah Akta Pengurusan Wang 1998, Akta Pertukaran Wang 1953 dan Akta Sistem Pembayaran 2003.

Melalui rang undang-undang itu katanya, BNM diberi kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas pemegang lesen, premis perniagaan dan ejen perniagaan perkhidmatan wang.

"BNM juga dibenarkan menjalankan penyiasatan terhadap mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang itu serta menetapkan peraturan dan gelagat pasaran bagi memudahkan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang," katanya ketika membentang rang undang-undang tersebut.

Awang Adek berkata, rasional rang undang-undang itu adalah bagi memodenkan industri pengurupan wang, pengiriman wang dan perniagaan mata wang borong supaya menjadi satu industri yang dinamik, berdaya saing dan profesional.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan mengawasi sektor bukan bank bagi menangani ancaman penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta aktiviti-aktiviti haram.

"Ini adalah penting untuk mengekalkan integriti sistem kewangan Malaysia yang merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan daya saing negara," katanya.Utusan Malaysia Online - Parlimen

177,077 wang tak dapat dikesan

KUALA LUMPUR 29 Jun – Sebanyak 177,077 wang kertas RM500 dan RM1,000 yang bernilai RM101 juta masih tidak dapat dikesan daripada pasaran sehingga 30 Januari lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, daripada jumlah itu, 150,259 keping atau 92.4 peratus adalah wang kertas RM500 yang bernilai RM75 juta, manakala 26,818 keping atau 99.4 peratus ialah wang kertas RM1,000 bernilai RM26 juta.

“Wang kertas ini (RM500 dan RM1,000) ini telah dinyahlakukan berkuat kuasa 1 Julai 1999, maknanya selepas daripada tarikh itu wang kertas tersebut tidak lagi bernilai. Tiada juga cetakan dibuat sejak tahun berkenaan.

“Jadi, tidak ada sesiapa yang boleh membawa beg-beg yang mengandungi wang kertas RM500 dan RM1,000 itu untuk ditukarkan di Bank Negara kerana tempoh laku wang itu sudah tamat,” katanya menggulung Rang Undang-Undang Perkhidmatan Wang 2011 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab persoalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang ingin tahu berapa wang kertas RM500 dan RM1,000 yang masih terapung di pasaran serta tidak dapat diimbangkan dengan jumlah cetakan.

Sementara itu, Awang Adek berkata, sejak 2002, sebanyak 93 kes telah dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) melibatkan jumlah sebanyak RM2.34 bilion.

“Daripada jumlah itu, 18 kes telah disabitkan, 17 daripada membabitkan hukuman penjara, manakala sejumlah RM55.4 juta sudah dilucutkan haknya,” katanya menjawab soalan Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau) mengenai berapa kes pengubahan wang haram berjaya diselesaikan.Utusan Malaysia Online - Parlimen

Kajol ‘hati kering’

HAFIZ...enggan ulas lanjut
HAFIZ...enggan ulas lanjut
KOTA BHARU: “Saya tidak kisah semua itu,” kata penyanyi mak nyah tersohor Kelantan, Kajol, 25, yang akhirnya bersuara selepas usaha menemubualnya sebelum ini menemui jalan buntu.
Kajol berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi terbaru membabitkan dirinya yang disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) akibat keceluparannya mengaku bukan Islam ketika dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, 21 Jun lalu dan digam stesen radio swasta terkenal Kelantan, Manisfm.

Bagaikan ‘berhati kering’ Kajol selamba memberitahu tidak ambil kisah sebarang berita yang disiarkan mengenai dirinya.

Bagaimanapun, kajol atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Jeffri yang terkenal dengan lagu irama Bollywood itu enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi membabitkan dirinya.



“Tiada komen, siarlah apa berita pun,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Harian Metro.myMetro | Kajol ‘hati kering’

4 tentera ganggu aktivis pembangkang ditahan

BANGKOK: Empat anggota tentera Thailand ditangkap di timur laut negara itu selepas didakwa menakut-nakutkan aktivis pembangkang menjelang pilihan raya umum hujung minggu ini.

Penangkapan itu dibuat selepas anggota Parti Puea Thai terbabit mengadu tentera memasuki kampung mereka di Nakhon Ratchasima dan memberitahu mereka supaya tidak terbabit dalam politik, kata pegawai kanan polis, Suebtragool Theppiyawong.


Dua sarjan, seorang prebet dan seorang leftenan muda ditahan bersama-sama seorang awam Selasa lalu.

Mereka bagaimanapun menafikan tuduhan itu. Kelima-lima mereka juga dituduh membawa senjata secara haram, kata Suebtragool.


Tentera Thai mempunyai sejarah dalam mencampuri urusan politik di Thailand. Terdapat 18 rampasan kuasa atau cubaan rampasan kuasa sepanjang 79 tahun sejarah Thailand dengan yang terbaru pada 2006, menyaksikan penggulingan perdana menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra. - AFPmyMetro | 4 tentera ganggu aktivis pembangkang ditahan

Manila keluar permit cari gali

MANILA: Filipina berkata semalam, ia akan memberi lebih banyak permit kepada syarikat swasta untuk mencari gali minyak dan gas asli di Laut China Selatan, kawasan yang menjadi rebutan antaranya dengan China.

Dalam kenyataannya, Jabatan Tenaga berkata, 15 kontrak mencari gali akan ditawarkan hari ini, kebanyakannya untuk kerja mencari gali di luar pantai Palawan. Menurutnya, syarikat cari gali antarabangsa sudah menyuarakan minat untuk mengemukakan pembidaan mereka. - APmyMetro | Manila keluar permit cari gali

Flotila Gaza: Aktivis beli kapal RM2.4j

AMMAN: Aktivis kemanusiaan Arab membeli sebuah kapal berharga RM2.5 juta bagi menyertai flotila ke Gaza, kata sebuah kesatuan sekerja Jordan, semalam.

Bekas ketua Kesatuan Jurutera Jordan, Wael Saqqa, berkata kapal berkenaan mampu membawa sehingga 200 penumpang.


“Kapal sumbangan aktivis Arab itu didaftarkan menggunakan nama Nur, sebuah syarikat yang sengaja ditubuhkan bagi pembelian itu,” katanya.

Kata Wael, setakat ini 35 aktivis kemanusiaan akan menyertai flotila bagi memecahkan sekatan rejim Zionis ke atas Gaza.


“Ia membawa bekalan ubat-ubatan dan bahan pembinaan,” katanya.


Walaupun dijadual berlayar ke Gaza hari ini, Wael berkata, ia mungkin tertangguh kerana berlaku mogok umum di pelabuhan Greece. - AFPmyMetro | Flotila Gaza: Aktivis beli kapal RM2.4j

Remaja lelaki pembuli siber

LONDON: Lebih ramai remaja lelaki berselindung di sebalik Internet untuk membuli berbanding perempuan.

Kajian terbaru mendapati, separuh daripada budak dan remaja lelaki mengaku melakukan buli siber, manakala hanya satu pertiga reamaja perempuan mengaku melakukannya. Sebelum ini, kecenderungan perempuan tidak memilih kekerasan mendorong sesetengah pihak menyangka golongan itu lebih ramai menggunakan Internet untuk membuli.


Sementara itu, hampir 70 peratus lelaki mengaku menjadi mangsa buli elektronik.

Antara gangguan dialami, penyebaran gambar memalukan tanpa izin dan pendedahan maklumat menghina kepada pemilik akaun Facebook tanpa pengetahuan mangsa.


Kajian sama menunjukkan, 33 peratus responden wanita mengaku pernah melakukan buli siber dan 49 peratus pernah menjadi mangsa.


Empat puluh peratus kedua-dua jantina mengaku mengubah suai akaun Facebook seseorang ketika mangsa berada jauh dari komputer, menyebabkan maklumat mengaibkan dilihat semua kenalan mereka.

Kira-kira 82 peratus lelaki dan wanita muda ditemui penyelidik Universiti Robort Gordon di Aberdeen berkata, mereka melayari laman sesawang lucah - biasanya secara tidak sengaja.


Di kalangan remaja lelaki dan wanita dewasa, kadarnya ialah 39 peratus.

Kebiasaan itu bermula pada usia muda dengan separuh daripada lelaki dan wanita melayarinya seawal usia 10 dan 16 tahun.


Kajian untuk siri Being Victor di saluran MTV itu juga menunjukkan remaja perempuan dan wanita lebih menyedari bahaya Internet berbanding lelaki. - DMmyMetro | Remaja lelaki pembuli siber

Harry intim dengan model pakaian dalam

LONDON: Putera Harry dilapor mempunyai kekasih baru, bekas teman wanita Jenson Button, Florence Brudenell-Bruce.

Hubungan anggota keluarga diraja Britain berusia 26 tahun itu dengan model pakaian dalam dan renang itu yang terjalin sejak beberapa bulan lalu.


Mereka berkawan sejak beberapa tahun lalu, tetapi menjadi pasangan kekasih selepas Harry mengesahkan hubungannya dengan Chelsy Davy sudah berakhir.

Satu sumber istana memberitahu The Sun: “Ia terlalu awal. Tetapi, Harry dan Florence memang menjadi pasangan kekasih.


“Dia lebih periang dan cantik. Harry menyukainya.


Florence, 25, yang digelar ‘Flee’ oleh rakannya, ialah anak Andrew Brudenell-Bruce, bekas pelajar kolej Eton dan kini peniaga wain yang berjaya, serta isterinya, Sophie.

Harry dan Florence dilapor menghabiskan masa beberapa kali di rumah bernilai 2.5 juta paun (RM12.5 juta) milik wanita itu di Notting Hill, barat London sejak beberapa bulan lalu.


Bagaimanapun, ketika pulang ke rumahnya semalam, Florence yang hanya memakai seluar denim pendek, enggan mengulas mengenai hubungan itu.

“Tak banyak yang boleh diceritakan,” katanya.


Florence, keturunan Earl of Cardigan Ketujuh, sebelum ini berpacaran dengan pemandu kereta Formula 1, Jenson Button.


Dia mempunyai ijazah seni dari Universiti Bristol dan pernah menjadi model produk terkenal, termasuk John Lewis dan Adidas. - AgensimyMetro | Harry intim dengan model pakaian dalam

Pakai baju' 1Malaysia ' halal pakai baju ' Bersih ' haram

Haram pakai baju-T BERSIH
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2011/06/30

Pemakaian dianggap ada kaitan dengan perhimpunan haram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan mereka yang memakai baju-T tertera perkataan BERSIH ditahan kerana ada kaitan dengan perancangan mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini yang tidak mendapat permit polis.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia selaras tanggungjawab polis untuk menjaga ketenteraman awam dan tidak memilih bulu sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.
“Baju-T BERSIH ini ada kaitan dengan perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai. Maka apa yang mereka pakai adalah haram. Tangkapan dilakukan bukan kerana baju yang dipakai tetapi kerana kesan akibat mereka memakainya,” katanya di sini semalam.

Tindakan polis menahan mereka yang menjual, membeli atau memakai baju-T berwarna kuning yang tertera perkataan BERSIH sejak minggu lalu, dipertikaikan pihak tertentu yang mendakwa tiada jenayah dilakukan dengan hanya memakainya.

Hishammuddin juga menafikan tindakan polis terhadap mereka yang menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya bermotifkan politik.

“Bermotifkan politik ikut perspektif siapa. Saya boleh mengatakan perkara yang sama (bermotifkan politik) kepada mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sesiapa saja yang melanggar undang-undang tidak terkecuali daripada tindakan, termasuk ahli Pemuda UMNO yang didakwa mengepung dan mengancam mahu membakar ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Isnin lalu.

“Saya memberitahu polis supaya melayan mereka (Pemuda UMNO ) macam BERSIH. Tiada sesiapa pun bebas atau mengatasi undang-undang,” katanya.
Berita Harian Online | Haram pakai baju-T BERSIH

Pusat operasi diserbu, 6 individu kena tahan

JURUGAMBAR cuba merakam wajah enam individu yang ditahan selepas anggota polis menyerbu sebuah rumah di Petaling jaya, semalam.
JURUGAMBAR cuba merakam wajah enam individu yang ditahan selepas anggota polis menyerbu sebuah rumah di Petaling jaya, semalam.
PETALING JAYA: Polis semalam menyerbu sebuah rumah yang dilaporkan beroperasi sebagai pusat Sekretariat Gabungan Bersih dan Adil (BERSIH) di Jalan 4/48E, Seksyen 4, di sini dan merampas pelbagai bahan menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Empower adalah salah sebuah organisasi badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong BERSIH dan beroperasi sebagai pusat penyediaan dan jualan baju–T BERSIH serta beberapa pelekat berkaitan gabungan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, polis menahan enam individu termasuk dua lelaki dipercayai aktivis BERSIH yang mendakwa sebagai peguam sukarelawan.
Beliau berkata, antara yang dirampas adalah tujuh beg plastik hitam mengandungi 314 baju BERSIH berwarna kuning, 90 (oren) dan 136 (krim) yang tertera perkataan BERSIH.

“Selain itu, kita merampas empat kotak dokumen dipercayai mengandungi maklumat mengenai perhimpunan haram BERSIH selain pelekat, sepanduk dan kain rentang yang memaparkan logo BERSIH,” katanya.

Tun Hisan berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati NGO itu tidak didaftarkan di bawah Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata sehingga kini 101 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan BERSIH ditahan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 45 orang masih dalam tahanan polis.
Ismail berkata, sehingga kelmarin, sebanyak 1,830 laporan polis dibuat di seluruh negara oleh pelbagai pihak berhubung perhimpunan haram BERSIH.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, mengesahkan polis menyita tapak ceramah BERSIH di Wira Damai, Gombak selain menempatkan anggotanya bagi mengelak berlaku sebarang ceramah politik tanpa permit.

Dalam perkembangan lain, polis merakam keterangan daripada tiga aktivis BERSIH iaitu Maria Chin Abdullah, Irene Fernandez dan Hishammuddin Rais serta Ahli Exco Selangor, Teresa Kok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Di JOHOR: Polis menahan 39 individu termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun kerana menyebar risalah perhimpunan haram sejak Jumaat sehingga kelmarin.

Di PERAK: Polis menahan 14 orang termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang selepas dikesan membuat persiapan mengagihkan kemeja–T berwarna kuning yang tertera perkataan ‘BERSIH 2011’ kepada pengunjung pasar tani di pekan Sungai Siput, jam 9 pagi, semalam.

Semua mereka termasuk ADUN DAP Jalong, Leong Mee Meng dan ADUN Teja dari PKR, Chang Lih Kang, dibawa ke IPD Sungai Siput untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut. Berita Harian Online | Pusat operasi diserbu, 6 individu kena tahan

Johari dakwa Rahim tawar RM1j keluar PKR

AHLI Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendakwa beliau mendapat tawaran RM1 juta serta jaminan keselamatan daripada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik sekiranya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, semua itu ditawarkan Abdul Rahim ketika beliau dijemput menonton video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama trio Datuk T, 21 Mac lalu.
“Oleh itu saya mencabar 'Papa Gomo' (merujuk kepada sebuah laman blog) supaya menyiarkan semua rakaman video saya bersama Datuk T dan tidak hanya menyiarkan sebahagian saja rakaman selama dua minit.
“Kalau benar saya turut meminta duit pelincir sebanyak RM50,000 sila tunjukkan semuanya. Saya tahu (jemputan itu) satu helah untuk memerangkap saya supaya saya berkata bahawa itu Anwar,” katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Johari berkata, sebelum beliau bertemu trio Datuk T, beliau terlebih dulu memaklumkan kepada Anwar yang ketika itu turut menghadiri persidangan Parlimen bersamanya.
Berita Harian Online | Johari dakwa Rahim tawar RM1j keluar PKR

Keluarga 'sandwich' hadapi tekanan

Satu daripada empat keluarga di empat negeri berdepan masalah emosi kerana wang

KUALA LUMPUR: Sebanyak 111,401 atau satu bagi setiap empat keluarga di ibu kota didapati menghadapi tekanan emosi dan mental yang teruk kerana tergolong dalam keluarga 'sandwich' kerana kemampuan kewangan mereka terhad.
Sindrom keluarga ‘sandwich’ adalah istilah digunakan bagi pasangan yang perlu menanggung anak sendiri disamping terpaksa menjaga ibu bapa mereka, iaitu tiga generasi duduk dalam satu rumah.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Banci Penduduk Perumahan Malaysia 2010 juga mendapati selain Kuala Lumpur, masalah itu turut serius di Selangor, Perak dan Terengganu.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata saiz isi rumah keluarga di Kuala Lumpur yang rendah iaitu purata empat orang setiap keluarga turut menyebabkan beban untuk menjaga ibu bapa mereka terpaksa dikongsi jumlah anak yang sedikit.

Beliau berkata, situasi itu akan menjadi lebih serius dan membimbangkan terutama bagi pasangan muda yang tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menguruskan keperluan anak dan ibu bapa serentak.

"Cabaran itu tidak boleh diambil ringan kerana tuntutan keluarga dan kerjaya memberi tekanan emosi dan mental sekiranya khidmat sokongan keluarga tidak disediakan pihak berwajib," katanya kepada pemberita selepas taklimat Dasar Keluarga Negara di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar.

Sehubungan itu, Aminah menyarankan kerajaan supaya menyediakan khidmat sokongan lebih komprehensif seperti mempermudahkan peraturan bagi pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas, selain mengkaji semula dasar yang tidak mesra keluarga di tempat kerja.

Katanya, semua dasar kerajaan berhubung isu kekeluargaan perlu diambil kira dalam setiap perancangan dan pembangunan bagi memperkasakan ketiga-tiga generasi keluarga sandwich itu.

LPPKN kini mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai Dasar Keluarga Negara (DKN).

Aminah berkata, cadangan dan maklumat yang diperoleh sepanjang sesi jelajah di seluruh negara itu akan disampaikan kepada kerajaan sama ada bagi menambah baik dasar sedia ada atau menggubal dasar baru.
Berita Harian Online | Keluarga 'sandwich' hadapi tekanan

Luna mengaku semakin serius dengan Ariel

LUNA cadang mahu kahwin Ariel pada usia 30 tahun.
LUNA cadang mahu kahwin Ariel pada usia 30 tahun.
JAKARTA: Pelakon dan penyanyi Luna Maya, mengaku hubungannya dengan vokalis kumpulan Peterpan Nazril ‘Ariel’ Irham semakin serius dan mereka dijangka berkahwin dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketika ditemui wartawan pada Malam Gala Bintang di Menteng, Jakarta Pusat semalam, Luna berkata dia berhasrat bernikah pada usia 30 tahun.
“Sekarang usia saya 28 tahun dan saya tidak bercadang berkahwin sebelum usia 30 tahun. Jika lewat sedikit juga tidak menjadi masalah. Sehingga usia itu saya akan memberi tumpuan kepada kerjaya,” katanya.
Luna mengaku selepas dia dibabitkan dalam kes penyebaran video lucah Ariel, kerjayanya agak pudar dan dia sedang berusaha untuk memulihkan semula imej yang pernah tercalar.

“Bagaimanapun saya tidak mahu bekerja terlalu keras seperti sebelum ini. Dulu kehidupan saya dipenuhi dengan kerja dan tiada hari yang saya tidak bekerja. Sekarang keadaan saya lebih santai dan tidak lagi ingin menjadi hamba kerja.

“Saya tidak terlalu banyak berfikir. Jika saya perlu bekerja saya akan bekerja dan jika saya rasa saya patut bercuti, saya akan bercuti,” katanya. – Agensi
Berita Harian Online | Luna mengaku semakin serius dengan Ariel

7 Ahli NGO rancang himpunan haram




SEBAHAGIAN ahli NGO yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Seksyen 14, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Polis menahan dua lelaki dan lima wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong 4/48E, Seksyen 14 di sini semalam yang didakwa dijadikan pejabat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini.

Semasa serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, tujuh sukarelawan NGO yang berusia 20 hingga 30-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan Bersih.

NGO tersebut dinamakan sebagai Empower dan badan itu dikatakan menjadi sekretariat dalam perhimpunan tanpa permit Bersih.

Mengikut seorang anggota NGO yang tidak mahu dikenali, kira-kira 15 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor meminta untuk masuk ke premis tersebut tanpa membawa waran.

Dia mendakwa, polis itu membawa bersama alat pemotong besi.

“Pemotong besi itu tidak digunakan kerana kami membenarkan pasukan polis itu masuk ke dalam rumah,” katanya yang tidak ditahan.

Anggota NGO itu memberitahu, pasukan polis menyelongkar fail dan menggeledah rumah tersebut dan menghitung jumlah baju-T yang mempunyai logo Bersih.

Semua fail dan baju-baju itu dirampas oleh polis. Serbuan itu selesai pada pukul 3.30 petang.

Kosmo! Online - Negara

Petronas bayar RM594.6 bilion


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Petronas telah membuat pembayaran RM594.6 bilion kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk dividen, cukai, duti eksport dan perolehan petroleum semenjak penubuhannya sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac lepas.

Daripada jumlah itu, Perdana Menteri berkata, RM65.7 bilion adalah pembayaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun ini.

Sehingga Jun 2011 pula, Najib berkata, jumlah sumbangan Petronas kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) adalah sebanyak RM3 bilion dan dilaburkan dalam pelbagai instrumen kewangan.

"Dana ini adalah aktif dan saiz dana KWAN kini berjumlah RM5.43 bilion," katanya dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat di sini semalam.

Nurul Izzah ingin tahu mengenai jumlah sumbangan Petronas kepada KWAN dan kesediaan kerajaan menetapkan 30 peratus keuntungan tahunan Petronas ke dalam sebuah tabung pendidikan kebangsaan untuk pemberian biasiswa.Kosmo! Online - Negara

Wardina beri blogger tempoh 14 hari


WARDINA (kanan) menafikan dakwaan bahawa dia telah menyertai PKR sambil diperhatikan Muhammad Hanif pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pengacara popular, Wardina Safiyyah Fadlullah, 32, memberi tempoh 14 hari mulai semalam kepada pengendali blog yang mengaitkan dirinya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mengeluarkan gambar dan artikel berkaitan dirinya daripada blog tersebut.

Menurut Wardina, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengendali blog terbabit masih berdegil dan enggan berbuat demikian.

Ujar pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 itu, blog tersebut telah memuat naik gambarnya semasa tidak memakai tudung yang disifatkan sebagai menghina dan memalukannya.

"Saya mempunyai anak dan suami. Membuka aib saya pada masa dahulu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka.

"Jadikan kisah saya sebagai tauladan dan saya berharap hal ini tidak terjadi kepada artis-artis lain (yang kini memakai tudung)," ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.Kosmo! Online - Negara