Sunday, May 16, 2010

Syiah Menjadi Kekuatan Politik Terbesar di Iraq

Syi'ah menjadi kekuatan politik terbesar di Iraq, sesudah dua kekuatan partai politik Syi'ah yang didukung Iran bergabung.
Perdana Menteri Nuri Al-Maliki yang memimpin Kekuatan Aliansi Nasional (INA), menjadikan golongan Syi'ah menjadi kekuatan politik terbesar di Iraq dengan suara 159 kursi di parlemen. Dengan memimpin koalisi nasional, Al-Maliki memiliki peluang untuk memimpin pemerintahan pada periode kedua. Koalisi Nasional Iraq merupakan gabungan dua partai Syi'ah, yaitu Dewan Mahkamah Islam (ISCI) dengan gerakan Sadr yang anti Amerika.
Dengan gabungnya dua kekuatan politik utama Syi'ah ini, menandakan kebangkitan kembali Syi'ah di Iraq, yang berkuasa sejak tahun 2005, dan ini akan menciptakan situasi yang tidak kondisuf bagi stabilitas di Iraq. Kerana kebijakan pemerintah yang di dominasi Syi'ah ini, pasti akan menyingkirkan kekuatan politik kelompok Sunni.
Sementara itu, kelompok Sunni yang sekarang ini mendukung Iyad Alawi, yang juga boneka Amerika, memiliki 91 kursi. Sedangkan untuk mendapatkan mayoritas di parlemen harus mendapatkan 325 kursi.
Bergabungnya dua kekuatan utama Syi'ah ini, yang merupakan gabungan dari kelompoknya al-Maliki dengan as-Sadr, dalam aliansi nasional, sesudah adanya kesepakatan dua blok Syi'ah melalui sebuah pembicaraan kedua belah pihak.
Aliansi Nasional itu juga mencalonkan Nuri al-Maliki menjadi perdana menteri periode keduanya, karena tokoh as-Sadr, yaitu Muqtada al-Sadr ditolak, tentu dari kalangan Amerka, yang tidak tokoh yang dianggap garis keras ini mengambil alih kekausaan.
Langkah yang paling mendesak bagi pemerintahan baru Iraq, ialah melakukan negosiasi dengan pemerintah Amerika untuk penarikan pasukan mereka keluar dari Iraq di akhir tahun ini. (m/cnn)

Awas ! buaya kat pantai pengkalan balak


Pengunjung gempar jumpa buaya 

MELAKA - Hasrat satu keluarga bergembira sempena hari keluarga tahunan di pantai peranginan Pengkalan Balak tidak kesampaian apabila mereka terserempak dengan dua ekor buaya di pantai berkenaan, petang semalam. 

Kejadian mengemparkan itu berlaku jam 2.45 petang, sekali gus membantutkan hasrat keluarga berkenaan yang berasal dari Kampung Umbai, di sini, meneruskan aktiviti dirancang 

Salah seorang peserta program berkenaan, Norfadilah Mohd Baroldin, 22, berkata, salah satu buaya yang dilihatnya itu bersaiz dalam anggaran hampir empat meter panjang. 

Menurutnya, penemuan mencemaskan itu sempat dirakamkannya menerusi telefon bimbit berkamera miliknya sebelum buaya itu turun semula ke laut. 

“Kami lihat, seekor daripada buaya bersaiz kecil dan kuning keemasan, sementara seekor lagi bersaiz besar serta berwarna kehitaman muncul kira-kira 10 minit di atas daratan.

“Mungkin, keduanya-duanya mempunyai pertalian ibu dan anak,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan, semalam.

Norfadilah berkata, kejadian itu sememangnya amat mencemaskan mereka sekeluarga yang datang seramai 30 orang.

“Kami tiba di sini Jumaat dan bercadang mengadakan pelbagai aktiviti di sini sehingga Ahad (hari ini) tetapi tidak sangka pula terserempak dengan buaya.

“Kejadian ini menyebabkan kami sekeluarga takut untuk mandi di pantai ini kerana bimbang keselamatan diri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Norfadilah segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Namun, mereka tidak dapat bertindak apa-apa berikutan buaya berkenaan terus menghilang setelah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk di kawasan berkenaan mendakwa sering ternampak kelibat buaya di pantai itu yang dikatakan hanya satu kilometer jaraknya dari Kompleks Perahu Layar iaitu lokasi utama acara pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-13, 10 Jun ini.

Mazli Mohamad, 42, berkata, keadaan itu dibimbangkan boleh menjejaskan kelancaran sukan itu nanti sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah sewajarnya.

“Saya berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang kerana khuatir terhadap aspek keselamatan peserta dan pengunjung di pantai ini,” katanya.

Rakyat Palestin peringati peristiwa Naqba



GAZA CITY 15 Mei - Rakyat Palestin semalam memperingati hari ulang tahun ke-62 peristiwa Naqba atau 'malapetaka' berpunca daripada penubuhan negara Israel, dan menuntut hak bagi beratus ribu penduduk Palestin yang diusir dari kampung halaman mereka untuk kembali ke tanah air mereka yang dirampas Israel.
Tunjuk perasaan dilancarkan di Genting Gaza yang diperintah oleh Hamas dan di Lebanon, negara yang menempatkan kira-kira 400,000 pelarian Palestin.
Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erakat membidas Israel kerana 'tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa'.
Kira-kira 3,000 penduduk mengadakan tunjuk perasaan di kem pelarian Jabaliya di Gaza dalam protes anjuran Hamas, sementara bilangan yang sama menyertai demonstrasi anjuran Jihad Islam di kem pelarian Nuseirat.
"Kita tidak akan melepaskan hak pelarian untuk pulang ke pekan dan kampung asal mereka," kata seorang pemimpin Hamas, Muin Mderes kepada orang ramai di Jabaliya. Beliau menggesa semua pejuang Palestin bersatu menentang Israel.
Kerajaan Israel enggan membenarkan pelarian Palestin atau keturunan mereka pulang ke kampung halaman mereka yang ditinggalkan pada 1948 selepas penubuhan negara Israel kerana khuatir kepulangan besar-besaran mereka akan mengancam negara Israel serta 5.7 juta penduduk Yahudi.
Pemimpin Jihad Islam, Mohammed al-Hindi menyeru 'seluruh penduduk Palestin, Arab dan Islam supaya menyokong jihad dan perjuangan menentang Israel dan bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran dengan musuh'.
Kanak-kanak yang turut menyertai protes di Gaza membawa anak kunci ke rumah-rumah yang ditinggalkan oleh datuk nenek mereka berikutan penubuhan Israel.
Kira-kira 700,000 penduduk Arab melarikan diri atau diusir dari rumah mereka.
Dalam perutusan sempena hari ulang tahun Naqba, Erakat menegaskan bahawa pelarian Palestin yang bersama-sama keturunan mereka kini berjumlah 4.7 juta orang berhak untuk pulang ke kampung halaman mereka.
"Dalam sebarang konflik, hak-hak pelarian ditunaikan dan dihormati, termasuk hak untuk kembali, mendapat semula harta mereka dan mendapat ganti rugi.
"Sebaliknya, Israel enggan mengiktiraf hak Palestin untuk pulang, dengan terus menafikan hak paling asas bagi orang pelarian," kata Erakat. - AFP

Tak lama lagi pakat rasa pistol renjatan pulak


Cadang guna pistol renjatan

KUALA LUMPUR 15 Mei - Seorang Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan agar anggota polis menggunakan pistol renjatan elektrik bagi mengawal keadaan khususnya melibatkan kes orang mengamuk.
Datuk Kamaruddin Md. Ali yang juga bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman berkata, langkah itu dapat mengelakkan peluru yang digunakan tersasar dan mengenai orang awam.
Beliau berkata, setiap kereta peronda seharusnya dibekalkan dengan alat berkenaan dan anggota yang terlibat perlu bijak menggunakannya mengikut keadaan.
"Saya berpendapat, PDRM perlu membekalkan pistol ini (renjatan elektrik) kepada setiap kereta peronda bagi memudahkan anggota bertugas menggunakannya ketika berdepan dengan kes-kes orang mengamuk dan bersenjata.
"Ini kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat, jika lihat sesuatu kejadian melibatkan polis, mereka akan berkumpul dan menyaksikan kejadian itu dengan lebih dekat.
"Bagi mengawal sesuatu kejadian yang tidak diingini seperti orang awam terkena tembakan, anggota terbabit boleh menggunakan pistol renjatan elektrik itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat seorang anggota kurang upaya (OKU), Koperal Khalid Che Ros di rumahnya di Taman Keramat, di sini hari ini.
Pada 29 April tahun lalu, Khalid yang pernah bertugas di Balai Polis Ampang Jaya mengalami kemalangan selepas motosikalnya dilanggar oleh sebuah kenderaan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.
Berikutan itu, dia kini hanya terlantar dan memerlukan simpati masyarakat sekeliling bagi meneruskan kehidupan.
Sementara itu, Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye bercadang mewujudkan tabung khas bagi membantu mangsa-mangsa jenayah.
Beliau berkata, bagi mewujudkan tabung khas itu, beberapa pindaan kepada perlembagaan yayasan tersebut perlu dilakukan.
"Pindaan itu perlu dikaji dan mendapat kelulusan anggota Exco MCPF sebelum mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membincangkan perkara tersebut.
"Bagi Koperal Khalid, MCPF berjaya mengutip sumbangan daripada anggota Exco sebanyak RM8,800.
"Kita meminta individu yang ingin menyalurkan bantuan berbuat demikian dengan memasukkan wang ke dalam akaun Maybank bernombor 162188395589 atas nama Khalid Che Ros," katanya

Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela. (Al Humazah: 1)


Dalam hadits Aisyah ra. dia berkata bahwa Rasulullah saw. bersabda,
Sesungguhnya sejahat-jahat manusia kedudukannya di sisi Allah pada hari Kiamat adalah orang yang ditinggalkan masyarakatnya karena menghindari ucapan jahatnya. (HR Bukhari)



Rasulullah saw. bersabda,
لَيْسَ اْلمُؤْمِنُ بِطَعَّانٍ وَلاَلَعَّانٍ وَلاَ فَاحِشٍ وَلاَ بَذِيْءٍ .
Tidaklah pantas seorang mukmin pencaci maki, pelaknat, suka berkata keji, dan suka berkata jorok.



Rasulullah saw. bersabda, “Tidak ada kata keji dalam sesuatu kecuali ia akan merusaknya. Dan tidaklah ada sifat malu dalam sesuatu melainkan ia akan menghiasinya.” (HR Turmudzi). 

Duit dalam bank tak selamat lagi


Wang dalam akaun lesap



AHMAD Nor Dun menunjukkan laporan polis berhubung kejadian wang lesap dalam akaun simpanannya, di Temerloh, semalam. – MINGGUAN/Ali MahmooD


TEMERLOH 15 Mei – Seorang pegawai tentera mendakwa kerugian RM13,000 apabila wang yang disimpan dalam akaun bank, lesap setelah disyaki dicuri melalui perbankan Internet.
Mangsa, Ahmad Nor Dun, 39, berkata, hasil pemeriksaan mendapati wangnya itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga di luar negara.
Katanya, dia mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh pegawai di bank berkenaan yang terletak di Mentakab.
“Pada mulanya saya ingin mengeluarkan wang di bank itu pada 4 Mac lalu. Bagaimanapun kad ATM (mesin juruwang automatik) saya rosak dan perlu ditukar baru.
“Apabila selesai urusan penukaran kad, saya membuat semakan akaun dan mendapati wang RM13,000 saya telah hilang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Bapa kepada lima anak itu lalu berjumpa dengan seorang kakitangan di bank berkenaan untuk penjelasan.
Namun alangkah terkejutnya apabila dia diberitahu bahawa wangnya itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga di luar negara.
“Pegawai bank itu menasihatkan saya agar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin iaitu cawangan bank tempat saya membuka akaun.
“Melihat kepada penyata bank berkenaan, wang itu telah dikeluarkan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang 24 jam melalui perbankan Internet,” katanya.
Menurutnya, penjenayah itu juga turut membuat bayaran urusan Internet berjumlah RM200 dengan menggunakan wang daripada akaunnya.
Ahmad Nor berkata, dia hairan kerana tidak pernah mendaftar untuk penggunaan perbankan Internet tetapi wangnya dicuri menggunakan kaedah itu.
Dia juga mempersoalkan tahap keselamatan pihak bank dalam menjaga wang simpanannya kerana gagal menyekat transaksi itu daripada berlaku.
“Setahu saya untuk memindahkan wang melalui perbankan Internet tidak melebihi RM3,000 sehari... Bagaimana ia boleh dipindahkan melebihi had dengan begitu mudah sekali,” kata Ahmad.
Beliau memberitahu, wangnya itu adalah pinjaman Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) untuk melangsaikan hutangnya.
Ahmad Nor yang bertugas sebagai Pegawai Waran 2 di Kem Batu 3 Mentakab, terpaksa membayar balik ansuran pinjaman sebanyak RM960 sebulan selama dua tahun.
“Saya membuat pinjaman RM20,000 daripada Koperasi Tentera pada 28 Mac lalu bertujuan untuk menutup baki pinjaman lama berjumlah RM7,000 daripada koperasi yang sama.
“Manakala baki RM13,000 untuk perbelanjaan termasuk membayar hutang rakan-rakan,” katanya.