Saturday, November 5, 2011

PPSMI: Mahathir tak wajar masuk campur

Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 5 Nov: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang seolah-olah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menghalang timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dianggap cuba masuk campur.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar)melihat kenyataan bekas Perdana Menteri yang dianggap masih berpengaruh dalam Umno dan kerajaan itu, hanya akan mengusutkan lagi keadaan.
“Dr Mahathir sudah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun dan dasar perubahan dalam pendidikan PPSMI diperkenalkan oleh pentadbirannya. Maka setelah dibuat kajian, ratusan ribu pelajar Melayu didapati menjadi mangsa iaitu tercicir dalam pelajaran teras tersebut.
“Jadi apabila Menteri Pelajaran membuat keputusan untuk menghapuskan PPSMI dan kembali kepada bahasa ibunda, beliau (Dr Mahathir) tidak sepatutnya dilihat cuba mempengaruhi keputusan yang telah dibuat menteri betanggungjawab itu," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Mahathir dalam kenyataan di Langkawi kelmarin bahawa Perdana Menteri masih boleh menghalang Muhyiddin memansuhkan PPSMI.
Beliau dipercayai memberi respons kepada Muhyiddin yang berkata keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI muktamad walaupun cuba didesak oleh beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page).
Muhyiddin juga menolak sebarang perbincangan lagi memandangkan kerajaan sudah pun memutuskan bagi memansuhkan dasar itu pada tahun 2009 dan ia berbetulan dengan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
"Pelajar Melayu luar bandar sudah lama tertinggal walaupun terpaksa menunggu sistem tersebut kembali kepada Bahasa Melayu. Mereka tidak wajar terus menjadi mangsa kepada eskperimen yang sudah jelas menjejaskan pencapaian mereka seperti yang telah terbukti diakui oleh Menteri Pelajaran.
“Setelah beberapa tahun PPSMI diperkenalkan oleh Dr Mahathir, didapati ratusan ribu generasi pelajar menanggung kerugian kerana gagal menguasai mata pelajaran yang penting untuk berjaya melanjutkan pelajaran kepada yang tahap lebih tinggi. Pada masa yang sama tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
“Justeru sudah jelas PPSMI hanya membawa kerugian kepada bangsa Melayu. Oleh yang demikian, PAS Pahang menentang sebarang cubaan menghidupkan semula PPSMI, termasuk cubaan Dr Mahathir untuk mempengaruhi Najib,” jelas Tuan Ibrahim.
PPSMI: Mahathir tak wajar masuk campur:

'via Blog this'

NGO negeri demonstrasi bantah program seks songsang




2011/11/05

SEORANG wakil NGO   mengetuk plat logo Majlis Peguam Malaysia  sebagai simbolik tanda tidak puas hati dengan penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 di depan Masjid Kampung Rawa, Sungai Pinang, semalam.
SEORANG wakil NGO mengetuk plat logo Majlis Peguam Malaysia sebagai simbolik tanda tidak puas hati dengan penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 di depan Masjid Kampung Rawa, Sungai Pinang, semalam.
KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) di beberapa negeri semalam mengadakan demonstrasi membantah penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 yang cuba mengiktiraf pengamal seks songsang gay dan lesbian yang disifatkan menghina dan mencemarkan kesucian kehidupan masyarakat beragama di negara ini.

Di SHAH ALAM, 100 ahli Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang mewakili lebih 50 NGO mengadakan bantahan aman di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Mereka turut memberi amaran akan mengadakan demonstrasi pada hari bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga dijadualkan merasmikan program itu pada 9 November ini.
Perhimpunan aman yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut membawa sepanduk ‘Kami tidak iktiraf gay, lesbian’, ‘Jangan berselindung di sebalik hak asasi’, ‘Hormati hak kami sebagai umat Islam’ dan ‘Jangan tiru kemusnahan kaum Nabi Lut’.

Di ibu negara, kira-kira 30 ahli PERKASA diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Rahman Bakar mengadakan bantahan aman di pekarangan Masjid Negara bagi membantah penganjuran festival itu yang disifatkan mencabar kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Selain mengangkat sepanduk mengecam penganjuran program itu, PERKASA turut menyampaikan memorandum bantahan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali supaya jabatan terbabit mengambil tindakan mahkamah dengan memohon injunksi bagi menghalang program itu daripada diteruskan.

Di GEORGETOWN, 100 ahli empat NGO berkumpul di depan Masjid Kampung Rawa, Sungai Pinang, bagi membantah serta menggesa polis menahan penganjur program Seksualiti Merdeka 2011.
Demonstrasi secara aman itu diadakan selepas solat Jumaat, yang dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung Badan Anti Islam Liberial, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, yang mengutuk sekeras-kerasnya program berkenaan.
Berita Harian Online | NGO negeri demonstrasi bantah program seks songsang:

'via Blog this'

Bicara Chan Kong Choy tipu Pak Lah 2 April 2012


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kes bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy (gambar)yang didakwa atas tiga pertuduhan pindaan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan kos pembangunan hampir RM1.9 bilion, akan dibicarakan selama 44 hari bermula 2 April tahun depan.
Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menetapkan tarikh-tarikh yang akan berlanjutan sehingga penghujung Ogos 2012 sewaktu kes itu disebut di hadapan beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim yang dibawa dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi mendengar kes tersebut pada mulanya sangat keberatan untuk membenarkan permohonan pembelaan agar perbicaraan dimulakan pada April.
Beliau bagaimanapun membenarkan permintaan peguam bela bagi membolehkan tertuduh mendapatkan beberapa dokumen iaitu minit-minit mesyuarat Kabinet terutamanya berkaitan bon yang dipertikaikan.
Terdahulu, sebelum tarikh-tarikh perbicaraan ditetapkan, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan memohon agar tiga tuduhan pindaan dibacakan kepada Kong Choy.
Pindaan yang dibuat ialah 'pembiayaan projek PKFZ tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) melalui tiga syarikat berlainan dengan sokongan beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan ketika kejadian' yang sebelum ini dinyatakan 'dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan'.
Bekas Timbalan Presiden MCA yang diwakili sekumpulan lima peguam diketuai peguam bela Tan Hock Chuan itu masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap kesemua tuduhan pindaan terbabit.
Pada 28 Februari lalu, Kong Choy didakwa atas tuduhan menyembunyikan fakta mengenai pembiayaan kos pembangunan sehingga Abdullah bersetuju supaya kelulusan diberikan kepada KDSB selaku pemaju siap guna (turnkey developer) sedangkan Perdana Menteri tidak akan berbuat demikian jika fakta-fakta itu dimaklumkan kepada beliau.
Projek pembangunan itu ialah Transshipment Hub di Pulau Indah Free Zon yang meliputi kawasan seluas 404.7 hektar dan dibangunkan dalam fasa berasingan dengan anggaran kos kira-kira RM1 bilion; kerja-kerja pembangunan tambahan bagi projek PKFZ berjumlah RM510.38 juta dan lima fasa pembangunan tambahan bagi projek yang sama bernilai RM335.8 juta.
Fakta-fakta yang disembunyikan adalah pembiayaan tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Bhd., Valid Ventures Bhd. dan Free Zone Capital Bhd. dengan sokongan beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan pada waktu itu.
Ketiga-tiga tuduhan didakwa dilakukan di antara 24 Februari 2004 dan 29 Mac 2006 di Tingkat 4, Blok Utama, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Bekas menteri Kabinet itu didakwa bagi ketiga-tiga tuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Jawi mahu pohon perintah mahkamah halang Seksualiti Merdeka 2011




ABDUL RAHMAN (kanan) menyerahkan memorandum bantahan Seksualiti Merdeka 2011 kepada Che Mat di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil tindakan mahkamah bagi menyekat program Seksualiti Merdeka 2011.
Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, tindakan itu diambil bagi menyekat program itu daripada diteruskan.
“Satu permohonan deklarasi dan injunksi akan dipohon segera bagi menyekat program ini daripada berterusan.
“Menurut artikel 3 Perlembagaan Persekutuan, agama Islam adalah agama Persekutuan dan sebarang bentuk program yang boleh mencemar kesuciannya harus dibendung dan dihalang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum menggesa Jawi mengambil tindakan mahkamah terhadap penganjur Seksualiti Merdeka 2011 daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini semalam.
Ia disampaikan oleh Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar diiringi 40 ahli pertubuhan itu sebaik sahaja mengadakan demonstrasi membantah Seksualiti Merdeka 2011 di Masjid Negara.
Abdul Rahman berkata, Jawi perlu bertindak segera kerana penganjuran program itu jelas mencemar dan menghina kesucian agama Islam.
Program Seksualiti Merdeka dianjurkan sejak 1 November lalu oleh beberapa gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mendapat sokongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'