Laman web Financial Review yang memetik kenyataan agensi hartanah Knight Frank dalam kaji selidik terbaharunya melaporkan, penjualan aset seperti yang terdapat dalam laman-laman web hartanah antaranya privateislandsonline.com dijangka terus meningkat ketika kerajaan cuba untuk memulihkan semula ekonomi Greece.
“Pada tahun 2014, Greece memperkenalkan cukai harta tetap yang disifatkan oleh para pemilik pulau persendirian sebagai membebankan.
“Namun, semua akan berubah dan kami jangkakan lebih banyak pulau akan dijual pada masa depan ekoran kesan jangka panjang akibat daripada krisis kewangan yang dialami oleh Greece,” jelas laporan itu.
Menurut Knight Frank, antara pulau yang kini dalam proses untuk dijual adalah Pulau Gaia berkeluasan 17.4 hektar pada harga 3 juta pound (RM17.65 juta) dan Pulau Utara Aegean yang terletak kira-kira 30 minit dari Athens berkeluasan 34.8 hektar dengan harga 28 juta pound (RM164.73 juta).
Lapor agensi hartanah itu lagi, kebanyakan pulau yang memiliki akses serta kemudahan yang baik seperti sistem perparitan, kemudahan elektrik, dan pusat perubatan lengkap hanya mampu dimiliki oleh hartawan berbangsa Rusia.
Agensi berita Wall Street Journal pada bulan Disember lalu melaporkan, harga bagi pulau-pulau Greece menurun sebanyak 30 peratus sebelum negara ini terjebak dalam krisis kewangan yang dihadapinya kini.
Menurut sumber, kebanyakan pulau persendirian yang terdapat di negara ini merupakan hak milik kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan aktivis alam sekitar.