Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata satu mayat lengkap daripada 227 beg mayat yang dihantar ke kem tentera Hilversum, Belanda, bagi proses pengesahan identiti, memadai bagi pasukannya menimbulkan kes.

Katanya, satu mayat mencukupi bagi membuat pendakwaan memandangkan penyiasat dilaporkan berdepan kesulitan mengumpul sisa mayat mangsa di lokasi nahas di Grabovo, Ukraine, berikutan pertempuran antara tentera Ukraine dengan kumpulan pemisah.

“Kita mahu membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, bukan dipenuhi pelbagai kesamaran,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri mesyuarat 12 negara bersama Eurojust di The Hague. Eurojust adalah agensi penyelaras dan kerjasama Kesatuan Eropah (EU) yang membantu Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda dalam siasatan nahas MH17.

Dakwa dalang kejadian

Difahamkan, dalam mesyuarat itu, Malaysia menyatakan hasrat untuk mendakwa dalang kejadian berkenaan sebaik pihak bertanggungjawab dikenal pasti.
Eurojust mempunyai kuasa mengundang negara di luar lingkungan EU bagi menyertai mesyuarat penyelarasan bagi merangka strategi dalam menentang jenayah serius.

Malaysia boleh mendakwa dalang nahas MH17 atas justifikasi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh pada 17 Julai lalu adalah miliknya.

Tiga peruntukan perundangan yang boleh digunakan ialah Akta Penerbangan Awam, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan Kanun Keseksaan.

Abdul Gani berkata, pasukan penyiasat Malaysia yang mengumpul bukti bersama pasukan antarabangsa di lokasi nahas, turut menyalurkan maklumat terus ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, kumpulan pendakwa dan penyiasat 12 negara yang bermesyuarat di Eurojust di The Hague, Isnin lalu, sepakat membentuk Pasukan Siasatan Bersama (JIT), dengan tumpuan terarah kepada siasatan teknikal dan forensik di lokasi jenayah.

Mesyuarat itu dipengerusikan wakil Eurojust, Han Moraal dan dihadiri pendakwa dari 11 negara, iaitu Malaysia, Belanda, Australia, United Kingdom, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada, New Zealand, Indonesia dan Amerika Syarikat - selain wakil Ukraine, Interpol dan Europol. Europol adalah agensi penguatkuasaan undang-undang EU yang membantu perkongsian maklumat risikan.

Moraal berkata, mesyuarat penyelarasan itu memberi peluang kepada pendakwa dan penyiasat dari seluruh dunia bersemuka dengan matlamat mencari kebenaran di sebalik tragedi MH17.

“Siasatan jenayah sudah dimulakan oleh Malaysia, Ukraine, Belanda, Australia dan Amerika Syarikat.

“Tumpuan kita ialah mencari keadilan bagi 298 mangsa nahas dan keluarga mereka. Ia bukan mudah tetapi kerjasama ini akan bergerak ke arah itu,” katanya.