Harriote Lane ketika menyertai Junior Miss Galaxy dan memperolehi kedudukan kedua.
Menurut laman web akhbar The Telegraph, Harriotte Lane, 13, sering dibuli kerana memiliki ketinggian 182 sentimeter, yang luar biasa berbanding rakan-rakan sebaya di sekolahnya.
“Kawan-kawan sering mengutuk saya ketika bermain di sekolah dan keadaan itu membuatkan saya berasa malu.
“Tetapi kini saya jadikan usikan itu sebagai motivasi diri dan merasakan ketinggian yang saya miliki sebagai sesuatu yang unik dan membuatkan saya bangga dengan apa yang saya miliki,” ujarnya.
Lane, berjaya menutup ejekan kawan-kawannya selepas dia memenangi pertandingan Ratu Cantik Miss Tyne Junior dan Wear Galaxy, dan dia kini sedang bersaing pada pertandingan lain, akhir tahun ini.
“Saya merasakan sesuatu yang menarik apabila menyertai pertandingan ratu cantik ini kerana dapat membantu saya mengumpul wang untuk badan kebajikan, selain memberi keyakinan kepada diri sendiri,” ujarnya.
Ogos lalu, Lane menyertai pertandingan Miss Junior Teen GB dan pada 7 Februari lalu, pula dia dinobatkan sebagai naib juara pada pertandingan Junior Miss Galaxy UK.
Lane kini membuat persediaan untuk menyertai pertandingan Miss Teen Junior di Blackpool pada 25 Oktober ini.
Sebelum ini, Lane juga memenangi tiga anugerah pada pertandingan Junior Miss Galaxy UK termasuk Miss Publicity.
Lane turut melan­carkan kempen Leave Them Alone di Facebook bagi membantu orang lain menangani masalah dibuli.