Saturday, December 26, 2015

Frank Lampard Raih £3.8 Juta Dikesan Belanja Di Kedai Harga Murah £1


Diterbitkan: Sabtu, 26 Disember 2015 8:03 AM

PEMAIN tengah New York City FC, Frank Lampard yang menerima tawaran sebanyak £3.8 juta (RM24.2 juta) semusim dikesan membeli-belah di kedai jualan murah di mana kebanyakan barangan berharga £1 pound (RM6.36).
Portal Mirror melaporkan para pengunjung di kedai Poundland seakan tidak percaya apabila melihat kehadiran bekas pemain Chelsea itu di premis Fulham pada malam Krismas.
Keadaan itu menunjukkan walaupun pemain berusia 37 tahun itu meraih jutaan pound sebagai pemain New York City FC, beliau masih tertarik untuk membeli barangan pada harga yang sangat murah.
Seorang pengunjung Poundland, Eliot Gregory yang berada di kedai itu pada saat akhir mengesan pemain bola sepak itu bersama dua anak perempuannya.
Eliot berkata: "Saya dalam perjalanan keluar dari kedai itu semasa ternampak dia.
"Tidak banyak barang di dalam bakulnya tetapi dia sedang meninjau barang di kedai itu.
"Saya tidak pasti apa yang dia beli atau berapa banyak dia berbelanja.
"Dia bersama dua kanak-kanak perempuan, mungkin itu adalah anak perempuannya. Mereka berada di sekitar dalam kedai itu.
"Tidak ramai yang menyedari kehadiran dia. Kedai itu tidak kosong dan wajahnya begitu mudah untuk dikenali.
"Saya seorang peminat bola sepak. Ia seratus peratus adalah Frank Lampard," kata Eliot.
Bagaimanapun, ia bukan pertama kali Lampard dikesan mengunjungi kedai jualan murah.
Beliau sebelum ini dikesan di kedai Poundland di utara Ireland pada Januari 2012 dan membeli bateri, kacang dan dan keropok pada harga £15 (RM95.54).

Angkasawan Tersilap Buat Panggilan Dari Angkasa


Diterbitkan: Sabtu, 26 Disember 2015 9:10 AM

LONDON: Tim Peake yang merupakan angkasawan warga Britain yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tersilap mendial nombor telefon semasa mahu membuat panggilan ke rumah dari angkasa.
Semasa membuat panggilan, Peake bertanyakan kepada seorang wanita di talian "adakah ini planet Bumi?".
"Saya memohon maaf kepada wanita yang baharu sahaja saya hubungi apabila tersilap mengatakan "Hello, adakah ini planet Bumi? - ia bukanlah panggilan gurauan, tetapi tersilap dial nombor yang salah," katanya menerusi akaun Twitternya.
Peake, 43, adalah angkasawan warga Britain pertama yang dihantar ke stesen angkasa, berlepas dari pangkalan Baikonur cosmodrome di Kazakhstan awal bulan ini untuk melaksanakan misi selama enam bulan. - AFP

Beli Simulator Golf Hasil Pendapatan Perniagaan, Bukan Duit Jariah - KP YAPEIM


Diterbitkan: Jumaat, 25 Disember 2015 7:59 PM
Abibullah Samsudin

KLANG: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa yayasan itu membeli simulator golf menggunakan sumbangan jariah orang ramai.

Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin berkata sebaliknya simulator itu dibeli hasil daripada pendapatan perniagaan yayasan itu.

"Kita tak guna sumber amal jariah (untuk pembelian simulator golf) kerana kita jalankan perniagaan dan ada sumber-sumber kewangan sendiri yang kita gunakan untuk kembangkan perniagaan lain," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kewangan pendidikan kepada waris lima sekeluarga yang mati lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, Sabtu lepas.

Abibullah berkata simulator golf yang kini ditempatkan di bangunan sembilan tingkat milik YaPIEM di Petaling Jaya, dekat sini juga akan dijadikan pusat kecergasan dalaman apabila bangunan itu dinaik taraf kepada hotel bertaraf empat bintang kelak.

Katanya YaPIEM mengambil pendekatan membentuk masyarakat untuk bersukan termasuk golf dan menerusi pembelian simulator itu, permainan tersebut boleh dimain tanpa mengira cuaca kerana ia ditempatkan dalam bangunan.

Pada 17 Disember lepas, Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) dilapor mempersoal pembelian simulator golf berkenaan dan meminta YaPEIM menjelaskan keperluan memiliki permainan itu yang dilabel sebagai peralatan mewah.-Bernama