Tuesday, April 3, 2012

Video gerakan murtad didedah


Datuk Dr Hasan Ali
Datuk Dr Hasan Ali
Hasan Ali tayang rakaman dakwa gerakan Kristianisasi bergerak aktif

PETALING JAYA: Bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam mendedahkan kandungan video pengakuan sepasang suami isteri yang mendakwa dimurtadkan oleh gerakan Kristianisasi yang bergerak aktif di negara ini. Video ditayangkan dalam dua versi, iaitu 16 minit dan 42 minit kepada sekumpulan wakil media di rumahnya di sini, memaparkan pasangan itu menceritakan pengalaman mereka digula-gulakan dengan pelbagai bantuan sebelum dimurtadkan menerusi upacara pembaptisan, selain pengakuan seorang lelaki berusia 27 tahun yang diIslamkan semula dengan mengucap dua kalimah syahadah.
Video berkenaan bagaimanapun tidak dibenarkan dirakam dan diterbit semula oleh media bagi melindungi keselamatan dan reputasi individu terbabit, selain wajah mereka turut dikaburkan serta tidak menggunakan nama sebenar.

Dalam pendedahannya, lelaki itu yang dikenali sebagai Ramli Abdullah, 47 (bukan nama sebenar), mendakwa dibaptiskan di sebuah pangsapuri di ibu negara dengan memasuki kolam renang sebagai upacara simbolik, selepas diyakinkan oleh dua mubaligh Kristian dari Australia bahawa beliau manusia yang berdosa dan satu-satunya jalan untuk masuk ke syurga adalah menerima ajaran agama itu.

“Mereka kemudian memberi saya tempat tinggal dan menaja pengajian saya ke seberang laut bagi memperoleh sijil, sebelum kembali semula ke Malaysia dan bekerja dengan mereka.

“Saya juga diminta tidak menukar nama (kepada nama Kristian) kerana ia didakwa adalah senjata saya serta tidak mahu saya lupa bahawa saya seorang Melayu dan beragama Islam,” katanya. 
Ramli berkata, beliau adalah antara orang yang terbabit dalam proses penterjemahan Bible daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu dan pernah bertemu hampir 400 orang Islam yang murtad dari seluruh negara, termasuk mereka yang masih mengamalkan cara hidup Islam dan mereka yang sudah meninggalkan agama itu.

Isteri Ramli yang dikenali sebagai Zakiah Musa, 42, berkata pengalamannya bersama ibu tunggal menunjukkan golongan itu mudah terpengaruh dengan pelbagai bantuan ditawarkan kumpulan Kristian, selain pendekatan lemah lembut yang digunakan mereka untuk memikat ibu tunggal.





Sementara itu, Hasan berharap usaha beliau melalui Unit Selamatkan Akidah (USA) tidak dipandang remeh dan membuka jalan kepada usaha lebih besar menangani isu murtad di kalangan orang Islam.

“Ini adalah satu permulaan yang baik bagi mendapatkan gambaran berfakta mengenai gerakan Kristianisasi yang selama ini sering dinafikan dan diremehkan pihak yang berkepentingan,” katanya.

Hasan turut membidas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman yang disifatkan beliau sebagai parasit dalam PAS kerana mendakwa pendedahannya mengenai isu murtad tidak penting, sebaliknya isu pengundi hantu dan rasuah perlu diberi keutamaan.

“Inilah jenis pemimpin yang ada dalam PAS dan pemimpin seperti inilah yang perlu disingkirkan,” katanya.

Safee Sali ceraikan Sabrina


WAJAH Sabrina dan Safee selepas selesai prosiding perceraian mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam.



SHAH ALAM - Pemain bola sepak termahal negara, Safee Sali yang ketika ini mewakili kelab Pelita Jaya FC di Indonesia sah bercerai talak satu dengan isterinya, Sabrina Yusof di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Lafaz cerai itu dilakukan Safee dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Nazib Johari.
Peguam kepada Sabrina, Izura Nashuha Abdul Hadi berkata, dalam prosiding itu, pasangan tersebut bercerai secara baik dan semua isu berhubung tuntutan perkara-perkara lain juga diselesaikan mengikut persetujuan bersama.
Katanya, hak penjagaan dua anak perempuan mereka iaitu Nur Syasya Sofirna, 2, dan Nur Syaza Syaqina, 4, diberikan kepada Sabrina untuk dipelihara di kampung halamannya di Kuching, Sarawak.
Sabrina yang hadir di mahkamah dengan bertudung merah dan berbaju kurung corak bunga ketika ditemui berharap tiada lagi spekulasi berkenaan hubungannya dengan Safee memandangkan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung krisis rumah tangga mereka sebelum ini.
"Saya berharap tiada lagi spekulasi diperkatakan kerana saya sendiri bersama keluarga tidak pernah membuat sebarang kenyataan," katanya.

Suu Kyi rai kemenangan


Suu Kyi rai kemenangan


SUU KYI melambaikan tangan ke arah para penyokongnya di Yangon semalam.


YANGON - Ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi (gambar kecil) yang menang pada pilihan raya kecil di Myanmar berharap kemenangannya akan membuka era baharu di negara berkenaan.
Suu Kyi menyatakan demikian ketika berucap kepada beribu-ribu penyokong di luar ibu pejabat parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi yang dianggotainya semalam.
Beliau berucap sehari selepas partinya mendakwa beliau telah memenangi kerusi Parlimen bagi kawasan Kawhmu.
"Kejayaan kita ialah kejayaan rakyat," kata Suu Kyi.
"Ia ialah kejayaan rakyat yang membuat keputusan bahawa mereka perlu terlibat dalam proses politik di Myanmar.
"Kita berharap kemenangan ini akan menjadi permulaan untuk satu era baharu," tambahnya lagi.
Pilihan raya berkenaan menjadi pentas kepada bekas tahanan politik itu untuk menjadi wakil rakyat buat kali pertama dan menerajui blok pembangkang dalam Parlimen Myanmar yang didominasi pihak tentera.
Keputusan rasmi pilihan raya kecil berkenaan dijadualkan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pilhan raya kecil itu diadakan bagi memilih 45 wakil rakyat baharu. - Agensi