Wednesday, July 8, 2015

Jenain akui tidak sepatutnya tembak Aminulrasyid

Aminulrasyid Amzah
Aminulrasyid Amzah

SHAH ALAM - Koperal Jenain Subi hari ini mengakui bahawa beliau tidak sepatutnya melepaskan tembakan ke arah kereta Iswara putih dipandu Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang maut kena tembak kira-kira lima tahun lepas.

Anggota polis itu juga bersetuju dengan cadangan peguam N.Surendran yang mewakili keluarga Aminulrasyid dalam kes saman ke atas beliau (Jenain) dan empat yang lain di Mahkamah Tinggi di sini, bahawa tindakan lari daripada pemeriksaan polis bukan satu keadaan yang membolehkan beliau melepaskan tembakan ke arah kereta remaja itu.

Selain itu, Jenain yang merupakan defendan pertama turut bersetuju dengan cadangan Surendran bahawa fakta Aminulrasyid tidak mengendahkan bunyi siren daripada kereta peronda yang mengejarnya tidak mengizinkan anggota polis itu melepaskan tembakan.

"Ketika kamu melepaskan tembakan tidak ada apa-apa maklumat yang menunjukkan Aminulrasyid dan rakannya di dalam kereta Iswara BET 5023 adalah penjenayah," kata Surendran dan Jenain menjawab "setuju".

Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung Aminulrasyid, Nor Azura, 45, selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

Saman sivil itu difailkan bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid, 15, akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Jenain.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Jenain, 52, yang ketika kejadian bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berkata ketika melepaskan tembakan beliau menggunakan senjata api jenis sub-mesingan SK MP5 yang dilaraskan kepada mode auto.

"Kenapa guna mode auto bukan manual," soal Surendran.

"Semasa tekan picu mungkin saya tertekan ke mode auto jadi saya tembak terus keluar 21 das tembakan," jawab Jenain.

"Adakah anda tersalah set ke mode auto," soal Surendran dan Jenain menjawab "ya".
"Oleh kerana silap anda telah tertembak terlalu banyak peluru ke arah kereta dipandu Aminulrasyid," soal Surendan dan anggota polis itu menjawab "ya".

Dalam pernyataan saksinya, Jenain yang diwakili peguam Zulkifly Omar berkata ketika melepaskan tembakan beliau menganggap pemandu kereta Iswara itu adalah seorang penjenayah yang ingin melarikan diri walaupun telah diarah untuk berhenti dan dikejar oleh kereta peronda yang dinaiki beliau sejauh kira-kira dua kilometer.

Anggota polis itu berkata beliau telah melepaskan tembakan ke arah bahagian bawah kereta dipandu Aminulrasyid dengan tujuan untuk menghentikan kereta tersebut.

"Saya dan pemandu peronda SL 614 (kereta peronda dinaiki Jenain) dan sebuah lagi kereta peronda SL 589 telah berusaha cuba memintas kereta BET 5023 dengan siren yang sentiasa berbunyi tetapi pemandu BET 5023 tidak langsung mengendahkan semua ini," katanya.

Sementara itu ketika disoal balas Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub yang mewakili empat defendan lain, Jenain berkata cara pemanduan Aminulrasyid ketika dikejar kereta peronda polis agak agresif berdasarkan kepada tindakan remaja itu memandu secara zig-zag ke kiri dan ke kanan untuk mengelak kereta peronda daripada memotong keretanya serta melanggar semua empat lampu isyarat di persimpangan Seksyen 9 dan di Bulatan Kayangan.

Beliau berkata dari cara pemanduan Aminulrasyid boleh dikatakan remaja itu berpengalaman dan cekap memandu kereta.

"Saya katakan apabila melihat cara pemanduan kereta Iswara BET 5023 di awal pagi dan bila polis minta berhenti tidak berhenti, yang ada dalam fikiran kamu orang yang ada dalam kereta itu telah lakukan kesalahan dan cuba elak diri dari ditangkap polis," kata Normastura dan Jenain menjawab "ya".

"Anda tidak pernah sangka yang pandu kereta itu ialah seorang budak remaja umur 15 tahun," kata Normastura dan Jenain menjawab "benar".

Turut memberi keterangan pada hari ini ialah saksi terakhir plaintif iaitu Ketua Biro New Straits Times Selangor, Tengku Mazlinda Tengku Mahmood.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung esok. – Bernama

Dana Petronas talian hayat Najib selamatkan 1MDB?

Mohd Rafizi Ramli
Mohd Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – PKR tidak menolak kemungkinan dana Petronas akan digunakan sekali lagi bagi menyelamatkan syarikat atau agensi kerajaan yang bermasalah termasuk syarikat pelaburan 1Malaysia Develepoment Berhad (1MDB).

Naib Presidennya, Rafizi Ramli mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan “talian hayat” itu sebagai pilihan utama untuk menyelesaikan masalah syarikat yang sarat dengan hutang itu dengan alasan sebagai salah satu pelaburan.

“Apatah lagi kerana Tun Razak Exchange begitu rapat dengan KLCC, mungkin boleh digunakan alasan, ia sebahagian daripada pelaburan Petronas dalam hartanah di sekitar KLCC.

“Semasa zaman Tun Dr Mahathir pun wang Petronas digunakan untuk menyelamatkan Bank Bumiputera, Proton, MISC dan termasuk juga syarikat perkapalan milik anak bekas Perdana Menteri itu sendiri,” katanya kepada Sinar Online, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tulisan komentar di laman Wall Street Journal (WSJ) yang memberi amaran bahawa dana Petronas mungkin akan digunakan untuk menyelamatkan 1MDB sekiranya pelaburan syarikat itu menemui kegagalan.

Amaran itu dibuat WSJ berdasarkan penelitian ke atas perkembangan isu tersebut, apabila 1MDB kini terpaksa menjual asetnya bagi menampung beban hutang.

Ditanya tentang sebarang cara untuk menghalang dana Petronas daripada disalahgunakan bagi tujuan tersebut, Rafizi berkata lagi ianya agak mustahil melainkan Perdana Menteri dilucutkan jawatan atau 1MDB itu ditutup.

“Ianya juga boleh berlaku sekiranya BN kalah pada PRU14. Selagi BN berkuasa dan juga Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, risiko dana Petronas itu digunakan memang tinggi,” katanya lagi.

Najib tuntut penjelasan WSJ



Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menuntut penerbit The Wall Street Journal (WSJ) memberi penjelasan terhadap artikel berkaitan dakwaan pemindahan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke akaun peribadi Perdana Menteri.
Firma undang-undang Perdana Menteri, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat tuntutan itu kepada lembaga pengarah Dow Jones and Company Inc yang beribu pejabat New York, Amerika Syarikat, hari ini.
Dalam satu kenyataan, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti fakta untuk meneruskan arahan selanjutnya melalui pihak yang terbabit dalam penulisan, mengedar dan menerbitkan artikel berkenaan.
"Ini adalah untuk membolehkan 'perkhidmatan surat undang-undang atau dokumen mahkamah'," kata kenyataan firma peguam itu.
Jelasnya, pihaknya mempunyai arahan untuk 'menangani semua penyelesaian yang mungkin atau munasabah di mana pelanggan kami akan diberi nasihat atas tindakan fitnah, tindakan selanjutnya dan penyelesaian termasuk sebarang pelanggaran undang-undang oleh WSJ dan syarikat berkaitan dan (jika ada) komplot."
"Ini bukan satu tindakan undang-undang secara terus disebabkan oleh dakwaan negara dan antarabangsa.
"Kami telah diarahkan untuk mengenal pasti fakta dan meletakkan fakta yang lengkap, sebelum pelanggan kami, mampu untuk meneruskan arahan selanjutnya," katanya.

Kasino tidak dibenarkan dibina di P Pinang

lim guan eng
Guan Eng

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menafikan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang akan membina sebuah kasino di negeri ini seperti yang didakwa oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah Teh Yee Cheu.
 
Beliau berkata dasar kerajaan negeri amat jelas iaitu tidak akan membenarkan sebarang kasino di Pulau Pinang kerana ia tidak bersesuaian untuk ekonomi dan masyarakat tempatan. 
 
"Saya amat terkejut dengan kenyataan itu kerana ia memang satu fitnah. Saya telah nyatakan sebaik saya menjadi Ketua Menteri pada 2008, pendirian saya dan kerajaan negeri adalah kasino tidak akan dibenarkan dibina di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
 
Akhbar berbahasa Cina bertarikh 22 Jun lepas melaporkan Yee Cheu, wakil rakyat DAP itu sebagai berkata beliau mendengar khabar angin bahawa sebuah kasino akan dibina di Bukit Bendera, dekat sini.  
 
Sementara itu, mengenai pameran Seni Jalanan Transformers yang pertama di Asia, Guan Eng berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1.1 juta untuk program yang berlangsung dari 19 Julai hingga 17 September di Padang Kota Lama, di sini. 
 
Beliau berkata bersempena dengan pameran itu, orang ramai turut diberi peluang untuk bertemu dan bergambar dengan karakter utama filem Transformers iaitu 'Optimus Prime' dan 'Bumblebee' pada 10 Julai.  
 
"Saya rasa inilah sesuatu yang amat diperlukan untuk menghadapi dan menangani kegawatan ekonomi. Jadi, kami menjemput semua datang. Ini adalah hadiah daripada kerajaan negeri," katanya. - Bernama

PM Serbia sahkan hadiri ulang tahun peringati tragedi Srebrenica



PEMANDANGAN Pusat Memorial mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Bosnia Serb ke atas 8,000 orang Islam di Potocari, Srebrenica, Bosnia-Herzegovina menjelang upacara memperingati ulang tahun ke-20 tragedi itu, Sabtu ini. Gambar kecil, Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic. - Foto Reuters
BELGRADE: Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic mengesahkan akan ke Srebrenica, Sabtu ini bagi menghadiri upacara memperingati ulang tahun ke-20 pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Bosnia Serb ke atas 8,000 orang Islam.
"Tiba masanya untuk kita memberitahu bahawa kita bersedia ke arah perdamaian dan kita bersedia untuk menundukkan kepala kepada keluarga mangsa," kata Vucic kepada pemberita hari ini.
"Itu sebabnya kerajaan Serbia malam ini memutuskan sebagai Perdana Menyeri, saya akan mewakili Republik Serbia di Srebrenica pada 11 Julai," katanya.
Hampir 8,000 dewasa dan budak lelaki Islam dibunuh oleh tentera Bosnia Serb selepas Srebrenica ditawan pada Julai 11, 1995.
"Saya akan pergi dengan rasa bangga mewakili Serbia... yang membolehkan kita mengaku bahawa ada individu rakyat kini melakukan jenayah," kata Vucic.
"Mereka ini mempunyai nama. Kita kutuk setiap seorang daripada mereka kerana melakukan jenayah kejam ini dan kita akan hukum setiap penjenayah ini," katanya.

PEMANDANGAN Pusat Memorial yang menempatkan ribuan mangsa pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam dalam sejarah Eropah selepas Perang Dunia Kedua. - Foto Reuters
Pembunuhan itu dilakukan ketika tempoh akhir sebelum tamatnya perang Bosnia 1992-1995 yang meragut lebih 100,000 nyawa.
Ia adalah pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam dalam sejarah Eropah selepas Perang Dunia Kedua.
Sepanjang tempoh yang lama ahli politik Serbia dan Bosnia menafikan pembunuhan dalam skala yang ramai ini walaupun dua tribunal antarabangsa mengisytiharkannya sebagai jenayah kekejaman.
Pada 2005, Presiden Serbia ketika itu, Boris Tadic menghadiri upacara 10 tahun memperingati pembunuhan beramai-ramai itu, dan menjadi pemimpin pertama dari negaranya melawat tapak pembunuhan.
Pada 2010 Parlimen Serbia, mengambil ketetapan mengutuk keras kekejaman itu dan tiga tahun selepas itu, bekas Presiden Serbia, Tomislav Nikolic mengeluarkan permintaan maaf secara peribadi.
Bagaimanapun, semua pemimpin Serbia - termasuk Vucic, seorang bekas nasionalis ultra pro-Eropah, menolak ketetapan bahawa pembunuhan kejam itu sebagai satu penghapusan. - AFP

AS ke arah kurangkan 40,000 anggota tentera - Pegawai Pertahanan

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan mengurangkan 40,000 anggota tenteranya dalam tempoh dua tahun lagi sama ada yang berkhidmat di dalam negara atau negara luar, demikian menurut pegawai pertahanan.
Langkah itu termasuk dalam pelan pengurangan kos kerajaan dengan menyaksikan jumlah tentera akan dikurangkan menjadi 450,000 sahaja pada penghujung tahun 2017 dalam belanjawan tahunan negara.
Laporan USA Today berkata, secara perbandingan, jumlah askar Amerika melonjak kepada 570,000 yang terdiri lelaki dan wanita ketika kemuncak peperangan Iraq dan Afghanistan.
Akhbar itu berkata, kira-kira 17,000 lagi orang awam berkhidmat dalam angkatan tentera yang juga akan dikurangkan, demikian disahkan pegawai tentera mengesahkan laporan USA Today.
Akhbar itu memetik satu dokumen yang diperoleh dan pengurangan itu adalah sebahagian daripada langkah penjimatan.
Langkah itu akan meliputi jawatan di semua peringkat sama ada domestik dan juga luar negara, lapor USA Today.
Pegawai Pertahanan berkata, pihak tentera akan mengumumkan pengurangan bilangan anggota tentera itu dan USA Today berkata perkara itu akan dijelaskan minggu ini. - AFP
TENTERA Amerika Syarikat.

1MDB: Pimpinan Umno Diminta Keluar Dan Beri Penjelasan


Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2015 10:49 AM
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

PETALING JAYA: Umno mahu kepimpinan parti meningkatkan usaha memperjelaskan isu 1MDB kepada ahlinya dan orang ramai bagi mengelakkan krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, parti itu menghadapi 'masalah kepercayaan' yang perlu ditangani.

"Kita tidak boleh membiarkan isu itu berterusan tanpa apa-apa penjelasan. Kita perlu memberi kefahaman kepada orang ramai. Mereka tidak dapat membentuk pendapat tanpa memperoleh maklumat yang disahkan.

"Pasti, mereka boleh mendengar semua spekulasi, tetapi mereka tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan. Sebagai parti politik yang memerintah, kita perlu menghadapi dan menangani masalah ini dengan menerangkan dan memberi maklumat yang betul," katanya.

Tajuddin memberi amaran bahawa parti itu akan menghadapi 'defisit kepercayaan' jika masalah itu tidak ditangani.

Enam Akaun Bank Dibeku


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 2:51 PM

PETALING JAYA: Enam akaun bank pihak yang dipercayai terlibat dengan dakwaan penyaluran sejumlah besar dana ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dibekukan.
Menurut kenyataan bersama Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan tersebut, perintah pembekuan bagi enam akaun berkenaan dikeluarkan pada 6 Julai.
"Selain itu, Pasukan Petugas Khas telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua bank bagi membantu siasatan.
"Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit.
"Siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Pasukan Petugas Khas itu dianggotai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Pada 4 Julai lalu, Gani mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Najib membabitkan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, pihak berkuasa sudah menghantar pasukan siasatan ke syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk mengadakan serbuan dan sudah memperoleh dokumen dari ketiga-tiga premis terbabit.
Gani juga mengesahkan sudah meneliti beberapa dokumen untuk disemak termasuk dokumen yang berkaitan dengan dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri.
Terdahulu, Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Jumaat mendakwa siasatan kerajaan terhadap 1MDB mendapati wang berjumlah berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi Najib.
Di dalam laporannya, WSJ mendakwa dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.
Sarawak Report pula mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan. 

Segera Beku Semua Urus Niaga 1MDB - Guan Eng


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 3:45 PM
 Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta semua urus niaga membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibekukan segera susulan dakwaan sejumlah besar dana milik syarikat itu dipindahkan ke akaun peribadi perdana menteri.
Beliau berkata, pembekuan tersebut perlu selepas mengambil kira mungkin wujud salah laku dalam urusan perniagaan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
"Kita kena tuntut perniagaan 1MDB dibekukan dengan segera, mungkin ada salah laku," katanya pada sidang media selepas pertemuan tergempar Ahli Parlimen Pembangkang bersama badan bukan kerajaan (NGO) di tapak padang kawad Parlimen pada Selasa.
Kira-kira 100 Ahli Parlimen pembangkang dan NGO bermesyuarat secara santai di luar bangunan Parlimen bagi membincangkan dakwaan mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penyelewengan dana 1MDB.
Malah, Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk membekukan urusan perniagaan tanah 1MDB di negeri itu.
"Saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang akan memulakan tindakan membekukan urusan tanah di Pulau Pinang. Kita minta negeri lain pun bertindak sedemikian," katanya.
Jelas beliau, kemelut 1MDB turut memberi kesan kepada ekonomi negara sehingga menyebabkan Ringgit Malaysia mengalami kejatuhan teruk.
"Saya percaya ekonomi kita hanya akan pulih selepas isu 1MDB ini selesai," katanya.
Beliau turut menuntut supaya perdana menteri membubarkan Parlimen dengan segera bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum yang baharu diadakan.
"Kita menuntut supaya pilihan raya umum yang baharu diadakan segera. Kita mahu pilihan raya yang bersih supaya dapat mewujudkan kerajaan bersih," katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak Najib supaya mengambil cuti rehat bagi membolehkan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan 1MDB disiasat tanpa halangan.
"Beliau wajar ambil cuti. Kami mahu beliau bersikap 'gentleman' dengan membenarkan badan bebas untuk mengetuai siasatan ini. Dakwaan ini adalah perkara serius dan melibatkan kepercayaan yang besar," katanya.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pengakuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah meneliti  dokumen siasatan 1MDB membuktikan dakwaan itu amat serius.
Malah, dakwa beliau, tindakan polis tidak membenarkan Ahli Parlimen Pembangkang untuk menggunakan bilik mesyuarat di bangunan Parlimen membuktikan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
"Kami datang untuk bermesyuarat tetapi dilayan seperti ini. Ia membuktikan ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Mengapa sukar untuk benarkan kami guna bilik taklimat itu?," soalnya.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan yang turut hadir pada mesyuarat tergempar itu menyokong gesaan pemimpin DAP dan PKR terhadap Najib supaya mengambil cuti rehat bagi melancarkan siasatan.
"Kami hadir untuk menunjukkan solidariti dan kesatuan terhadap pimpinan pembangkang dan NGO terhadap isu 1MDB. Kita juga sokong tindakan selepas ini," katanya.
Ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, keadaan kesihatan Presiden PAS itu tidak begitu mengizinkan.
"Beliau tak sihat. Beliau ada di sini beberapa hari lalu. Saya dan beberapa pemimpin PAS yang lain ada sebagai wakil," katanya.

Najib, 1MDB Malukan Negara - Tun M


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 4:08 PM
Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan bahawa tindakan beliau mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akhbar harian Amerika Syarikat, The New York Times memalukan negara.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berkata, Najib dan isu membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lebih memburukkan Malaysia di mata dunia.

"Sesungguhnya yang memalukan negara ialah Datuk Seri Najib dengan 1MDBnya.

"Sebelum ini, negara tidak pernah dicemuh dengan tuduhan-tuduhan yang tidak terjawab seperti sekarang," katanya menerusi posting terbaharu di blog chedet.cc pada Selasa.

Selain itu, Dr Mahathir membidas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kerana berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan apabila skandal 1MDB melibatkan Najib mendapat liputan meluas media asing.

"Saya dicela oleh Anifah Aman kerana memalukan negara dengan ditemubual oleh The New York Times.

"Mungkin Anifah tidak pernah baca surat khabar Amerika sebelum usaha untuk memburukkan nama saya dijadikan asas mempertahankan Najib.

"Tetapi seluruh dunia tahu berkenaan Datuk Seri Najib, Jho Low dan 1MDB. Ini disebabkan akhbar terkenal Wasington, New York dan London telah menyiarkan rencana panjang sehingga empat muka berkenaan skandal 1MDB, Najib dengan cara hidup mewahnya, Jho Low sahabat karibnya dan Riza Aziz, anak tirinya yang membiayai filem lucah The Wolf of Wall Street," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan sikap Anifah kerana mengabaikan kajian pakar Barat mendakwa Malaysia adalah satu dari 10 negara yang mempunyai tahap rasuah tertinggi di dunia.

"Tetapi Anifah tidak malu dengan semua laporan ini. Tidak ada sepatah pun disuarakan olehnya. Semua laporan yang memburukkan Malaysia dibuat sebelum saya mengkritik Datuk Seri Najib.

"Jika Anifah tahu malu, waktu akhbar-akhbar ini buat laporan dia sepatutnya sudah malu. Dia sepatutnya menyoal Datuk Seri Najib akan skandal berkenaan dan laporan akhbar asing.

"Dia sepatutnya menasihatkan Najib supaya tidak bersahabat dengan Jho Low dan melarang anak tirinya dari berlagak sebagai hartawan kaya." katanya.

Demonstrasi Tuntut Penjelasan PM - Pembangkang


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 4:27 PM
Ahli Parlimen pembangkang dan NGO yang mengadakan perjumpaan di kawasan bersebelahan padang kawad Parlimen, Selasa.

KUALA LUMPUR: Pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan demonstrasi besar-besar dalam masa terdekat bagi menuntut penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan beliau.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, demonstrasi itu juga sebagai desakan kepada perdana menteri supaya meletak jawatan atau sekurang-kurangnya bercuti bagi membolehkan isu itu disiasat.
"Saya rasa suara-suara itu kuat sekarang. Dengan mesyuarat hari ini, Perdana Menteri tak boleh lagi menafikan atau berdolah-dalih dalam hal ini.
"Jika beliau berdolak-dalih, demonstrasi akan diadakan secara besar-besaran. Saya tidak nafikan perkara ini akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tergempar pembangkang dan NGO di padang kawat Parlimen di sini, Selasa.
Loke berkata demonstrasi yang akan melibatkan pelbagai parti politik, NGO, gerakan mahasiswa itu diadakan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.
"Demonstrasi itu bukan demi kepentingan mana-mana parti tapi lebih kepada gerakan rakyat " katanya.
Terdahulu, seramai 100 Ahli Parlimen dan NGO berkumpul di padang kawad Parlimen bagi mesyuarat mengenai pendedahan agensi berita antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan sejumlah besar dana 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Najib bagaimanapun telah menafikan penemuan WSJ pada Jumaat, dengan menyatakan bahawa ia adalah muslihat politik oleh lawan-lawannya untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

Dedah Bukti Jika Pusat Masih Lengahkan Perjanjian Air - Azmin


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 5:16 PM
Azmin desak kerajaan Pusat segera muktamadkan perjanjian air dengan Selangor.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengugut untuk mendedahkan beberapa bukti bahawa kerajaan Persekutuan sengaja melengahkan perjanjian air dengan negeri itu jika isu tersebut tidak segera dimuktamadkan.
Beliau berkata, beberapa siri pertemuan telah diadakan terutamanya dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTha) untuk memuktamadkan perjanjian itu tetapi sehingga hari ini tiada perkembangan terbaharu mengenainya.
"Sekiranya perkara ini tak dapat diselesaikan, saya tak ada pilihan melainkan memberitahu kepada umum tentang tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan Persekutuan.
"Jangan persalahkan kerajaan negeri. Saya boleh dedahkan banyak bukti yang menunjukkan kerajaan Persekutuan berdolak dalih dan melengahkan perjanjian ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tergempar Ahli Parlimen pembangkang dan badan bukan kerajaan mengenai pendedahan agensi berita Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan sejumlah besar dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau kecewa kerana menerima notis daripada pejabat peguam negara yang menyatakan aset air milik syarikat konsesi air mesti diserahkan bersama tanah.
"Sebelum ini kedua-dua pihak bersetuju supaya aset-aset air milik syarikat konsesi air diserah tanpa tanah dan persetujuan sudah dicapai.
"Tapi hari ini saya dapat notis dari  pejabat peguam negara, aset air mesti diserahkan dengan tanah. Jadi sampai bila isu ini akan dimuktamadkan," katanya.
Malah, Azmin turut merayu kepada KeTTha supaya tidak menukar pendirian mereka mengenai perjanjian air ini.
"Saya masih menunggu, sepatutnya dalam masa terdekat menandatangani perjanjian yang perlu dimuktamadkan. Saya kecewa kerana KeTTha sering menukar pendirian," katanya.
Pada 3 Jun lalu, KeTTha menerusi menterinya, Datuk Maximus Ongkili bersetuju urusan pindah milik aset air syarikat konsesi (CCWA) kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dibuat tanpa pajakan aset tanpa tanah.
Bagaimanapun, pada Isnin, kementerian itu dilaporkan membuat pusingan U apabila mengumumkan untuk memajak aset dan tanah milik kerajaan negeri.

Pembunuhan Pengasas AmBank Tiada Kaitan 1MDB - KPN


Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2015 11:06 AM
Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi yang ditembak mati di Bukit Bintang pada Julai 2013 tidak mempunyai kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau yang menafikan dakwaan itu berkata, ia disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan susulan itu pihaknya  menyiasat perkara tersebut.
"Satu fitnah. Ia (kes pembunuhan Hussein) tak ada kaitan dengan 1MDB, tak benar sama sekali," katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Op Selamat 7)2015 di sini, Rabu.
Berikutan dakwaan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Selasa menggesa Khalid supaya membuka semula kes pembunuhan pengasas AmBank itu.
"Pihak polis seharusnya menyiasat sama ada betul atau tidak bahawa pada Mac 2013, Hussein telah dilaporkan ke Bank Negara mengenai sejumlah besar wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dan kemudiannya mengenai sejumlah besar wang yang dikeluarkan dari bank-bank tersebut; dan Hussein telah membuat laporan polis tentang perkara itu pada 28 Julai 2013 apabila tiada sebarang tindakan daripada Bank Negara," dakwa Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.
Jumaat lalu, Najib menyangkal laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke akaun peribadinya.

Najib Boleh Tunjuk Akaun-Akaun Peribadi - Tun M


Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2015 11:24 AM
Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA: Kontroversi mengenai dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil dana kerajaan AS$700 juta (RM2.6 bilion) boleh dijawab jika beliau bertindak menunjukkan akaun banknya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata amat mudah untuk Najib membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya itu tidak benar berbanding menafikannya.

"Apabila ada yang membuat dakwaan terhadapnya tentang sesuatu, beliau berkata ia adalah satu komplot, mengarut, ia tidak benar.

"Buktikan bahawa ia tidak benar. Sangat mudah untuk beliau membuktikan bahawa ia tidak benar.

"Beliau mempunyai akaun-akaun bank, apa yang beliau patut buat ialah berkata: 'Anda periksalah akaun saya, anda lihatlah," kata Dr Mahathir dalam temu bual dengan BBC UK yang disiarkan Rabu.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas tuduhan Perdana Menteri  bahawa beliau telah 'berkerjasama' dengan pihak asing dalam usaha mewujudkan krisis politik.

Najib turut menuduh Mahathir sebagai 'mahu menjatuhkannya' kerana enggan memenuhi kehendak bekas perdana menteri itu.

Dakwaan terhadap Mahathir dibuat selepas Wall Street Journal (WSJ), pada JUmaat melaporkan bahawa AS$700 juta dana 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib di Ambank.

Najib bagaimanapun telah menafikannya, menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengambil dana kerajaan untuk kepentingan peribadi.

Mengulas lanjut Mahathir berkata penafian semata-mata adalah tidak mencukupi.

"Itu hanya satu penafian. Sesuatu penilaian hanya boleh dibuat dengan bukti. Anda kata anda menafikannya, marilah kita tengok akaun-akaun tu," katanya.

Peguam Umno Siapkan Tuntutan Saman Terhadap Penerbit WSJ


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 6:13 PM

PETALING JAYA: Peguam Umno sedang menyiapkan dokumen tindakan undang-undang terhadap Dow Jones, penerbit The Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan pemindahan dana sebanyak RM2.6 bilion, sebelum memfailkan saman di Amerika Syarikat.
Pada masa sama, barisan peguam terlibat juga mendapatkan pandangan peguam berpangkalan di New York yang pakar berkaitan kes fitnah.
"Kami masih menyiapkan aspek perundangan sebelum menghantar surat kepada Dow Jones," kata sumber itu.
Pada Jumaat, WSJ mendakwa siasatan terhadap 1MDB mendapati wang mencecah AS$700 juta disalurkan ke akaun peribadi Najib sebelum pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, 1MDB menyangkal dakwaan itu, manakala Najib menafikan mengambil sebarang dana untuk kepentingan peribadi dan mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap pembohongan terbaharu itu.
Pada Ahad, Najib memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ dalam masa terdekat selepas berunding dengan peguamnya.
Setakat ini, WSJ mempertahankan laporan dengan menegaskan pihaknya memiliki dokumen kukuh untuk menyokong dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula mengesahkan beliau telah meneliti dokumen berkaitan kes itu.
Gani juga memaklumkan pasukan khas yang ditubuhkan telah menyerbu tiga premis syarikat yang didakwa menyalurkan dana ke akaun peribadi Najib, iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

WSJ Dedah Dokumen Dakwa Dana 1MDB Ke Akaun Peribadi


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 6:57 PM
Dokumen bagaimana dana 1MDB dari beberapa syarikat disalurkan ke akaun peribadi seperti didakwa telah didedahkan WSJ pada Selasa.

PETALING JAYA: Sembilan dokumen yang memperincikan bagaimana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan ke akaun bank milik Datuk Seri Najib Tun Razak didedahkan The Wall Street Journal (WSJ).
Akhbar bisnes harian antarabangsa itu menerbitkan artikel bertajuk "Dokumen Kerajaan Daripada Siasatan Najib Razak" di laman webnya pada Selasa dengan menyatakan dokumen itu diperoleh daripada "penyiasat kerajaan Malaysia".
Dokumen itu menunjukkan bagaimana pihak bank memindahkan daripada beberapa syarikat ke akaun peribadi Najib pada Mac 2013, Disember 2014 dan Februari 2015.
WSJ juga menyiarkan surat kuasa wakil ke atas bank akaun Najib bertarikh 20 Januari 2014.
Bagaimanapun, beberapa maklumat seperti lima digit terakhir akaun AmIslamic Bank Bhd yang dikatakan milik Najib telah disunting.
Terdahulu pada Selasa, pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan itu memaklumkan enam akaun bank berkaitan penyaluran dana itu dibeku.
Pada Jumaat, WSJ mendakwa siasatan terhadap 1MDB mendapati wang mencecah AS$700 juta disalurkan ke akaun peribadi Najib sebelum pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, 1MDB menyangkal dakwaan itu, manakala Najib menafikan mengambil sebarang dana untuk kepentingan peribadi dan mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap pembohongan terbaharu itu.
Pada Ahad, Najib memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ dalam masa terdekat selepas berunding dengan peguamnya.
Setakat ini, WSJ mempertahankan laporan dengan menegaskan pihaknya memiliki dokumen kukuh untuk menyokong dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula mengesahkan beliau telah meneliti dokumen berkaitan kes itu.
Gani juga memaklumkan pasukan khas yang ditubuhkan telah menyerbu tiga premis syarikat yang didakwa menyalurkan dana ke akaun peribadi Najib, iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Adebayor peluk Islam

Emmanuel Adebayor
Emmanuel Adebayor

DALAM tempoh sepanjang Ramadan, dua bintang bola sepak Afrika, Emmanuel Adebayor dan Emmanuel Emenike dilaporkan memeluk Islam.

Penyerang Tottenham Hotspur itu mengucap dua kalimah syahadah di negara kelahirannya, Togo, Ahad lalu sementara Emenike pula, dia memaklumkan sudah memeluk Islam ketika bersembang dengan jurulatih Fenerbahce SK, Vitor Pereira.

Perbualan itu terjadi selepas Emenike tidak turun bersarapan bersama rakan sepasukan.

“Saya berpuasa,” kata Emenike.

“Awak bukan Islam,” balas Pereira.

“Saya sudah memeluk Islam dan saya seorang Muslim,” kata penjaring terbanyak Piala Afrika 2013 berkenaan.