Sunday, March 29, 2015

Guan Eng Menang Kes Saman, Diberi Ganti Rugi RM450,000


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 8:01 PM

Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Khamis memenangi kes samannya terhadap Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim  dan enam lain berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Oktober 2011.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Lim selaku plaintif terhadap kesemua defendan dan memerintahkan ganti rugi RM450,000 dibayar kepada anggota Parlimen Bagan, Pulau Pinang itu.

Nor Bee ketika membuat keputusan itu memerintahkan Ruslan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM150,000 kepada Lim.

Hakim itu juga memerintahkan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (NSTP) Datuk Syed Nadri Syed Harun dan The New Straits Time Press (M) Sdn Bhd membayar ganti rugi yang sama berjumlah RM200,000.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M) Berhad diperintah membayar ganti rugi sama berjumlah RM200,000 kepada Lim.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM60,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Nor Bee, dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati perkataan yang diadukan oleh defendan adalah memfitnah Lim dan mahkamah juga mendapati kesemua defendan gagal dalam pembelaan justifikasi mereka.

Hakim itu berkata kesemua defendan sepatutnya perlu membuktikan ulasan yang dibuat adalah betul dan saksama sebelum ia disiar atau diterbitkan dan bukannya terus menyiarkannya tanpa membuat sebarang pengesahan.

"Dalam kes ini, mahkamah juga mendapati Kumpulan Utusan dan NSTP gagal mempamerkan kewartawanan bertanggungjawab," katanya.

Pada 11 Mei 2012, Lim memfailkan saman fitnah terhadap kesemua defendan selepas mendakwa Ruslan menerbitkan satu kenyataan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Oktober 2011 yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahaya memberi penjelasan berhubung pertemuannya (Lim) bersama Datuk Seri Kalimullah Hassan dan pemimpin kanan parti PAP Singapura pada 12 Ogos 2011.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan yang dikeluarkan itu membawa maksud bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Oleh itu, Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, yang kesemuanya berjumlah RM15 juta serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Ruslan ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding menerima keputusan yang diputuskan oleh mahkamah dengan hati terbuka.

"Saya akur dengan keputusan mahkamah dan ini menunjukkan mahkamah adalah sebuah badan bebas serta tidak diperalatkan oleh kerajaan," katanya dan menambah mungkin akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.
Lim yang tidak hadir pada prosiding hari ini (Khamis) diwakili peguam Americk Sindhu, pihak defendan daripada Kumpulan Utusan dan NSTP diwakili peguam Lim Qi Si manakala peguam Saleh Ahmad mewakili kesemua defendan daripada Perkasa.

Lembaga Pengampunan Lupus Petisyen Kes Liwat Anwar


Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2015 11:00 AM

KUALA LUMPUR: Petisyen pengampunan diraja berhubung hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difailkan keluarganya telah dilupuskan.

Bagaimanapun tidak dinyatakan status permohonan tersebut.

Ia hanya akan akan diumumkan dalam Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di sini pada Rabu depan, kata peguamnya N. Surendran.

#KitaLawan: Reman Ditolak, Khalid Samad Bebas


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 4:30 PM
 Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
ariff@thestar.com.my

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan #KitaLawan pada Sabtu dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan permohonan reman terhadapnya.

Peguam Michelle Yesudas menerusi Twitter memberitahu bahawa majistret Nurul Ain Abd Rahim turut menolak reman ke atas dua pelajar universiti yang ditahan berhubung perhimpunan sama.

"Dua pelajar universiti ditangkap semalam dan Khalid Samad bebas, reman ditolak," demikian tulis Michelle.

Pada awal pagi Ahad, Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata, Khalid ditahan di kediamannya di Shah Alam, kira-kira 3.20 pagi Ahad.

#KitaLawan: Polis Serbu Pejabat PKR


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 6:04 PM
 Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
ariff@thestar.com.my

PETALING JAYA: Enam anggota polis menyerbu Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada petang Ahad dipercayai bagi mengambil barang bukti berkaitan perhimpunan haram #KitaLawan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mendakwa anggota polis berkenaan memecah masuk pintu pejabat Setiausaha Agungnya, Mohd Rafizi Ramli.

Ketika serbuan, Rafizi yang direman sejak Jumaat lalu untuk disoal siasat mengikut Akta Hasutan 1948 turut dibawa ke lokasi ditemani peguam dan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan.

Dakwa Fahmi, antara barang yang dirampas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu ialah empat komputer, sepucuk surat pekeliling berkaitan perhimpunan #KitaLawan serta kenyataan media berhubung perhimpunan yang sama.

Timbalan MB Kelantan Gesa Ahli PAS Patuh Dasar Parti


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 9:41 PM

KLANG: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa anggota dan pemimpin parti mematuhi arahan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan segala keputusan dibuat dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti.

Ketika membuat saranan itu, beliau berkata anggota parti perlu bertindak mengikut dasar parti dan segala perbezaan pendapat perlu diurus dengan baik.

"Meskipun kita menghormati rakan pakatan pembangkang, tetapi ahli PAS harus bertindak berlandaskan dasar parti.

"Autoriti presiden menentukan keputusan dan hala tuju PAS," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-30 PAS Kawasan Klang di Pandamaran di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan menarik perhatian bahawa Kelantan berazam untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu dan oleh yang demikian, anggota PAS tidak sepatutnya menyokong cadangan untuk menangguh atau menolak pelaksanaan hudud.

Abdul Hadi sebelum ini mengemukakan notis usul kepada Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Klang, Mohd Prasad Hanif berkata mesyuarat agung kawasan Klang pada hari ini sebulat suara menyokong kepimpinan ulama menerajui parti dengan mencalonkan Abdul Hadi bagi mempertahankan jawatan  presiden parti untuk pemilihan parti Jun ini.

Beliau berkata perwakilan yakin kepimpinan ulama wajar diketuai Abdul Hadi yang membawa kemenangan besar kepada PAS sejak menjadi presiden.

Mohd Prasad turut menyelar tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berhubung isu hudud yang dilihat bertentangan dengan amalan demokrasi.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, PAS Kawasan Klang mencalonkan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohd Amar, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad dan Anggota Parlimen Temerloh Nasrudin Hasan masing-masing dicalonkan untuk jawatan naib presiden.

Pencalonan Cabar Mat Sabu


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 9:02 PM

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat pencalonan mencukupi untuk mencabar Mohamad Sabu bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu Jun depan.

Menurut laporan sebuah portal berita pada Ahad, Tuan Ibrahim menerima pencalonan kedua apabila PAS Kawasam Kluang mencalonkan beliau untuk jawatan berkenaan.

Beliau menerima pencalonan pertama minggu lepas dari PAS Kawasan Kuala Kedah.

Seseorang calon memerlukan sekurang-kurangnya dua pencalonan untuk melayakkan mereka bertanding untuk sebarang jawatan.

Cubaan untuk mendapatkan reaksi Tuan Ibrahim berhubung pencalonan itu tidak berjaya.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa beliau berminat untuk mencabat Mohamad bagi jawatan nombor dua parti itu.

Sehingga kini Mohamad masih belum menerima pencalonan bagi membolehkan beliau untuk mempertahankan jawatannya.

Mat Sabu ditahan polis 
di Butterworth


Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
GEORGE TOWN 28 Mac – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ditahan polis di sebuah restoran di Sungai Dua, Butterworth dekat sini malam tadi, kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di restoran itu selepas menghadiri mesyuarat Pas negeri kira-kira pukul 12.20 tengah malam.
“Semasa tangkapan, Datuk Mohd. Salleh Man (anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir) ada bersama Mat Sabu, sebelum beliau dibawa ke Balai Polis Seberang Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Timbalan Presiden Pas itu, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.
“Penahanan itu dilakukan oleh pasukan polis dari Bukit Aman dan sebaik ditahan di Sungai Dua, beliau (Mat Sabu) dibawa ke Balai Polis Seberang Jaya dan seterusnya ke Balai Polis Daerah Dang Wangi (Kuala Lumpur) bagi siasatan di sana,” katanya.
Ditanya Mat Sabu ditahan berkaitan siasatan kes apa, Abdul Rahim enggan mengulas sambil menyatakan ia bukan berkaitan dengan kes di Pulau Pinang.
Difahamkan penahanan Mat Sabu dipercayai mempunyai kaitan dengan cadangan mengadakan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. –BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mat-sabu-ditahan-polis-8232-di-butterworth-1.74787#sthash.rwsZPivR.dpuf

Doktor mata di Nepal pulih 100,000 pesakit katarak


Sandul Ruit merawat pesakitnya di hospital mata Tilganga di Kathmandu.
Sandul Ruit merawat pesakitnya di hospital mata Tilganga di Kathmandu. Agensi
KATHMANDU 27 Mac – Seorang doktor mata di Nepal, Sandul Ruit berjaya memulihkan penglihatan kira-kira 100,000 pesakit katarak dan myopia di dua benua selepas menghasilkan satu prosedur yang boleh dilaksanakan dalam tempoh lima minit.
Laman web Oddity Central melaporkan, kebanyakan pesakit yang menerima bantuan Sandul merupakan penduduk berpendapatan rendah dan 80 peratus pesakit yang ditemuinya masih boleh dirawat, namun mereka tidak mempunyai kewangan untuk menjalani rawatan.
Teknik beliau melibatkan membuat satu potongan kecil di mata pesakit dan membuang katarak yang menyebabkan gangguan penglihatan.
Sandul kemudian akan menggantikan kanta mata tiruan yang memenuhi standard antarabangsa tetapi murah.
Sandul menawarkan pembedahan itu kepada pesakit miskin di seluruh dunia dan juga mengajar teknik itu kepada doktor-doktor lain dengan harapan pesakit penyakit berkenaan akan dapat dipulihkan.
Beliau kini menguruskan hospital mata yang dikenali sebagai Tilganga di Kathmandu yang ditubuhkan sejak 1994.
Selain menyediakan rawatan kepada rakyat Nepal, hospital itu turut membuat kanta mata tersebut dan dieksport ke 30 negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/doktor-mata-di-nepal-pulih-100-000-pesakit-katarak-1.74343#sthash.9kfTO3nM.dpuf