Monday, February 21, 2011

Ibu gusar 3 anak tiada sijil lahir

2011/02/21

BALING: Akibat kegagalan bapa mendaftar kelahiran mereka, tiga kanak-kanak dari Kampung Bahagia, Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil dekat sini, tidak mempunyai sijil kelahiran.

Berikutan masalah itu, Ammar Mohd Nazri, 9; Adib, 6; dan Zulfa Dhanea, 5, berhadapan pelbagai kepayahan termasuk untuk bersekolah.
Ibu mereka Roslina Harun, 33, berkata berikutan kegagalan bekas suaminya Mohd Nazri Mad, 34, mendaftar kelahiran anak mereka, Ammar yang juga anak sulung gagal bersekolah.
Roslina bimbang jika masalah itu tidak diatasi, Ammar akan terus tidak ke sekolah dan dua lagi anaknya menerima nasib yang sama.

“Masa depan mereka gelap jika perkara ini berlarutan kerana tidak mendapat pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain. Saya tak tahu nak buat macam mana nak dapatkan sijil kelahiran untuk tiga anak saya,” katanya kepada pemberita ketika dikunjungi Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pelajaran Kedah (YPKPK) di rumahnya semalam.

Beliau sebelum ini saya menghantar Ammar ke sekolah rendah berdekatan tetapi akibat tidak mempunyai sijil kelahiran, sesi persekolahannya terbantut.

“Saya agak sedih apabila Ammar bertanyakan bila dia akan ke sekolah lagi. Saya tak mampu nak buat apa-apa melainkan pasrah dengan keadaan yang menimpa saya dan anak,” katanya.
Menyedari masalah besar dihadapi Roslina, YPKPK cuba membantu untuk menyelesaikan masalah itu.

Pengerusi YPKPK, Zuraidi Rahim, berkata beliau akan menguruskan secepat mungkin perkara itu bagi membolehkan tiga kanak-kanak itu mendapat sijil kelahiran dan meneruskan pembelajaran seperti kanak-kanak lain.

“Selepas mereka dapat sijil lahir, pihak yayasan akan mendaftar Ammar ke sekolah rendah berhampiran agar dia dapat memulakan sesi pembelajaran di kelas pemulihan,” katanya. – BERNAMA
Berita Harian Online | Ibu gusar 3 anak tiada sijil lahir