Thursday, November 11, 2010

48,327 calon UPSR peroleh semua A


11/11/2010 12:20pm

PUTRAJAYA 11 Nov — Seramai 48,327 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan cemerlang semua A, meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lepas.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, keputusan itu merupakan pencapaian terbaik bagi tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.
"Syukur Alhamdulilah, peratusan calon yang berada di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Abdul Ghafarm, peratusan calon yang mendapat minimum gred C menurun 1.37 peratus berbanding tahun lalu.
Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan itu tahun ini. — Bernama

AS penjual senjata terbesar dunia



STOCKHOLM - Amerika Syarikat (AS) mendahului senarai penjual senjata terbesar dunia dengan Israel, Emiriyah Arab Bersatu dan India sebagai pembeli utama senjata termasuk jet pejuang.

Menurut laporan Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), AS menjual 341 kapal terbang tentera dalam tempoh 2005 hingga 2009, berbanding 286 jet pejuang yang dijual daripada 2000 hingga 2004.

Laporan SIPRI itu turut mengetengahkan isu jumlah wang yang dikeluarkan untuk beli senjata bagi tujuan peperangan termasuk jet pejuang yang mencecah sehingga AS$40 juta (RM124 juta) setiap satu.

Enggan ulas dakwaan mempunyai ijazah Sarjana dan Ph.D palsu




Terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan balas mengenai pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berhubung kelayakan akademik penyanyi Fazley Yaakob. 

Laporan BBC menyebut Fazley mendakwa mempunyai kelulusan daripada European Business School tetapi ia sebenarnya adalah palsu. 

“Buat masa ini saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa mendapat kebenaran Ahli Lembaga Pengarah Fazley International Collage (FIC). 

“Bagaimanapun, apa yang boleh dikatakan, perbincangan bersama telah cuba dibuat dan kami cuba menyelesaikan masalah yang timbul, " katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). 

Kontroversi mengenai status ijazah kedoktoran dan status kerjasama antara FIC dan Universiti of Wales tercetus apabila BBC mendedahkan bahawa kelayakan ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) yang diterima Fazley dari European Business School Cambridge tidak diiktiraf. 

Dorongan daripada kes itu, University of Wales menggantung penglibatan mereka dengan FIC dan tidak akan mengambil mana-mana pelajarnya untuk belajar dalam bidang MBA dan pengurusan perniagaan sehingga siasatan selesai. 

Bagaimanapun, Fazley menjelaskan, buat masa ini semua pelajar yang masih dalam pengajian di FIC tidak terjejas oleh prestasi arbritasi dan rujukan semula. 

“FIC yakin spekulasi ini akan terungkai dan tamat sebaik sahaja pemahaman menyeluruh mengenai perkara ini difahami dengan jelas oleh semua pihak,” katanya. 

Menyentuh tentang status gelarannya, Fazley berkata, dia sudah lama tidak menggunakan gelaran Dr setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan pengiktirafan diterimanya. 

“Saya tidak menerima ijazah PhD, sebaliknya menerima ijazah ‘Doctor of Business Administration’ (DBA) yang boleh membawa gelaran Dr,” katanya. 

Ketika diminta mengulas mengenai reputasinya yang mungkin terjejas selepas isu ini, Fazley berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai. 

“Saya akan membuat kenyataan penuh selepas segala siasatan melalui pihak yang benar (legal) selesai. 

"Kemudian terserah kepada masyarakat untuk menilai apa yang telah saya katakan nanti. Saya berani dan yakin kerana di pihak yang benar,” katanya yang akan mengadakan sidang media khas berhubung isu itu pada masa terdekat.

"Cakap lain, tulis lain!"



ALOR SETAR - Menteri Be:sar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hilang sabar apabila Kerajaan Negeri terus didakwa bersikap lepas tangan dalam menangani isu banjir selain beliau sendiri dituduh tidak turun padang melawat mangsa. 

Selepas mesyuarat Exco berakhir semalam, Azizan menafikan kenyataan berhubung tuduhan itu dengan nada agak keras. 

“Orang cakap lain, lain ditulis. Buat kerja ikutlah cara halal, tulis bohong sana sini, itu kerja haram,” katanya, dituju kepada wartawan tertentu disifatkan berat sebelah dalam menulis. 

Wakil media elektronik yang menjadi sasaran Azizan mempertahan kenyataan disiarkan. 

Azizan dengan nada tinggi berkata, apa dilaporkan berhubung isu banjir itu adalah pembohongan. 

“Hari pertama di Padang Terap, saya redah banjir. Setiap hari balik lewat malam menje-ngah mangsa, cuma wartawan tidak ikut,” katanya. 

Wartawan lain pula bertanya mengenai peruntukan Kerajaan Negeri kepada mangsa. 

Dengan lantang Azizan menjelaskan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun memberi bantuan wang tunai kepada mangsa banjir di Kedah. 

"Kena tanya Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah," katanya. 

Azizan juga meminta wartawan merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah mengenai diskaun bil air. 

Azizan enggan melayan sebarang pertanyaan mengenai banjir di Kedah dan minta soalan lain dikemukakan. 

“Saya tak nak campur tangan hal orang lain dan saya tidak suka orang lain campur tangan di Kedah atau dalam urusan saya,” katanya. 

Apabila wartawan terus menerus bertanyakan isu banjir, Azizan dengan wajah serius dan marah enggan melayan sebarang pertanyaan. 

Ketika berjalan menghampiri pintu keluar bilik sidang media, Azizan ditempelak soalan daripada wartawan media elektronik yang enggan mengalah. 

Barangkali terasa dirinya diprovokasi, Azizan membalas: “Hangpa pembohong! Kata saya tidak turun padang, buat berita kata ayam busuk sebab tak ada bekalan air. Pertikai peruntukan dan bantuan Kerajaan Negeri, sedangkan kita salurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah." 

"Lain kali buat kerja ikutlah cara Islam,” katanya sambil berlalu pergi.

Zaid hairan peribadinya jadi sasaran Anwar




2010/11/11

KOTA BHARU: Datuk Zaid Ibrahim yang menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata beliau hairan dengan perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang peribadinya. 

"Saya hanya ingin bertanding dan pada waktu yang sama ada laporan mengenai kecacatan timbul pada pemilihan parti di peringkat cabang parti, jadi saya suarakan perkara itu. Apabila saya bersetuju untuk bertanding, tiba-tiba hal peribadi saya diserang, saya perlu jawab untuk pertahankan diri saya."Saya tidak tahu apa yang dia takut, saya bukannya masyhur seperti dia yang terkenal seluruh dunia," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.
Isnin lalu, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pemilihan parti dan juga melepaskan semua jawatan dalam PKR dengan alasan terdapat penipuan dalam pemilihan. 

Beliau kemudiannya meminta Anwar berundur daripada parti itu. 

Zaid berkata, menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk menyiasat laporan mengenai dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan dan bukan dirinya yang harus membuktikan kepada Anwar mengenai penyelewengan itu. 

"Saya rasakan inilah taktik kepimpinan parti untuk alihkan isu sebenar daripada mata umum, dengan menyerang saya. Hakikatnya bukan saya seorang sahaja yang bersuara, ada lagi pemimpin parti lain menyuarakan masalah yang sama," katanya. - BERNAMA 

'Undi diperoleh Azmin tak munasabah'




2010/11/11

KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Mursalim Tanjul yang meletak jawatan dan keluar daripada PKR kelmarin mendakwa, Naib Presiden parti, Mohamed Azmin Ali memperoleh undi tidak munasabah untuk merebut jawatan Timbalan Presiden di kebanyakan pemilihan cabang parti pada Sabtu dan Ahad lalu. 

Mursalim yang turut meletak jawatan Ketua PKR Cabang Kudat, mendakwa walaupun mesyuarat kebanyakan cabang PKR pada September lalu mencalonkan Mohamed Azmin, pemilihan pada peringkat cabang lebih memihak kepada seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim.Beliau mendakwa, undi diperoleh Mohamed Azmin diragui kerana ada pemilihan peringkat cabang Sabtu dan Ahad lalu dihadiri hanya kira-kira 100 ahli, tetapi undi Mohamed Azmin mencecah 600, sekali gus menimbulkan keraguan kemungkinan ada campur tangan pemimpin tertinggi PKR.
“Saya melepaskan semua jawatan dan keluar parti kerana tidak mahu terheret sama dalam permainan politik tidak bersih," katanya ketika dihubungi di Kudat semalam. 

Sementara itu, di SHAH ALAM, Mohamed Azmin menegaskan beliau mahu terus merebut jawatan Timbalan Presiden PKR selagi tidak diminta berundur oleh majoriti ahli parti itu. 

Sambil menyelar sikap Datuk Zaid Ibrahim yang terus mendesak beliau berundur, Mohamed Azmin berkata, Zaid boleh dianggap sebagai pemimpin yang tersungkur apabila tidak dapat menerima kekalahan pemilihan parti. 

Desak Anwar: Mohd. Asri tidak tarik balik mahupun menyesal


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Walaupun dikritik oleh kem pakatan pembangkang kerana mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada politik, bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menegaskan, beliau tidak pernah menarik balik kenyataan itu.
Katanya, beliau juga tidak pernah menyesal membuat desakan sedemikian terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Katanya, jika Anwar terasa hati dengan pendiriannya itu, beliau memohon maaf kerana ia adalah adab pergaulan.
"Saya tidak pernah tarik balik atau menyesal dengan kenyataan mencadangkan 'dinosaur-dinosaur' politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara.
"Surat terbuka saya jelas dalam hal ini. Cumanya saya hanya memohon maaf jika beliau berkecil hati. Itu adalah adab pergaulan, namun pendapat saya masih kekal sehingga kini," katanya dalam kenyataan ringkas daripada Tokyo, Jepun yang disiarkan laman webnya,www.drmaza.com.
Portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam melaporkan Mohd. Asri memohon maaf atas desakannya sebelum ini melalui artikel bertajuk Asri mohon maaf cadang Anwar 'bersara'.
Pada 1 November lalu, Mohd. Asri yang merupakan ulama non-partisan melalui laman webnya berkata, sudah tiba masa bagi Anwar bersara kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin tidak seimbang.
Katanya, Anwar perlu menerima hakikat bahawa zamannya akan menyusur pergi dan tidak mungkin generasi baru akan terus bertahan untuk melihat reka bentuk cerita politiknya yang sama.
Berikutan reaksi penyokong pakatan pembangkang yang berang dengan kenyataan itu, Mohd. Asri pada 6 November lalu sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Anwar perlu berundur daripada dunia politik bagi mengelakkan pembangkang hilang momentum sokongan.
Sambil meminta Anwar berlapang dada dengan pandangan tersebut, Mohd. Asri berkata, jika tidak berlaku perubahan, momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti pula sukar untuk dicapai.
Semalam, Mohd. Asri membuat satu lagi kenyataan bagi menafikan dakwaan Anwar bahawa beliau bersekongkol dengan Utusan Malaysia untuk menyerangnya.
Jelas bekas mufti yang pernah menegur kepimpinan kerajaan sebelum ini, Utusan Malaysiahanya memetik daripada blog beliau dan wartawannya tidak berhubung secara langsung dengannya.

Kecoh nasi goreng sosej babi


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Isu nasi goreng berlaukkan sosej babi yang dikatakan dibawa oleh anak seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) beragama Islam di Sarawak menjadi isu hangat sehingga menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menjelaskan, murid itu, Basil anak Baginda adalah beragama Islam berdasarkan agama ayahnya, Baginda @ Norazman Abdullah yang pernah menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum 1999.
Menurutnya, beliau secara peribadi mengenali Baginda yang menjadi salah seorang saksi dalam perbicaraan kes melibatkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
"Saya terlibat sebagai peguam dalam kes itu dan mengendalikan secara langsung saksi terlibat. Saya tahu dia seorang beragama Islam, jadi ini bermakna anaknya adalah Islam, emak dia (Angela Jabing) saya tidak tahu agamanya.
"Persoalan yang perlu diperjelaskan adakah tindakan guru merotan murid itu salah iaitu apabila mempertahankan anak seorang Islam daripada membawa babi yang diharamkan Islam sebagai bekal ke sekolah," katanya semasa membahaskan Bajet 2011 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 15 Oktober, Basil dikatakan dirotan sebanyak 10 kali oleh guru Sekolah Kebangsaan St. Thomas kerana membawa bekal nasi goreng berlaukkan sosej babi.
Isu itu sebenarnya terlebih dahulu dibangkitkan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) semalam yang mempertikaikan kurikulum Biro Tata Negara yang didakwanya telah melahirkan guru rasis dengan mengaitkan kes nasi goreng berlaukkan sosej babi itu.
Pendedahan Zulkifli mengenai agama Baginda telah menyebabkan Chieng Jen tidak berpuas hati dan bangkit mencelah mendakwa maklumat yang diperoleh itu tidak tepat dengan menegaskan bahawa Basil bukan beragama Islam.
Malah katanya, guru terbabit yang merotan Basil juga semalam telah meminta maaf sekali gus menjelaskan status agama murid itu.
Ketika ini, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) mencelah dengan mengatakan isu itu sebenarnya telah cuba dipolitikkan oleh pembangkang.
Ia kemudiannya disahut oleh Zulkifli dengan mengatakan: "Inilah pembangkang, seperti biasa apa sahaja akan dipolitikkan, saya bercakap berdasarkan pada fakta."
Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) pula dilihat memperkatakan sesuatu kepada Zulkifli tanpa bangun meminta izin dan tindakannya itu ditegur oleh Zulkifli: "Nak cakap bangunlah, jangan buat macam dalam zoo, saya bagi laluan. Adakah kamu sokong anak Islam bawa babi ke sekolah?"
Ahli Parlimen Kuala Selangor yang tidak berpuas hati dengan sindiran itu telah meminta Zulkifli membuka kopiah putih yang dipakainya sambil mengatakan masa 10 minit yang diberi tidak sesuai untuk membahaskan isu nasi goreng itu.
Zulkifli berkata, jika Chieng Jen yang mempertikaikan isu itu, beliau boleh maafkan kerana dia tidak beragama Islam yang sudah pasti melihatnya dari kaca mata agama yang dianutinya.
"Tetapi apabila ia dipertikaikan oleh Kuala Selangor (Dzulkefly), saya hairan dan ini sudah jadi masalah besar kerana dia beragama Islam," katanya yang terus membangkitkan kemarahan Dzulkefly.
Keadaan menjadi kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara Dzulkefly dan Zulkifli, walaupun berkali-kali ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hingga menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu diarah keluar dewan.
Pada sesi sebelah petang, Chieng Jen mendedahkan surat beranak Basil tidak tertera agama yang dianutinya dan ia telah menarik perhatian Zulkifli dengan mengatakan ia membawa kepada isu lebih besar iaitu pemurtadan Baginda dan ia wajib disiasat sehingga ke akar umbi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan memaklumkan telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat status agama kedua beranak itu.
"Kita kena siasat status agama kanak-kanak itu kerana walaupun Kuching (Chieng Jen) kata dia tiada agama (surat beranak) tetapi mengikut keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan apabila ayahnya memeluk agama Islam, maka anaknya akan turut beragama Islam," katanya.

Kahwin Perdana bagi pasangan kurang mampu


KOTA BHARU 10 Nov. - Kerajaan Pas Kelantan akan menganjurkan Program Kahwin Perdana 2010 dijadual 25 Disember ini untuk membantu belia dan beliawanis serta golongan kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga, sekali gus mencegah masalah gejala sosial membabitkan golongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, program itu juga diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan ganjaran mempercepatkan perkahwinan di samping mendidik mereka tentang tanggungjawab yang bakal dipikul oleh pasangan suami isteri.
Beliau berkata, antara keistimewaan program itu, kerajaan negeri akan menanggung mas kahwin bagi pengantin lelaki berjumlah RM1,000, selain mengadakan jamuan pengantin, akad nikah serentak dan khutbah nikah yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, kriteria calon pasangan yang layak untuk menyertai program tersebut adalah mereka terdiri daripada pasangan yang miskin atau berpendapatan rendah, golongan mualaf, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan penuntut universiti.
"Kerajaan negeri berasa bertanggungjawab untuk membantu mempercepatkan jodoh pasangan belia dan beliawanis Kelantan dengan menghulurkan sedikit bantuan," katanya.

18 jemaah haji Malaysia meninggal di Mekah


SEPANG 10 Nov. - Seramai 18 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pada musim haji ini sehingga semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah itu meliputi lapan jemaah lelaki dan lima jemaah perempuan.
"Antara punca kematian adalah disebabkan oleh penyakit radang paru-paru dan lemah jantung.
"Maklumat mengenai kematian para jemaah haji yang meninggal dunia telah pun dimaklumkan kepada keluarga masing-masing dan takziah saya ucapkan kepada waris jenazah berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perjalanan ibadah haji tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Bilangan rakyat Malaysia yang mengerjakan haji pada tahun ini adalah seramai 26,000 orang.
Sementara itu, Jamil Khir berkata, bilangan jemaah haji yang sedang menerima rawatan kerana mempunyai masalah kesihatan kini mencecah kepada 88 orang.
"Seramai 41 jemaah lelaki dan 27 jemaah perempuan kini dirawat di Hospital Tabung Haji.
"Di hospital Arab Saudi pula seramai 20 jemaah haji kita sedang menerima rawatan dan mereka terdiri daripada 12 lelaki dan lapan perempuan," katanya.
Beliau menjelaskan, kebanyakan daripada mereka mengalami masalah radang paru-paru, lemah jantung dan akibat dehidrasi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada kali ini kerajaan Arab Saudi menetapkan peraturan baru mengkehendaki semua jemaah haji termasuk petugas haji menaiki bas untuk ke Mekah.
"Begitu juga dengan pergerakan ke Arafah mesti menggunakan kenderaan besar dengan muatan tidak kurang daripada 25 penumpang," tambahnya.
Beliau berkata, peraturan baru itu bertujuan mengelakkan kesesakan apabila para jemaah menggunakan kenderaan yang lebih kecil.

Katak 1.3kg 'teman baik' budak 5 tahun

PASIR MAS: Berbanding kanak-kanak seusianya yang lebih gemar memelihara burung atau kucing sebagai haiwan peliharaan, Mohd Muqri Ramli, 5, pula mempunyai minat pelik apabila menjadikan katak seberat 1.3 kilogram (kg) sebagai ‘temannya’.
TEMAN ISTIMEWA...Muqri menunjukkan katak digelar ‘Chica’ yang dibelanya.
TEMAN ISTIMEWA...Muqri menunjukkan katak digelar ‘Chica’ yang dibelanya.
Menurutnya, meskipun ramai geli melihat apatah lagi memegang katak tetapi dia tidak sedikit pun berasa sedemikian kerana menganggap amfibia jinak itu sebagai comel dan tidak berbahaya.
Harian Metro yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Chica Tinggi itu mendapati ramai penduduk datang melihat katak terbabit berikutan saiznya agak besar berbanding katak biasa ditemui.

Mukhriz berkata, katak belaannya itu sentiasa menjadi perhatian ramai termasuk rakan-rakannya yang singgah daripada sekolah tetapi kebanyakan daripada mereka takut memegangnya.


“Saya tidak berasa geli memegangnya kerana sudah biasa malah menganggapnya sebagai teman baik dan memanggilnya dengan gelaran ‘Chica’.

“Walaupun orang ramai geli tetapi bagi saya katak ini istimewa kerana tidak mengganggu orang lain yang datang membeli di kedai runcit emak saya,” katanya.

Sementara itu, bapa Muqri, Ramli Jaafar, 53, berkata dia pada awalnya menemui katak itu berdekatan sekolah dan membawanya pulang untuk ditunjukkan kepada anaknya.

Katanya, kerana tidak mahu membuangnya, dia memberinya kepada Mohd Muqri untuk dijadikan peliharaan kerana menganggapnya sebagai istimewa berdasarkan saiznya yang luar biasa.

“Memang ada rakan daripada bangsa Cina dan Siam yang mahu membelinya tetapi ditolak kerana anak saya tidak membenarkannya.

“Sehingga kini, katak terbabit dijaga olehnya kerana menganggapnya sebagai teman istimewa malah turut disayanginya,” katanya mengenai katak sepanjang hampir 0.4 meter itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Pazil Abdul Patah, berkata katak ditemui di Pasir Mas itu jenis katak biasa iaitu daripada spesis Limnonectus yang boleh mencapai tumbesaran antara 10 hingga 15 sentimeter.

Kos naik haji 2011 dikaji semula


SEPANG - Kerajaan sedang meneliti kos mengerjakan haji bagi tahun hadapan berikutan beberapa faktor yang dilihat mempengaruhinya kelak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
"Kita meneliti secara mendalam dan mengikuti perkembangan yang berlaku di Mekah," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebelum berlepas ke Tanah Suci semalam.
Katanya, kajian meliputi kos penginapan perlu dilakukan berikutan banyak bangunan hotel telah diruntuhkan termasuk bangunan berdekatan Masjidil Haram yang disewakan kepada Lembaga Tabung Haji.
"Sebahagiannya sudah tamat tempoh sewaan, jadi bangunan baru akan ambil kira kos yang baru," katanya.
Pembangunan fasa keempat Masjidil Haram dan kawasan sekelilingnya yang menelan kos berbilion Saudi Riyal sedang giat dilakukan sejak dimulakan pada 2007 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.
Jamil Khir berkata, beberapa faktor lain turut perlu diambil kira seperti kos pengangkutan berikutan kenaikan harga minyak dunia dan kos bahan makanan yang turut meningkat.
Namun, beliau memberi jaminan sebarang perubahan tidak akan membebankan jemaah haji.

Penulis nafi buku punca bunuh



SHARHAN menyangkal dakwaan bukunya menjadi punca seorang anak membunuh ibunya Isnin lalu.


BESUT – Penulis buku Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhlus Halus menyangkal dakwaan mengatakan buku tulisannya itu menjadi punca kepada tindakan seorang anak membunuh ibunya di Felda Chini Timur 1, Pahang kelmarin.
Sharhan Shafie yang berkelulusan Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir kesal jika ada di kalangan ahli keluarga mangsa mengesyaki isi kandungan buku tulisannya itu telah mendorong pada tindakan suspek yang membunuh ibunya.
Menurut beliau, buku sulung yang ditulisnya itu langsung tidak mengandungi unsur-unsur kurafat yang boleh mendorong seseorang untuk bertindak di luar kawalan termasuk membunuh.
Malah kata Sharhan, dalam proses penulisan buku itu, beliau banyak membuat rujukan kepada tokoh-tokoh agama termasuk mufti dari beberapa buah negeri bagi memastikan buku yang ditulis itu tidak mengandungi perkara yang bercanggah dengan agama.
Beliau memberitahu, tujuan utama penulisan buku yang diterbitkan pada tahun 2005 itu ialah semata-mata untuk berdakwah selain menggalakkan umat Islam yang menghidap penyakit menggunakan al-Quran dan hadis sebagai rawatan.
“Cara terapi al-Quran ini mengelakkan umat Islam menggunakan kaedah rawatan khurafat dan karut serta lebih banyak menghabiskan wang.
“Kalau dilihat, hari ini ramai di kalangan umat Islam yang gemar mengamalkan perubatan mengunakan kaedah menurun dengan jin sebagai pendamping yang salah di sisi agama Islam,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Budak 3 tahun dibiar naik bas seorang diri




KUALA LUMPUR - Melihat seorang kanak-kanak lelaki (gambar) yang berumur sekitar tiga tahun sudah berani menaiki bas pasti mengundang takjub kepada orang ramai.
Namun timbul persoalan siapa ibu bapa kepada kanak-kanak itu yang begitu cuai melepaskan anak mereka berbuat demikian.
Itulah yang berlaku terhadap seorang budak yang dijumpai oleh seorang wanita berumur 40 tahun ketika dia menaiki sebuah bas menuju ke ibu kota semalam.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, wanita tersebut curiga apabila ternampak kelibat seorang kanak-kanak memegang botol susu yang kemudian menaiki bas yang berhenti di Flat Seri Sabah, Cheras di sini.
Atas dasar prihatin, wanita itu memanggil budak terbabit duduk bersamanya sebelum dia menghubungi polis.
Apabila sampai di Plaza Kota Raya di sini, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, wanita itu membawa kanak-kanak terbabit ke Balas Polis Tun H.S Lee di sini untuk membuat laporan.

Fazley undur demi reputasi FIC


FAZLEY


KUALA LUMPUR – Penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini, Fazley Yaakob bertindak melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif di Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) kelmarin ekoran kontroversi berkaitan kelayakan akademiknya yang dipertikaikan.
Menurut Fazley, peletakan jawatan yang berkuat kuasa kelmarin itu dibuat sebagai langkah untuk memelihara dan menjaga reputasi FIC yang ketika ini sedang mengukuhkan nama di kalangan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.
“Selain atas kerelaan diri, pengunduran daripada pentadbiran FIC juga merupakan atas nasihat dan perbincangan yang diadakan bersama lembaga pengarah FIC serta penasihat undang-undang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam program Week In Week Out: University Challenged kelmarin mendakwa Fazley memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) palsu dan kini mengendalikan kolej yang menawarkan kursus sarjana muda dengan kerjasama University of Wales.
Dalam program itu, Fazley dituduh memiliki kelulusan tersebut dari sebuah universiti palsu iaitu European Business School iaitu sebuah universiti antarabangsa Irish yang didedahkan BBC sebagai palsu pada tahun 2008.
Ekoran laporan program itu, pihak University of Wales di United Kingdom menggantung hubungannya dengan FIC sehingga satu siasatan berhubung status Fazley selesai dijalankan.