Friday, October 28, 2011

Mayat wanita ditemui di bahagian bawah pangsapuri



HULU LANGAT 27 Okt. - Seorang wanita ditemui mati dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Taman Segar Perdana, Batu 9 dekat sini hari ini.
Mayat Foo Yuef Chyi, 27, ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh seorang penghuni yang ingin membuang sampah kira-kira pukul 2.30 petang.
Seorang penghuni pangsapuri yang merupakan pelajar kolej swasta memberitahu, sebelum kejadian itu, wanita itu dilihat berada di tingkat empat pangsapuri tersebut.
"Sejak beberapa hari lalu, penghuni ternampak wanita itu berjalan di koridor pangsapuri dalam keadaan mencurigakan tetapi tidak mengetahui punca dia dalam keadaan sedemikian.
"Ketika mayatnya ditemui, wanita itu memakai seluar pendek, baju T berwarna kuning dan berlumuran darah di hidung, mata dan mulut," kata pelajar wanita itu yang enggan dikenali ketika ditemui di tempat kejadian.
Wanita itu yang masih bujang berasal dari Subang Jaya dan dia dikatakan tinggal di tingkat empat bangunan yang sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
"Pihak polis sedang menyiasat punca kejadian dan setakat ini kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya lagi.

Rumah siap tapi pahat berbunyi




BEBERAPA penduduk menunjukkan beberapa dokumen pemaju di hadapan projek Pangsapuri Sungai Sering di Ampang semalam.


KUALA LUMPUR – Itu peribahasa bagi menggambarkan kemelut yang dihadapi oleh 664 pemilik Pangsapuri Sungai Sering, Ampang dekat sini sejak enam tahun dahulu sampai sekarang.
Rata-rata mereka tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan mendiami rumah sendiri walaupun ia telah siap dibina oleh pemaju, Scenic Marina Sdn. Bhd. sejak tahun 2007 lagi.
Wakil pemilik, Khairuddin Mohamad, 49, berkata, pemaju tidak membenarkan pembeli memasuki rumah atas alasan tidak memiliki sijil kelayakan menduduki (CF) namun hairan kenapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkan CF.
“Pemaju pada asalnya berjanji kepada pembeli bahawa mereka boleh mendiami rumah berkenaan pada tahun 2007, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Sehingga ke hari ini, kami tidak dibenarkan menduduki pangsapuri tersebut dengan pelbagai alasan yang sukar diterima akal.
“Lebih mendukacitakan, pemaju hanya menyuruh saya agar duduk diam dan tunggu sahaja panggilan daripada mereka, namun semua itu hanya alasan untuk mengelakkan diri daripada menjawab pertanyaan kami,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Selain itu menurut Khairuddin, banyak kali aduan dibuat kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini, namun ia tidak mendatangkan hasil.
Tinjauan mendapati, pangsapuri yang terletak berdekatan dengan Bukit Antarabangsa dan mempunyai dua buah blok itu juga kelihatan sudah siap, namun prasarana di sekelilingnya seakan-akan terbiar.