Wednesday, November 25, 2015

Yapeim hampir kenal pasti pembocor dokumen


KOTA BHARU 23 Nov. – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) hampir mengenal pasti pihak yang telah membocorkan dokumen sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan dan fitnah disebabkan maklumat yang tidak lengkap.
ABIBULLAH SAMSUDIN
ABIBULLAH SAMSUDIN
Ketua Pengarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut dilakukan oleh orang dalam yayasan itu sendiri di samping ‘unsur-unsur luar’.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
“Kalau saya sebutkan (secara mendalam) akan mengganggu siasatan polis dan kita sedang buat siasatan dalaman dan sedang mencari punca daripada mana perkara ini berlaku.
“Ada sedikit keyakinan maklumat ini daripada dalam dan sedikit daripada unsur-unsur luar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi penerangan tertutup anjuran Majlis Profesional Kelantan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Siti Zaleha Hussien dan Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Prof. Datuk Mahamad Naser Dis.
Sebelum ini, sebuah pertubuhan propembangkang, National Oversight and Whistleblowers (NOW) membuat dakwaan berlaku penyelewengan dalam Yapeim dengan mendedahkan beberapa dokumen.
Ekoran daripada itu, pengurusan tertinggi yayasan tersebut telah membuat laporan polis dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut memfailkan saman terhadap Pengarah NOW, Akmal Nasir.
Sementara itu, Abibullah berkata, pihaknya yakin penarikan diri kira-kira 3,000 penyumbang dana Amal Jariah untuk terus menyumbang melalui skim potongan gaji (SPG) hanya bersifat sementara.
“Sehingga kini terdapat lebih 500,000 penyumbang dana melalui SPG dan pemberhentian ini hanya melibatkan 0.001 peratus sahaja.
“Kita mempunyai nama alamat dan nombor telefon penyumbang, kita akan berikan penjelasan kepada mereka, pemberhentian ini hanya bersifat sementara sehingga mereka benar yakin dan akan teruskan sumbangan kepada Yapeim ,” katanya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada penyumbang yang berhenti dan terima kasih kepada mereka yang sudah meyakini Yapeim untuk uruskan dana sekecil-kecil RM1 sehingga RM500 pada setiap bulan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa pegawai yayasan itu untuk disiasat berhubung dakwaan tersebut.
“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana masih dalam siasatan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/yapeim-hampir-kenal-pasti-pembocor-dokumen-1.161819#sthash.WH83dh1K.dpuf

Bersih 4.0: Anak Azmin tampil beri keterangan


Bersih 4.0: Anak Azmin tampil beri keterangan
Mohamed Azmin hadir bersama anaknya Mohamed Basheer, isteri dan anak perempuannya hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi , Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR - Anak lelaki Menteri Besar Selangor, Mohamed Basheer Noor Alhaq, 15, hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang tadi.
Turut bersamanya ialah bapanya, Mohamed Azmin, ibunya, Shamsidar Taharin dan kakaknya, Farah Amira, 22.
Mohamed Basheer hadir bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penglibatannya dalam perhimpunan Bersih 4.0 Ogos lalu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin: ‘Anak saya berani macam saya’]
Selain Mohamed Azmin dan ahli keluarganya, turut kelihatan penyokong-penyokong PKR dan Amanah serta rakan-rakan Basheer hadir memberikan sokongan.
Antara pimpinan yang hadir adalah dua Naib Presiden PKR, Tian Chua dan A Xavier Jayakumar; Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin; Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha; Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.
Sebelum ini, Basheer diarah ke IPD Dang Wangi jam 10 pagi pada 9 November namun minta penangguhan bagi memberi laluan kepadanya menyelesaikan peperiksaan.

"Mohon Maaf Atau Disaman" - Menantu PM Kepada MP DAP


Diterbitkan: Rabu, 25 November 2015 11:02 AM

PETALING JAYA: Menentu Perdana Menteri, Daniyar Kesikbayev mengugut untuk menyaman Ahli Parlimen Raub, Mohd Ariff Sabri berikutan penyiaran artikel yang menyebut mengenai dirinya.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan firma guaman Messrs Noorhajran Mohd Noor pada Selasa, Kesikbayev menangguhkan semua hak sivil dan jenayah sehingga kes itu dibawa ke mahkamah.
Ahli Parlimen DAP itu mengeluarkan artikel menerusi laman webnya, Sakmongkol AK47 bertajuk  “Faulty Reward System and Changeable Governments” yang disiarkan pada Selasa.
Ia disiarkan menerusi portal berita Malaysia Chronicle pada hari sama dengan tajuk "Son-in-law Daniyar to be Najib's new 'Jho Low': Disquiet over contract to renovate Govt's office in New York."
Artikel itu menyebut, bangunan kediaman wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) di New York akan menjalani pengubahsuaian besar-besaran dalam masa terdekat menerusi projek berbilion dollar.
Projek itu didakwa diperoleh Kesikbayev.
Kesikbayev yang bernikah dengan anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak , Nooryana Najwa menuntut supaya artikel itu ditarik balik serta merta.
Beliau juga mahu pihak berkenaan memohon maaf dalam masa 48 jam.
Firma guaman itu menyebut kenyataan wakil rakyat DAP itu sebagai tidak benar: "Ia berniat jahat, tidak berasas dan penipuan yang boleh menggugat reputasi anak guam kami, Daniyar Kesikbayev dan nama baik keluarganya."
"Perkataan yang ditulis Mohd Ariff Sabri adalah berniat untuk memburukkan reputasi Daniyar Kesikbayev." tambahnya.

PAU 2015 Tertutup Kepada Media Untuk Elak Putar Belit - Ku Nan


Diterbitkan: Rabu, 25 November 2015 3:33 PM
Tengku Adnan Tengku Mansor ketika menjawab soalan media di Bangunan Parlimen. -fotoBERNAMA
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR: Umno memutuskan Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015) bulan depan akan berlangsung secara tertutup tanpa liputan terbuka kepada media bagi mengelak ia diputarbelitkan oleh pihak tertentu.

Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan itu diambil kerana media, terutama media dalam talian atau portal sering memaparkan berita secara salah dan memutarbelitkan fakta.

Larangan itu juga terpakai kepada media perdana, katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Rabu.

"Sebab separuh daripada kamu (media) ni, media dalam talian suka putar belit, kami tidak mahu berita-berita diputarbelitkan," katanya.

Tengku Adnan berkata pada Perhimpunan Agung nanti, tiada siaran langsung dipancarkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Kita tak benarkan media berlegar merata-rata dan kita pun tidak akan pancarkan apa yang berlaku dalam Dewan Merdeka kepada kamera litar tertutup(CCTV).

(Hanya) Untuk ucapan dasar, barangkali kami akan benarkan (liputan media), katanya.

Sebelum ini, hanya beberapa wakil media dibenarkan berada di Dewan Merdeka, venue utama perhimpunan agung manakala perhimpunan perwakilan sayap di dewan berasingan adalah terbuka kepada semua media.

Pada masa yang sama, perjalanan persidangan dan perhimpunan boleh diikuti menerusi CCTV yang diletakkan di pusat media yang disediakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tengku Adnan berkata perkembangan perhimpunan itu akan disampaikan kepada media secara kenyataan bertulis dan sidang media akan diadakan oleh dua Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tiap-tiap hari Naib Presiden Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Hishammuddin akan buat sidang media dan kupas apa yang berlaku dalam perhimpunan agung tu, katanya.

Ditanya mengapa sidang media itu tidak melibatkan seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tengku Adnan berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam memutuskan untuk memberi tanggungjawab tersebut kepada Ahmad Zahid dan Hishammuddin.


"Kita ada dua (hadir sewaktu mesyuarat), seorang lagi (Mohd Shafie) kalau dia balik, kita ajaklah. Sekarang ni kita ada dua saja, sebab semalam dia tak datang, semalam MT dah putuskan dua orang saja," katanya.

Mohd Shafie tidak hadir pada mesyuarat MT semalam.

Mengenai ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden seperti kelaziman pada perhimpunan agung itu, Tengku Adnan berkata ia masih belum diputuskan sama ada akan dilakukan atau tidak.

"Itu kita akan putuskan nanti. Semalam (sewaktu mesyuarat MT) pun kita tak bincangkan," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2015 dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 12 Dis.

Nurul Izzah Sahkan Dipanggil Polis, Pertimbang Saman Beberapa Pemimpin


Diterbitkan: Rabu, 25 November 2015 3:46 PM

Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemimpin tertentu yang menuduh beliau melakukan pengkhianatan berhubung pertemuannya dengan Jacel Kiram.

"Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tertentu seperti Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menyamakan tindakan saya dengan perbuatan khianat," katanya kepada pemberita di luar Dewan Rakyat, Rabu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mengesahkan beliau telah dipanggil pihak polis berhubung isu ini dan mungkin akan mengadakan pertemuan dengan polis pada Khamis.
Mengenai kemungkinan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen beliau berkata akan menerimanya  dengan hati yang terbuka sambil menambah beliau tiada apa yang hendak disembunyikan.

"Kejadian ini berlaku di luar Dewan Rakyat. Tetapi jika Azalina ingin menambah satu lagi sebab untuk mengutuk seorang Ahli Parlimen pembangkang, sila teruskan. Senarainya panjang," katanya.

Naib Presiden PKR itu merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang pada Rabu, telah membawa usul untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung tindakan beliau.

Nurul Izzah telah bertemu Jacel di Manila awal bulan ini pada majlis makan malam yang dianjurkan.

Gambar kedua-dua mereka memegang poster 'Release Anwar Immediately' mencetuskan kemarahan ahli-ahli politik Barisan Nasional dan orang ramai selepas ia tersebar di media sosial pada minggu lalu.

Jacel adalah anak kepada Jamalul Kiram III, yang bertanggungjawab menghantar 200 Tentera Sulu untuk menyerang Lahad Datu pada tahun 2013.

Balu Harun pulang ke kampung

Kuala Lumpur: Balu pelakon dan pelawak popular Allahyarham Harun Salim Bachik, Surianti Mohd Nor, 35, mendakwa dia sekeluarga kini dihimpit masalah kewangan sejak kematian suaminya, Mac lalu dan terpaksa mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya di Kulim, Kedah dalam waktu terdekat ini.
Surianti berkata, dia yang kini berniaga secara kecil-kecilan menerusi ‘online’ perlu menanggung bayaran ansuran kereta arwah dan rumah sewa mereka serta dua anak mereka iaitu Hakeem Sufiy Al-Rashid, 14, dan Siti Hazeera Sofea, 12.
“Walaupun kami tidak hidup melarat, tetapi masalah kewangan itu agak membebankan,” katanya kepada Harian Metro.
Surianti berkata, mereka sepatutnya pulang ke kampung lebih awal iaitu Mac lalu, namun terpaksa ditunda kerana Siti Hazeera bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Surianti berkata, dia ada memohon untuk membuka gerai jualan di beberapa karnival membabitkan artis-artis tempatan tetapi tidak berjaya.
Dia turut mendakwa haknya sebagai isteri kepada bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) seperti dinafikan dan turut terkilan dengan sikap lepas tangan beberapa pihak dalam industri hiburan tempatan.
Surianti juga memaklumkan anak-anaknya tidak menerima sebarang bantuan daripada Seniman.
Sementara itu Presiden Seniman Zed Zaidi ketika dihubungi menafikan pihaknya tidak memberi bantuan kepada keluarga itu.
Zed berkata, selepas Harun meninggal dunia, Seniman pernah cuba menghulurkan bantuan kewangan tetapi Surianti menolaknya.
“Bantuan itu ditolak kerana arwah ada mewasiatkan kepada keluarganya supaya tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada Seniman.
“Jadi, kami terpaksa membantu dari segi teknikal contohnya menghantar surat permohonan kepada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) untuk menyalurkan bantuan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 8:40 PM


Gambar kenangan sejam sebelum arwah (baju biru) meninggal dunia, Mac lalu. (Gambar kecil) Surianti dan bersama dua anaknya, Sufiy (kanan) dan Siti Hazeera.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95496#sthash.b1CoEp3c.dpuf

Hamidah hilang jawatan, ahli UMNO

Kuala Lumpur: Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman dipecat daripada jawatan dan keahliannya berkuat kuasa serta-merta.
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata, pemecatan berkenaan kerana Hamidah didapati melanggar disiplin parti.
"Keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) pada mesyuarat sebentar tadi,” katanya pada sidang media sejurus selepas mesyuarat di bangunan Parlimen, di sini, petang tadi.
Hadir sama dua Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Hamidah sebelum ini mengeluarkan kenyataan mendesak Najib melepaskan jawatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 9:18 PM


Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman. - Foto NSTP (Fail)
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95500#sthash.yYb6XNJl.dpuf

Washington kecam Pfizer


AFP - GAMBAR fail menunjukkan ibu pejabat farmaseutikal Pfizer di New York.


WASHINGTON – Penggabungan dua pengeluar ubat-ubatan, Pfizer dan Allergan untuk mewujudkan farmaseutikal terbesar di dunia bernilai AS$160 bilion (RM686.67 bilion) yang diumumkan kelmarin mencetuskan kemarahan di Washington.
Pemimpin-pemimpin AS menuduh penggabungan itu sebagai ‘inversi’ yang berlaku apabila sebuah firma AS bergabung dengan syarikat asing untuk merendahkan bayaran cukainya.
Penggabungan kedua terbesar dalam sejarah itu berisiko mendatangkan kesan buruk di seluruh dunia termasuk kenaikan tinggi harga ubat selain mendorong penggabungan serupa dalam sektor penjagaan kesihatan dan bidang-bidang lain.
Ia turut dikecam oleh ramai ahli politik AS yang baru-baru ini berang dengan tindakan menaikkan harga oleh pengeluar-pengeluar ubat sehingga melebihi AS$100,000 (RM429,170) setahun.
Perjanjian penggabungan itu membolehkan Pfizer menjimatkan cukai tahunannya yang berjumlah ratusan juta dolar ekoran firma itu akan memindahkan ibu pejabatnya dari AS ke Ireland di mana Allergan beroperasi.
Pfizer yang beribu pejabat di New York dijangka dapat mengurangkan kadar cukainya daripada 25 peratus kepada cuma 18 peratus tahun ini.
Penggabungan inversi sudah lama dikecam sebilangan ahli politik AS sebagai perbuatan mengelak cukai.
Dua pemimpin utama Parti Demokrat, Hillary Rodham Clinton dan Bernie Sanders mengkritik tindakan tersebut.
Clinton berkata, tindakan Pfizer akan membawa kesan buruk kepada pembayar cukai di AS, manakala Sanders memberitahu, penggabungan itu membawa kecelakaan kepada rakyat AS yang membayar harga tinggi untuk kos ubat-ubatan.
Ditanya sama ada penggabungan itu dibuat untuk mengelakkan cukai, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Ian Read berkata, beliau hanya bertanggungjawab kepada pesakit dan pemegang saham syarikat itu.
Penggabungan itu bagaimanapun, perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa AS dan Ke­satuan Eropah. Selain itu, ia juga memerlukan kebenaran para pemegang saham kedua-dua syarikat berkenaan.
Pfizer mengeluarkan ubat seperti Viagra, ubat merendahkan kolesterol, Lipitor dan ubat mencair darah, Eliquis, manakala Allergan pula menghasilkan ubat kosmetik, Botox dan Restasis untuk merawat mata kering.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3sRwlELrk 
Hakcipta terpelihara 

Remaja Islam didakwa buat bom mahu pampasan AS$15 juta



AFP - Ahmed memberikan ucapan pada satu sidang akhbar di Capitol Hill, Washington pada 20 Oktober lalu.


CHICAGO – Remaja Islam yang ditangkap selepas seorang guru tersilap menyangka jam yang dibinanya sebagai sebutir bom, mengancam akan menyaman sekolahnya dan bandar Irving, Texas sebanyak AS$15 juta (RM64.37 juta), kata peguamnya kelmarin.
Ahmed Mohamed, 14, menjadi terkenal pada September lalu selepas saudara perempuannya menyiarkan gambarnya di laman Twitter dalam keadaan digari sambil memakai baju-T bersama logo Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyertai sentimen orang ramai dengan mengucapkan tahniah kepada Ahmed kerana kepintarannya dan mengundang pelajar itu untuk membawa jam tersebut ke White House.
Tindakan Obama memberikan tamparan hebat kepada pihak sekolah dan mereka yang menuduhnya sebagai pengganas hanya kerana dia beragama Islam.
Peguam pelajar itu, Kelly Hollingswoth bagaimanapun menyatakan, di sebalik populariti yang dikecapi Ahmed, insiden itu menyebabkan dia dilanda trauma.
Beliau berkata, anak pasangan imigran dari Sudan yang menetap di bandar Irving, Texas itu membuat sebuah jam untuk menarik perhatian seorang guru baharu di Sekolah Tinggi MacAthur.
Namun, dia dituduh cuba menakutkan orang ramai dengan bom palsu dan digari sebelum dibawa keluar dari sekolahnya.
Peguamnya menegaskan bahawa pihak sekolah, polis dan pentadbiran tempatan telah melanggar hak asasi Ahmed dengan membuat tuduhan palsu dan menahannya sebelum kisahnya menjadi tumpuan media.
“Ahmed menjadi sasaran kebencian kerana bangsanya, kewarganegaraan dan agamanya,” kata Hollingswoth dalam sepucuk surat kepada pihak pentadbiran bandar Irving.
Surat itu menyatakan bahawa Datuk Bandar Irving, Beth Van Duyne menggelarkan jam itu sebagai bom palsu ketika muncul dalam program televisyen AS, Glenn Beck.
Mereka kini berpindah ke Qatar selepas Ahmed ditawarkan biasiswa lumayan.
Peguamnya meminta pampasan AS$5 juta (RM21.45 juta) daripada pihak pendidikan daerah dan AS$10 juta (RM42.91 juta) daripada pentadbiran bandar Irving.
Menurut Hollingswoth, pihaknya akan mengemukakan saman sivil sekiranya tiada jawapan diberikan dalam masa 60 hari. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3sRvZSjRF 
Hakcipta terpelihara