Sunday, October 24, 2010

Apa wajarnya menara 100 tingkat?



* NAMPAKNYA kita tidak mahu mengalah dalam perlumbaan membina bangunan tinggi. Seperti yang telah diketahui umum, sekiranya semua berjalan mengikut jadual, kita akan mempunyai satu lagi bangunan pencakar langit yang lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas. 

Itulah bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat yang akan menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Lumpur pada tahun 2020. Projek bernilai RM5 bilion dijangka siap 10 tahun dari sekarang. 

Tidak sampai 10 minit setelah pengumuman projek raksasa itu dibuat menerusi pembentangan Bajet 1011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu, keprihatinan rakyat terus memuncak. 

Beberapa laman web, termasuk facebook, dan penulis blog mempersoal kewajaran projek tersebut. Rata-rata menganggap ini satu pembaziran yang ketara. Wang rakyat dibelanjakan tidak kena pada tempatnya. 

Mereka menghujah, ada sekian banyak bangunan gah di KL yang masih kosong tiada penyewa – sesetengahnya kosong terlalu lama hingga menjadi tempat hantu dan jin bertapa – mengapa kerajaan hendak membina sebuah lagi gajah putih? 

Seperti yang dijangka – dan seperti biasanya! – pihak pembangkang menghentam Warisan Merdeka. Banyak angka dan fakta dikemukakan untuk membuktikan peruntukan sebesar itu satu pembaziran. 

Kata mereka duit kerajaan sebanyak itu boleh digunakan untuk membina 1,667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah, atau boleh memberi biasiswa kepada 5,000 pelajar perubatan dengan kos RM1 juta di United Kingdom. 

Malah, ada yang lebih sinis: Masih banyak sekolah di luar bandar, terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak tidak mempunyai tandas yang sempurna, kenapa perlu belanja berbilion RM duit kerajaan untuk membina bangunan mewah? 

Kebimbangan dan kemarahan umum, juga pembangkang, ialah sebab duit kerajaan @ duit rakyat, telah dibazirkan untuk sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Duit kerajaan patut dibelanjakan untuk banyak lagi perkara lain yang lebih mendesak. 

Sekiranya ‘duit kerajaan’ yang menjadi punca kebimbangan dan kemarahan, isu itu sepatutnya tidak dibangkitkan lagi. Sebab kini telah diketahui bahawa duit RM5 bilion itu bukan daripada Perbendaharaan Negara. Bukan duit kerajaan. 

* ULANG sekali lagi: Bukan duit kerajaan! RM5 bilion kos projek Warisan Merdeka datangnya daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). “Kita tidak akan ambil duit Perbendaharaan,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. 

Projek seluas 19 ekar (7.6 hektar) itu akan mengandungi antaranya ruang pejabat, kondominium, dan pusat membeli-belah. Kawasan projek tersebut telah dibeli daripada Danaharta sejak 2000, dan dibiarkan begitu sahaja selama sedekad. 

Menurut Hamad sekarang adalah masa terbaik untuk melaksanakan projek tersebut setelah perancangan mengenainya dilakukan sejak 2004. Ini sebahagian usaha PNB untuk mengembangkan lagi bidang hartanah yang sejak sekian lama menjadi sebahagian dari kegiatannya, selain peranan utamanya mengendalikan pelaburan unit-unit amanah. 

RM5 bilion memang satu jumlah yang besar, tetapi PNB mempunyai cukup dana dalaman untuk membiayai projek tersebut. Dan, dana dalaman itu bukan dari duit pelabur unit tabung amanahnya. 

Tegasnya pemegang atau pelabur unit amanah PNB tidak perlu bimbang dengan projek raksasa ini, sebab seperti yang dijelaskan oleh Kama: “Kita tidak akan usik walaupun sesen duit pemegang unit amanah.” 

Untuk pengetahuan PNB kini mengendalikan sembilan tabung unit amanah, untuk 10.2 juta pelabur (pemegang unit), kesemuanya bernilai RM115 bilion. Duit RM5 bilion untuk projek kontroversi itu tidak diambil dari duit pelabur. Jadi, isu ini sepatutnya tidak kontroversi lagi. 

* AKHIR kalam, 100 tingkat memanglah tinggi, malah tertinggi di tempat kita. Tetapi, yang tertinggi hari ini mungkin tidak mengekalkan statusnya pada hari esok atau tahun depan. Sebab perlumbaan untuk mencakar langit ini akan berterusan. 

Apabila Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat (452 meter) yang menelan biaya RM2 bilion siap pada tahun 1998, ia menjadi pencakar langit tertinggi di dunia, mengalahkan juara sebelumnya, Chicago Sears Tower. 

Tetapi rekod menara Petronas bertahan hanya lima tahun, dipintas oleh Tapei Tower setinggi 101 tingkat (509 meter) pada 2004, dan Shanghai World Financial Centre (101 tingkat, 492 meter) pada 2008. 

Korea Selatan pun sedang membina menara Lotte World II setinggi 110 tingkat (501.5 meter) yang dijangka siap 2013. Bangunan tertinggi di planet bumi sekarang ialah Burj Khalifa di Dubai, 152 tingkat (828 meter). 

Kesimpulannya, kalau hendak lawan mencakar langit, jari-jemari dan kuku Warisan Merdeka PNB tidak cukup panjang pada peringkat dunia, walaupun yang terpanjang di negara ini. 

Apa pun, bagi lebih 10 juta pemegang unit amanah PNB, mereka langsung tidak kisah setinggi mana bangunan yang hendak didirikan itu. Memang, sejak mula melabur mereka sentiasa menunggu yang tertinggi. Bukan pada bangunan, tetapi pada keuntungan dan dividen. 

- TOK PERAK

Ansari calon PKR bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi



SANDAKAN - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. 

Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka di sini.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 Nov.

Remaja mohon taraf warganegara



IPOH – Seorang peniaga runsing memikirkan masalah kewarganegaraan anaknya berusia 14 tahun yang didakwa ditarik balik setelah memperbaharui sijil kelahiran anaknya dua tahun lalu.

Chai Lean Fook, 48, berkata, anaknya, Chai Kah Weng dilahirkan di Malaysia pada tahun 1996 oleh isterinya yang berketurunan Siam dan memegang kerakyatan Thailand.

“Kami berkahwin pada tahun 1991 di Thailand setelah melalui upacara dan didaftarkan di Thailand.

“Bagaimanapun, kami tidak mendaftarkan perkahwinan itu di Malaysia kerana tidak mengetahui prosedur berkenaan perlu, namun selepas tiga tahun kelahiran Kah Weng, barulah kami mendaftarkan perkahwinan di Malaysia setelah dimaklumkan beberapa pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma DAP Perak di sini, semalam.

Lean Fook berkata, selepas Kah Weng dilahirkan di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, anak kedua daripada dua adik-beradik itu, diberikan sijil kelahiran.

Disebabkan masih berulang-alik ke Thailand, dia membuat pasport antarabangsa untuk anaknya yang berusia 15 hari dan maklumat dalam pasport ada tertera kerakyatan anaknya sebagai warganegara Malaysia.

“Pada waktu itu, tiada sebarang masalah timbul dan selang lima tahun kemudian saya terus memperbaharui pasport anak saya, sehingga usianya 10 tahun,” katanya.

Menurutnya, masalah mulai timbul apabila dia cuba memohon kad pengenalan anaknya ketika berusia 12 tahun, pada 2008.

Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memintanya membaharui sijil kelahiran Kah Weng yang berformat lama dan apabila siap dibaharui, tercatat pula taraf kewarganegaraan sebagai ‘Bukan Warganegara’.

“Saya amat terkejut dan bertanyakan tentang hal itu kepada pihak JPN tetapi saya diminta mengemukakan rayuan,” katanya.

Beliau berkata, bersandarkan arahan dia mengemukakan permohonan rayuan pada Jun 2008.

Katanya, selama dua tahun menantikan perkembangan permohonan kad pengenalan itu, akhirnya dia mengambil keputusan ke Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

“Hasilnya, saya menerima surat daripada pihak berkenaan yang menyatakan permohonan taraf kewarganegaraan anak saya ditolak.

“Surat berkenaan juga gagal menyatakan sebab ianya ditolak namun saya yakin ia mungkin disebabkan masalah kelewatan mendaftarkan perkahwinan kami di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Kah Weng yang tidak fasih berbahasa Melayu, mengharapkan permohonan kewarganegaraannya diberi pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan urusan sehariannya terutama berkaitan persekolahan.

Ayu, Zaquan naik pelamin



Oleh Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/10/24

ZAQUAN dan Ayu Raudhah lega hubungan mereka mendapat restu keluarga.
ZAQUAN dan Ayu Raudhah lega hubungan mereka mendapat restu keluarga.
Pasangan nikah 20 Januari depan selepas bertunang minggu lalu 

KUALA LUMPUR: Ketika kembarnya, Aidil Zafuan Abdul Razak dihimpit dengan kemelut rumah tangga dengan aktres Rita Rudaini, pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan pasangannya, Ayu Raudhah akan menyimpulkan cinta mereka dengan perkahwinan pada 20 Januari depan.
Zaquan dan kekasih hatinya, Ayu Raudhah, 25, adik pelakon jelita Rozita Che Wan itu yang ditemui ketika hadir meraikan sambutan hari lahir ke-31 pelakon Fizz Fairuz di premis karaoke popular, Red Box, The Gardens, semalam berkata, majlis pernikahan itu akan diadakan kampung halaman Ayu di Taman PKNK, Alor Setar, Kedah.
Katanya, majlis persandingan akan diadakan keesokannya di lokasi yang sama, manakala majlis bertandang pula di Seremban, Negeri Sembilan pada 29 Januari. 
Terdahulu, pada 17 Oktober lalu satu majlis merisik berlangsung di kediaman keluarga Ayu di Subang Jaya. 

“Perkara ini sudah lama dibincang cuma masih belum mendapat kata putus mengenai tarikh sebenar hari bersejarah kami. Semuanya termaktub selepas majlis merisik yang dijalankan pada malam Ahad lalu. Keluarga hanya menyerah cincin tanda dan sekali gus dianggap sebagai majlis pertunangan. 

“Bukan niat kami nak sorok majlis itu. Cuma kerana kontroversi yang baru saja terjadi membabitkan Rita Rudaini, keluarga dan Ayu Raudhah, kami memilih untuk membuatnya secara senyap. Saya lebih banyak merujuk keluarga dalam hal perkahwinan,” kata Zaquan. 
Zaquan kini berehat enam bulan kerana kecederaan lutut. Kesempatan ini diambilnya untuk membuat persiapan kahwin. Pasangan ini menghadiri kursus kahwin awal Ramadan lalu. 

“Selama ini hanya Ayu yang sering ditanya mengenai hal kahwin, tertanya juga kenapa hal yang sama tidak diajukan kepada saya. Tapi saya faham, Ayu artis sedangkan saya hanya ahli sukan. Saya harap segala persoalan selama ini terjawab. 

“Alhamdulillah, saya yakin dia pilihan tepat untuk menjadi permaisuri hati. Kalau sudah jodoh, tak ke mana. Apa yang penting, hubungan kami mendapat restu keluarga. Moga apa yang dirancang akan berjalan lancar. 

“Dia pandai mengambil hati orang tua saya dan lemah lembut. Malah di saat dia dikecam hebat gara-gara kontroversi rumah tangga abang saya dan isterinya, dia dilihat sangat tenang dan tidak banyak memberi komen untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan. Hakikatnya, keluarga saya lebih tahu apa yang terjadi,” katanya. 

Ditanya mengenai wang hantaran, Zaquan tidak menyebutnya kerana mahu menghormati permintaan keluarga. Sementara itu, Ayu pula berkata dia lega dengan kenyataan yang dimulakan kekasihnya itu. 

Katanya, ketika ini juga ramai pereka fesyen yang berminat mahu menaja perkahwinan mereka.

Tukar bini suka sama suka


Lelaki mahu bini orang jadi isteri


2010/10/24

JAKARTA: Seorang lelaki dari daerah Pamekasan, Jawa Timur, menghadapi perbicaraan selepas dituduh menjalin hubungan sulit dengan isteri bekas sahabat baiknya. 

Khoirul Anwar, 46, menuduh Sugianto, 40, ada hubungan sulit dengan Kamariyah hingga menyebabkan isterinya hamil, lapor akhbar Republika.
Plaintif berkata, hubungan sulit mereka berlangsung dua tahun selepas bertemu ketika berkelah.
Hubungan terlarang itu menyebabkan Kamariyah meninggalkan rumah dan tidak pulang sehinggalah dia mengandung, katanya. 

Oleh kerana marah dikhianati, Khoirul mengemukakan aduan dengan polis dan menuduh Sugianto ‘mencuri’ isterinya. 

Dalam perbicaraan Khamis lalu, Khoirul meminta Sugianto bertukar isteri dengannya sebagai cara membayar ganti rugi atas perbuatannya. – Agensi

Kalau sudah ajal

KANGAR: “Kematian suami adalah ketentuan Ilahi dan saya tidak menaruh perasaan curiga kepada rakan arwah yang dikatakan tertekan picu pump gun hingga menyebabkan kematiannya,” kata Azizul Man, 52, isteri Zakaria Mat, 57, yang disahkan meninggal dunia jam 11.30 malam kelmarin selepas terkena peluru penabur dilepaskan rakannya secara tidak sengaja, Khamis lalu.
Menurutnya, isteri rakan berkenaan menemuinya sejurus selepas kejadian untuk memohon maaf di atas perbuatan tidak sengaja suaminya ketika menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan.

“Dia (isteri rakan) dua kali memohon maaf kepada saya dan saya terima maafnya. Lagi pun, saya tiada menaruh rasa curiga terhadapnya.

“Biar polis menyiasat kejadian itu,” katanya ketika ditemui bersama enam anaknya yang menuntut jenazah suaminya di Bilik Mayat, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, semalam.

Zakaria, 57, yang juga pengawal keselamatan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, hampir 24 jam selepas terkena peluru penabur ketika bertugas.

Kelmarin akhbar melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, rakan mangsa yang menguji pump gun dikatakan tertekan picu hingga mengenai perut mangsa yang berada di sebelah pemandu dalam van milik syarikat.
Ketika kejadian, tiga pengawal keselamatan, termasuk mangsa dan rakannya berusia 50 tahun yang duduk di belakang, dalam perjalanan menghantar wang ke sebuah bank di Kangar.

Pemandu van keselamatan yang sepatutnya menuju ke bank, terpaksa mengubah haluan bergegas ke HTF apabila mendapati rakannya mengerang kesakitan terkena tembakan rakan sendiri.

Azizul berkata, dia tidak menyangka tindakan arwah menikmati hidangan nasi lemak selama tiga hari berturut-turut petanda suaminya akan meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya.

“Suami berhenti makan nasi lemak sejak sekian lama bagi menjaga tahap kolesterol dalam badan tetapi sejak tiga hari sebelum kematian, makanan terbabit menjadi menu utamanya,” katanya.

Jenazah Zakaria yang juga bekas tentera dan berkhidmat selama lapan tahun sebagai pengawal keselamatan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petal, Mata Ayer, selepas solat Asar semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya menahan rakan mangsa selepas dia membuat laporan di Balai Polis Kangar sejurus selepas kejadian.

Selain itu, katanya, polis turut merampas senjata api jenis pump gun milik pengawal berkenaan serta menahan van keselamatan dinaiki mereka untuk siasatan lanjut.

Abdul Rahman berkata, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960, ditukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan berikutan kematian pengawal keselamatan.

“Kita masih menahan rakan mangsa yang didakwa melepaskan tembakan secara tidak sengaja untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kalau sudah ajal

Oleh RASHIDI KARIM
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KANGAR: “Kematian suami adalah ketentuan Ilahi dan saya tidak menaruh perasaan curiga kepada rakan arwah yang dikatakan tertekan picu pump gun hingga menyebabkan kematiannya,” kata Azizul Man, 52, isteri Zakaria Mat, 57, yang disahkan meninggal dunia jam 11.30 malam kelmarin selepas terkena peluru penabur dilepaskan rakannya secara tidak sengaja, Khamis lalu.
Menurutnya, isteri rakan berkenaan menemuinya sejurus selepas kejadian untuk memohon maaf di atas perbuatan tidak sengaja suaminya ketika menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan.

“Dia (isteri rakan) dua kali memohon maaf kepada saya dan saya terima maafnya. Lagi pun, saya tiada menaruh rasa curiga terhadapnya.

“Biar polis menyiasat kejadian itu,” katanya ketika ditemui bersama enam anaknya yang menuntut jenazah suaminya di Bilik Mayat, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, semalam.

Zakaria, 57, yang juga pengawal keselamatan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, hampir 24 jam selepas terkena peluru penabur ketika bertugas.

Kelmarin akhbar melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, rakan mangsa yang menguji pump gun dikatakan tertekan picu hingga mengenai perut mangsa yang berada di sebelah pemandu dalam van milik syarikat.
Ketika kejadian, tiga pengawal keselamatan, termasuk mangsa dan rakannya berusia 50 tahun yang duduk di belakang, dalam perjalanan menghantar wang ke sebuah bank di Kangar.

Pemandu van keselamatan yang sepatutnya menuju ke bank, terpaksa mengubah haluan bergegas ke HTF apabila mendapati rakannya mengerang kesakitan terkena tembakan rakan sendiri.

Azizul berkata, dia tidak menyangka tindakan arwah menikmati hidangan nasi lemak selama tiga hari berturut-turut petanda suaminya akan meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya.

“Suami berhenti makan nasi lemak sejak sekian lama bagi menjaga tahap kolesterol dalam badan tetapi sejak tiga hari sebelum kematian, makanan terbabit menjadi menu utamanya,” katanya.

Jenazah Zakaria yang juga bekas tentera dan berkhidmat selama lapan tahun sebagai pengawal keselamatan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petal, Mata Ayer, selepas solat Asar semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya menahan rakan mangsa selepas dia membuat laporan di Balai Polis Kangar sejurus selepas kejadian.

Selain itu, katanya, polis turut merampas senjata api jenis pump gun milik pengawal berkenaan serta menahan van keselamatan dinaiki mereka untuk siasatan lanjut.

Abdul Rahman berkata, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960, ditukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan berikutan kematian pengawal keselamatan.

“Kita masih menahan rakan mangsa yang didakwa melepaskan tembakan secara tidak sengaja untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bayangan PRU-13 tahun hadapan




SEBAHAGIAN daripada perwakilan UMNO yang ceria mendengar ucapan penggulungan Presiden di PWTC semalam.


KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mungkin diadakan tahun hadapan jika beberapa petanda yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2010 dijadikan ukuran.
Antara yang terpenting adalah rancangan beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat negeri-negeri untuk bertemu kepimpinan UMNO dan rakyat awal tahun hadapan.
Ketika ditanya apakah rancangan itu petanda pilihan raya umum semakin hampir, beliau tidak menafikan sebaliknya berkata, ia terpulang kepada interpretasi.
"Boleh ditafsir dalam banyak cara tetapi adalah penting untuk kita bertemu dengan rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penggulungan beliau selaku Presiden parti pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini semalam.
Lebih 5,000 perwakilan dari 191 bahagian seluruh negara berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sejak Selasa lalu bagi menyertai perhimpunan berkenaan.

Jakim perlu jadi kementerian




ROSLI ketika membentangkan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu dinaik taraf kepada sebuah kementerian penuh agar dapat membantu menyelaraskan urusan yang berkaitan Islam.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin (gambar) berkata, ia perlu dilakukan segera memandangkan isu-isu berkaitan pencemaran agama semakin berleluasa.
"Tindakan drastik tentu dapat dibuat tanpa menunggu keputusan peringkat negeri terutama berkaitan dengan akidah, ajaran sesat, kes-kes tukar agama, kes pembuangan bayi, kes anak serta hamil luar nikah dan sebagainya.
"Ini juga dapat mengelakkan wujud pandangan yang berbeza dan bercanggah tentang sesuatu isu yang berbangkit yang akhirnya kita akan dapati kesucian dan kedaulatan Islam itu dapat diurus tadbir dengan berkesan dan menjadi rujukan mudah masyarakat Islam," katanya ketika membentangkan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini semalam.
Menurut Rosli, pihak berkuasa agama perlu mengelakkan 'sindrom bisu' apabila berhadapan dengan isu-isu melibatkan agama Islam khususnya yang ditimbulkan oleh parti-parti politik kerana ia boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap Islam.
Katanya, Jakim dan majlis agama Islam di negeri-negeri juga perlu agresif dan senada bagi membuat penjelasan segera berkaitan soal hukum dan fatwa agar difahami umum.

Prestasi cemerlang lepas kahwin




SITI HAJAR menerima ciuman tahniah daripada suaminya pada majlis penyampaian ijazah dan diploma UTM di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Berkahwin waktu belajar masih boleh berjaya.
Itulah yang dibuktikan Siti Hajar Aiyshah Yunus, 22, dan suaminya, Muhammad Suffian A. Rahim, 25, yang menerima diploma masing-masing pada Majlis Penyampaian Ijazah dan Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Graduan Program Kerjasama dan Program Eksekutif 2010 di sini semalam.
Mereka mengambil jurusan yang sama iaitu Diploma Kejuruteraan Elektronik dengan Siti Hajar memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.68 manakala suaminya, 3.21.
Lebih menarik, pasangan itu yang berkahwin pada 2007 ketika di tahun dua, turut dikurniakan dua anak, Aiyshah Humairah, 2, dan Muhammad Amzar Hamizan, empat bulan.
"Ketika hendak berkahwin, keluarga mulanya membantah tetapi apabila kami beri sebab-sebab yang munasabah, mereka akhirnya bersetuju.

Rozaliya, Helmi putus tunang




MOHD. HELMI (tengah) bersama ahli keluarganya berkumpul sebelum mengunjungi rumah Rozaliya di Kemaman semalam.


KEMAMAN – Krisis hubungan membabitkan bakal pengantin, Rozaliya Mat Lazim, 20, dengan tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Noor, 24, berakhir dengan kedua-dua keluarga bersetuju memutuskan pertunangan pasangan itu semalam.
Keputusan itu disahkan sendiri bapa Helmi, Mohd. Noor Juah, 53, selepas dia mengetuai rombongan menemui keluarga Rozaliya di Bandar Baru Cheneh dekat sini semalam.
Kosmo! Ahad difahamkan keluarga Rozaliya yang mahu pertunangan itu diputuskan.
Bagi memenuhi permintaan itu, Mohd. Noor bersama isteri, Mariani Hussin, 46, serta beberapa ahli keluarga bertandang ke rumah Rozaliya dari Pagoh, Johor semalam untuk menyelesaikan kemelut membabitkan pasangan itu.
“Kami bersetuju memutuskan pertunangan ini kerana sedar tidak lagi wujud persefahaman antara mereka (Rozaliya dan Mohd. Helmi).

Hidup bawah jambatan




HAZMAIN memangku Siti Norafida sambil diperhatikan oleh Siti Faezah di bawah jambatan yang menjadi rumah mereka di Lebuh Raya Besraya, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di sini pasti tidak menyangka sebuah kolong di bawah jambatan yang mereka lalui di situ rupa-rupanya menjadi rumah kepada satu keluarga tiga beranak termasuk bayi mereka yang berusia setahun.
Bersama mereka ialah dua lelaki hidup yang turut merempat, Mohd. Hafiz Abdul Aziz, 30, dari Sepang dan Tan Chee Wah, 44, dari Serdang, Selangor.
Ketua keluarga itu, Hazmain Abdul Jalil, 28, membawa isterinya, Siti Faezah Abu Bakar, 27, dan anak perempuan mereka, Siti Norafida ke bawah jambatan itu sejak empat bulan lalu selepas dihalau dari sebuah rumah kosong yang sebelum itu menjadi tempat mereka berlindung.
Kawasan yang menjadi 'rumah' mereka itu tidak berdinding hanya dilapik dengan kayu sementara untuk mendapatkan bekalan air, mereka terpaksa mencuri air dari paip berdekatan.

Amir Junction meninggal



SEGAMAT 23 Okt. - Bekas pemain gitar Junction, Amir, 43, atau nama penuhnya Mohd. Amin Ahmad, meninggal dunia akibat lelah berdekatan rumahnya di Kampung Kadut, Simpang Jabi di sini kelmarin.
Beliau yang masih bujang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 malam dan jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan kampung tersebut pagi semalam.
Ketika kejadian, arwah dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya dengan menaiki motosikal tetapi di pertengahan jalan, dia memberhentikan kenderaannya setelah mengalami lelah.
Dia dipercayai mengalami lelah dan sesak nafas secara tiba-tiba dan tidak lama selepas itu meninggal dunia di situ.
Amir merupakan pengasas Junction pada 1985 dan kumpulan tersebut pernah menghasilkan tiga buah album berjudul Arah pada 1988, Penentuan (1989) dan Petualang (1990).
Junction pernah popular dengan lagu Akan Ku Kenang dan Demi Cinta Setia pada lewat '80-an yang liriknya ditulis oleh Mama Juwie iaitu bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.
Sementara itu, rakan karibnya yang juga bekas vokalis Junction, Kamarul Hatta Zaharuden atau lebih dikenali sebagai Hatta berkata, arwah adalah seorang yang berbakat besar.
Kata Hatta, pemergian arwah amat mengejutkan beliau serta rakan seperjuangan lain dan mengharapkan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang soleh.
"Arwah seorang yang pendiam dan baik hati, rakan-rakan merasakan satu kehilangan besar, semoga ahli keluarga tabah menghadapi ketentuan ini dan al-Fatihah untuknya," katanya.

Subjek Sejarah wajib lulus SPM



NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin berjalan keluar dari Dewan Merdeka sambil bersalaman dengan orang ramai selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2010 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.
‘‘Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.
‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.
‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.
‘‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.
Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.
Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.
Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara.
‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.

Henti bahas hak Melayu – PM





NAJIB Tun Razak bersama timbalannya, Muhyiddin Yassin mengangkat tangan dengan diberi tepukan gemuruh oleh para perwakilan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 23 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak supaya berhenti mempersoal dan membahaskan mengenai hak istimewa Melayu serta pada masa sama mengulangi bahawa ia dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Presiden UMNO, seperti yang ditegaskan beliau baru-baru ini, soal hak istimewa Melayu dan bumiputera adalah sesuatu yang telah terpateri dan terkunci kemas dalam Perkara 153 Perlembagaan dan tidak mungkin dipinda.
“Itulah sebenarnya hakikatnya. Peruntukan-peruntukan mengenai kepentingan orang Melayu dan bumiputera, yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan negara kita.
“Ia tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan raja-raja Melayu dan saya tak nampak raja-raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.
“Soal Perlembagaan ini tak usah bangkit pada sesiapa lagi. Habis, tutup cerita, kita mara ke depan, orang putih kata lets move on. Tak ada apa lagi, dah... dah... dah, habis cerita, tutup buku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan ketika sesi penangguhan Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Dalam ucapan dasar Presiden sewaktu merasmikan perhimpunan agung itu Khamis lalu, Perdana Menteri menegaskan, hak istimewa Melayu yang dijamin dalam Perkara 153 Perlembagaan tidak boleh digugat kerana ia tidak mungkin dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Perkara 153 antara lain mencakupi rezab kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.
Dalam pada itu, Najib menyelar parti pembangkang yang memusingkan ucapan dasarnya berkaitan hak istimewa orang Melayu itu dengan kenyataan bahawa UMNO tidak perlu berkuasa kerana kononnya pihak lain pun boleh mempertahankan keistimewaan itu disebabkan ia sudah ada dalam Perlembagaan.
Menurutnya, pandangan pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana walaupun ia sudah terkunci kemas, namun kuasa politik perlu berada di tangan UMNO untuk menterjemah prinsip semangat peruntukan Perlembagaan itu.
“Kumpulan yang di sebelah sana, dia pakar pusing, orang putih kata spinning. Dia very good at spinning. Dalam ucapan saya (ucapan dasar), saya tutup dengan mengatakan dalam apa juga keadaan, mesti kita pertahankan (hak istimewa Melayu).
“Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kepalsuan untuk mengelirukan rakyat jelata.
“Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain (hendak pertahankan), nak kata dia (pembangkang) boleh... dulu sibuk reformasi, sekarang ini sibuk baling kerusi,” tegasnya.
Sementara itu, Najib pada sidang akhbar kemudian berkata, seandainya isu Perlembagaan masih dibangkitkan oleh pihak tertentu, ia akan hanya bersifat akademik.
“Ia tidak akan mengubah setitik pun. Kita memang ada undang-undang tapi kita akan tengok macam mana ia dibangkitkan, sama ada ia melanggar undang-undang atau (berbentuk) hasutan.
“Tapi, mereka patut faham kalau persoalkan, ia hanya bersifat akademik, buang masa dan `habiskan beras’ sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata, parti-parti komponen BN sudah memberi persetujuan supaya perkara-perkara yang bersabit dengan Perlembagaan tidak perlu lagi dibangkitkan oleh sesiapa.