Sunday, February 5, 2012

'Orang mahu saya undur ada motif politik peribadi'



Shahrizat Abdul Jalil (tengah, belakang) dikerumuni orang ramai yang ingin bersalaman dengannya pada majlis Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional peringkat negeri Perak di Padang Kampung Bata, Beruas, Perak, semalam.


BERUAS 4 Feb. - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendakwa pihak yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO dan menteri Kabinet mempunyai motif politik peribadi.

Beliau berkata, pihak berkenaan juga tidak mewakili suara 1.3 juta ahli Wanita UMNO secara keseluruhannya.

"Setitis air di lautan tidak menjadikan lautan. Kamu perlu tahu mereka yang meminta saya berundur, jika dilihat pada latar belakang politik dan jika kamu buat kajian yang cetek pun, kamu akan tahu kenapa mereka suruh (berundur)," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemantapan Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional (BN) Perak yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Kampung Bakar Bata di sini hari ini.

Baru-baru ini, beberapa pihak termasuk bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz meminta Shahrizat melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan selepas dikaitkan dalam isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat menegaskan, beliau tidak sesaat pun merasakan diketepikan oleh pemimpin dan ahli Wanita peringkat akar umbi, malah, semakin ramai yang menyokongnya dalam menghadapi dugaan tersebut.

"Mungkin golongan bapa tidak memahami naluri wanita tetapi saya tidak sesaat pun rasa diketepikan. Malah, di mana-mana pun saya pergi, dakapan mereka kepada saya lagi kuat sebab mereka juga seorang ibu, isteri dan pemimpin seperti saya," katanya.

Shahrizat sebelum ini bercuti rehat daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu mulai 13 Januari bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu NFC yang dikaitkan dengannya.Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

Reaksi majlis fatwa


KUALA LUMPUR 4 Feb. - Hukum mendapatkan perkhidmatan sindiket 'haji ekspres' adalah haram di sisi agama kerana melibatkan pemberian rasuah serta merampas hak orang lain yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, peserta haji dan mereka yang bersubahat dalam perbuatan itu menanggung dosa kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Perbuatan ini haram kerana ada pihak memberi dan menerima secara rasuah. Ia juga merampas hak dan peluang orang lain.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sistem haji di negara ini mengikut giliran siapa dulu mendaftar dan memohon," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Seperti dilaporkan akhbar ini, sindiket 'haji ekspres' menawarkan orang ramai peluang menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut lebih awal daripada jadual dengan membayar 'suapan'.

Sindiket dikesan beroperasi sejak beberapa tahun lalu itu juga dilapor melibatkan beberapa pegawai Lembaga Tabung Haji (TH) dan beberapa bekas kakitangannya.

Abdul Shukor yang kesal dengan kewujudan sindiket itu menggesa TH supaya bertindak segera bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

"Bilangan peserta haji di negara kita bergantung kepada kuota yang ditentukan Arab Saudi, jadi kita perlu adil dalam soal ini.

"Jangan kerana seseorang itu mempunyai 'kelebihan' wang ringgit, dia dapat tunaikan haji tanpa perlu menunggu seperti orang lain,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan untuk mengubah tarikh mengerjakan haji harus dibenar dalam keadaan tertentu seperti bagi mereka sudah lanjut usia dan pasangan haji tidak mendapat giliran serentak.

"Misalnya, kita boleh pertimbangkan pasangan berusia lebih 70 tahun untuk pergi dahulu atau kepada suami isteri yang tidak dapat giliran pergi bersama,'' katanya.Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Anggota sindiket disiasat



Jamil Khir


KUALA LUMPUR 4 Feb. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan beberapa pegawai dan kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres' sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia .

Menurutnya, siasatan dijalankan hasil susulan laporan yang diterima pihak berkuasa tentang tuduhan meminta suapan bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadat itu lebih awal daripada dijadualkan.

"Bagaimanapun, saya meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pendedahan kegiatan sindiket berkenaan kerana kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

"Kita perlu beri peluang kepada semua individu terbabit untuk pertahankan diri daripada tuduhan ke atas mereka," katanya kepadaMingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan eksklusifUtusan Malaysia berhubung sindiket melibatkan beberapa pegawai dan kakitangan TH yang dipercayai beroperasi sejak 2009 dengan menawarkan orang ramai melangkau giliran untuk menunaikan ibadat haji.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat TH, Anis Zuhani Ahmad berkata, agensinya mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres'.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

'Saya tidak akan merayu'




Hasan Ali di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Feb. - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mengambil keputusan muktamad untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan selepas beliau dipecat sebagai ahli parti dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 8 Januari lalu.

Ujarnya, perkara itu diputuskan selepas beliau mengambil kira setiap pandangan daripada ulama sama ada di dalam atau di luar Pas, golongan profesional, ahli akademik, ahli biasa serta setelah melakukan istikharah.

Katanya, keputusan tersebut juga berkait rapat dengan cara pemecatannya oleh Pas yang disifatkannya sebagai paling autokratik dan paling tidak demokratik walaupun tempoh rayuan masih berbaki tiga hari lagi iaitu pada 7 Februari ini.

''Pimpinan tertinggi Pas telah membuat keputusan untuk memecat saya tanpa mengikut prosedur lazim yang digunakan oleh mana-mana pertubuhan politik termasuk Pas yang sepatutnya menjunjung syariat Allah SWT, antaranya memberi peluang serta ruang untuk membela diri.

''(Namun) mereka membuat keputusan secara arbitrari, berhujah dan mendengar daripada satu pihak sahaja. Tindakan yang diambil begitu tergesa-gesa termasuk menggugurkan saya sebagai Exco kerajaan negeri yang mana Setiausaha Agung Pas meminta ia dibuat secara serta-merta,'' katanya dalam satu sidang media di kediamannya dekat sini, hari ini.

Pengumuman yang dibuat oleh bekas Naib Presiden Pas itu menamatkan segala teka-teki sama ada beliau mahu mengemukakan rayuan atau sebaliknya selepas dipecat oleh parti bulan lalu.

Pada 8 Januari lalu, Hasan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor telah dipecat sebagai ahli Pas kerana didakwa tindakan-tindakannya yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.

Hasan berkata, secara asasnya terdapat sembilan sebab utama keputusan muktamad itu dibuat, antaranya peranan parasit yang begitu menonjol di dalam parti sehingga kepimpinan tertinggi terpaksa membuat keputusan di luar batasan pengurusan manusia.

''Saya juga tidak pernah menerima surat, pesanan ringkas atau panggilan telefon meminta hadir khusus untuk memberi keterangan terhadap apa-apa pertuduhan yang dikenakan terhadap saya.

''Saya masih berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan segala-gala yang melibatkan saya telah selesai dalam pertemuan mahabbah di Kota Bharu pada 27 Disember tahun lalu,'' ujarnya.

Hasan berkata, antara sebab lain beliau enggan mengemukakan rayuan adalah kerana perjuangan Pas yang telah terkeluar daripada landasan asalnya apabila negara Islam, hukum hudud, kepimpinan ulama, persaudaraan dan akhlak Islam tidak lagi menjadi amalan dalam parti.

''Saya juga kerap kali mencadangkan agar Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang. Ini berikutan pendekatan 'akomodatif' yang diambil oleh parasit di dalam Pas telah membuatkan dasar parti terpaksa dikorbankan untuk menjaga dua rakan sekutu (DAP dan PKR),'' katanya lagi.

Dalam perkembangan lain Hasan menegaskan program jelajah yang dilakukan ketika ini tiada kaitan dengan UMNO, sebaliknya ia dianjurkan oleh badan-badan sukarela dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''NGO-NGO tersebut dengan sukarela menganjurkan program-program tersebut kerana ia bertepatan dengan aspirasi dan cita rasa sebilangan besar rakyat negara ini.

''Setakat ini sambutan yang diberikan sama sekali di luar jangkaan. Rakyat pelbagai golongan membanjiri majlis-majlis diadakan. Di Bakri, Muar malam tadi dianggarkan 8,000 orang yang hadir.

Di Bukit Gantang, Perak sebelum ini, katanya, 8,000 rakyat yang hadir manakala secara purata jumlah kehadiran di dalam majlis serupa di beberapa kawasan di Selangor adalah antara 2,500 hingga 4,000 orang.Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'