Monday, March 30, 2015

Korea Utara tahan dua perisik Korea Selatan



KIM Kuk-Gi menundukkan kepala sebelum memulakan sidang media di Pyongyang hari ini. - Foto AFP
SEOUL: Korea Utara mengesahkan pihaknya menahan dua ejen perisik Korea Selatan yang mengumpul maklumat untuk negara jirannya itu.
Agensi berita rasmi Korea Utarra, KCNA memberikan butiran dua lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Kim Kuk-Gi dan Choe Chun-Gil dan disifatkan sebagai 'pengganas kejam' yang didapati beroperasi dari pangkalannya di Bandar Dandong, sempadan China.
"Mereka bersungguh-sungguh mengambil bahagian dalam kempen anti-DPRK (anti-Korea Utara) yang dianjurkan oleh perisikan Amerika Syarikat dan Perkhidmatan Rahsia Korea Selatan (NIS)," lapor KCNA.

Choe Chun-Gil

Kim Kuk-Gi
Kedua-dua perisik berkenaan ditahan ketika menghadiri satu 'sidang media' di Pyongyang, yang dihadiri kumpulan pemberita dan diplomat asing.
Di Seoul, NIS berkata, tuduhan bahawa dua lelaki itu bekerja untuk agensi berkenaan adalah sama sekali tidak berasas.
"Kami sedang siasat sama ada dua lelaki ini warga Korea Selatan," kata jurucakap NIS. - AFP

Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar Dalam Dua Hari - LHDN


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 5:01 PM

BANGI: Pembayar cukai boleh mendapat bayaran balik cukai terlebih bayar daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam masa dua hari selepas menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), kata Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.
Beliau berkata, bayaran balik cukai terlebih bayar kepada LHDN boleh dilakukan dalam masa dua hari jika segala maklumat yang diberikan adalah betul.
"Bila maklumat yang diberikan adalah betul kita akan proses dengan cepat.
Tapi bila hantar borang dengan maklumat yang tidak lengkap ini akan menyebabkan LHDN makan masa untuk proses.
"Secara purata kalau hari ini hantar, esok proses, lusa dia (pembayar cukai) dapat (bayaran cukai terlebih bayar). Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada jumlah BNCP yang diterima," katanya ditanya mengenai tempoh pembayaran balik cukai terlebih bayar.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk 'Driven By Vision: Fuelled by Creativity and Innovation' dalam program Ceramah Ketua Pegawai Eksekutif di Akademi Percukaian Malaysia di sini, Isnin.
Mohd Shukor berkata, dijangkakan empat juta pembayar cukai di negara ini menggunakan sistem e-Filing dan ia mewakili kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan pembayar cukai.
Kemudahan e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui internet.
Laporan sebelum ini menyebut, tarikh akhir untuk mengembalikan borang penyata cukai pendapatan bagi punca pendapatan bukan perniagaan (Borang BE) dan bayaran baki cukai kena dibayar melalui sistem e-Filing dilanjutkan sehingga 15 Mei ini.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada 30 April ini dan penalti akan dikenakan sekiranya mereka gagal mengisi borang selepas tarikh itu.

Hudud: Tiga Pengarang The Malaysian Insider Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 8:05 PM

PETALING JAYA: Polis menahan tiga pengarang portal berita, The Malaysian Insider bagi membantu siasatan berhubung artikel yang disiarkan minggu lalu.
Tiga yang ditahan itu melibatkan pengarang urusan, Lionel Morais; pengarang rencana Bahasa Malaysia dan penganalisis, Zulkifli Sulong dan pengarang berita Bahasa Malaysia, Amin Iskandar.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twiter beliau @KBAB51 memberitahu pihaknya akan memanggil Ketua Pengarang portal berkenaan berhubung artikel yang disiarkan.
Portal berita itu memuatnaik artikel mengenai Majlis Raja-Raja menolak cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 semasa mesyuarat pada 11 Mac.
Bagaimanapun, Artikel tersebut yang memetik sumber-sumber berkata, penolakan terhadap pindaan Akta Persekutuan telah dibuat pada mesyuarat yang dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil mereka.
Namun pada Khamis, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menafikan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai hudud di Kelantan dan telah membuat laporan polis agar siasatan mengenai perkara itu dapat dijalankan.
Terdahulu pada pukul 6.30 petang Isnin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat portal berita itu.

#KitaLawan: Rafizi, Fariz, Hishammuddin Dibebas Dengan Ikat Jamin


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 12:23 PM
(Dari kiri) Rafizi, Fariz dan Hishammuddin dibebaskan dengan ikat jamin pada Isnin.

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang sebelum ini ditahan berhubung himpunan #KitaLawan dibebaskan dengan ikat jamin pada Isnin.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, selain Rafizi, Setiausaha Pengelola PKR, Fariz Musa dan aktivis, Hishammuddin Rais yang sebelum ini ditahan berhubung himpunan #KitaLawan turut dibebaskan dengan ikat jamin.
"Rafizi Ramli, Fariz Musa dan Hishammuddin Rais telah dibebaskan dengan ikat jamin.
"Mereka ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi sekarang," kata Fahmi pada Isnin.
Rafizi dan Hishamuddin ditahan pada Jumaat lalu, manakala Fariz ditahan pada malam Sabtu, bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan yang diadakan pada Sabtu. 
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, penahanan Rafizi pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung tindakannya mengeluarkan surat mengarahkan penyokong parti itu untuk mengadakan himpunan haram #KitaLawan pada Sabtu lalu.

Kes Altantuya: Tiada Bukti Kukuh Kaitkan Razak Baginda - Nancy


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 9:03 PM
Abdul Razak Baginda

KUALA LUMPUR: Tiada bukti kukuh bagi mengaitkan penglibatan penganalisis politik, Abd Razak Baginda dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Menurut Nancy, berdasarkan alasan itu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Abd Razak pada Oktober 2008.
“Berdasarkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan mahkamah, kajian menyeluruh dilakukan ke atas kes yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk menentukan sama ada rayuan terhadap perintah mahkamah tinggi tersebut perlu dibuat atau tidak.
“Setelah dikaji dengan teliti dan mendalam, Jabatan Peguam Negara berpendapat bahawa tiada keterangan yang kukuh dan mencukupi bagi membuktikan penglibatan Abd Razak dalam pembunuhan Altantuya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) berhubung sebab sebenar Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah.
Abd Razak yang juga tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan 31 Oktober 2008 di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie terhadapnya untuk menjawab tuduhan.
Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah membela diri atas tuduhan yang dihadapi.
Sirul dan Azilah kemudiannya didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan kedua-dua anggota keselamatan terbabit dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia.
Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

300 tak peduli amaran polis


Kuala Lumpur: Peserta perhimpunan #KitaLawan tidak mengendahkan nasihat dan amaran pihak berkuasa apabila terus berdegil mengadakan perhimpunan di ibu negara, semalam.

Kira-kira 300 peserta berkumpul di hadapan kompleks beli-belah Sogo selepas berjalan dari tiga lokasi berasingan iaitu di Masjid Jamek, Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut, di sini, sebelum berarak menuju ke Menara Berkembar KLCC melalui Jalan Ampang pada jam 4.45 petang.

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Jawatankuasa PAS pusat Dr Dzulkefli Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyertai perhimpunan itu.

Tinjauan mendapati ada segelintir penyokong membawa kanak-kanak berarak menyertai perhimpunan sejauh dua kilometer.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:25 AM

Peserta perhimpunan berarak dari Dataran Merdeka menuju ke Sogo.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40087#sthash.P3V2HFvC.dpuf