Saturday, September 17, 2011

Terkini!!Hassan Ali Dan Nasarudin Mat Isa Keluar Parti!!!







Ini berita yang baru diterima.

Perkara ini masih dalam perbincangan sulit peringkat akhir tetapi hampir pasti dilaksanakan.
 

Exco Kerajaan Selangor Hassan Ali DAN ahli parlimen Bachok yang juga bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dikhabarkan sudah berunding dengan Hishamuddin Hussein bagi "memproses" permohonan mereka menyertai Umno-APCO.

Bagaimanapun lokasi pertemuan dan siapa yang terbabit selain dari mereka bertiga masih lagi dirahsiakan.
 

Spekulasi kini tersebar sejak seminggu lalu dan lebih hangat semalam apabila beberapa beberapa sumber memetik bahawa kedua-dua mereka sudah tidak lagi bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat.
 

Beberapa pengumuman mengejutkan akan diketahui dalam tempoh terdekat.
 

Sekiranya benar sumber ini maka Najib Altantuya akan merancang tindakan lebih ampuh untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.
 

Nantikan maklumat lanjut seterusnya.
 Klik

Di Kelantan Sambutan Hari Malaysia Disabotaj Oleh Pengarah Pelajaran Yang Bodoh



Konsep 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri kini dianggap semakin malap apabila diskriminasi agensi-agensi kerajaan pusat terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat semakin menjadi-jadi.

Terbaru terbukti semalam apabila sebanyak 20 kontinjen yang mewakili sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran difahamkan diarah menarik diri di saat-saat akhir bagi menyertai perbarisan sempena Hari Malaysia.

Sebelum ini akhbar Harakah mendedahkan Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang dilaporkan secara terang-terangan meminta guru-guru dan keluarga mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang.
http://wargamarhaen.blogspot.com

Derita 3 beranak tunggu bantuan



KUALA KRAI - Ungkapan ‘Rumahku Syurgaku’ tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang ibu tunggal di Kampung Bukit Langsat, dekat sini sejak tinggal di rumah peninggalan ayahnya lebih 10 tahun lalu.

Selain dinding berlubang dan reput dimakan anai-anai, bumbung rumah didiami ibu tunggal terbabit, Rohana Ariffin bersama dua anak berusia lima dan tujuh tahun itu juga banyak yang bocor.

Rohana, 28 berkata, biarpun tidak selesa terutama ketika hujan, dia tidak mempunyai pilihan selain terus mendiami rumah usang itu bersama dua anaknya disebabkan kesempitan hidup.

Katanya, selepas kehilangan suami dua tahun lalu, dia bergantung kepada pendapatan RM18 sehari sebagai pekerja kilang papan untuk sara hidup termasuk belanja sekolah anaknya.

“Kalau hujan waktu malam, saya serta anak-anak tidak ada tempat nak tidur dan terpaksa berjaga kerana bumbung bocor dan seluruh rumah dibasahi air.

“Dengan pendapatan sebanyak itu (RM18 sehari), usahkan nak baiki rumah, nak tampung belanja seharian dan anak sekolah pun tak cukup,” katanya, di sini, semalam.

Rohana berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu bagi meringankan bebannya menyara diri dan anak-anak namun ditolak.

“Selama ini saya tidak pernah terima apa-apa bantuan dan bila cuba mohon dengan JKM, mereka kata tak layak sebab saya muda dan masih boleh bekerja.

“Kenapa tak ambil kira saya orang miskin, bahkan rumah ini dulu pun asalnya arwah ayah saya terima bawah bantuan PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin),” katanya.

Rohana bagaimanapun bernasib baik apabila masalah bumbung rumahnya bocor menarik perhatian Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Mohd Fadhli Yahya yang sudi menghulurkan sumbangan peribadi.

Mohd Fadhli diwakili Setiausaha JKKKP Tanpa Mukim Dun Mengkebang, Zamzuri Ismail berkata, bantuan bagi menukar bumbung rumah itu diharap dapat memberi sedikit keselesaan kepada Rohana sekeluarga.

“Beliau (Mohd Fadhli) juga berharap, keluarga ini dapat diberikan keutamaan jika ada bantuan disalurkan mana-mana agensi kerajaan di kawasan ini,” katanya.

7 beranak diami pondok kecil



PASIR MAS – Percaya atau tidak pada zaman moden sekarang ini sebuah keluarga di sini masih tinggal dalam sebuah pondok di mana dinding diperbuat daripada buluh dan lantai pula dari batang pinang.

Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa dilalui tujuh beranak yang tinggal di pondok kecil di Kubang Agor, Tok Uban, di sini.

Pondok ini bukan sahaja kecil, malah juga bocor menyebabkan tujuh penghuninya terpaksa mencari tempat berteduh berhampiran rumah setiap kali hujan lebat.

Pasangan Mohd Rosdi Mohamad, 37, dan isteri, Zaharah Ismail, 28, serta lima anak yang masih kecil terpaksa akur dengan cara hidup mereka kerana tidak mampu membina kediaman lebih baik sejak tiga tahun lalu.

Bukan mereka tidak mahu membina rumah lebih besar dan menjanjikan keselesaan buat mereka sekeluarga, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka berbuat demikian.

Zaharah berkata, pendapatan suaminya sebagai tukang cat dengan pendapatan tidak menentu, mereka tidak mampu menyediakan rumah baru.

Menurutnya, mereka bernasib baik kerana arwah mertuanya mempunyai tanah dan membolehkan mereka anak-beranak membina pondok untuk didiami.

“Pendapatan suami sebanyak RM300 sebulan hanya cukup menampung keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak sahaja.

“Itu pun kalau dikira betul-betul, memang tidak mencukupi untuk membiayai anak masih kecil dan bersekolah, tetapi saya terpaksa berjimat,” katanya yang tidak bekerja kerana perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil.

Zaharah berkata, kesempitan hidup memaksa mereka berteduh di pondok kecil yang jarang dihuni masyarakat hari ini.

Menurutnya, walaupun pondok ini terlalu kecil dan daif, mereka tiada pilihan sehingga terpaksa bersesak dengan lima lagi masing-masing berumur 10 hingga dua tahun.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik dua daripada tiga anak yang bersekolah, Norzainawati Mohd Rosdi, 10, dan Mohd Khairul Mohd Rosdi, 8, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, di sini turut menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) bagi menampung bayaran yuran persekolahan dan pakaian sekolah.

Zaharah berkata, mereka tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini, tetapi ada pihak datang melihat keadaan pondoknya.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

“Saya tidak pasti pihak mana yang datang, tapi sudah beberapa kali mereka tampil menanyakan keadaan kediaman kami,” katanya.

Menurutnya, kisah hidup mereka pernah terpampang di dada akhbar, tetapi tidak pasti akhbar mana kerana hanya dimaklumkan jiran-jiran.

Zaharah juga menjelaskan pondok kecil itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan bergantung kepada sambungan wayar elektrik yang diambil dari rumah emak saudara kepada suaminya itu.

Dia berharap sekiranya ada pihak bertanggungjawab dapat tampil menghulurkan bantuan bagi membina rumah baru yang menjanjikan lebih keselesaan buat mereka sekeluarga.

China perangi samseng

BEIJING 16 Sept. - China hari ini melaporkan 2,182 orang ditahan dan beratus-ratus kumpulan jenayah ditumpaskan dalam satu operasi menentang kegiatan jenayah terancang, tatkala seorang pegawai kanan berjanji akan menghapuskan pakatan sulit polis dengan penjenayah.
Menurut kenyataan dalam laman web Kementerian Keselamatan Awam, operasi itu bermula awal bulan ini dan sebanyak 270 kumpulan telah ditumpaskan.
"Tidak dinafikan terdapat anggota polis yang terlibat dengan kumpulan-kumpulan penjenayah dan usaha untuk menghapuskan kegiatan kongsi gelap terbabit tidak akan dihentikan," kata Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah, Liao Jinrong kepada akhbar berbahasa Inggeris, China Daily. - AFP

Tinggal di kandang lembu






M. Rajamma (dua dari kiri) bersama dua anak perempuan dan beberapa cucunya terpaksa tinggal di kandang lembu di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


BUTTERWORTH 16 Sept. - Gara-gara dibelenggu kemiskinan, seorang ibu tunggal terpaksa menjadikan sebuah kandang lembu berhampiran kawasan semak dekat Ampang Jajar di sini, sebagai bangsal tempat tinggal bersama ibu dan empat anaknya.
Beralaskan tikar dan tilam buruk, M. Rajeshwari, 32, dan ibu, M. Rajamma, 57, bersama empat anaknya berusia lima hingga 10 tahun tidak mempunyai pilihan untuk tinggal di bangsal tersebut lantaran masalah kewangan yang kian menghimpit.
Rajeshwari yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dia sebelum ini tinggal di kawasan setinggan di Kampung Kovil, dekat sini selama lebih enam tahun tetapi terpaksa berpindah selepas dihalau oleh tuan tanah.
Menurutnya, dia kemudiannya menumpang di rumah seorang saudara di Jalan Raja Uda, di sini tetapi diminta keluar baru-baru ini kerana tidak dapat membayar sewa rumah secara tetap.
"Ketika itu, anak-anak saya juga terpaksa bekerja mencuci pinggan untuk membantu mengumpul duit sewa rumah dan membeli barangan keperluan harian.
"Saya sendiri berasa malu untuk terus menumpang ihsan keluarga dan menyusahkan mereka untuk menanggung keperluan kami anak-beranak," katanya ketika ditemui pada program lawatan Ketua Pemuda MIC Bahagian Permatang Pauh, M. Suresh di sini, hari ini.
Rajeshwari bagaimanapun berkata, kehidupan mereka enam beranak menjadi semakin sukar kerana pendapatan sebagai tukang cuci tidak dapat menampung keperluan membayar sewa rumah sehingga memaksa mereka tinggal dan berlindung di bawah sebuah pangsapuri.
Katanya, mereka bernasib baik apabila ditemui oleh seorang penternak lembu yang memberi kebenaran untuk tinggal sementara di bangsalnya yang terletak tidak jauh dari pangsapuri berkenaan.
Sementara itu, Suresh berkata, pihaknya mahu kerajaan negeri supaya tampil memberi bantuan kepada keluarga tersebut dengan membenarkan mereka tinggal di pangsapuri projek perumahan rakyat (PPR) Ampang Jajar, di sini.
Katanya, pihaknya bersedia membantu Rajeshwari mencari pekerjaan baru serta menguruskan permohonan keluarga tersebut untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Dengan kadar sewa RM100 di pangsapuri tersebut, kita yakin keluarga ini mampu membayar berdasarkan pekerjaan yang kita akan dapatkan untuk Rajeshwari dalam masa terdekat.
"Kita minta kerajaan negeri bertindak segera memandangkan keluarga ini amat memerlukan pembelaan. Dari segi keperluan asas lain, MIC sedia menghulurkan sumbangan agar mereka meneruskan kehidupan lebih selesa," katanya.

Mengemis ala Jakarta, New Delhi




SEORANG pengemis membahayakan diri mengemis di laluan yang sesak di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Golongan pengemis kini menjadikan bandar raya Shah Alam tidak ubah New Delhi di India atau Jakarta di Indonesia apabila mereka kini berani mengemis di jalanan sebagaimana di dua kota berkenaan.
Mereka dikesan mengemis dengan menjual pen bagi menarik simpati pemandu dan orang ramai yang lalu lalang di persimpangan lampu isyarat Jalan Monfort, Seksyen 13 di sini semalam.
Tinjauan Kosmo! mendapati, seorang wanita berusia lingkungan 50-an tiba-tiba muncul di celah laluan yang sesak dan mengetuk tingkap beberapa kereta sambil memegang sejumlah batang pen kepada pemandu untuk dijual.