Thursday, February 17, 2011

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia



KUALA LUMPUR 16 Feb. - Robert Kuok kekal sebagai individu terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan sebanyak RM50.04 bilion, demikian menurut tinjauan terbaharu majalah Malaysian Business di sini.
Taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan pula berada dalam kedudukan semakin selesa apabila berjaya merapatkan jurang kekayaan yang dimiliki bernilai RM45.78 bilion.
Nilai kekayaan Ananda meningkat hampir 70 peratus berikutan pertambahan nilai Maxis dan tindakannya menjadi tiga syarikatnya sebagai syarikat milik persendirian.
Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada pada kedudukan ketiga sebagai individu terkaya negara dengan kekayaan RM12.77 bilion diikuti Tan Sri Lee Shin Chen, Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Bhd. dengan mengumpul kekayaan sebanyak RM12.74 bilion.
Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay kekal ditempat kelima dengan nilai harta RM10.89 bilion dan tempat keenam, Pengerusi Kumpulan Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan, meningkat daripada kedudukan ketujuh dengan kekayaan RM7.09 bilion.
Satu-satunya individu Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pula berada kedudukan ketujuh dengan nilai kekayaan RM8.84 bilion, peningkatan hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Balu Tan Sri Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua pula berada di kedudukan kelapan dengan anggaran kekayaannya RM7.43 bilion.
Tan Sri Tiong Hiew King, Pengerusi Rimbunan Hijau pula ditempat kesembilan dengan memiliki kekayaan sebanyak RM4.77 bilion dan hartawan Singapura, Ong Beng Seng didakwa berada pada kedudukan ke-10 dengan nilai aset RM3.98 bilion.
Beng Seng merampas kedudukan Pengerusi Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent apabila kekayaannya menyusut menyebabkan ia hanya sekadar berada di tempat ke-12.
Sementara itu, senarai individu-individu terkaya menerima tiga nama baru dengan kemasukan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Pengerusi Eksekutif Supermax Corporation Bhd. , Datuk Seri Stanley Thai serta Naib Pengerusi Eksekutif Tan Chong Holdings Bhd., Datuk Tan Heng Chew.
Menurut Malaysian Business, jumlah kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia meningkat lebih daripada 30 peratus didorong oleh peningkatan pasaran saham dan peluasan ekonomi.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, kekayaan 40 individu itu berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat-syarikat tersenarai sehingga 21 Januari lalu.
Jumlah kekayaan kesemua individu itu sekarang bernilai RM206.27 bilion sehingga 21 Januari 2011 berbanding RM156.7 bilion tempoh yang sama tahun lalu.
Keseluruhan pertambahan itu adalah seiring dengan kenaikan 20 peratus FBM KLCI sejak tinjauan terakhir.
Tambahnya, tahun ini menyaksikan bilangan individu terkaya lebih banyak iaitu sebanyak 27 orang, bertambah lima daripada 2010.

Tawakul Karman cetus revolusi golongan muda Yemen



SANAA 16 Feb. - Seorang aktivis terkemuka Yemen berikrar beliau akan menggerakkan satu revolusi yang diketuai oleh golongan muda, berinspirasikan pemberontakan rakyat yang berlaku di Mesir dan Tunisia.
Tawakul Karman, pengerusi Wartawan Wanita Tanpa Rantai, menyifatkan janji Presiden Ali Abdullah Saleh untuk melaksanakan pembaharuan sebagai menyapu 'abu di mata'.
Karman, seorang wanita bertudung yang petah bercakap, sudah menjadi duri dalam daging bagi Saleh, seorang sekutu penting Amerika Syarikat (AS) dalam kempen memerangi al-Qaeda dan telah memerintah negara di Semenanjung Arab ini sejak 32 tahun lalu.
Ratusan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya bulan lepas apabila pihak berkuasa menangkap Karman, 30, seorang anggota parti pembangkang berhaluan Islam, Islah, kerana menganjurkan protes haram.
Beliau kemudian dibebaskan dan membantu mengatur protes besar-besaran yang disertai oleh puluhan ribu orang, dua minggu lepas.
"Revolusi lebih mudah berlaku di Yemen berbanding di Mesir kerana kemiskinan di sini lebih teruk dan lebih ramai rakyat yang kelaparan," kata Karman dalam wawancara dengan Reuters.
Di kalangan 23 juta rakyat di negara ini, 40 peratus hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2 (RM6.2) sehari, satu pertiga mengalami kelaparan kronik dan satu dalam dua orang memiliki senjata api.
Yemen bergelut untuk menghapuskan cabang al-Qaeda di negara ini dan menumpaskan pemberontakan puak pemisah di selatan, dan dalam pada itu cuba mengukuhkan gencatan senjata goyah dengan pemberontak Syiah di utara.
Walaupun menghadapi ugutan daripada polis, Karman terus berarak di jalan dan yakin rakyat Yemen akan memberontak tidak lama lagi.
Pertempuran terus meletus buat hari keenam berturut-turut di Sanaa antara penunjuk perasaan antikerajaan dengan penyokong Saleh. - Reuters/AFP

Polis, penunjuk perasaan bertempur di Libya



IMEJ daripada stesen televisyen penyiar Libya menunjukkan penunjuk perasaan membawa potret pemimpin Muammar Gaddafi dan mengibarkan bendera kebangsaan di Tripoli, Libya, semalam. - AFP


NICOSIA 16 Feb. - Seramai 14 orang cedera dalam pertempuran antara polis Libya dengan penunjuk perasaan antirejim di bandar raya Benghazi malam tadi.
Insiden itu mendorong penyokong pemimpin veteran, Muammar Gaddafi melancarkan demonstrasi prokerajaan di beberapa bandar di negara itu.
Laman web Libya al-Youm berkata, polis menggunakan 'kekerasan' untuk menyuraikan orang ramai yang berhimpun di luar sebuah balai polis di Benghazi.
BBC pula memetik saksi sebagai berkata, penduduk membaling batu ke arah polis yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah.
Protes itu dilancarkan oleh keluarga kepada 14 orang yang terbunuh dalam satu perhimpunan anjuran golongan berhaluan Islam di Benghazi pada 2006.
Mereka berkumpul di luar balai polis untuk menuntut pembebasan peguam mereka, Fethi Tarbel, lapor portal berita dalam talian, Al-Manara.
Tarbel yang ditangkap atas sebab yang belum diketahui dibebaskan akibat tekanan daripada keluarga terbabit.
Namun penunjuk perasaan bertambah ramai dan mereka mula melaungkan slogan antirejim seperti 'rakyat akan membanteras rasuah' dan 'darah mereka yang mati syahid tidak akan disia-siakan' sebelum polis bertindak menyuraikan mereka.
Tidak lama kemudian, ratusan penunjuk perasaan penyokong kerajaan keluar ke jalan-jalan di Benghazi, di ibu kota Tripoli, bandar-bandar Syrte dan Sebha untuk menyuarakan sokongan terhadap Gaddafi.
Rejim Gaddafi yang memerintah Libya sejak empat dekad lalu berhadapan dengan seruan sekumpulan aktivis di Facebook supaya protes dilancarkan esok, selepas mereka mendapat semangat daripada penyingkiran pemimpin autoritarian di dua negara berjiran, Mesir dan Tunisia.
Demonstrasi itu dirancang diadakan bagi memperingati kematian 14 penunjuk perasaan dalam perhimpunan pada 2006 itu.
Namun protes itu juga disemarakkan oleh gelombang tunjuk perasaan yang melanda dunia Arab dan menggegarkan rejim-rejim yang sudah lama dianggap sebagai sukar digugat.
Di bawah sepanduk 'Intifada 17 Februari: Hari Mogok di Libya', sekumpulan aktivis Facebook yang menggesa rakyat melancarkan pemberontakan mendapat lebih 5,000 pengikut menjelang semalam, manakala satu lagi kumpulan terdiri daripada hampir 8,000 anggota mempelawa rakyat Libya membanjiri jalan esok 'pada hari kemarahan terhadap rasuah dan nepotisme'. - AFP

Bantahan terus memburuk



Orang ramai menghadiri upacara pengebumian pelajar Sane’e Zhaleh, yang ditembak mati dalam satu protes antikerajaan di Teheran, semalam. – Reuters


TEHERAN 16 Feb. – Pertempuran meletus di antara penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang Iran pada sebuah upacara pengebumian seorang mangsa yang terbunuh dalam protes antikerajaan di sini, hari ini.
“Pelajar dan orang ramai yang turut serta dalam upacara pengebumian Sane’e Zhale di Universiti Seni Halus Teheran bertempur dengan kumpulan penentang kerajaan,” kata laman web agensi berita rasmi IRNA.
IRNA melaporkan, penyokong kerajaan melaungkan slogan ‘Mati kepada pemberontak, paksa mereka keluar daripada situasi ini’.
Pertempuran itu meletus apabila penyokong kerajaan termasuk ahli Parlimen dan anggota pasukan elit Pengawal Revolusi Iran mengadakan demonstrasi semasa upacara pengebumian Zhale.
Mereka turut melaungkan ‘Mati kepada Amerika Syarikat (AS), Mati kepada Israel, Mati kepada Britain, Mati kepada Pemberontak, Mati kepada Mousavi dan Karroubi’.
Zhale, berbangsa Kurdis dan bermazhab Sunah dibunuh semasa protes antikerajaan yang dilancarkan oleh penyokong pemimpin pembangkang, Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi, kelmarin.
Namun dia menjadi perhatian hari ini, dengan penyokong kerajaan menegaskan yang dia merupakan anggota kumpulan militia Basij berhaluan Islam, sementara kumpulan pembangkang mendakwa Zhale datang dari pihak mereka.
“Zhale (penuntut universiti) ditembak menggunakan senjata api di sekitar Daratan Enghelab. Dia merupakan seorang pelajar seni halus dan penyokong kerajaan,” kata agensi berita rasmi itu.
Laman web pembangkang, Rahesabz.net berkata, Zalee merupakan ‘pro-Mousavi dan anggota Pergerakan Hijau’, merujuk kepada pergerakan pembangkang dipelopori Mousavi yang enggan mengiktiraf Presiden Mahmoud Ahmadinejad.
“Keluarganya berada di bawah tekanan untuk menyatakan yang dia merupakan anggota kumpulan Basij dan pro-kerajaan,” kata laman web itu.
Zhale merupakan seorang daripada dua mangsa yang terbunuh ketika polis antirusuhan dan penyokong pembangkang bertempur di Teheran semasa satu demonstrasi antikerajaan. – AFP

Rakyat Bahrain perhebat demonstrasi antikerajaan



MANAMA 16 Feb. - Beribu-ribu penunjuk perasaan puak Syiah yang mendapat ilham daripada pemberontakan Tunisia dan Mesir, berkumpul di ibu negara Bahrain hari ini untuk meratapi kematian kedua rakan mereka dalam pertempuran minggu ini.
Beratus-ratus orang berkumpul di perarakan pengebumian seorang lelaki yang ditembak mati apabila polis dan penunjuk perasaan bertempur pada satu majlis pengebumian mangsa tunjuk perasaan semalam.
"Rakyat mahu rejim digulingkan,'' laung penunjuk perasaan sambil menumbuk dada mereka, yang melambangkan simbol pengorbanan dan kesedihan.
Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah dari puak Sunah yang memerintah negara tersebut telah mengenepikan mereka daripada mendapat kemudahan perumahan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan dalam sektor awam.
Ketika ini, penunjuk perasaan mahu Perdana Menteri, Sheikh Khalifa Salam al-Khalifa berundur berbanding Raja Hamad Isa al-Khalifa yang mempunyai kata putus dalam politik.
Sheikh Khalifa, ayah saudara kepada Raja Hamad telah mentadbir negara Teluk itu sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1971 dan dilihat lebih memberi perhatian untuk memastikan keluarga diraja terus berkuasa dalam menentukan ekonomi dan politik negara ini.
"Kami menuntut hak kami secara aman. Saya yakin kehadiran kami dalam jumlah besar akan membolehkan hasrat kami tercapai,'' kata pelajar universiti, Bakr Akil, 20, yang memakai kain selimut berlumuran dakwat merah.
Di kawasan lain di pusat Manama, saksi berkata, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berkhemah di Bulatan Pearl Bahrain sejak semalam, jumlah yang menyamai mereka yang berarak di jalan raya semalam.
Polis hanya memerhatikan dari jauh dan berada dalam keadaan berjaga-jaga di kawasan berdekatan.
Kementerian Dalam Negeri juga mengumumkan bahawa tiada sekatan dibuat dan jalan-jalan raya terus dibuka. - Reuters